Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Showing posts with label Penulisan. Show all posts
Oleh Ustaz Hasri bin Harun



Usaha dakwah masyarakat



Dalam kehebatan ABIM Selangor meneruskan usaha dakwah dalam masyarakat, setelah beberapa dekad dalam masyarakat, satu usaha yang wajar dibangkit dan dimuhasabah terutama dalam mengemudi usaha mendidik umat melalui pendidikan awal anak-anak. Sesungguhnya ABIM terkenal di dalam mengenengahkan idea pendidikan serta melaksana usaha pendidikan formal pra persekolahan yang berjenama TASKI. Walaupun cabaran mengurus institusi pendidikan ini tidak mudah namun ABIM masih menerima sokongan daripada masyarakat dalam soal pendidikan. Kini pendidikan kita telah semakin meluas. Institusi pendidikan ABIM di Selangor sahaja telah melahirkan ribuan anak-anak pra sekolah dan kini telah pun berada di dalam masyarakat sebagai penggerak dakwah. Institusi pendidikan ABIM dalam konteks pra sekolah sememangnya menjadi kekuatan ABIM untuk terus maju dekad mendatang. Walau dihimpit dengan isu kewangan namun sekolah ABIM masih terus bertahan dengan sokongan umat. Usaha dan kegigihan semua pihak di daerah dan warga ABIM keseluruhannya maka 2012 kita menanam hasrat untuk menubuhkan Sekolah Tahfiz Sains ABIM Selangor yang bertempat di Sijangkang, Selangor, di atas tanah seluas 5 ekar hasil sokongan masyarakat. Usaha memartabatkan pendidikan ini tidak pernah luntur dalam sanubari warga ABIM dimana pendidikan menjadi teras kekuatan Islam.

Perubahan zaman




Era 2000 menggamit dengan begitu besar sekali. Kepimpinan ABIM disemua peringkat harus berubah selari dengan perkembangan dakwah dan perubahan zaman yang menuntut kepada perubahan gerak kerja dan kepimpinan. Perubahan zaman yang menuntut kepada era global menuntut gerak kerja dakwah dilaksana dengan pantas dan cepat, menuntut ABIM juga sedikit pertimbangan bahawa dakwah era global ini memerlukan misi dan visi yang amat strategi. Diperingkat dalaman, ABIM menyedari bahawa keperluan menganjak minda bawa perubahan generasi awal iaitu generasi pengasas telah menuntut kita membuat perubahan dengan memfokuskan kepada kepimpinan baru selaras dengan perkembagan dasar-dasar belia Negara. ABIM juga terkesan dengan senario ini, maka pada tahun 2004, ABIM mengambil langkah berani menampilkan pimpinan muda bawah 40 tahun memimpin gerakan ini. Walaupun berhadapan dengan pelbagai komen dan kritikan namun ABIM tetap meneruskan usaha dengan dibantu oleh para senior yang berpengalaman. Selaras dengan dasar kerajaan di bawah Kementerian Belia dan Sukan, kepimpinan belia dalam negara mestilah berumur dibawah 40 tahun. ABIM adalah satu-satunya NGO yang lebih awal bergerak ke arah itu sebelum dasar tersebut di mulakan.




bersambung...

Riwayat hidup Salahuddin Al-ayubi bermula pada tahun 532 selepas hijrah. Kalau dikira mengikut tahun Masihi, ada yang mengatakan pada 1138. Beiau dilahirkan di kota yang cukup dikenali dunia, Tikrit. Secara geografinya kota ini terletak di antara Mosul dan Baghdad, yang pada hari ini adalah sebahagian dari negara Iraq.

Siapa sangka tokoh yang sehebat ini rupa-rupanya adalah bangsawan berbangsa Kurdi yang hidupnya tak terkesan dengan pengaruh kemewahan istana Damsyik. Ayahnya Najmuddin Ayub bin Shadi merupakan Gabenor Balbek dan merupakan anak saudara kepada Sultan Nuruddin Zenggi, pemerintah di zaman Dinasti Abbasiyyah. Ayah saudaranya pula adalah Panglima yang terkenal dengan kecekapnnya memimpin angkatan tentera di Syria dan M esir, Asaduddin Shirkuh. Keistimewaan yang dimiliki beliau tidak pula mengekangnya dari menjadi pemimpin yang terkenal dengan sifat warak.
Oleh : Ustaz Hasri bin Harun



Penggerak Awal

ABIM Negeri Selangor yang dahulunya dibarisi oleh beberapa pimpinan muda mempunyai tekad meneruskan usaha dakwah dikalangan masyarakat. Ini termasuklah nama-nama seperti Mohd Mokhtar Shafie, Arshad Taib, Mokhtar Ramli, Mohd Kassim, Ghazali Basri, dan beberapa orang lagi yang tidak mampu disebut kesemuanya, kebanyakan dikalangan pendidik dan pensyarah universiti meneruskan legasi pendakwah melalui program-program usrah dan tamrin al-kader keseluruh pelusuk negeri. Kegiatan dakwah berjalan dengan baik ditengah-tengah masyarakat pada ketika itu. Antara sekretariat awal ABIM Selangor adalah di Jalan Genting Klang, Setapak Kuala Lumpur. Jihad dan dakwah mereka yang berjuang di dalam perjuangan wadah ABIM ini terus tidak dipedulikan apakah wujud halangan yang bakal di terima di masa hadapan namun mereka terus dengan semangat maka tertubuhnya ABIM diperingkat daerah-daerah yang bermula di Shah Alam, Tanjong Karang dan Sabak Bernam dan beberapa daerah lagi. Tamrin Al-Kader, jenama latihan yang menjadi satu program penting menjadi sumber membina kekuatan dikalangan ahli terus ditunggu-tunggu bagi menyemat semangat perjuangan mereka dengan lebih baik lagi. Kini para penggiat dakwah yang bersama dalam program-program ABIM telah berada dimerata-rata tempat samada dalam sektor kerajaan dan swasta dan ada sebahagiannya telah pun menjadi tokoh-tokoh terkenal peringkat negeri mahupun nasional. Yang menariknya ABIM Selangor di awal pergerakkannya cukup sinonim dengan aktiviti usrah di pejabat dan di kilang-kilang sehinggakan pernah tertubuh kumpulan usrah dikalangan pekerja kilang. Barangkali media dakwah yang sudah meluas seperti hari ini tidak wujud pada tempoh lalu memungkinkan masyarakat mencari sumber maklumat Islam yang jarang sekali dapat melalui media perdana seperti hari ini seperti rancangan kuliah di tv al-hijrah, tv 9 dan rancangan agama di ASTRO yang semakin meluas. Justeru tidak hairan usrah dikhabarkan dilakukan di kantin, di pejabat, di bawah pokok dan sebagainya. Disinilah menunjukkan masyarakat kehausan ilmu dan hikmah Islam yang dianuti dan ini menjadi tarikan usaha dakwah ABIM mendapat tempat dihati masyarakat.



Tahun 80 an telah bermula era negara kempen penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran negara. Kepimpinan negara mula menyedari bahawa betapa pentingnya usaha-usaha yang dilaungkan ini menjadi kenyataan. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam telah mula menjadi topik perbincangan yang akhirnya menjadi satu dasar dan resolusi penting sejarah negara, dimana tertubuhnya Bank Islam, Universiti Islam yang merupakan manifestasi kehendak dari hati nurani umat yang diperjuangkan sejak awal tahun 70 an. Gerakan ABIM diawal tahun tersebut semakin meluas dimana para penggerak ABIM telah berada di dalam dan di luar pentadbiran kerajaan. Walaupun sedikit terjejas imej ABIM sebagai NGO Islam bila mana pemimpin utama iaitu Anwar Ibrahim terjun dalam politik bersama UMNO namun ABIM masih terus bergerak sebagai sebuah NGO Islam yang bermatlamat menggerakkan dakwah dalam umat.



Senario perkembangan ABIM peringkat negeri khususnya di Selangor menerima sedikit sebanyak pasang surut dalam perjuangannya, impak daripada senario politik tanahair terutama diperingkat negeri. Satu ketika ABIM begitu dominan dalam usaha-usaha belia bilamana usaha dan gerakan kita mendepani gagasan negeri. Namun kita tidak pernah gentar dalam menghadapi cabaran ini walau ditempuh badai dan duri dalam perjuangan. ABIM akui melalui pendirian dan semangat atas prinsip non partisan kita, tidak mudah digugat oleh sesiapa walaupun terpaksa menyatakan kebenaran bukan berpaksi kepada pemerintah. Bagi ABIM yang penting kebenaran harus ditegak bukan siapa yang harus dimenangkan. Sebab itu perjuangan ABIM kadangkala dipandang serong oleh sebilangan masyarakat yang berkepentingan dalam menilai pendirian kita yang sedikit tidak memihak atas kepentingan masing-masing berbanding kepentingan umat keseluruhan dan memartabatkan matlamat dakwatul Islam. Dalam berbagai pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak ABIM Selangor biasa dijemput bersama dalam mesyuarat-mesyuarat dakwah yang diterajui oleh Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan jawatankuasa yang berbentuk Dakwah di negeri ini. Pandangan ABIM Selangor sentiasa ditunggu dan diterima dalam ertikata menyeimbangkan pandangan yang umum dalam masyarakat. Bagi ABIM yang penting suara ABIM sentiasa dinanti walau kadangkala dicemburui dan diragui.



Bersambung...
Oleh : Ustaz Hasri bin Harun
Mantan YDP ABIM Selangor ke-11
kini Ketua Biro Dakwah ABIM Pusat



Tanggal 1972 menggamit sejarah penubuhan sebuah gerakan dakwah belia yang bernaung atas nama Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor hasil kegigihan para ilmuan muda, aktivisi gerakan pelajar yang didokong bersama kalangan guru, pensyarah dan profesional yang mempunyai semangat jitu untuk mengembangkan dakwah Islamiah diseluruh pelusuk dunia. Berbekal dengan semangat dan azam yang tinggi golongan muda ini yang berbekalkan tekad, ruhul jihad yang ditanam dalam sanubari mereka telah menggerakkan usaha mengembangkan dakwah melalui projek usrah, melebarkan tamrin dikalangan ahli bagi mengukuh kefahaman Islam secara meluas. Namun ABIM yang menjadi ikutan dikalangan para penggiat dakwah sedikit terancam bila mana tokoh-tokoh awal ABIM termasuk pemimpin tertingginya Anwar Ibrahim menjadi sasaran pihak pemerintah menyumbat beliau ke dalam penjara ISA setelah dituduh menimbulkan suasana ketidaktenteraman dalam negara akibat demonstrasi demi demonstrasi.

Tragedi Baling pada tahun 1974 tersebut menjadi sejarah dalam negara sedikit sebanyak menjadi satu episod silam yang bakal mengubah persepsi bahawa Islam begitu mengambil berat soal kebajikan dan kemaslahan ummah dikala rakyat ditindas dan kesedaran dikalangan pendakwah semakin meluas. Tema 'Islam is the way of life' menyuntik semangat keprihatinan dikalangan anak-anak muda membebaskan umat daripada kemiskinan dan kedaifan kearah kemajuan dan kebaikan. (Minazzulumati ilan Nur). Islam sebagai 'Ad Deen' yang menjadi tunggak kekuatan semangat mereka terus menjadi obor mengembalikan anak-anak muda ini sebagai pembela kepada masyarakat daif dan miskin dikampung dan dibandar. Ini sejajar ungkapan Agung Allah swt yang dinyatakan dalam surah As soff ayat 4:

"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama-Nya,dalam barisan yang beratur rapi,seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh" (As-Saff: 4)


bersambung...

Dr. Zulkifli Hasan
Exco TTK (Syariah dan Kewangan Islam) ABIM Pusat


Pendahuluan
Antara topik yang terhangat di pasaran ketika ini ialah isu pemeriksaan yang dibuat oleh JAIS di sebuah premis yang dikatakan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama. Kes ini kemudiannya telah mendapat liputan meluas dari pelbagai pihak termasuk ahli politik dan agamawan. Tatkala membincangkan dan memberikan pandangan sama ada dari sudut undang-undang, hukum agama, politik dan lain-lain timbul satu persoalan mengenai punca tarikan dakyah agama lain pada orang Islam di Malaysia.


Setelah meneliti hampir kesemua pendapat dan kenyataan yang dibuat di dalam media massa, penulis merasakan isu ini perlu dibincangkan secara lebih telus dan rasional. Dengan itu, penulis mengambil peluang ini untuk membuat analisis ringkas berkenaan dengan isu ini secara diplomasi berdasarkan realiti dan fakta. Berkebetulan dengan informasi diperolehi dan pengalaman secara langsung menemubual individu keluar agama Islam ketika membuat penyelidikan faktor murtad di Malaysia pada tahun 2006 dan 2007, sedikit sebanyak ianya mampu menjadi kerangka yang baik untuk analis dan ulasan dalam artikel ini.


Isu Pemeriksaan
Secara umumnya, pihak berkuasa agama mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah berpandukan kepada peruntukan enakmen negeri-negeri. Jika dirujuk terdapat dua peruntukan jelas yang membenarkan JAIS dan polis untuk membuat siasatan terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran agama kepada orang Islam dan menghina agama Islam. Dalam kes ini, pihak berkuasa sememangnya berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawabnya menguatkuasakan sekurang-kurangnya peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.


Sebelum mengulas isu manipulasi dan ketidaktepatan laporan media massa yang terus menerus mensensasikan kes ini, adalah lebih baik sekiranya ruang lingkup undang-undang diperjelaskan dahulu. Perlu diingatkan di sini bahawa kesalahan jenayah Syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-ngeri hanya boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam dan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Manakala kesalahan yang termaktub di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) boleh dibicarakan di Mahkamah sivil. Dalam erti kata lain pihak berkuasa mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini terhadap orang Islam dan bukan Islam. Bahkan ada peruntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) ini yang membenarkan pihak polis menyerbu mana-mana kawasan persendirian yang disyaki terlibat dalam jenayah yang diperuntukkan.


Berdasarkan kepada fakta perundangan di atas, jelas lagi bersuluh menunjukkan tindakan yang dibuat oleh JAIS dan pihak polis mempunyai sandaran peruntukan undang-undang. Oleh itu, kenyataan yang mengatakan pihak JAIS dan polis tidak mempunyai autoriti untuk membuat pemeriksaan di premis agama termasuk gereja adalah tidak tepat. Di samping itu, kenyataan-kenyataan gelojoh dan melulu sesetengah pihak dalam kes ini seperti penggunaan perkataan ’serbuan’ juga adalah tindakan yang tidak bijak dan cuai. Jika diteliti kepada fakta kes, jelas pihak berkuasa terlebih dahulu berunding dengan penganjur sebelum melaksanakan pemeriksaan walaupun mereka mempunyai autoriti untuk melakukan serbuan secara mengejut. Perkataan ’penyiasatan’ atau ’pemeriksaan’ adalah terma yang sepatutnya dirujuk dan dilaporkan.


Isu Kelemahan Institusi Zakat
Sejurus selepas insiden pemeriksaan ini di buat, media massa kemudiannya melaporkan beberapa kes melibatkan faktor kesempitan hidup menjadi salah satu sebab utama ada orang Islam tertarik dengan dakyah agama lain. Sehubungan dengan itu, ada pihak yang cuba mengaitkan isu ini dengan kelemahan institusi zakat untuk memberikan bantuan termasuk golongan yang terlibat dan tertarik dengan dakwah Kristian yang dikaitkan dalam kes ini. Bahkan ada juga yang mempertikaikan ketelusan dan keberkesanan institusi zakat serta mempersoalkan ke mana wang kutipan ini dibelanjakan.


Dalam membincangkan isu ini, penulis ingin menimbulkan dua persoalan penting. Pertama, adakah dengan isu kelemahan institusi zakat menyebabkan pihak berkuasa agama tidak berautoriti untuk membuat penguatkuasaan dalam erti kata lain adakah isu ini berkaitan? Kedua, adakah benar institusi zakat telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk membuat agihan secara adil dan saksama?.


Sebelum membuat apa-apa tuduhan, komen atau kenyataan yang melibatkan kredibiliti dan imej institusi mahupun individu, kajian atau fakta yang tepat perlu diperolehi terlebih dahulu.
1. Adakah Isu kelemahan institusi zakat dan Pemeriksaan JAIS dua perkara yang berbeza atau berkaitan?
Bagi menjawab persoalan pertama, dari sudut perundangan dan bidang kuasa, kita perlu jujur dan melihat isu ini sebagai dua perkara yang berbeza. Pihak JAIS perlu melaksanakan tugasnya walaupun terdapat kelemahan pada institusi yang lain. Penguatkuasa agama mempunyai peranan dan bidang kuasa yang berlainan dengan pusat zakat. Kelemahan pusat zakat bukan menjadi sebab untuk penguatkuasa agama melepaskan tanggungjawabnya untuk membuat penguatkuasaan.


Oleh kerana isu pemeriksaan JAIS di premis agama dan kecacatan institusi zakat adalah dua perkara yang berbeza dan tiada kaitan secara langsung, justifikasi untuk menghentam penguatkuasa agama yang menjalankan tugasnya atas kelemahan pihak lain merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Sehubungan dengan itu, dalam isu ini, soal bidang kuasa, soal perlu baiki kelemahan pusat zakat atau soal tidak mematuhi undang-undang tidak timbul sama sekali. Ianya dua isu yang berbeza dan perlu dibincangkan secara adil berdasarkan peruntukan perundangan.


2. Adakah benar institusi zakat telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk membuat agihan secara adil dan saksama?
Salah satu dari adab seorang yang berilmu ialah segala kenyataan atau pandangan apatah lagi yang melibatkan pihak lain perlu bersandarkan kepada fakta atau sumber yang boleh dipercayai. Tuduhan atau sindiran kakitangan institusi zakat menukar kereta dan bangunan baru yang tersergam di bina bukanlah satu pendekatan yang baik walaupun tujuannya adalah murni. Malahan menjadi satu kesalahan besar sekiranya kenyataan yang dibuat itu tidak tepat dan memberikan implikasi negatif kepada pihak tersebut.


Meninjau kepada faktor mengapa dan kenapa institusi zakat tidak dapat membuat agihan secara total atau sekurang-kurangnya mengenalpasti asnaf yang betul-betul memerlukan, terdapat beberapa faktor yang boleh didiskusikan. Di antara faktor utama keadaan ini berlaku adalah kerana adanya zakat yang diterima pada akhir tahun iaitu bulan Disember. Ini memandangkan pembayar zakat ingin mendapatkan rebat cukai. Dengan itu, institusi zakat tidak dapat mengagihkan wang kutipan dalam tahun semasa.


Justifikasi oleh institusi zakat dalam hal di atas adalah relevan dan boleh diterima. Namun begitu, mahu tidak mahu, pusat zakat perlu mengakui kelemahan dari aspek keberkesanan agihan yang diakui ramai di antaranya melibatkan masalah birokrasi, amaun zakat yang diberikan kepada asnaf-asnaf yang kecil dan keupayaan mengenalpasti asnaf. Didapati kerap kali isu birokrasi yang menyusahkan malah melambatkan proses agihan sedangkan jumlah yang dipohon atau diperuntukkan adalah kecil. Sering kali juga institusi zakat gagal untuk mengenalpasti asnaf yang sepatutnya memerlukan akibat dari kelemahan tadbir urus dan inisiatif sewajarnya. Aduan-aduan ini mempunyai kebenarannya dan institusi zakat perlu mengambil perhatian serius dan segera menangani isu ini.


Penutup
Artikel ini membincangkan secara khusus dua isu yang menjadi perdebatan hangat mutakhir ini dalam konteks masyarakat Malaysia. Isu utama pemeriksaan JAIS di premis agama bagi menyiasat kes berkaitan kawalan pengembangan agama di kalangan orang Islam telah menimbulkan isu lain iaitu persoalan mengenai kelemahan institusi zakat. Bagi membahaskan isu ini, penulis mengambil pendekatan bahawa dua isu ini adalah berbeza tetapi mempunyai kaitan secara tidak langsung. Penulis ingin menekankan bahawa dari satu sudut, tindakan JAIS adalah menepati undang-undang dan sememangnya berhak untuk melaksanakan tugasnya sebagai pihak penguatkuasa agama. Isu mempersoalkan perlaksanaan tugas penguatkuasa agama atas faktor mengaitkannya dengan kelemahan institusi zakat adalah tidak relevan sama sekali.


Dari sudut yang lain, isu ini mengandungi hikmahnya. Kes pemeriksaan JAIS ini telah membangkitkan persoalan yang lain iaitu faktor kenapa masih ada orang Islam yang boleh tertarik dengan dakwah agama lain atas faktor kewangan dan material sedangkan kita mempunyai institusi zakat. Persoalan tentang aliran masuk dan keluar wang zakat juga telah mencetus sikap ambil peduli masyarakat pada isu yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan kebajikan penganutnya. Kes ini juga merupakan satu peringatan mengenai isu keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat kerana masih ramai pihak yang meragui dan tidak berpuashati. Umpamanya kajian yang dibuat oleh Wahid, et al (2008) mendapati lebih 50% pembayar zakat tidak berpuashati dengan kaedah pengagihan termasuk kelemahan maklumat pengagihan asnaf yang tidak jelas. Bardasarkan fakta ini, institusi zakat dan berkaitan dengan itu perlu dengan segera mentransformasikan tadbir urus dan cara bekerja serta strategi untuk menangani isu-isu berbangkit berkenaan zakat.


Rujukan
Makhtar, A.S. dan Wahab, A. A. (2010). Pengurusan Zakat Di Negeri Selangor: Isu Dan Cabaran. Konvensyen Kebangsaan Perancangan dan Pengurusan Harta Dalam Islam 2010.
Salleh, M. S. (2002). Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis. Muzakarah Pakar Zakat, 21-22 Disember 2002.
Wahid, H., Ahmad, S. Dan Kader, R.A. (2008). Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat Di Malaysia: Mengapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati. Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia.
Yusof, M.I.M. (2010). Pengurusan Zakat Di Negeri Selangor: Mengorak Langkah Meneraju Perubahan. International Islamic Development Management Conference (IDMAC 2010): Zakat Transformation: From Subsistence to Productive, Disember 22, 2010.
Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR