BINGKISAN MENJELANG 40 TAHUN ABIM SELANGOR: DULU DAN KINI
Oleh : Ustaz Hasri bin Harun
Penggerak Awal
ABIM Negeri Selangor yang dahulunya dibarisi oleh beberapa pimpinan muda mempunyai tekad meneruskan usaha dakwah dikalangan masyarakat. Ini termasuklah nama-nama seperti Mohd Mokhtar Shafie, Arshad Taib, Mokhtar Ramli, Mohd Kassim, Ghazali Basri, dan beberapa orang lagi yang tidak mampu disebut kesemuanya, kebanyakan dikalangan pendidik dan pensyarah universiti meneruskan legasi pendakwah melalui program-program usrah dan tamrin al-kader keseluruh pelusuk negeri. Kegiatan dakwah berjalan dengan baik ditengah-tengah masyarakat pada ketika itu. Antara sekretariat awal ABIM Selangor adalah di Jalan Genting Klang, Setapak Kuala Lumpur. Jihad dan dakwah mereka yang berjuang di dalam perjuangan wadah ABIM ini terus tidak dipedulikan apakah wujud halangan yang bakal di terima di masa hadapan namun mereka terus dengan semangat maka tertubuhnya ABIM diperingkat daerah-daerah yang bermula di Shah Alam, Tanjong Karang dan Sabak Bernam dan beberapa daerah lagi. Tamrin Al-Kader, jenama latihan yang menjadi satu program penting menjadi sumber membina kekuatan dikalangan ahli terus ditunggu-tunggu bagi menyemat semangat perjuangan mereka dengan lebih baik lagi. Kini para penggiat dakwah yang bersama dalam program-program ABIM telah berada dimerata-rata tempat samada dalam sektor kerajaan dan swasta dan ada sebahagiannya telah pun menjadi tokoh-tokoh terkenal peringkat negeri mahupun nasional. Yang menariknya ABIM Selangor di awal pergerakkannya cukup sinonim dengan aktiviti usrah di pejabat dan di kilang-kilang sehinggakan pernah tertubuh kumpulan usrah dikalangan pekerja kilang. Barangkali media dakwah yang sudah meluas seperti hari ini tidak wujud pada tempoh lalu memungkinkan masyarakat mencari sumber maklumat Islam yang jarang sekali dapat melalui media perdana seperti hari ini seperti rancangan kuliah di tv al-hijrah, tv 9 dan rancangan agama di ASTRO yang semakin meluas. Justeru tidak hairan usrah dikhabarkan dilakukan di kantin, di pejabat, di bawah pokok dan sebagainya. Disinilah menunjukkan masyarakat kehausan ilmu dan hikmah Islam yang dianuti dan ini menjadi tarikan usaha dakwah ABIM mendapat tempat dihati masyarakat.
Tahun 80 an telah bermula era negara kempen penerapan nilai-nilai Islam dalam sistem pentadbiran negara. Kepimpinan negara mula menyedari bahawa betapa pentingnya usaha-usaha yang dilaungkan ini menjadi kenyataan. Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam telah mula menjadi topik perbincangan yang akhirnya menjadi satu dasar dan resolusi penting sejarah negara, dimana tertubuhnya Bank Islam, Universiti Islam yang merupakan manifestasi kehendak dari hati nurani umat yang diperjuangkan sejak awal tahun 70 an. Gerakan ABIM diawal tahun tersebut semakin meluas dimana para penggerak ABIM telah berada di dalam dan di luar pentadbiran kerajaan. Walaupun sedikit terjejas imej ABIM sebagai NGO Islam bila mana pemimpin utama iaitu Anwar Ibrahim terjun dalam politik bersama UMNO namun ABIM masih terus bergerak sebagai sebuah NGO Islam yang bermatlamat menggerakkan dakwah dalam umat.
Senario perkembangan ABIM peringkat negeri khususnya di Selangor menerima sedikit sebanyak pasang surut dalam perjuangannya, impak daripada senario politik tanahair terutama diperingkat negeri. Satu ketika ABIM begitu dominan dalam usaha-usaha belia bilamana usaha dan gerakan kita mendepani gagasan negeri. Namun kita tidak pernah gentar dalam menghadapi cabaran ini walau ditempuh badai dan duri dalam perjuangan. ABIM akui melalui pendirian dan semangat atas prinsip non partisan kita, tidak mudah digugat oleh sesiapa walaupun terpaksa menyatakan kebenaran bukan berpaksi kepada pemerintah. Bagi ABIM yang penting kebenaran harus ditegak bukan siapa yang harus dimenangkan. Sebab itu perjuangan ABIM kadangkala dipandang serong oleh sebilangan masyarakat yang berkepentingan dalam menilai pendirian kita yang sedikit tidak memihak atas kepentingan masing-masing berbanding kepentingan umat keseluruhan dan memartabatkan matlamat dakwatul Islam. Dalam berbagai pandangan yang diterima daripada pelbagai pihak ABIM Selangor biasa dijemput bersama dalam mesyuarat-mesyuarat dakwah yang diterajui oleh Jabatan Agama Islam Selangor, Majlis Agama Islam Selangor dan jawatankuasa yang berbentuk Dakwah di negeri ini. Pandangan ABIM Selangor sentiasa ditunggu dan diterima dalam ertikata menyeimbangkan pandangan yang umum dalam masyarakat. Bagi ABIM yang penting suara ABIM sentiasa dinanti walau kadangkala dicemburui dan diragui.
Bersambung...
0 comments:
Post a Comment