Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




TAZKIRAH USRAH


KENAPA CAKAP TAK BUAT?

Firman Allahs.w.t. yang bermaksud;

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya, 'Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu?'. Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka." (As-Shaff 61: 1 – 5)

  1. Dalam satu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika para sahabat sedang duduk bermuzakarah, di antara mereka ada yang berkata, "Sekiranya kami mengetahui amalan yang lebih dicintai oleh Allah s.w.t., pasti kami akan mengerjakannya." Maka turunlah ayat 1 hingga 2 surah As-Saff ini. Namun, bagi mereka yang tidak pernah pergi berperang, tetapi banyak berkata-kata mengenainya, Allah s.w.t. telah menempelak mereka di dalam ayat 2 surah As-Saff.
  2. Bahkan ia dikaitkan dengan hadith Rasulullah s.a.w. iaitu, ciri-ciri orang munafik adalah apabila berkata mereka berbohong, apabila berjanji tidak tepati, bila diberi amanah mereka khianat dan apabila berselisih mereka berlebih-lebihan.
  3. Ayat ini dimulakan dengan puji-pujian dan dinyatakan bahawa segala yang ada di langit dan di bumi memuji Allah s.w.t. Maka siapakah kita yang tidak mahu memuji Allah s.w.t.? Bagi manusia yang tidak mahu memuji Nya, maka mereka ini adalah kaum yang derhaka.
  4. Allah s.w.t. menegur kita (orang yang beriman) bahawa ada dikalangan kita yang bercakap tetapi tidak buat. Kita banyak berfikir tetapi tidak mengamalkan apa yang difikirkan. Allah amat murka kepada kita jika berlaku demikian.
  5. Di dalam ayat ini juga peringatan untuk para pejuang supaya; buat apa yang dicakapkan. Penuhi janji dan lakukan mengikut perintah Allah s.w.t., membuat perencanaan dan susun atur kemas serta, bekerja sebagai satu pasukan.
  6. Maka 'bunyanum marsus' yang diperbincangkan membawa pelbagai pendapat.
  7. Perlunya pelbagai kemahiran yang mewakili komponen dinding dan bangunan seperti pasir, batu bata, simen dan sebagainya.
  8. Begitu juga dengan fungsi tertentu pada sebuah bangunan seperti lantai, pintu, tingkap, bumbung dan sebagainya.
  9. Pun begitu menurut Mustafa Masyhur di dalam bukunya 'Taqriqud Dakwah', batu batan itu juga bergantung kepada kualitinya yang menjadikan struktur bangunan itu kukuh. Adakah ia dari batu batan yang lembut atau tanah liat yang telah melalui proses sehingga ia menjadi kuat dan kukuh.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR