Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Showing posts with label Agensi. Show all posts

Bersempena dengan sambutan Hari Guru peringkat negeri Selangor, telah disampaikan sekolah cemerlang pada tahun 2016-2017. 

ABIM Selangor ingin turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada TASKI ABIM Al-Firdaus, Meru kerana telah dinobatkan sebagai 'Sekolah Agama Pra-Sekolah Swasta Cemerlang'. 

Tahniah warga Al Firdaus Abim Klang atas usaha kuat mendidik ummat!

#sejahterakanselangordengandakwah

MRA pelawa laksana korban di Somalia

KUALA LUMPUR 22 Okt. - Malaysian Relief Agency (MRA) menjemput umat Islam di negara ini menyertai program ibadah korban di Somalia melalui Kempen Korban Terbaik MRA sempena Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan Said berkata, program ibadah itu adalah peluang kepada masyarakat menanamkan rasa kasih dan ihsan terhadap saudara mereka di Somalia.

"Secara tradisinya, MRA akan menyalurkan dana korban yang terkumpul kepada beberapa buah negara berhampiran Malaysia termasuk negara yang melibatkan operasi MRA sepanjang tahun ini.

"Namun kali ini, MRA bersetuju memberi tumpuan penuh berkenaan agihan korban kepada penduduk Somalia yang sedang dihimpit bencana dan hidup dalam serba kekurangan," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Tambah Shahrulazilan, sumbangan daging korban kepada penduduk negara itu adalah hadiah tidak ternilai buat mereka yang mendiami kem-kem pelarian di sana. "Sudah lama mereka tidak menikmati daging segar tetapi hanya menikmati sajian bubur gandum dan roti setiap hari," ujarnya lagi.

Umat Islam yang ingin menyertai program itu boleh menyampaikan sumbangan melalui akaun Maybank bernombor 5640 9820 6365 dan menghubungi sekretariat program di talian 03-2697 2007 untuk keterangan lanjut.

Bajet 2012: Di mana peruntukan untuk tangani gejala sosial?
Selasa, 11 Oktober 2011 20:15 TM Lim
Share59

KUALA LUMPUR, 11 Okt 2011 – 11 badan sukarela pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagaikan terkasima sejak Bajet 2012 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu apabila mendapati tiada satu pun peruntukan khas yang menjurus kepada usaha serius menangani gejala sosial dan seksual yang semakin membusung dalam masyarakat.

Dalam satu sidang media bersama di Ibu Pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Pusat Bandar Melawati dekat sini petang tadi, mereka hairan apabila berjuta-juta ringgit yang diperuntukkan kerajaan buat menambah baik kehidupan rakyat tidak melibatkan sekali usaha memperbetul kerosakan umat, sedangkan kes-kes seperti zina, pembuangan bayi, ragut, ketagihan dadah dan alkohol, rogol dan bunuh semakin berleluasa.

“Usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata, tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang menitikberatkan konsep amanah, integriti dan pertanggungjawaban, dibimbangi akan lebih mendatangkan mudarat dan kerosakan,” jelas Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj ketika membacakan kenyataan media tersebut. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Induk Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, yang mempunyai lima cawangan di seluruh negara.

Menyifatkan masalah sosial sebagai bencana dan bukannya gejala, Pengetua Pusat Kebahagiaan Remaja dan Wanita (KEWAJA), Yahya Mohammad Yusof berkata, “Kerajaan mesti mempunyai bajet tertentu dalam usaha mengatasi bencana sosial ini. Yang penting pencegahan, bukan perlindungan.”

Kenyataan beliau disokong oleh Dr Harlina yang mengatakan bahawa adalah lebih baik kerajaan menyediakan peruntukan untuk mencegah masalah sosial ini sebelum ia merebak. “Mencegah itu lebih baik dan lebih murah daripada merawat. Jangan kita biarkan masalah berlarutan yang hanya akan menambah masalah.”

Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat mengingatkan maksud sepotong hadis yang menyatakan bahawa apabila semakin ramai anak zina dilahirkan dalam satu kariah, maka layaklah azab Allah ke atas kariah tersebut.

“Sebab itulah perlu ada kumpulan yang bekerja membanteras kemungkaran seumpama ini, tetapi kenapa NGO yang bersusah payah membantu kerajaan dalam menangani gejala sosial, murtad dan sebagainya tidak dibantu dari sudut kewangan?” soalnya.

Beliau menegaskan, kerajaan setidak-tidaknya menjadi penaung yang sentiasa menyokong, melatih dan menunjuk ajar institusi dan rumah-rumah perlindungan yang sedia ada.

Ustazah Hazlina dari Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah pula menekankan bahawa 'political will' kerajaan yang memerintah sangat penting dalam usaha menguatkuasakan sesuatu peraturan mahupun undang-undang. Lebih daripada itu, ia mesti melangkaui politik kepartian kerana 'political will' perlu ada pada mana-mana kerajaan yang memerintah.

Kenyataan media tersebut turut menuntut kerajaan supaya memberikan keutamaan terhadap peningkatan gejala sosial, meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan holistik dalam kalangan masyarakat, merawat dan membimbing golongan yang terjebak secara efektif serta memperuntukkan belanjawan yang mencukupi untuk semua usaha di atas.

Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ustaz Mohamed Hanafiah (Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, SIDIM), Faridah Abd Karim (Institut Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita, WIRDA) dan Rosmawati Zainal selaku Pengarah Raudhatus Sakinah. Gabungan itu turut dianggotai Rumah Puteri Arafiah, Baitul Islah PERKID, Rumah Kebajikan Darul Islah, Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq dan Keluarga Besar Norlina Alawi.

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
utusan@pengarang.com.my


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Malaysian Relief Agency (MRA) yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran bersama Kumpulan Utusan mula mengadakan latihan kepimpinan kepada elia di negara Afrika itu bagi meningkatkan daya kepimpinan mereka.

Pengarah Bantuan Kecemasan MRA, Khairil Annuar Khalid berkata, latihan tersebut penting kepada golongan belia di sana sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin pelapis.

"Melalui latihan yang diberi ini, kita berharap golongan belia di sana dapat berfikir dengan lebih proaktif untuk menjadikan negara mereka lebih aman dan hidup dalam keadaan yang harmoni.

"Setakat ini, seramai 30 orang belia telah mengikuti latihan tersebut dan dijangka jumlah itu akan meningkat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya mengenai kutipan tabung MRA, Khairil berkata, setakat ini, jumlah sumbangan yang diterima RM736,000.

Jelasnya, MRA menerima banyak panggilan daripada pihak yang bersimpati dengan nasib rakyat Somalia dan kebanyakan mereka mahu menghulurkan derma dalam masa terdekat bagi membantu mangsa bencana di sana.

Sumbangan boleh disalurkan terus secara tunai atau melalui cek ke akaun Maybank MRA bernombor 5640-9820-6365.



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) diteruskan dengan pengagihan empat juta liter bekalan air kepada rakyat negara itu.

Pengurus Sekretariat MRA, Fauziah Tahar berkata, setakat ini, MRA telah membuat penghantaran bekalan air ke beberapa kem yang terlibat antaranya di Bosaso, Gardo dan Garowe mengikut jadual yang ditetapkan.

"Majlis Perbandaran Tempatan dan MRA telah mengatur jadual bagi mengagihkan air ke kem yang memerlukan bekalan melibatkan penghantaran 21 lori air.

"Satu lori boleh membawa 8,000 liter sehari dan dengan jumlah 21 lori, kita dapat salurkan 168,000 liter sehari. Jadi, kita harap bekalan tersebut mampu menampung keperluan air bersih mangsa terlibat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Misi ini terdiri daripada Pengurus Operasi, Mohd. Iqbal Abu Bakar, Koordinator Perubatan, Hani Yang Kasim dan Pegawai MRA di Garowe, Mohd. Shahrulazilan Said.

Jelasnya, bantuan air bersih amat diperlukan berikutan kemarau panjang dengan lima kawasannya diisytiharkan berdepan dengan kebuluran yang kini mula merebak ke negeri-negeri di wilayah selatan.

"Justeru, orang ramai diseru membantu rakyat Somalia dengan menghulurkan sumbangan secara tunai atau melalui cek ke akaun Maybank MRA bernombor 5640- 9820-6365.

"Sebarang pertanyaan lanjut mengenai sumbangan untuk tabung itu boleh menghubungi talian 03-2697 2007/012-2096577 atau melayari laman web www.mra.my," katanya.
Tanda simbolik Waqaf prof. Khalijah


Bergambar kenangan bersama


Jambangan bunga untuk Prof. Khalijah


Penyerahan cenderamata tanda penghargaan


Prof Madya Dr. Shaharudin sedang memberikan ucapan


Antara yang hadir bersama


Haji Razif sedang memberikan penerangan mengenai perkembangan pembinaan


Sedang asyik mendengar penjelasan dari ahli jawatankuasa kompleks yang hadir


Wakil keluarga Prof Khalijah bersama Kak Dib


Tanah wakaf cadangan pembinaan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor


Dari kiri, Saudara Aizad, Prof.Madya Dr. Shaharudin dan Ustaz Zawawi


16 September 2011, Sijangkang, Kuala Langat
- Jam 9.00 pagi, jawatankuasa kerja ABIM Selangor bersama jawatankuasa pembangunan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor yang diketuai oleh Ustaz Zawawi selaku Timbalan Pengerusi jawatankuasa pembangunan kompleks telah berkumpul di tapak kompleks bersama menanti kehadiran wakil keluarga Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk majlis penyerahan waqaf Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk pembinaan satu komponen kompleks iaitu Rumah Kebajikan Dan Perlindungan Wanita Darul Wardah.

Beliau diwakili oleh anak bongsunya, Saudara Aizad menerima sedikit penerangan ringkas yang disampaikan oleh Haji Razif selaku jawatankuasa teknikal dan Us Zawawi sendiri. Kehadiran wakil Prof. Khalijah dalam jam 9.30 pagi diiringi oleh Profesor Madya Dr. Shaharuddin dan isteri. Ketibaan mereka disambut oleh Ustaz Hasri Harun selaku TYDP ABIM Selangor serta mewakili ABIM Pusat selaku Exco Tarbiyah.

Majlis penerangan dijalankan secara kecil-kecilan dan diikuti dengan beberapa ucapan dan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan penyerahan cenderamata tanda penghargaan kepada Prof. Khalijah serta jambangan bunga tanda hadiah dan kasih sayang daripada penghuni Darul Wardah.

Majlis diakhiri dengan penanaman tunas buah kelapa sebagai simbolik penyerahan waqaf Prof Khalijah yang dilakukan sendiri oleh anak bongsu beliau. Kami di ABIM Selangor berasa amat terharu dengan majlis ini dan mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memberikan yang terbaik buat Prof Khalijah sekeluarga.

Majlis ini juga memberikan suntikan semangat untuk jawatankuasa pembangunan kompleks dan ABIM Selangor sendiri untuk terus gigih berusaha mengetuai usaha untuk membangunkan kompleks ini serta menjadi contoh di dalam mendepani isu-isu kebajikan, pendidikan serta sosial masyarakat hari ini. Semoga Majlis ini diberkati.



[Lagi Gambar]


PERKEMBANGAN BANTUAN MRA DI SOMALIA DAN UCAPAN TAKZIAH

Sabtu, 3 September 2011

Malaysian Relief Agency (MRA) ingin melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga wartawan media yang terkorban dan tercedera akibat tembakan curi ke atas konvoi misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu kelmarin.

Keadaan keselamatan yang tidak menentu di Somalia memang sentiasa membimbangkan sukarelawan dan pekerja agensi bantuan serta membantutkan usaha-usaha bantuan kemanusiaan di sana.

Misi 1 MRA diketuai Sdr Mohd Shahrulazilan Said masih berada di Galkaiyo, sebuah bandar ke utara Mogadishu dan MRA masih meneruskan agihan bantuan air bersih ke kem-kem pelarian di Bosaso, Garowe dan Galkaiyo seperti yang dirancangkan. Setakat ini, keadaan di kawasan tersebut terkawal dan tiada persengketaan ketenteraan berlaku. Walau bagaimanapun, mereka diminta supaya berhati-hati dan mengikut nasihat anggota keselamatan kerajaan tempatan untuk mengelakkan sebarang tragedi. Sebuah pusat operasi bantuan telah diwujudkan di Galkaiyo untuk menyelaras segala bantuan yang disampaikan oleh rakyat Malaysia melalui jalan darat dari Bosaso, sebuah bandar pelabuhan di utara Somalia.

MRA sentiasa memantau usaha-usaha bantuan kemanusiaan dan bersedia untuk memanggil pulang pasukan bantuan ke tanahair jika keadaan keselamatan di lapangan tidak menentu. Sama-sama kita berdoa agar diberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua sukarelawan dan pekerja bantuan yang terlibat dengan bantuan kemanusiaan kepada mangsa kebuluran akibat kemarau panjang di bumi Somalia yang masih bergolak.


Dr Mohd Daud Sulaiman
Setiausaha Agung
Malaysian Relief Agency (MRA)

AIR TELAGA PENYAMBUNG NYAWA
Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Mereka begitu dahaga sehingga terpaksa berbuka dengan meminum air telaga masjid. Rakyat Somalia amat mengharapkan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2011 - Seramai 400 mangsa kebuluran di Somalia yang berada di Kem New Shabelle menerima pek makanan berbuka puasa daripada Malaysian Relief Agency (MRA), baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan berkata, pek makanan yang berisi nasi dan beberapa jenis lauk itu adalah makanan terbaik yang dinikmati oleh mangsa sepanjang Ramadan kerana sebelum ini kebanyakan mereka hanya dapat berbuka puasa dengan meminum air telaga sahaja.

"Kebanyakan mangsa berasa malu dengan keadaan daif yang membelenggu mereka. Namun, keadaan yang mendesak menyebabkan mereka terpaksa berebut untuk mendapatkan makanan yang dibekalkan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Shahrulazilan, beliau turut menerima kawalan keselamatan yang ketat daripada kerajaan tempatan memandangkan keadaan politik di negara itu yang masih belum stabil.

"Program berbuka puasa bersama mangsa kebuluran ini turut disertai oleh askar bersenjata dan Gabenor Wilayah Bosasso sendiri," katanya.

Bagi meneruskan misi bantuan itu, beliau juga akan meneruskan perjalanan ke Garowe melalui lebuh raya yang akan mengambil masa perjalanan enam jam.

Selain dihidangkan pemandangan tanah yang kering-kontang di sepanjang perjalanan, beliau turut berpeluang melihat sendiri sekumpulan mangsa kebuluran berjalan kaki semata-mata untuk mencari bantuan.

"Saya juga sempat singgah di bandar Qardho dan bertemu sendiri dengan gabenor daerah ini dan menurut beliau, terdapat 12 kem perlindungan yang memerlukan bantuan perubatan secepat mungkin," katanya.

Anda boleh memberikan sumbangan anda melalui (klik di bawah);


1) MEI 2010
  • Proses pindah milik tanah dari pewakaf kepada ABIM Selangor
2) OKTOBER 2010
  • arkitek membentangkan cadangan rekabentuk kompleks
3) FEBRUARI 2011
  • Majlis sumbang saran dan pembentangan reka bentuk kepada umum
4) MAC 2011
  • 13/3/2011 - Pelancaran Tabung Kompleks Pendidikan ABIM
5) APRIL 2011
  • Pelancaran ladang tebu di tapak kompleks pendidikan ABIM

ABIM Selangor akan menubuhkan Institusi Pendidikannya sendiri menjelang 2012. Konsep pendidikan yang akan ditawarkan ialah Sekolah Menengah Sains Tahfiz ABIM Selangor. Sekolah tersebut akan dibina ditapak tanah yang telah diwakafkan oleh seorang dermawan dari Shah Alam.

Tanah seluas 5 ekar tersebut terletak di Batu 8 Sijangkang dan berhampiran dengan jalan utama Klang - Banting. Di dalam kompleks pendidikan tersebut juga akan ditubuhkan institusi pendidikan sepanjang hayat untuk 'warga emas' ala pesantren dan rumah rehab Darul Wardah.

Proses untuk pindahmilik telah pun berjalan dan hanya menunggu urusan pembayaran duti stem. Mesyuarat pertama komiti khas telah pun diadakan pada khamis lalu di Sekretariat ABIM Selangor dengan dihadiri oleh beberapa individu terpilih dan pewakaf tanah.

mesyuarat kedua akan diadakan beberapa minggu lagi untuk melihat beberapa perkembangan terkini. Mesyuarat telah bersetuju melantik Tuan Hj Muslimin Yaakop, mantan YDP ABIM Selangor untuk menerajui projek ini.

Marilah sama-sama kita berdoa semoga projek ini akan berjaya dan bakal menjadi mercu tanda ABIM Selangor di bumi bertuah ini. Kami amat memerlukan sumbangan idea, tenaga, masa dan material dari semua masyarakat Islam terutama dari kerabat dan keluarga besar jamaah kita ini.

Sebarang bantuan dan pertanyaan sila hubungi : Sekretariat ABIM Selangor atau hubungi Tn Hj Muslimin Yaakop atau Us Mohd Zawawi Mughni.
Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR