Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




EMPAT JUTA LITER AIR BERSIH UNTUK RAKYAT



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) diteruskan dengan pengagihan empat juta liter bekalan air kepada rakyat negara itu.

Pengurus Sekretariat MRA, Fauziah Tahar berkata, setakat ini, MRA telah membuat penghantaran bekalan air ke beberapa kem yang terlibat antaranya di Bosaso, Gardo dan Garowe mengikut jadual yang ditetapkan.

"Majlis Perbandaran Tempatan dan MRA telah mengatur jadual bagi mengagihkan air ke kem yang memerlukan bekalan melibatkan penghantaran 21 lori air.

"Satu lori boleh membawa 8,000 liter sehari dan dengan jumlah 21 lori, kita dapat salurkan 168,000 liter sehari. Jadi, kita harap bekalan tersebut mampu menampung keperluan air bersih mangsa terlibat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Misi ini terdiri daripada Pengurus Operasi, Mohd. Iqbal Abu Bakar, Koordinator Perubatan, Hani Yang Kasim dan Pegawai MRA di Garowe, Mohd. Shahrulazilan Said.

Jelasnya, bantuan air bersih amat diperlukan berikutan kemarau panjang dengan lima kawasannya diisytiharkan berdepan dengan kebuluran yang kini mula merebak ke negeri-negeri di wilayah selatan.

"Justeru, orang ramai diseru membantu rakyat Somalia dengan menghulurkan sumbangan secara tunai atau melalui cek ke akaun Maybank MRA bernombor 5640- 9820-6365.

"Sebarang pertanyaan lanjut mengenai sumbangan untuk tabung itu boleh menghubungi talian 03-2697 2007/012-2096577 atau melayari laman web www.mra.my," katanya.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR