Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




AIDILFITRI BUKA LEMBARAN KEHIDUPAN BARU YANG POSITIF


AIDILFITRI BUKA LEMBARAN KEHIDUPAN BARU YANG POSITIF

Bulan Ramadhan bakal meninggalkan kita tidak berapa lama lagi. Sebagai hamba yang mendambakan keakraban dengan khaliqnya ia bermakna tinggal sudah satu lagi kesempatan merapatkan diri dengan-Nya. Belum pasti kita akan mendapat kesempatan sebegini lagi pada tahun yang akan datang.

Berlalunya bulan Ramadhan juga bererti berlalunya rutin berpuasa selama sebulan. Berpuasa adalah amalan yang menyihatkan dari sudut fizikalnya. Sebagaimana yang disabdakan Rasul “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Menerusi berpuasa kita meningkatkan disiplin penjagaan kesihatan menerusi waktu makan yang terhad.

Perginya bulan Ramadhan bukanlah membawa bersamanya silaturahim yang dibina didalamnya. Dibulan Ramadhan kita bersua muka di masjid mahupun di surau, bertemu di majlis khatam Al-Quran, bertadarus bersama dan bersua menyampaikan derma. Mudah-mudahan silaturahim umat terus berkekalan dan bertambah teguh pada masa-masa yang akan datang.

Menjelmanya Aidil Fitri petanda kemenangan telah kita capai. Kemenangan dalam perjuangan tidak mungkin dapat kita kecapi tanpa didahului dengan pengorbanan. Pengorbanan yang paling asas adalah pengorbanan mengekang hawa nafsu. Hawa nafsu perlu ditundukkan terlebih dahulu barulah musuh akan mengaku kalah.

Namun sebesar mana pun kemenangan dicapai, sehebat mana pun dugaan dikalahkan, ia tidak bererti jika nafsu terus menggila, riak bermaharaja lela dan mabuk bersama keangkuhan diri.

Menjelang Aidil Fitri seharusnya menjadi petanda lembaran baru perhubungan samada dengan khaliq dan makhluq. Lembaran baru kepada sang pejuang yang memburu syahid bagi mendapat keredhaan Ilahi.

Redhanya Ilahi lantaran bersihnya dosa, redhanya manusia lantaran noda yang telah dilupakan.

Salam Aidil Fitri kepada semua pendokong dan penggerak dakwah. Maaf zahir batin.

“MEMBINA DAN MEMIMPIN TAMADUN KHAYRA UMMAH”


AMIDI ABD MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR