Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Kenyataan Media-Jaga Hubungan Baik Malaysia-Indonesia: ABIM Gesa Hentikan Provokasi

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat terhadap tindakan provokasi yang dilakukan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, berhubung beberapa isu serta insiden yang membabitkan hubungan baik dua hala di antara kedua-dua negara semenjak kebelakangan ini. Ini memandangkan provokasi-provokasi tersebut boleh menjejaskan hubungan erat yang sedia terjalin di antara kedua negara serumpun semenjak sekian lama.

Di samping itu, ABIM menilai provokasi-provokasi ini telah memperlihatkan ceteknya pengetahuan dan kurangnya kefahaman terhadap persamaan budaya dan nilai masyarakat yang dikongsi di antara kedua-dua negara serta rantau Melayu keseluruhannya, sepertimana yang telah dibuktikan oleh fakta dan realiti sejarah. Bahkan, laungan slogan serta tindakan provokatif seperti “Gayang Malaysia” serta insiden “buluh runcing” jelas tidak menggambarkan amalan budaya hormat menghormati, berbudi bahasa, saling bantu membantu sudah sebati di kalangan sebahagian besar masyarakat di kedua-dua negara. Sejarah lampau telah membuktikan tindakan-tindakan sedemikian boleh mencetuskan ketegangan serta boleh mengakibatkan keadaan huru-hara sekiranya ia tidak ditangani dengan tegas dan penuh hikmah.

Justeru, atas semangat perkongsian agama dan budaya yang sama, ABIM menyambut baik usaha yang yang telah dilaksanakan oleh kerajaan kedua-dua negara untuk menangani isu-isu berkaitan menerusi saluran diplomatik yang sedia terjalin di antara kedua-dua negara.

Mengambil kesempatan ini, ABIM menyeru rakyat di kedua-dua negara agar tidak terpengaruh dengan dakyah yang cuba dilakukan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, di samping meletakkan kepercayaan sepenuhnya kepada usaha diplomatik yang dibuat oleh kerajaan kedua negara serta tidak mengambil tindakan yang boleh menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua Negara semenjak sekian lama.

"Demi Kebenaran & Keadilan"

Khairul Faiz Morat
Naib Presiden Antarabangsa ABIM
11 September 2009 / 21 Ramadhan 1430h

3 comments:

Anonymous said...

Biasanya media Malaysia akan mengalihkan kepada isu yang boleh menaikkan semangat nasionalisme rakyat bila ada isu-isu besar dalaman yang menggugat kerajaan.Betul ke krisis dalaman semakin parah?

indahcinta said...

Hmmmm!......saya bukan orang politik, tetapi hampir 40 tahun hidup di malaysia, begitulah keadaanya...krisis dalaman ( baca kerajaan BN), akan mengalihkan ke isu antarabangsa, untuk menuntut kesatuan bangsa malysia, alpa masalah sebenar kat negara, korupsi, kenaikan minyak, inflasi, H1N1.
Abim pun kadangkala terikut sama,dah jadi jurucakap orang politik pula! sedih....! kita menggunakan ruang dakwah atau kita sedang diperkudakan.
tolong jangan terlalu ghairah keluar kenyataan...

CikguDin said...

Dalam mengeluarkan kenyataan terhadap sesuatu isu.. banyak perkara yang perlu di pertimbangkan. Terutama jika isu itu, berlawanan dengan prinsip perjuangan , kenyataan tidak harus dikeluarkan. Saya berpendapat, Pusat telah mempertimbangkan apa yang telah dinyatakn,Namun jika belum..Teguran perlu dibuat. InsyaAllah akan disampaikan.

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR