BAJET 2012; DI MANA PERUNTUKAN UNTUK TANGANI GEJALA SOSIAL?
Bajet 2012: Di mana peruntukan untuk tangani gejala sosial?
KUALA LUMPUR, 11 Okt 2011 – 11 badan sukarela pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagaikan terkasima sejak Bajet 2012 dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat lalu apabila mendapati tiada satu pun peruntukan khas yang menjurus kepada usaha serius menangani gejala sosial dan seksual yang semakin membusung dalam masyarakat.
Dalam satu sidang media bersama di Ibu Pejabat Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Pusat Bandar Melawati dekat sini petang tadi, mereka hairan apabila berjuta-juta ringgit yang diperuntukkan kerajaan buat menambah baik kehidupan rakyat tidak melibatkan sekali usaha memperbetul kerosakan umat, sedangkan kes-kes seperti zina, pembuangan bayi, ragut, ketagihan dadah dan alkohol, rogol dan bunuh semakin berleluasa.
“Usaha meningkatkan prasarana fizikal dan tahap ekonomi rakyat semata-mata, tanpa memberikan penekanan kepada aspek pembangunan dalaman yang menitikberatkan konsep amanah, integriti dan pertanggungjawaban, dibimbangi akan lebih mendatangkan mudarat dan kerosakan,” jelas Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj ketika membacakan kenyataan media tersebut. Beliau merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah Induk Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudhatus Sakinah, yang mempunyai lima cawangan di seluruh negara.
Menyifatkan masalah sosial sebagai bencana dan bukannya gejala, Pengetua Pusat Kebahagiaan Remaja dan Wanita (KEWAJA), Yahya Mohammad Yusof berkata, “Kerajaan mesti mempunyai bajet tertentu dalam usaha mengatasi bencana sosial ini. Yang penting pencegahan, bukan perlindungan.”
Kenyataan beliau disokong oleh Dr Harlina yang mengatakan bahawa adalah lebih baik kerajaan menyediakan peruntukan untuk mencegah masalah sosial ini sebelum ia merebak. “Mencegah itu lebih baik dan lebih murah daripada merawat. Jangan kita biarkan masalah berlarutan yang hanya akan menambah masalah.”
Sementara itu, Presiden Pertubuhan Kebajikan Darul Islah Malaysia (PERKID), Ustaz Masridzi Sat mengingatkan maksud sepotong hadis yang menyatakan bahawa apabila semakin ramai anak zina dilahirkan dalam satu kariah, maka layaklah azab Allah ke atas kariah tersebut.
“Sebab itulah perlu ada kumpulan yang bekerja membanteras kemungkaran seumpama ini, tetapi kenapa NGO yang bersusah payah membantu kerajaan dalam menangani gejala sosial, murtad dan sebagainya tidak dibantu dari sudut kewangan?” soalnya.
Beliau menegaskan, kerajaan setidak-tidaknya menjadi penaung yang sentiasa menyokong, melatih dan menunjuk ajar institusi dan rumah-rumah perlindungan yang sedia ada.
Ustazah Hazlina dari Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah pula menekankan bahawa 'political will' kerajaan yang memerintah sangat penting dalam usaha menguatkuasakan sesuatu peraturan mahupun undang-undang. Lebih daripada itu, ia mesti melangkaui politik kepartian kerana 'political will' perlu ada pada mana-mana kerajaan yang memerintah.
Kenyataan media tersebut turut menuntut kerajaan supaya memberikan keutamaan terhadap peningkatan gejala sosial, meningkatkan usaha pencegahan dan pendidikan holistik dalam kalangan masyarakat, merawat dan membimbing golongan yang terjebak secara efektif serta memperuntukkan belanjawan yang mencukupi untuk semua usaha di atas.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Ustaz Mohamed Hanafiah (Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia, SIDIM), Faridah Abd Karim (Institut Penyelidikan Pembangunan dan Kemajuan Wanita, WIRDA) dan Rosmawati Zainal selaku Pengarah Raudhatus Sakinah. Gabungan itu turut dianggotai Rumah Puteri Arafiah, Baitul Islah PERKID, Rumah Kebajikan Darul Islah, Pusat Tarbiyah Darul ‘Atiq dan Keluarga Besar Norlina Alawi.
0 comments:
Post a Comment