ISU KEZALIMAN DI MESIR
KENYATAAN MEDIA ABIM
14 Ogos 2013 - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam kejadian tragedi berdarah medan Rabaah Al-Adawiya yang mengorbankan lebih dari 300 nyawa sebentar tadi. Sesungguhnya tragedi ini merupakan kemuncak kepada episod malang yang melanda rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa 4 Julai 2013 yang lalu.
ABIM menilai rentetan peristiwa yang dihadapi rakyat Mesir semenjak rampasan kuasa tersebut sebagai bukti kegagalan pihak tentera di bawah kepimpinan Jeneral Al-Sisi untuk mencetuskan kestabilan sepertimana yang dilaung-laungkan sebelum ini.
Ternyata rampasan kuasa tersebut hanyalah langkah lapuk dan terbelakang yang tidak menjamin kestabilan politik jangka panjang. Tragedi medan Rabaah Al-Adawiya ini dikhuatiri akan merebak menjadi konflik berdarah yang akan menjejaskan kestabilan serta keamanan di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara.
Sekiranya ia berterusan ia adalah satu titik hitam dalam perkembangan politik umat Islam kontemporari yang berasaskan kepada kesedaran Karamah Insaniah (Human Dignity). Tragedi ini merupakan penafian terhadap nurani Ummah yang mendambakan pembelaan menerusi lunas-lunas kemanusiaan yang ditetapkan. Seharusnya sebarang perbedaan pandangan serta kritikan ditangani menerusi hikmah yang dibuka menerusi saluran demokrasi
Justeru, ABIM menggesa ketegasan kerajaan Malaysia untuk menyatakan pendirian tegas berhubung dengan tragedi sebagai bukti ketegasan dan keperihatinan umat Islam ke atas perkembangan semasa yang berlaku di Mesir. Seharusnya Malaysia meneladani ketegasan kerajaan Turki yang tampil selaku jurubicara Ummah di pentas antarabangsa.
AMIDI ABD MANAN, Presiden ABIM
0 comments:
Post a Comment