Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




MISI QORBAN BERSAMA AYATA


5 November 2011, Bandar Baru Bangi -4 orang sukarelawan yang diketuai oleh Saudara Mohd. Azlan bin Md. Arshad (Exco TTK ABIM Selangor) bersama AbdulCelil Akar @ Jalil (Hayrat Foundation, Turki), Muadz bin Hj Adnan (ABIM Kuala Selangor, anak Hj Adnan Supardi) serta sukarelawan cilik Ahmad Anwar Mohd Azlan (12 tahun, pelapis ABIM) telah berangkat dari Masjid Asy-Syakirin, Bt. 5, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi. Tiba di Masjid Kg. Melaka, Merapoh. Perjalanan masih sesak dengan kenderaan yang menuju ke Kota Bharu. Pada jam 6:30 petang, perjalanan memasuki pekan Gua Musang. Memecut dengan agak laju melalui Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah kerana perlu sampai ke sempadan sebelum jam 10:00 malam.

Sukarelawan tiba di Rantau Panjang dengan selamatnya pada jam 8.30 malam. Disambut oleh Hj Wan Abdul Rahman (GPM) dan YB Pak Su Wi. Melintasi Sg. Golok dan terus ke rumah Pak Su Wi di Kg Air Kubu, Mukim Padi, Narathiwat.

Pada pagi 6 November, sukarelawan menunaikan solat Subuh di Masjid Air Kubu, Mukim Padi, Narathiwat kemudiannya melaksanakan solat sunat Eid Adha di kawasan lapang di luar masjid kerana bilangan jemaah yang ramai. Pihak tentera Thai juga mengawasi aktiviti solat dengan mengambil gambar. Khutbah Hari Raya dengan tajuk Pemuda Adalah Tonggak Perjuangan telah dibaca oleh Khatib dengan penuh semangat di dalam bahasa Melayu. Cukup menarik dan berkesan. Seterusnya, sukarelawan dijemput menikmati jamuan raya di rumah Penghulu Kg Air Kubu bersama dengan pimpinan masyarakat dan pegawai tentera Thai.

Aktiviti korban bermula di rumah YB Pak Su Wi pada jam 9.00 pagi. saudara Azlan diberi peluang untuk menyembelih lembu korban pertama yang disedekahkan oleh pihak Hayrat Foundation berjumlah 30 ekor lembu bagi ibadah korban oleh YB Pak Su Wi. Sejurus selepas itu, sukarelawam dibawa berangkat ke Kg. Hangus yang jaraknya sekitar 15 km dari Kg. Air Kubu untuk urusan korban kedua yang disumbangkan oleh pihak Hayrat Foundation. Penyembelihan kali ini dilakukan oleh Sdr Jalil yang kali pertama menyembelih lembu bagi ibadah kurban. sukarelawan dimaklumkan Kg Hangus merupakan tempat para pejuang Islam Selatan Thai yang menentang pihak kerajaan Bangkok. Sukarlawan juga menziarahi masjid di mana berlakunya kejadian bunuh akibat tembakan terhadap seorang imam pada waktu Subuh setahun yang lalu. Kesan tembakan peluru pada lantai dan dinding masjid masih kelihatan.

Ketika dalam perjalanan pulang sukarelawan dibawa ke rumah Wakil kepada Wakil Rakyat Narathiwat, seorang jutawan pembinaan dan pulang ke rumah YB Pak Su Wi untuk makan tengahari dan solat di Masjid Kg. Air Kubu. Tepat jam 1:00 petang sukarelawan bergerak pulang dari rumah YB Pak Su Wi dan bergerak ke Tak Bai. Dalam perjalanan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh YB Pak Su Wi terlibat dalam kemalangan apabila ia merempuh belakang sebuah kereta. Tiada kemalangan jiwa hanya kesan kemek di hadapan kereta dan belakang kereta yang dirempuh. Oleh kerana itu, sukarelawan bertukar kenderaan di hadapan Masjid an-Nur dan menaiki dua buah kenderaan lain menuju ke Pulau Tok Bisu. Untuk ke Pulau Tok Bisu, sukarelawan menaiki 2 buah bot untuk ke sana yang jaraknya tidak sampai 10 minit.

Ibadah kurban berikutnya dilaksanakan di hadapan Masjid Pulau Tok Bisu dan dijalankan oleh salah seorang penduduk di sana. Kerja-kerja melapah oleh para penduduk selesai ketika masuk waktu Asar. Sukarelawan menikmati jamuan makan malam di rumah salah seorang penduduk di pulau tersebut. Jamuannya cukup menarik iaitu ikan goreng siakap bersama-sama lauk-pauk yang lain. Hujan turun renyai-renyai sebagai rahmat Allah S.W.T. kepada hambaNya yang turut sama menjayakan ibadah kurban dengan penuh keimanan.

Sukarelawan meninggalkan Pulau Tok Bisu dengan bot dan menaiki kenderaan ke Lagoon Tak Bai untuk bermalam di sana. Sebelah malamnya, sukarelawan dijemput oleh Ustaz Nawawi Yunus untuk memberi kuliah motivasi kepada para pelajar lelaki Maahad Nuruddin berumur 16-17 tahun seramai 10 orang. Program berakhir sekitar jam 9:30 malam.

Pada 7 November, sukarelawan mula meninggalkan Lagoon Tak Bai ke Asrama Ayata, Tabal untuk misi ibadah korban dari pihak ABIM Selangor sebanyak 2 ekor yang di laksanakan di Kg Tabal, Takbai. Saudara Azlan mengambil peluang menyembelih lembu yang dikorbankan bagi pihak sahabat-sahabat ABIM Selangor. Lembu kedua disembelih oleh Sdr. Muadz Hj Adnan (merupakan pengalaman pertamanya). Lembu yang disedekahkan oleh pihak Hayrat Foundation, disembelih oleh Sdr. Jalil.

Pada jam 9:30 pagi sukarelawan dibawa melawat sekitar Maahad Nuruddin khususnya kawasan asrama lelaki dan perempuan yang begitu naif. Kos untuk membina asrama 2 tingkat dianggarkan sekitar RM250k. Kerja-kerja menambak tanah bagi keluasan 20’ x 10’ dianggarkan sekitar RM3,600/-. Duit lebihan ibadah kurban ABIM Selangor sebanyak RM1,000/- telah diserahkan oleh Hj. Wan Abdul Rahman kepada Ustaz Nawawi Yunus bagi pihak AYATA. Majlis penyerahan daging kurban kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan fakir miskin telah dijalankan di Asrama Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal. Sekali lagi Saudara Azlan dijemput menyampaikan ucapan bagi pihak ABIM Selangor. Seramai 66 orang anak yatim dan lebih dari 20 orang ibu tunggal dan fakir miskin telah hadir ke majlis berkenaan. Seterusnya, sukarelawan menunaikan solat zohor dan jamak Asar dilaksanakan di Masjid Jamek Tabal, Takbai dan bertolak ke Pusat Perkumpulan Saudara Baru (Muallaf) yang diselia oleh pihak Young Muslim Association of Thailand (YMAT) untuk acara korban ABIM Selangor kepada saudara muallaf. Sukarelawan terpaksa ke pantai bagi menjalankan acara korban kerana khabarnya lembu masih belum diikat dan agak liar bergerak di sepanjang pantai. Setelah menunggu hampir 2 jam, rancangan aktiviti korban terpaksa ditunda esok pagi dan diwakilkan kepada pihak YMAT untuk menyembelihnya bagi pihak ABIM Selangor kerana waktu semakin petang dan dikhuatiri tidak sempat siap. Acara simbolik menanam pokok mangga di belakang bangunan AYATA sebagai mengenang sumbangan kurban dari ABIM Selangor dan Hairat Foundation.

Sukarelawan menunaikan solat jamak Maghrib dan Isya’ berjemaah dilaksanakan di Masjid Jamek Tabal. Makan malam di Asrama Bangunan Ayata dengan hidangan istimewa sup komunis (yang biasa dihidang oleh para pejuang ketika berada di dalam hutan). Kemudian dibawa minum malam di Pekan Takbai bersama Ustaz Wan Imran (pensyarah universiti), Ustaz Nawawi Yunus dengan pihak ABIM Selangor, Hairat Foundation dan GPM. Suasana malam berhampiran sempadan Thailand-Malaysia begitu nyaman sekali.

8 Novem0ber 2011, menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Jamek Tabal, Takbai. 8.00 pagi, para sukarelawan bertolak ke University of Princess Naradhiwan, Narathiwat bagi acara korban bagi pihak Hayrat Foundation. Acara korban disempurnakan oleh pihak staf dan pelajar universiti dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Kemudian berangkat ke Kampung Chaok Setoi, Narathiwat bagi acara korban bagi pihak Hayrat Foundation yang terletak sekitar 10 km dari universiti. Acara korban disempurnakan oleh Sdr Jalil dan disaksikan oleh Penghulu dan para penduduk kampung. Kemudiannya ke Kampung Baru di Bandar Narathiwat bagi acara berikutnya. Ianya sebuah perkampungan bandar yang didiami oleh kebanyakan penduduk yang miskin dan sederhana dari aspek ekonomi. Acara korban dilaksanakan di kawasan lapang berhampiran masjid. Lembu yang disedekahkan oleh pihak Hayrat Foundation khabarnya agak liar dan memerlukan ramai tenaga lelaki untuk dilaksanakan ibadah korban tersebut. Alhamdulillah, acara berjalan dengan lancar dan ibadah korban dapat disempurnakan dengan sebaiknya. Sambil menunggu waktu Zohor masuk, sukarelawan dihidangkan dengan jamuan ubi kayu, daging lembu bakar, ais krim daun teh tarik.

Selepas solat Zohor dan jamak bersama Asar dilaksanakan di Masjid Jamek Kampung Baru, satu majlis ringkas telah diadakan di mana pihak jawatankuasa masjid telah menjemput wakil ABIM Selangor dan Hayrat Foundation untuk memberi sedikit ucapan ringkas. Sukarelawan seterusnya bergerak ke University of Princess Naradhiwan bagi jamuan tengahari bersama staf dan pelajar di sana dan kemudian berangkat pulang ke Asrama Ayata untuk berkemas dan berangkat balik ke Malaysia. Sdr Wan Abdul Rahman bersama Sdr Jalil dan Muadz dihantar ke sempadan melalui pekan Takbai ke Pengkalan Kubur, Kelantan. Saudara Azlan dan Ahmad Anwar dihantar oleh Ustaz Nawawi, Ustaz Wan Hassan dan seorang AJK Ayata dengan kenderaan Ustaz Hamzah, Mudir Maahad Nuruddin ke Pekan Sungai Kolok (Golok) untuk memasuki sempadan Malaysia ke Rantau Panjang.


Md. Azlan b. Md. Arshad
Ketua Delegasi
Misi Qorban ABIM Selangor Ke AYATA

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR