Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Showing posts with label Dalam Negeri. Show all posts

ANDA MINAT BERBASIKAL? JOM, SERTAI KAMI!

PENGANJUR BERSAMA: ABIM KUALA LANGAT

TARIKH: 21 JAMADILAKHIR 1433H bersamaan 13 MEI 2012

YURAN: RM30 sahaja

HUBUNGI: 017-387 4449

1 Rabiulakhir 1433H, Shah Alam - ABIM Selangor diketuai oleh Setiausaha ABIM Negeri, telah melakukan kunjung hormat kepada Exco Jawatankuasa Tetap Belia Negeri Selangor, YB Dr. Yunus Khairi. Kunjungan bertujuan untuk menyampaikan ucapan tahniah serta memperkenalkan ABIM Selangor sebagai sebuah badan NGO Dakwah yang bergiat aktif di Negeri Selangor Darul Ehsan.

ABIM Selangor juga membawa beberapa hasrat besar untuk membangunkan Belia Islam di Negeri Selangor dengan mengajukan beberapa cadangan dan pandangan kepada beliau. Turut serta di dalam kunjungan tersebut adalah Ketua HELWA ABIM Selangor, Penolong Setiausaha ABIM Selangor, Exco Penyelidikan serta mantan YDP ABIM Selangor.



Kehadiran kami pada jam 12.00 tengahari di pejabat beliau di Bangunan SUK disambut baik serta sifat keterbukaan beliau memudahkan interaksi kami pada hari tersebut. Apa yang menjadi harapan kami, pembangunan belia Islam di Selangor ini akan menjadi agenda penting sejajar dengan usaha kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebagai negeri berkebajikan dan di rahmati Allah s.w.t.


23 Februari 2012

26 September 2011
- Pada 25 ogos 2011 ABIM Selangor telah menyiarkan tentang kesukaran seorang wanita di Shah Alam. Terkini dilaporkan pihak sahabat-sahabat dari ABIM Mesir telah memenuhi amanah mereka dengan mengiringi wanita tersebut untuk menjalani colonoscopy di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur. Hasilnya mendapati beliau menghidap penyakit solitary rectal ulcer (bukan ulceritive colitis, maaf atas kesilapan) iaitu ulcer di penghujung colon (usus besar). Menurut doktor, ulcer tersebut lebih besar daripada duti 50 sen dan sangat-sangat jarang ditemui.

Walaupun penyakit dan ubat sudah diketahui, namun ubat yang bernama 'pentasa ferring' ini tiada di hospital berkenaan dan di farmasi yang berdekatan. Oleh itu,mohon pertolongan sahabat-sahabat dan mereka yang prihatin untuk membantu mendapatkan ubat tersebut.

Alhamdulillah, segala kos perubatan, colonoscopy, tinggal di wad dan juga pengangkutan pulang ke Shah Alam telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital tersebut. Di akhir pertemuan, wanita tersebut kelihatan lemah dan tidak bermaya sepanjang hari namun senyuman tetap terukir walaupun fikirannya kusut memikirkan anak-anaknya. Bak katanya "penyakit dan sakit datang dari ALLAH, mak cik tidak risau sangat, makcik lagi risaukn anak-anak."

Semoga kita boleh mengambil manfaaat dan pengajaran dari kes ini.

Sekian, terima kasih

Dilapor oleh, Muhammad Amir Firdaus untuk ABIM-Mesir

Sebarang bantuan untuk dihulurkan boleh terus ke MAYBANK 562106228176 (atas nama ABIM SELANGOR). Ia merupakan tabung khas DARWA untuk kemudahan penyelarasan bantuan.

25 Ogos 2011, Shah Alam - Pada 19 Ogos 2011, DARWA telah menerima satu laporan mengenai wanita berusia 32 tahun yang mempunyai lima anak, dan anak yang pertamanya akan mengambil peperiksaan PMR pada tahun ini manakala yang paling kecil berumur 2 tahun. Suaminya sudah dua tahun menghilang dan merupakan seorang penagih dadah.

Kesukaran wanita ini telah menarik keprihatinan kami di ABIM Selangor dan seluruh keluarga ABIM negeri untuk membantu dan menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan dan bantuan yang sepatutnya di negeri Selangor. Alhamdulillah usaha awal telah diambil pelbagai pihak khususnya pihak ABIM Daerah Shah Alam serta DARWA sendiri.

Sekali kita dipanjatkan kesyukuran (Alhamdulillah) kerana hari ini (sekitar waktu tengahari) pasukan DARWA bersama mantan YDP ABIM Selangor (Ustaz Zawawi) serta sahabat-sahabat dari ABIM Mesir (seramai 3 orang) telah selamat menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi DARWA sendiri, Ustazah Hazlina. Antara maklumat terkini yang diperolehi hasil dari kunjungan tersebut adalah;

a) Menerima bantuan bayaran sewa tertunggak selama 2 bulan,
b) Membuat satu temujanji dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk Puan Katijah
c) Mendapatkan bantuan untuk kes Puan Katijah di Mahkamah Syariah pada 6 Oktober 2011
d) Mereka juga masih perlu untuk menyewa di situ (harga sewaan rumahnya RM500.00 sebulan)

Sebarang bantuan untuk dihulurkan boleh terus ke MAYBANK 562106228176 (atas nama ABIM SELANGOR). Ia merupakan tabung khas DARWA untuk kemudahan penyelarasan bantuan.

Maklumat lanjut insyaAllah akan menyusul dari pihak DARWA.

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Negeri Selangor memandang serius berita tentang pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama baru-baru ini.
Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11 (4). Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak JAIS terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Justeru, Pihak ABIM Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak. ABIM menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku.
ABIM Selangor merasakan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud. Mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti ini amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.
Setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukan berlandaskan undang-undang. ABIM Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang. Justeru, sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.
Pihak ABIM Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini.
ABIM Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.


KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Cawangan Negeri Selangor Darul Ehsan

Hulu Langat,Selangor, 21 Mei 2011 - 7 orang ahli tim bantuan kemanusiaan gabungan daripada Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM),Global Peace Mission (GPM),Malaysian Relief Agency (MRA),Briged Bakti Malaysia (BBM) dan Hospital Pakar Al-Islam yang diketuai oleh Sirajuddin Sirat, Setiausaha Eksekutif MRA telah tiba di lokasi yang ditimpa musibah tanah runtuh di Rumah Anak Yatim Al-Takwa, FELCRA Semungkis, Kampung Gahal, Hulu Langatpada jam 6.05 petang.

Sebenarnya ahli-ahli misi terpaksa berjalan kaki hampir 2 km dalam hujan lebat untuk tiba di lokasi rumah anak yatim tersebut kerana jalan masuk yang sesak.

Jururawat Muhamad Shahril daripada Hospital Al-Islam telah membantu kanak-kanak yang selamat, terkepit kakinya dan alhamdulillah berjaya dikeluarkan sekitar jam 10.00 malam. Tugas utama beliau adalah untuk menstabilkan pesakit dengan menyemak tekanan darahnya dari semasa ke semasa, bekalan oksigen yang mencukupi dan memastikan pesakit tidak tertidur. Kanak-kanak ini tersepit di antara mayat rakan-rakannya, kerusi dan tanah serta batu runtuhan dengan dinding bangunan.


Pada masa yang sama, ahli tim yang lain terlibat bersama NGOs mengatur makanan dibawa masuk daripada luar kawasan bagi petugas-petugas penyelamat dengan menaiki 2 buah motorsikal. Khidmat ini diketuai oleh Faizul Abdul Razak, warga tempatan yeng memberikan khidmatnya sejak berlakunya tanah runtuh tersebut. Beliau berada tidak jauh daripada lokasi ketika itu.


Laporan oleh : SHIRAJUDDIN SIRAT
Angkatan BELIA Islam Malaysia (ABIM) menyokong larangan orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya. Bagi ABIM perkara ini adalah jelas kepada semua pihak bahawa Islam mengharamkan minuman keras kepada penganutnya. Larangan ini tidak terbatas kepada pengambilannya sebagai minuman, bahkan adalah diharamkan juga bagi seseorang yang beragama Islam untuk membuatnya atau menyediakannya atau menghidangkannya atau menjualnya. Inilah peluang untuk menerangkan sekaligus member pendidikan kepada umat terutama belia Islam di negeri Selangor tentang pesoalan ini

Dalam konteks negeri Selangor, larangan tersebut turut dikuatkuasakan ke atas umat Islam melalui pewartaan enakmen no. 9 tahun 1995 yang diluluskan Dewan Undangan Negeri Selangor (Dewan Negeri Selangor) pada 8 Disember 1995, dinamakan Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Larangan minum minuman tersebut dinyatakan dalam Seksyen 18(1) manakala larangan “membuat, menjual, menawarkan untuk jualan, mempamerkan untuk jualan, menyimpan atau membeli”nya dinyatakan dengan jelas dalam Seksyen 18(2).

Sebagai suatu enakmen yang berkuatkuasa, semua pihak sewajarnya menghormati dan akur dengan setiap peruntukan yang dinyatakan didalamnya. Pentadbir, pengurusan dan badan-badan lain yang terlibat dengan penggubalan dan penguatkuasaan undang-undang di peringkat negeri perlulah merujuk kepada enakmen sebelum memutuskan sesuatu perkara yang berkaitan supaya undang-undang terus terdaulat di negeri Selangor.

Tindakan Majlis Perbandaran Subang Jaya meletakkan syarat supaya orang Islam tidak bekerja di premis menjual minuman keras baru-baru ini, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor berpendapat bahawa ianya perlu disokong dan diberikan pujian oleh semua pihak serta dicontohi oleh Pihak Berkuasa Tempatan lainnya. Tindakan tersebut boleh dikira sebagai satu bentuk pencegahan bagi mengawal kadar pengambilan minuman keras di kalangan orang Islam.

Masyarakat secara umumnya telah maklum bahawa minuman keras memberikan pelbagai kesan negatif terhadap daya fikir dan kesihatan manusia. Ia bukan sekadar cakap kosong, tetapi disokong oleh begitu banyak fakta hasil kajian ramai penyelidik dari dalam mahupun luar negara. Malahan, kesan tersebut mempengaruhi cara bertindak dan gaya hidup seseorang.

Menyorot masalah sosial di kalangan umat Islam, semua pihak wajar sedar dan mengambil teladan dari pelbagai berita yang saban hari muncul di media massa termasuk pembunuhan bayi, penderaan, pengguguran haram, budaya rempit dan seumpamanya. Rata-rata yang terjebak dengan permasalahan tersebut adalah tidak asing dengan minuman keras. Sebagai warga yang bertanggungjawab, adalah tidak tepat untuk terus sanggup melihat generasi Islam ‘mengungguli’ jenayah-jenayah tersebut yang antara lainnya merupakan kesan dari pembiasaan diri dengan minuman keras. Apapun ianya, Angkatan Belia Islam Malaysia Selangor secara tegas berpendapat bahawa membantu dan menyokong seseorang merosakkan diri atau masyarakat adalah juga suatu bentuk kesalahan. Manakala mencegahnya adalah suatu kemuliaan.

Kenyataan Y.A.B. Dato’ Menteri Besar Selangor untuk membantu orang Islam yang ingin meninggalkan industri arak adalah suatu keputusan bijak yang mesti direalisasikan segera. Sebagai pemudahcara di negeri termaju, sudah pasti Kerajaan Negeri Selangor mampu membuka sedikit ruang dan peluang untuk mereka mencari rezeki halal.

Bagi ABIM Negeri Selangor , tindakan yang dibuat oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya iaitu mensyaratkan supaya premis minuman keras tidak mengambil pekerja dari kalangan orang Islam adalah selari dengan kehendak Islam dan perundangan negeri Selangor. Melaksanakannya bukan sahaja menjiwai prinsip Rukun Negara keempat, bahkan merupakan usaha murni mengurangkan kadar jenayah yang dilakukan oleh orang Islam.

Oleh yang demikian pihak ABIM Negeri Selangor menyarankan

1. Semua pihak menghormati larangan orang Islam bekerja di premis menjual minuman keras oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya. Keputusan ini sewajarnya di sokong oleh semua pihak terutama pihak berkuasa, kerajaan , NGO malah individu kerana ia bukan hanya sejajar dengan hukum agama dan peraturan sedia ada.

2. Semua pihak terutama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) , NGO Islam Negeri Selangor , Para daie negeri Selangor memberikan pemahaman seampuhnya dan memainkan peranan utama terutama dalam lingkungan bidang kuasa masing-masing dalam membantu pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang dan peraturan di samping memastikan umat terutama belia Islam dapat ilmu dan sekaligus mengamalkannya dengan bekerja di sector yang halal lagi baik.

3. Mekanisma alternatif seperti yang disarankan oleh YAB Menteri Besar serta menyediakan peluang pekerjaan yang banyak dalam sektor yang halal dan baik perlu difikirkan segera dan mendapat dokongan dari semua pihak.

4. Pihak Berkuasa Tempatan yang lain mempertimbangkan agar dapat melaksanakan peraturan yang sama dan mencontoho tindakan MPSJ ini.
Marilah kita berdoa agar umat Islam terutamanya belia Islam akan dilindungi dan dirahmati Allah.


MOHD ZAWAWI AHMAD MUGHNI
YANG DIPERTUA
ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) NEGERI SELANGOR
SUKARELAWAN diperlukan @ KEMPEN ANTI ZINA SELANGOR
31 Disember 2010
6.30ptg
Di daerah:

-Sabak Bernam @ Msjid Pekan Sabak Bernam : 0132171276 / 0162521419
-Kuala Selangor @ Msjid Daerah Kuala Selangor ( Masjid Sultan Ibrahim) : 019-2770412/0192229768
-Klang @ Msjid Ar-Rahimiah Klang (berhampiran HTAR) : 0123966790/0132983041
-Kuala Langat @ Msjid Pekan Banting : 0196506553/0133668108
-Sepang @ Msjid Salak Pekan, Salak Tinggi Kajang : 0192741464/019313344
-Hulu Langat @ Msjid Pekan Kajang : 0196506553/0133668108
-Gombak @ Msjid Amaniah : 0122262524/0133749457
-Hulu Selangor @ Msjid Kuala Kubu Bharu : 019-3786740/0162299544
-Petaling @ Msjid Negeri Shah Alam : 0126371987/0135309090

Berminat? hubungi talian yang diberi dengan segera.
Shah Alam - 27 September 2010 -ABIM Selangor telah dijemput untuk menghadiri Majlis Dialog bersama Jawatankuasa Khas Mengenai rang Undang-undang Kebebasan Maklumat di Dewan Annex, Shah Alam.

Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh YB Shaari Syuib ( Ketua ), YB Hannah Yeoh, YB Amirudin Shaari dan YB Nik Nazmi turut dihadiri perwakilan dari tujuh NGO termasuk ABIM Selangor.

ABIM Selangor telah diwakili oleh YDP Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Sebagai NGO yang diletakkan di kerusi hadapan maka ABIM diberi laluan pertama oleh pengerusi majlis untuk memulakan sidang maklum balas awam berkenaan rang undang-undang berkenaan.

Berdasarkan draf yang diedarkan terdapat beberapa perkara yang diutarakan oleh para perwakilan untuk penambahbaikan dan pemantapan sebelum dibentangkan semula di Sidang DUN yang akan datang.


PULAU INDAH 13 Ogos 2010 – "Selama hampir lima puluh tahun saya tinggal di Pulau ini, al hamdulillah saya dapat menyaksikan untuk pertama kalinya masjid ini penuh dengan jamaah yang hadir menunaikan solat tarawih di sini” kata imam masjid Ar Raudah Kg Sg Kembong selepas selesai program Semarak Ramadan. Begitulah gambaran suasana malam Ramadan ke empat yang sangat meriah dan bererti kepada masyarakat di Kampung ini.

Program Semarak Ramadan ini anjuran Masjid Al Raudah dengan kerjasama ABIM Negeri Selangor dan Sekolah Menengah Pulau Lumut. Objektif program ini ialah untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda kepada amalan-amalan yang sunat dilakukan untuk menyemarakkan suasana Ramadan. Selain dari itu juga pihak penganjur berharap agar generasi muda akan lebih peka dan sedar betapa perlunya mereka menghadirkan diri ke masjid terutamanya pada waktu solat.




Hampir seratus orang remaja lelaki dan perempuan telah menghadiri program ini selepas selesai solat fardu jumaat. Mereka yang terpilih berusia 15 hingga 17 tahun sangat teruja dan bersemangat mengikuti program ini dan mereka sabar menunggu hingga selesai majlis pada pukul 11.00 malam.

Satu ceramah khas berkenaan ibadah Ramadan disampaikan oleh Ustazah Hazlina Abd Razak, Mantan Ketua Helwa ABIM Selangor. Kumpulan fasilitator diketuai oleh Ustaz Umar Abd Aziz terdiri dari Nurhidayah Sumairi, setiausaha Kewangan ABIM Selangor, Ustaz Harith Othman, Ketua Biro Perhubungan ABIM Selangor dan team sukarelawan ABIM Ustaz Rahmat, Ustaz Akmal dan Ustazah Nadzirah terlibat dalam menjayakan program tesebut.YDP ABIM Selangor, Us Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut hadir memberikan suntikan semangat dan seterusnya menyampaikan cenderamata kenangan dan sijil penyertaan kepada semua peserta.



Berjubah putih ialah Imam Masjid Ar Raudhah, En. demyati Sibon dan sedang menyampaikan hadiah ialah En Jainal bin Syukri, Ketua Kampung Sg Kembung, Pulau Indah.

Semua peserta begitu teruja dan berharap akan dapat mengikuti siri berikutnya. Pihak Masjid dan JKKK mengalu-alukan kehadiran ABIM untuk membantu membina dan membangunkan generasi belia Islam di Pulau nan indan ini.

Grup Editor Berita ABIM Selangor





AJK masjid bergotong royong menyusun beras yang akan disumbangkan


ABIM Negeri Selangor telah Berjaya mengagihkan 300 kampit beras kepada penerima-penerima yang terpilih dari beberapa daerah di Selangor. Program bermula di Daerah Klang pada 5 Ogos yang lalu di Masjid An Naim Jalan Kebun. Seramai 130 orang penerima dari kalangan fakir miskin dan muallaf termasuk 50 orang masyarakat muslim dari etnik Semai telah dijemput hadir untuk menerima sumbangan beras dari masyarakat Islam.

Di daerah Gombak pula seramai 100 orang penerima telah dipilih dan modus operandi diubah kepada Turun ke Masyarakat. Beberapa orang sukarelawan ditugaskan untuk menghantar beras-beras sumbangan ke rumah penerima. Tujuan pendekatan ini adalah untu memberikan pengetahuan dan pengalaman baru kepada para sukarelawan terhadap kehidupan orang susah disamping memberikan keringan kepada penerima yang uzur. Saudara Presiden ABIM Muhamad Razak Idris turut bersama dalam program tersebut.

Di Shah Alam pula program berpusat di Masjid Nurul Amin Kg Merbau Sempak, Sungai Buluh. Seramai 70 orang penerima telah dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Masjid berdasarkan senarai penerima asnaf Lembaga ZakatSelangor. Majlis dimulakan dengan pengisian ilmu oleh seorang penceramah undangan khas yang membicarakan tentang hakikat Ramadan dan puasa. Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh saudara Presiden ABIM Muhamad Razak Idris dan YDP ABIM Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Seramai 20 orang pimpinan ABIM dan sukarelawan terlibat dalam menjayakan program ini.

Program ini akan diteruskan diKuala Langat pada minggu hadapan. Menurut sumber ABIM Kuala Langat program tersebut akan dilakukan sempena kunjungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke daerah Kuala langat.

Grup Editor Berita ABIM Selangor


BERITA
Rabu November 4, 2009

PETALING JAYA: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyeru semua pihak agar bertenang dan membenarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjalankan tugas dalam isu penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Timbalan Presiden ABIM, Amidi Abdul Manan berkata pihaknya meyakini bahawa Mohd Asri akan diadili dengan sebaik mungkin mengikut undang-undang Syariah Selangor.

"Kita seharusnya membenarkan pihak pentadbir agama seperti JAIS melaksanakan tugas dengan bebas dan amanah.

"Jika sudah termaktub dalam enakmen peraturan yang sedemikian maka semua pihak hendaklah menghormatinya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahad lalu, Mohd Asri ditahan oleh JAIS di Taman Sri Ukay, Hulu Klang kerana didakwa menyampaikan ceramah agama tanpa tauliah.

Bagaimanapun, Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor Isnin lalu tidak mendakwanya, sebaliknya Mohd. Asri hanya dikenakan bon jaminan JAIS sebanyak RM3,000.

Menurut Amidi lagi, pertembungan beberapa aliran pemikiran umat Islam di Malaysia perlu ditangani dengan sebaik mungkin.

"ABIM mencadangkan satu majlis atau jawatankuasa meneliti perkembangan ini bagi menjaga keharmonian dan perpaduan umat.

"Kita tidak mahu perbalahan ini menjadi semakin besar dan akhirnya merebak sehingga ia menjadi tidak terkawal.

"Kita tidak mahu nanti umat Islam di Malaysia saling bercakaran kerana mempertahankan pandangan ulama ikutan mereka menerusi pendekatan yang sempit dan merugikan," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu surat tauliah bagi membenarkan seseorang pendakwah itu menyampaikan dakwah di Selangor, beliau berkata pandangan orang ramai perlu diambil kira mengenai kelulusan akademik.

"Kita tidak mahu soal ketegasan melaksanakan peruntukan enakmen akan membuat dakwah Islam tersekat dan membeku, isu pentauliahan ini memerlukan satu perhatian yang sewajarnya.

"Di sebelah pihak lagi, tidak rugi rasanya jika menundukkan rasa hormat dengan memohon tauliah bagi memenuhi peraturan yang telah ditetapkan.

"Ia bukan satu perkara yang memalukan, sebaliknya ia akan menaikkan martabat agama Islam di mata umat Islam... itulah yang seharusnya berlaku," katanya.
Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR