AIR TELAGA PENYAMBUNG NYAWA


AIR TELAGA PENYAMBUNG NYAWA
Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Mereka begitu dahaga sehingga terpaksa berbuka dengan meminum air telaga masjid. Rakyat Somalia amat mengharapkan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2011 - Seramai 400 mangsa kebuluran di Somalia yang berada di Kem New Shabelle menerima pek makanan berbuka puasa daripada Malaysian Relief Agency (MRA), baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan berkata, pek makanan yang berisi nasi dan beberapa jenis lauk itu adalah makanan terbaik yang dinikmati oleh mangsa sepanjang Ramadan kerana sebelum ini kebanyakan mereka hanya dapat berbuka puasa dengan meminum air telaga sahaja.

"Kebanyakan mangsa berasa malu dengan keadaan daif yang membelenggu mereka. Namun, keadaan yang mendesak menyebabkan mereka terpaksa berebut untuk mendapatkan makanan yang dibekalkan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Shahrulazilan, beliau turut menerima kawalan keselamatan yang ketat daripada kerajaan tempatan memandangkan keadaan politik di negara itu yang masih belum stabil.

"Program berbuka puasa bersama mangsa kebuluran ini turut disertai oleh askar bersenjata dan Gabenor Wilayah Bosasso sendiri," katanya.

Bagi meneruskan misi bantuan itu, beliau juga akan meneruskan perjalanan ke Garowe melalui lebuh raya yang akan mengambil masa perjalanan enam jam.

Selain dihidangkan pemandangan tanah yang kering-kontang di sepanjang perjalanan, beliau turut berpeluang melihat sendiri sekumpulan mangsa kebuluran berjalan kaki semata-mata untuk mencari bantuan.

"Saya juga sempat singgah di bandar Qardho dan bertemu sendiri dengan gabenor daerah ini dan menurut beliau, terdapat 12 kem perlindungan yang memerlukan bantuan perubatan secepat mungkin," katanya.

Anda boleh memberikan sumbangan anda melalui (klik di bawah);


Comments

KSSB 1438H

Popular Posts