Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Perutusan Aidilfitri 1432H


Perutusan Aidilfitri 1432H

Assalamualaikum w.r.t w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Kepada semua pendokong dakwah dan pencinta tarbiah serta sekalian umat Islam, bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432H. Semoga kita tergolong dalam golongan minal ‘aidin wal faizin dalam erti kata yang sebenar serta didoakan semoga setiap dari kita akan mendapat taqwa hasil daripada menghidupkan Ramadhan tahun ini. Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah dalam menangani isu-isu umat Islam dan menanganinya dengan cara yang terbaik dan hikmah. Dalam keghairahan menyelesaikan masalah atau isu yang timbul, meletakkan ilmu dan bersandarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah amat penting di samping ketajaman analisis dalam menyelesaikan kemelut yang melanda.

ABIM Negeri Selangor mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih jazakumullah khairul jaza’ kepada semua penyumbang yang menjayakan program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) peringkat Negeri Selangor lebih 500 kampit beras dapat diagihkan kepada sasaran di segenap sudut Negeri Selangor dan Program Sandang Raya untuk dinikmati bersama keberkatan Ramadhan ini. Terima kasih khusus untuk semua penyumbang, ABIM Pusat, ABIM Daerah di Selangor terutama ABIM Bangi, ABIM Shah Alam, ABIM Klang, ABIM Kuala Langat, ABIM Hulu Selangor, ABIM Gombak, semua ABIM Daerah, Darul Wardah dan agensi-agensi di bawah ABIM Selangor yang terlibat mengumpul dana dan tenaga. Tidak lupa kepada semua sukarelawan ABIM yang bertungkus lumus memberi khidmat dan bantuan. Itulah yang menjadi impian untuk menggerakkan setiap individu, rasa keprihatinan terhadap umat serta merealisasikan ABIM Sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti. Semoga kita dapat meneruskan program-program seperti ini bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi juga bulan yang lain. Ambillah peluang Aidilfitri yang ada ini dengan memenuhkan setiap ruang masa dan peluang mengamalkan sunnah dan beribadah kepada Allah. Memenuhi ruang masa dengan takbir dan amalan-amalan sunat yang dianjurkan.

Kejayaan kita sebagai Muslimin dan Mukminin disambut kemerdekaan pada 1 Syawal. Merdeka dari bentuk fikir, jasmani, emosi dan rohani setelah melalui proses pembersihan sepanjang bulan Ramadhan. Tidak lupa juga diucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke 54 bagi tahun 2011. Semoga kemerdekaan pada tahun ini lebih bermakna dan memberikan harapan lebih besar dalam usaha kita semua memacu usaha dakwah di Negeri Selangor khasnya dan seluruh negara umumnya.

Kesempatan yang ada ini, mewakili Saf Qiyadah pimpinan ABIM Negeri Selangor memohon kemaafan andai tersilap kata dan perbuatan dalam melaksana tanggungjawab dan amanah yang di galas. Tunjuk ajar dan peneguhan amat diperlukan dalam tanzim mengurus gerakan ini. Semoga dengan bekalan yang terbaik Ramadhan kali ini, kita diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilham.

MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN


KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan

[Mengenai ABIM]
[Laman Utama]

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR