Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Showing posts with label Kenyataan. Show all posts
Kenyataan Media: Pasca Banjir: ABIM GESA KEBAJIKAN RAKYAT   Untuk makluman Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)  telah menggerakkan OPS Skuad Prihatin bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri berkaitan. Dalam tinjauan di lapangan terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.
ABIM  menggesa agar arahan mengosongkan tempat-tempat pemindahan sementara ditangguhkan  serta merta sehingga penempatan semula mangsa banjir diselesaikan.
Beberapa buah keluarga yang ditemui di Manik Urai mengadu mereka tiada tempat untuk dituju bagi mendapatkan perlindungan apabila arahan pengosongan tempat pemindahan sementara dikeluarkan.
Terdapat beberapa keluarga yang mula membina khemah-khemah kecil bagi menempatkan barangan keperluan keluarga masing-masing. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak dan warga emas.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila masih tiada tindakan yang berkesan diambil untuk mengurangkan sampah sarap di kawasan yang teruk dilanda banjir seperti di daerah kuala krai dan gua musang. Situasi ini boleh mengakibatkan penularan penyakit berjangkit yang mampu mengancam nyawa.
ABIM juga menggesa satu pelan tindakan diumumkan oleh kerajaan negeri dengan kadar sesegera mungkin bagi memulihkan penempatan semula mangsa banjir. Kelewatan pengumuman ini boleh menyebabkan gangguan terhadap perancangan masa depan keluarga yang terbabit.
Sepanjang pengamatan pihak kami banyak premis sekolah di kawasan bencana yang belum dibersihkan. Dalam masa yang sama juga ramai guru turut menjadi sebahagian daripada mangsa banjir.
Memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi, ABIM menggesa pihak kementerian berkenaan mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah-masalah tersebut. Tindakan ini perlu untuk memastikan sesi persekolahan akan dating dapat dijalankan dengan lancar.
Menegakkan Kebenaran Dan Keadilan
AMIDI ABD MANAN, Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
KENYATAAN MEDIA ABIM

14 Ogos 2013 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kejadian tragedi berdarah medan Rabaah Al-Adawiya yang mengorbankan lebih dari 300 nyawa sebentar tadi. Sesungguhnya tragedi ini merupakan kemuncak kepada episod malang yang melanda rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa 4 Julai 2013 yang lalu.

ABIM menilai rentetan peristiwa yang dihadapi rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa tersebut sebagai bukti kegagalan pihak tentera di bawah kepimpinan Jeneral Al-Sisi untuk mencetuskan kestabilan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.

Ternyata rampasan kuasa tersebut hanyalah langkah lapuk dan terbelakang yang tidak menjamin kestabilan politik jangka panjang. Tragedi medan Rabaah Al-Adawiya ini dikhuatiri akan merebak menjadi konflik berdarah yang akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.

Sekiranya ia berterusan ia adalah satu titik hitam dalam perkembangan politik umat Islam kontemporari yang berasaskan kepada kesedaran Karamah Insaniah (Human Dignity). Tragedi ini merupakan penafian terhadap nurani Ummah yang mendambakan pembelaan menerusi lunas-lunas kemanusiaan yang ditetapkan. Seharusnya sebarang perbedaan pandangan serta kritikan ditangani menerusi hikmah yang dibuka menerusi saluran demokrasi

Justeru, ABIM menggesa ketegasan kerajaan Malaysia untuk menyatakan pendirian tegas berhubung dengan tragedi sebagai bukti ketegasan dan keperihatinan umat Islam ke atas perkembangan semasa yang berlaku di Mesir. Seharusnya Malaysia meneladani ketegasan kerajaan Turki yang tampil selaku jurubicara Ummah di pentas antarabangsa.

AMIDI ABD MANAN, Presiden ABIM

 


Demi Memelihara Perpaduan Nasional, Jadikan Sebahagian Dari Rukun Negara

14 Julai 2012:- ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) merujuk kepada sepuluh tuntutan Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong) dan beberapa pertubuhan lain berkaitan pendidikan yang dilaporkan bakal diserahkan kepada Y.A.B Perdana Menteri hujung bulan ini.

Menilai setiap tuntutan yang dikemukakan ini, ia seakan-akan menzahirkan keinginan pihak berkenaan untuk mengasingkan kelompok tertentu dari aliran pendidikan kebangsaan yang turut mengetepikan peranan serta fungsi Bahasa Kebangsaan di samping tidak masuk akal.

Ini disenaraikan di antara tuntutan yang dinyatakan yang antara lain turut berbunyi, ”membuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai guru boleh berbahasa Mandarin yang diperlukan di sekolah-sekolah Cina”.

Dalam hal, ABIM ingin menimbulkan persoalan, mengapa tidak dibuat reformasi silibus latihan guru bagi memastikan lebih ramai pelajar SJKC boleh berbahasa Melayu?
Menurut kajian yang dibuat oleh Prof. Dr. Nor Hashimah Jalaluddin dalam Seminar Sehari Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) sebelum ini, 44.8% remaja Cina tidak suka belajar bahasa Melayu.

Selain daripada itu, kajian tersebut juga mendapati bahawa 72.1% remaja Cina merasakan bahasa Melayu tidak penting, diikuti oleh Kadazan (40%) dan India (37%).

Dari kajian ini, ia jelas menunjukkan betapa perlunya satu silibus baru yang bersesuaian dirangka, memandangkan nilai dan kedudukan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan tertinggi dalam negara masih gagal dihayati dan difahami para pelajar.

ABIM juga melihat beberapa tuntutan lain termasuk untuk menyokong penubuhan Sekolah Cina Persendirian dikhuatiri akan memisahkan para pelajar dari aliran kebangsaan seandainya ia ditubuhkan di peringkat sekolah menengah yang menyebabkan perpaduan rakyat gagal dicapai.

Ini termasuk tuntutan untuk mendokong serta memperkasakan beberapa Institut Pengajian Tinggi yang dilihat meletakkan negara luar sebagai rujukan dasar dan aliran.

Dalam perkembangan berkaitan, ABIM turut merasakan sudah tiba masanya untuk kita memasukkan elemen kedaulatan Bahasa Kebangsaan sebagai salah satu prinsip dalam Rukun Negara untuk memupuk kesedaran dan kefahaman masyarakat bahawa kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam negara.

Justeru, setiap tuntutan yang ingin dikemukakan oleh mana-mana pihak terutama sekali yang menyentuh fundamental asas sistem pendidikan sesebuah negara, harus meletakkan objektif untuk mempererat perpaduan kaum serta membina sebuah masyarakat yang memahami dan menjiwai semangat kebangsaan Malaysia selaku matlamat utama.

Amidi Abdul Manan
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

ABIM BANTAH RANG UNDANG-UNDANG PERHIMPUNAN 2011: MENGAPA KETEPIKAN PANDANGAN RAKYAT?


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sekali lagi mengulangi bantahannya terhadap penggubalan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman 2011 di parlimen semalam. ABIM menilai penggubalan undang-undang ini seakan tidak menghiraukan sensitiviti serta pandangan yang diketengahkan oleh pelbagai pihak berhubung implikasi negatif yang bakal dicorakkan menerusi kelulusan undang-undang ini.

Dalam hal ini, ABIM amat menyesali sikap tertutup kerajaan yang enggan membicarakan penggubalan rang undang-undang ini secara terbuka dan meluas sambil membabitkan konsultasi awam dan suara masyarakat sivil di negara ini.

ABIM memandang keengganan tersebut bertentangan samasekali dengan komitmen keterbukaan yang menjadi intipati agenda perubahan yang dilaungkan oleh pihak kerajaan di bawah kepimpinan Y.A.B Dato’ Seri Najib Tun Razak.

ABIM menanggapi pendekatan tersebut tidak lain dan tidak bukan, seakan menzahirkan wujudnya agenda “pembebalan” ke atas masyarakat sehingga ke peringkat akar umbi, dengan menutup serta menafikan sama sekali ruang ekspresi bersuara di kalangan rakyat. Adalah amat menyedihkan kerana ia hanya akan menghalang kepada perkembangan wacana demokrasi dan kenegaraan yang sihat serta progresif di negara ini.

Demokrasi merupakan intipati penting kepada perkembangan sesebuah negara maju. Lunas-lunas demokrasi meraikan sebarang perbezaan pendapat dengan menjamin kebebasan bersuara di peringkat akar rumput. Demokrasi juga merupakan wahana penting yang merapatkan jurang di antara rakyat dan pemerintah menerusi komunikasi dua hala rakyat-pemerintah dan rakyat-pemerintah.

Kelulusan rang undang-undang perhimpunan aman 2011 sekaligus menafikan fungsi serta potensi demokrasi itu sendiri sebagai agen perkembangan ekonomi dan politik di negara ini. Adalah amat malang amalan demokrasi dinafikan di atas nama prerogatif menjaga ketenteraman awam, walhal ia (demokrasi) merupakan wahana paling berpengaruh dalam menjamin keamanan serta kestabilan politik di sesebuah negara!

Menilai implikasi-implikasi tersebut, ABIM ingin mengulangi gesaan agar rang undang-undang ini ditarik balik. ABIM juga menggesa pihak kerajaan agar bersikap terbuka terhadap sebarang teguran serta mengadakan konsultasi awam sebelum menggubal sebarang undang-undang di masa akan datang!

AMIDI ABD MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada forum “Human Right for LBTIQ: Making it Real in Malaysia” anjuran Majlis Peguam Malaysia dan penganjuran aktiviti yang mempromosi nilai dan hak golongan LGBT oleh Kumpulan Seksualiti Merdeka sepanjang bulan November ini. ABIM memandang serius perkembangan golongan tersebut yang mutakhir ini begitu berani menuntut secara terbuka agar undang-undang Malaysia memberikan hak kepada golongan LGBT atas nama kebebasan hak asasi manusia sejagat.

Kebebasan hak asasi yang dilaungkan oleh golongan LGBT ini adalah bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama Islam malah semua agama telah mengharamkam perhubungan sejenis sesama manusia. Ia adalah nilai songsang dalam masyarakat, dan agama mendefinisikannya sebagai di luar tabi’e.

Selain itu, dalam sejarah ketamadunan manusia, golongan yang mengamalkan dan memperjuangkan kebebasan homoseks ini dianggap sebagai golongan pelampau (al-‘adun) yang telah dibinasakan oleh Allah.

Undang-undang negara adalah berasaskan agama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, disamping turut memperuntukkan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan di seluruh persekutuan. Kerana itu mana-mana tindakan yang bertentangan dengan agama adalah dianggap satu kesalahan.

Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 377 telah menjelaskan bahawa perbuatan perhubungan sesama jantina adalah termasuk di bawah perbuatan di luar tabi’e dan ianya menjadi suatu kesalahan. Malah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri ia adalah suatu kesalahan syariah sekiranya dilakukan oleh orang Islam. Begitu juga dalam konteks perkahwinan, undang-undang negara telah mengharamkan perkahwinan sesama jenis.

ABIM berpandangan sekiranya kebebasan asasi ini diangkat dan diiktiraf oleh undang-undang banyak implikasi perundangan boleh berlaku. Antaranya perhubungan sejenis ini akan diiktiraf, perkahwinan sesama jantina menjadi sah, dan pertukaran jantina boleh menjadi suatu yang halal di negara ini.

ABIM ingin melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini berlaku, maka kehancuran sistem nilai dalam masyarakat akan menjadi parah. Sistem institusi keluarga juga bakal menuju kehancuran.

Selain itu, perjuangan LGBT ini jelas bercanggah dengan nilai-nilai moral dan kesusilaan seperti mana yang terkandung dalam falsafah negara. Unsur negatif ini yang meresap dalam masyarakat akan menggagalkan sistem moral dan norma-norma ketimuran yang boleh menjerumus kita untuk menjadi seperti negara Barat yang tidak lagi berpegang kepada prinsisp agama dalam kehidupan.

Justeru, ABIM menggesa pihak yang memperjuangkan hak asasi golongan LGBT ini menghormati keluhuran undang-undang negara demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

ABIM turut menggesa agar kumpulan terbabit menghormati sensitivi masyarakat beragama di negara ini dengan tidak mempromosikannya secara terbuka kerana dikhuatiri mampu menggugat ketenteraman awam dan keamanan negara selain mencipta fenomena yan tidak sihat di kalangan masyarakat.

ABIM menyeru agar semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, jabatan kerajaan, dan masyarakat keseluruhannya menolak perjuangan kumpulan yang mendokong LGBT ini, dan mengecam secara khusus Kumpulan Seksualiti Merdeka yang telah menjadikan bulan November sebagai bulan meraikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan nilai moral dan agama.

ABIM menyambut baik ketegasan pihak PDRM dalam menangani kumpulan terbabit. Oleh itu, ABIM berharap agar lain-lain agensi penguatkuasaan seperti JAKIM, dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat memainkan peranan yang lebih serius dan progresif khususnya dalam soal pemantauan dan pencegahan supaya aktiviti mereka tidak terus mencemarkan institusi moral masyarakat.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menafikan pernah melantik Dr. Yusri Mohamad menyandang kapasiti rasmi sebagai penasihat ABIM. Kenyataan ini dibuat dengan merujuk kepada beberapa laporan media yang mengetengahkan Dr Yusri Mohamad sebagai penasihat ABIM. Kami dengan ini ingin memaklumkan bahawa ABIM sama sekali tidak pernah mewujudkan jawatan penasihat dalam mana-mana struktur pentadbiran dan keorganisasiannya.

Justeru, sebarang kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau serta mantan-mantan pimpinan ABIM yang lain adalah bersifat peribadi dan tidak samasekali menggambarkan pendirian rasmi ABIM dalam isu-isu tertentu. Adalah menjadi harapan agar pihak yang berkenaan memberi kerjasama untuk membetulkan serta tidak mengulangi kesilapan ini di masa-masa akan datang.

Di pihak ABIM, kami amat mengalu-alukan sebarang pertanyaan serta rujukan yang ingin dibuat terutama berkaitan dengan struktur serta organisasi dan pendirian ABIM dalam isu-isu berkenaan.'

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR