Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Turun ke Kampung Orang Asli dengan Mini Lori

5hb Ogos 2012 - Alhamdulillah, pada hari Ahad, 5hb Ogos 2012, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kuala Langat dengan kerjasama  Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) telah menganjurkan Program “Kempen Seorang Sekampit Beras.” Program ini digerakkan oleh ABIM di peringkat negeri serta daerah, dengan sekampit beras serta beberapa lagi barangan keperluan dapur disumbangkan kepada yang memerlukan. Memandangkan lokasi yang dipilih ialah kawasan yang sedikit pedalaman dengan kawasan jalan yang tidak rata, ABIM Kuala Langat memilih cara unik bagi menyerahkan sumbangan kepada masyarakat muallaf di Perkampungan Orang Asli Bukit Serdang, Bukit Changgang: iaitu dengan menggunakan lori mini. Bukan sahaja mencabar, tetapi juga menyeronokkan. Sebanyak 13 buah rumah muallaf telah diziarahi oleh aktivis ABIM dan PEPIAS Kuala Langat yang dibahagikan kepada dua kumpulan: iaitu kumpulan Muslimin dan kumpulan Muslimat.  Dengan menggunakan lori mini, satu rombongan Muslimin bergerak dari rumah ke rumah bagi mengedar beras serta beramah mesra dengan saudara baru. Manakala rombongan pendakwah srikandi berjalan kaki dari rumah ke rumah di sekitar surau kampung tersebut sambil mengajak mereka ke jamuan berbuka puasa di surau. Program yang mendapat sokongan Tok Batin kampong tersebut, turut dimeriahkan dengan acara berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah.Suasana surau agak ceria pada malam tersebut. Para aktivis turut diberikan penerangan oleh aktivis Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) yang juga tokoh veteran ABIM Kuala Langat, Saudara Samad, berkenaan cara untuk mendekati serta menyantuni masyarakat Orang Asli. Beliau yang mempunyai ramai kenalan rapat dalam kalangan Orang Asli, turut mengusulkan agar satu kertas kerja berbentuk kajian disiapkan, berkenaan kaedah terbaik bagi menjalankan aktiviti dakwah dan pembangunan insan kepada masyarakat Orang Asli. Hal ini penting, menurut Saudara Samad, kerana manfaatnya besar serta boleh dijadikan rujukan oleh sesiapa sahaja. ABIM dan PEPIAS Kuala Langat juga sebulat suara untuk memutuskan agar tindakan yang praktikal perlu diambil untuk membantu saudara baru secara berterusan. Mereka memerlukan pengajian agama dan pendidikan pra-sekolah. Sesungguhnya, harta kita ialah maruah. Penyelamat kita ialah iman. Semoga bulan Ramadhan ini menjadikan kita sebagai khalifah yang lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Amin dan in sya ALLAH. Selamat menunaikan ibadah di bulan Ramadhan 1433H ini. “Taqwa Dihayati, Ramadhan Dimaknai.” Khalas.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR