Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




CATATAN EKSPLORASI DAKWAH & MISI BANTUAN KEMANUSIAAN 2010, SUMATERA BARAT INDONESIA

Peserta lelaki : Ustaz Zawawi, Sdr. Khairudin, En. Shamsudin, Hj. Shirajuddin, Ustaz Harith, Sdr. Shafezan, Sdr. Azam, Sdr. Syukur, Ustaz Darul, Sdr. Rijal, Sdr. Ezwan & Adik Faizi

Peserta perempuan : Sdri. Liza, Sdri. Awin, Sdri. Adiba, Cikgu Rahimah, Sdri. Zalina, Sdri. Hanis, Sdri. Hidayah, Ustazah Hazlina & Sdri. Mija

12 Mac 2010, Jumaat
Sesi Ta'aruf : SUN memulakan sesi ta'aruf dan YDP ABIM Selangor menyampaikan beberapa amanat sebelum bertolak. Penginapan pertama kami ialah di Masjid As-Sobirin, terima kasih kepada ABIM Kuala Langat yang menyediakan penginapan dan seterusnya pengangkutan ke LCCT.

13 Mac 2010, Sabtu
LCCT : Jam 5.00pagi kami telah daftar masuk, solat Subuh secara berjamaah di Surau LCCT dan seterusnya 'boarding' pada jam 7.00 pagi untuk menaiki Air Asia.

Ketibaan di Bandar Udara (Bandara) @ Lapangan Terbang Antarabangsa Minangkabau, Padang Indonesia : Kami disambut mesra oleh Tim MRA, Pak Irfan dan Pak Yusman.

Ziarah Masyarakat & Kajian Budaya @ Taman Asuhan Pendidikan Ulama' Zuamak (TAPUZ) : Antara aktiviti yang kami adakan adalah gotong-royong membersihkan kawasan surau dan program motivasi kepada pelajar di sini. YDP diberi kesempatan juga untuk memberi sepatah dua kata dan tazkirah pada perjumpaan pertama ini. Kami juga sempat makan dan solat bersama anak-anak santri/murid, para guru dan AJK Yayasan. Uniknya pelajar di sini ialah mereka cepat mesra dan tinggi ilmu bahasanya, malah sungguh berkeyakinan walaupun hidup dalam serba kesederhanaan. Ketika ini pembiayaan dan perjalanan TAPUZ diselenggarakan oleh MRA dan dana yang berterusan sangat diperlukan untuk kelangsungan TAPUZ ini.

14 Mac 2010, Ahad
Pariaman : Destinasi seterusnya ialah melawat kawasan gempa seperti di Lubuk Laweh, Pulau Air dan Cumanak. Terdapat 3 buah bukit yang mengalami keruntuhan/kelongsoran akibat kesan gempa. Dimaklumkan bahawa lebih daripada 200 orang yang tertimbus dan menurut penduduk di situ lagi, ada lebih daripada 100 mayat yang tertimbus tidak dijumpai dimana masyarakat setempat menamakannya sebagai kubur massal (mass grave).
Selepas kejadian gempa, laluan yang kami lalu ini untuk ke lokasi tanah runtuh/longsor sebenarnya telah dihalang oleh timbusan tanah dan menyebabkan penduduk kampung di sebelahnya tidak dapat keluar dari kawasan mereka. Simen (gambar) itu merupakan kawasan sekolah dan ramai pelajar yang meninggal dunia. Sesungguhnya banyak pengajaran yang kami perolehi dari kejadian itu.
Pembinaan Rumah Syukur : Kami bergerak ke lokasi pembinaan Rumah Syukur, satu unit bernilai RM2,500. Antara bahan yang digunakan dalam pembinaan rumah ini ialah anyaman buluh untuk dinding, kayu terpakai untuk tiang dan rangka rumah manakala batu-bata terpakai bekas rumah yang runtuh untuk dinding bahagian bawah. Terdapat lebih daripada 110,000 rumah yang musnah teruk / tidak layak huni di sekitar Sumatera Barat kesan daripada gempa bumi tersebut. Ini adalah salah satu projek yang diusahakan oleh MRA (www.mra.my). Sumbangan dana sangat diperlukan untuk membina lebih banyak Rumah Syukur.

Rumah Lindungan : Kami dibawa pula ke satu perkampungan yang penduduknya juga telah kehilangan rumah akibat gempa. Projek rumah lindungan ini adalah hasil sumbangan daripada NGO dari Indonesia sendiri yang dikenali sebagai Aksi Cepat Tanggap (ACT). Antara kemudahan yang dibina adalah surau, tempat jahitan tudung, sekolah, rumah panjang, tandas dan taman permainan.

Bandar Padang : Seterusnya kami dibawa ke Bandar Padang untuk mengambil iktibar dari kesan gempa. Anehnya hanya beberapa bangunan sahaja yang mengalami keruntuhan. Hanya Allah yang Maha Mengetahui rahsia dan hikmah di sebalik 'keruntuhan terpilih' ini. Kami juga berkesempatan melihat jambatan Sitti Nurbaya dan merasai telur penyu.
15 Mac 2010, Isnin
Rehlah dan Lawatan Sambil Belajar : Kami dibawa ke Bukit Tinggi untuk melawat tempat-tempat bersejarah dan juga membawa pulang buah tangan untuk saudara di Malaysia. Lokasi yang menjadi tumpuan kami ialah Lobang Jepang (terowong Jepun); tempat tahanan paksaan orang Jepun terhadap warga tempatan. Orang tahanan itu dipaksa bekerja, dipenjara dan dibunuh secara kejam.
16 Mac 2010, Selasa
Perkampungan Maninjau: Untuk ke Maninjau atau perkampungan HAMKA, kami terpaksa melalui Kelok 44 (selekoh 44) yang mana ia cukup menyeramkan kerana selekohnya begitu tajam. Namun, keindahan/panorama ciptaan Ilahi dari sudut pandangan dari atas bukit ke desa-desa di sekeliling Danau Maninjau sangat mengagumkan.
Di perkampungan HAMKA, kami dibawa ke perkuburan datuk, moyang, bapa saudara dan ayah HAMKA.

Ini adalah muzium dan perpustakaan yang menempatkan gambar-gambar, barang-barang dan penulisan HAMKA.

Di hadapan muzium dan perpustakaan BUYA HAMKA. Di rumah penginapan sepanjang di Maninjau dan tazkirah di Masjid Syeikh Amrullah.

Masjid Syeikh Amrullah: Antara objektif lawatan ini juga adalah untuk memberi bantuan kepada penerima Rumah Syukur. Sesi pemberian sumbangan ini telah disampaikan oleh YDP ABIM Selangor. Lembaga Zakat Selangor juga adalah salah satu penyumbang terbesar dalam pembinaan Rumah Syukur.

Pesantren HAMKA : Selesai sesi penyampaian sumbangan, kami ke Pesantren HAMKA pula. Para pelajar yang belajar di pondok ini kebanyakannya adalah anak yatim dan miskin daripada keluarga yang susah. Juga, sebilangan besar daripada para pelajar tersebut merupakan golongan muallaf daripada Kepulauan Mentawai, Indonesia. Mereka ini baru dipindahkan dari pesantren yang lama akibat dari gempa yang menimpa. Pesantren yang sediada 'tidak layak huni' kerana ancaman tanah runtuh. Menurut guru di sini, kos pembiyaan seminggu adalah sekitar RM300 dan ini benar-benar menghendaki pihak pengurusan untuk berjimat sedaya mungkin. Semoga usaha yang murni ini mendapat keberkatan Allah. ABIM Selangor turut menyampaikan sumbangan dana kepada Pesantren Buya HAMKA. Sumbangan disampaikan oleh YDP ABIM Selangor kepada Pak Drs Zainul Ariffin selaku Ketua Pesantren.

17 Mac 2010, Rabu
Jeti Dumai : Kami bertolak dari Maninjau ke Dumai mengambil masa lebih kurang 15 jam (dari 4.45petang - 8.00pagi ) dan penginapan kami yang terakhir ialah di dalam bas. Setibanya kami di jeti Dumai, SUN mengadakan sesi penilaian untuk mendapatkan respon secara langsung dari setiap peserta.
Alhamdulillah, jam 5.30petang kami tiba di Pelabuhan Klang dan masing-masing pulang ke rumah dengan 1001 pengalaman, keinsafan dan ilmu baru di dada. Syukur...
---------------------------------
Program Eksplorasi Dakwah & Misi Bantuan Kemanusiaan 2010 ke Sumatera Barat, Indonesia disertai oleh 22 orang peserta terdiri dari pimpinan ABIM Negeri Selangor, pimpinan Persatuan Pelajar Islam Selangor(PEPIAS), wakil dari Koperasi Belia Islam Berhad (KBI) dan 5 orang mahasiswa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Penginapan peserta wanita bertempat di Sekretariat MRA, Simpang Jati, Pariaman manakala penginapan peserta lelaki adalah di surau yang berdekatan di Kg Jati. Antara pengisian yang terkesan di hati dan sanubari para peserta adalah slot tazkirah dan sharing moment di antara para peserta. Pada hari ke-2 terakhir, para peserta lelaki menginap di Masjid Syeikh Amrullah, Maninjau manakala peserta wanita di 'Rumah Warisan Minangkabau' yang berdekatan dengan masjid tersebut di tepi Danau Maninjau.

Program ini berlangsung selama 5 hari iaitu pada 13-17 Mac 2010 bertujuan melatih pimpinan muda dalam menghayati semangat dakwah dalam kepimpinan disamping memberi pendedahan terhadap isu-isu semasa dan menjana kepekaan, semangat kerjasama dan bantu-membantu antara ahli dan masyarakat setempat serta menghulurkan bantuan kepada golongan yang sangat memerlukan.

Program ini adalah anjuran dan kerjasama di antara ABIM Negeri Selangor, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Malaysian Relief Agency(MRA).

4 comments:

tahniah dan perjalanan yg membuka mata...

gambar rumah yang bernilai RM2500, cantik juga. apakah signboard yg ditulis 'TAK LAYAK HUNI' itu merujuk kepada rumah itu?

Kami, di Kuala Langat, sedia membantu apa yang terdaya...

terima kasih kembali

Unknown said...

Alhamdulillah Moga kita menjadi pendakwah yang berada dilandasan kerana ALLAH..InsyaALLAH..

Membuka mata,membuka hati & membuka langkah!!!

yup signboard "TIDAK LAYAK HUNI" merujuk kepada rumah yang rosak teruk akibat gempa bumi.

WAK JURAGAN said...

Banyak pelajaran dan pengalaman yang dapat dikutip sepanjang jalan.
Kepada yang berminat untuk mengikuti kembara rohani haraki sambil menikmati es jeruk dan teh telor boleh hubungi pihak MRA@ABIM Selangor.

Pak Radin, apa mahu melihat kembali Tanah Leluhur?

Wak,

1) tanah leluhur punya kekagetan semacam berzaman... apa lagi namaku 'Radin' dengan tambahan 'Imaduddin' dipinjam dari tokoh Agamawan dari tanah seberang juga...

2) Hasrat yg tersimpan dalam sanubari untuk turut serta program ini tetap akan dijadikan 'Ketetapan Hati' dan terus sebagai Azam. Sekurang-kurangnya, Semangat yg dibawa oleh rakan2 sahabat ABIM lain dijadikan inspirasi kami yang tidak mengikutinya.

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR