Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Kenyataan Media - Penubuhan Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB) & Penganjuran Seminar Memartabatkan Undang-Undang Jenayah Syariah

Rentetan daripada kenyataan media yang dikeluarkan oleh Joint Action of Gender Equality (JAG) telah mengundang pelbagai reaksi serta respon daripada pelbagai pihak yang mengganggap kritikan biadap mereka terhadap pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia sangat melampau serta menghina syariah Islam secara keseluruhannya. ABIM memandang serius kenyataan tersebut dan telah mengambil sikap pro-aktif dengan membuat laporan polis dan laporan di Jabatan Agama Islam daerah serta negeri bagi mendesak pihak berwajib menjalankan siasatan terhadap kenyataan mereka yang dianggap menghina ajaran Islam atau membuatkan ajaran Islam dipandang hina khususnya berkaitan isu pelaksanaan hukuman sebat di Mahkamah Syariah serta komen-komen mereka terhadap undang-undang syariah secara keseluruhanya yang telah dikeluarkan sebelum ini.

ABIM juga berpandangan bahawa kenyataan-kenyataan mereka yang menghina bidang kuasa serta kredibiliti Mahkamah Syariah dan Syariat Islam secara umumnya perlu ditangani secara serius oleh pihak berwajib agar tidak timbul kekeliruan di kalangan masyarakat umum berkaitan pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia serta memelihara kesucian Syariat Islam. Oleh yang demikian ABIM dengan ini mengumumkan bahawa:-


1.Penubuhan sebuah jawatankuasa yang akan memantau isu-isu syariah di Malaysia dengan lebih pro-aktif yang dikenali sebagai Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB) yang berfungsi sebagai jawatankuasa khas untuk memantau isu-isu syariah di Malaysia dengan lebih pro-aktif dan berkesan.

2.Jawatankuasa ini juga akan bertindak sebagai badan penyelaras untuk gabungan dengan NGO-NGO Islam yang lain terutamanya dari segi gerakerja, maklumat dan kenyataan media secara bersama.

3.Menyediakan dan menjadi pusat maklumat bagi membolehkan orang awam dan NGO-NGO lain untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai isu-isu syariah di Malaysia.

4.Menggerakkan program-program berteraskan kefahaman Syariah Islam demi memahamkan masyarakat khususnya masyarakat Islam.

5.Menjadi platform utama bagi NGO-NGO Islam bergabung dalam mendepani isu-isu syariah secara berkesan dan serius serta tidak reaktif semata-mata.

Selanjutnya ABIM juga ingin memaklumkan bahawa lebih daripada 20 laporan polis telah dibuat di seluruh ngara berkaitan kenyataaan JAG tersebut serta laporan telah dikemukakan di Jabatan Agama Islam Daerah/Negeri di seluruh negara. Di antara NGO-NGO Islam yang telah mengambil tindakan proaktif tersebut adalah:

1.ABIM Selangor serta seluruh cawangan (11 laporan polis keseluruhannya)

2.Masjid Bandar Utama Batang Kali, Hulu Selangor dan Surau At-Taqwa Tamu Hill park, Batang Kali.

3.Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM)

4.ABIM Pahang dan 14 NGO-NGO Islam Pahang

5.ABIM Perak

Terdahulu ABIM telah menyertai dan membuat kenyataan bersama dengan PGSM, PPMM, ALKIS dan JIM pada 1 Oktober 2009 yang lalu berkaitan isu ini. Berdasarkan laporan polis dan laporan yang dibuat ke Jabatan Agama Islam tersebut, ABIM mendesak agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang serius isu ini dengan menyiasat secara terperinci dan mendakwa pihak-pihak tertentu yang didapati mencabar serta menghina Islam secara khususnya.

ABIM juga akan mengusulkan satu memorandum khas berkaitan isu penghinaan terhadap Islam ini dikemukakan dan dipersembakan ke bawah Duli Tuanku Sultan di seluruh negeri di Malaysia memandangkan isu agama dan Mahkamah Syariah adalah di bawah bidang kuasa Sultan di setiap negeri.

Bagi meneruskan misi “Pencerahan Umat” ABIM komited untuk menggerakkan seminar, forum serta pengisian bagi mewujudkan kefahaman di kalangan masyarakat khususnya umat Islam sendiri berkaitan isu pelaksanaan undang-undang jenayah syariah di Malaysia. Siri-siri seminar untuk kefahaman dan mempertahankan undang-undang syariah serta kedaulatan Mahkamah Syariah di Malaysia akan diadakan di negeri-negeri berikut:-

a.Selangor pada 22 Oktober 2009

b.Kuantan, Pahang Darul Makmur, pada 25 Oktober 2009

c.Sarawak pada 14 November 2009

ABIM juga menyeru lebih banyak NGO-NGO Islam, orang perseorangan serta sukarelawan-sukarelawan untuk menyertai JAWAB ini untuk bersama memberikan sumbang saran bagi memantau isu-isu kedaulatan syariah di Malaysia serta memastikan JAWAB akan lebih responsive serta pro-aktif dalam menangani isu-isu syariah semasa dan konsisten dalam memartabatkan syariah Islam di Malaysia.



"Menegakkan Kebenaran & Keadilan"


Fadhlina binti Siddiq
Naib Presiden HELWA ABIM
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Advokasi Syariah Malaysia (JAWAB)

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR