Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




EKSPLORASI AMAL BELIA SELANGOR KE SELATAN THAILAND : PERTEGUH SEMANGAT JUANG DAIE MUDA

ABIM Selangor telah berjaya melaksanakan satu lagi misi penting dalam dakwah serantau dalam Eksplorasi Amal Belia Selangor Ke Selatan Thailand. Eksplorasi ini dianjurkan bersama rakan dakwah ABIM iaitu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), Koperasi Belia Islam (KBI) dan Global Peace Mision (GPM) merupakan siri eksplorasi dakwah untuk mempersiap kader-kader dakwah terutama golongan muda menjadi pendakwah midani yang kental dilapangan.

Pelancaran Flag Off disempurnakan oleh oleh Mantan YDP ABIM , Tn Hj Shirajuddin bin Sirat jam 7.30 pagi 26 NOV 2010 (Jumaat) di perkarangan Masjid An-Naim, Jalan Kebun , Shah Alam. Doa dibacakan oleh Sdr Mohd Zulhelmi Abdullah, Exco Pembangunan Sosial, ABIM Selangor. Perjalanan lancar seperti yang dirancangkan. Perhentian pertama , jam 8.30 pagi di Petronas Gombak. Perjalanan di teruskan hingga ke Masjid Gua Musang jam 12.30 tengahari untuk solat jumaat dan makan tengahari.

Destinasi pertama ialah Pusat Latihan Dakwah Orang Asli (PULDOA). Islamic Outreach ABIM (IOA) Kok Lanas .Sambutan yang mesra dan penuh ukhuwah di sambut oleh Tn Hj Kamaruddin , Pemangku Pengerusi Pusat Latihan Dakwah Orang Asli (PULDOA). Taklimat diberikan beliau berkisar aktiviti IOA Kelantan serta objektif penubuhan PULDOA.

Selepas itu perjalanan diteruskan lagi ke Kompleks Masjid Al- Hikmah untuk Majlis Ramah Mesra bersama Qiadah Abim Kelantan Sambutan hangat penuh ukhuwah dari saf pimpinan ABIM Kelantan yang diketuai YDP ABIM Kelantan , Ustaz Faisal Abdullah. Taklimat tentang ABIM Kelantan dan Kompleks Masjid Al-Hikmah ABIM Kelantan disamping aktiviti-aktiviti dakwah dan ekonomi. Semua peserta bermalam di asrama Kompleks Masjid Al-Hikmah.

Kembara hari kedua bermula dengan menyeberang Sungai Golok menggunakan bot. Ketua Pusat Anak Yatim Takbai – Sentuhan Sanubari AYATA, Ustaz Nawawi dan AJK lain menyambut kami di Jeti. Semangat ukhuwah seakidah dan sebangsa amat terasa tanpa menghiraukan sempadan negara yang terpisah oleh Sungai Golok sebagai sempadan fizikal antara Malaysia dan Thailand.
Anak yatim dan masyarakat Kampung menyambut dengan penuh kehangatan. Taklimat dari Ustaz Nawawi dan alunan nasyid- give thanks to Allah- memenuhi sesi pagi itu serta diiringi kemerduan nasyid daripada peserta eksplorasi yang di ketuai oleh Sdr Khairul Rijal SUD ABIM Kelang dengan lagu Bina bil Huda. Sesi diteruskan dengan motivasi pelajar yang diketuai oleh Sdr Husnul Azzam dan Motivasi dijalankan dalam bahasa melayu dialek kelantan. Sesi lawatan ini diakhiri dengan jamuan makan tengahari dan Solat Zohor di Masjid berhampiran.

Selepas itu , eksplorasi kami bersambung ke Darul Haitam-Rumah Anak Yatim Pattani. Taklimat disampaikan oleh Ustazah Maryam dan Tn Hj Abd Rahim, Pengasas Rumah Anak Yatim Puteri Darul Haitam. Taklimat berkisar sejarah , susah payah, jatuh bangun rumah anak yatim serta skoalah yang dibangunkan di atas tapak 3 ekar tanah. Perkongsian pengalaman ini amat berharga untu ABIM Selangor dalam impian membangunkan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor. Malam itu kami bermalam di Hotel My Garden di Bandar Pattani

Seawal pagi hari ketiga , kami ke Masjid Kerisik, Lawatan yang penuh dengan emosi diiringi doa untuk para syuhada’ yang telah terbunuh didalam masjid kerisik . Peserta berkesempatan untuk solat sunat dhuha di masjid yang penuh bersejarah ini.

Seterusnya kami ke Koperasi Ibn ‘Affan di Tjabangtiga A. Muang Pattani. Sesampai di bangunan yang tersergam indah bernilai RM2 juta membuatkan peserta teruja dan merasa kagum bagaimana sebuah koperasi yang baru berusia tujuh tahun mempunyai bangunan lambang kemajuannya. Disambut oleh Pengerusi dan Ahli Lembaga koperasi dengan penuh mesra dan taklimat yang jelas tentang penubuhan koperasi yang mementingkan merealisasikan Islam sebagai cara hidup bukan keuntungan semata-mata.

Seterusnya kami berpeluang ke Pusat Pertanian Persatuan Belia Islam Thailand (YMAT)Dengan penuh semangat , Sdr Zakaria menerangkan bagaimana kita boleh tidak bergantung lagi dengan Pasaraya-psraya besar yang ditubuhkan oleh barat dengan mengeluarkan produk-produk muslim sendiri terutama penanaman syuaran sendiri secara organik. Beliau juga menerangkan serba ringkas bagaimana sayuran ditanam secara organik dan pembautan arang sendiri dan bengkel-bengkel yang dibuat oleh unit pertanian ini untuk belia dan penduduk kampung. Dihidangkan dengan somtam dan laban soy sebagai jamuan.

Pada malam hari, selepas menikmati nasi kerabu original di bandar Yala . Kami ke Ibu Pejabat Unit Kesihatan YMAT Yala. Kegigihan anak muda YMAT jelas tergambar apabila melangkah masuk ke pejabat Unit kesihatan YMAT di Yala. Di sambut oleh pengurus projek dan sukarelawan dimulakan dengan taklimat projek kesedsran HIV/AIDS dikalangan Belia ( 12-25 tahun) di 9 kawasan di selatan Thailand merangkumi kawasan Narathiwat hingga ke Phuket. Kepentingan projek ini ialah untuk menyedarkan golongan muda sedar pentingnya pemeriksaan HIV/AIDS terutama semasa mahu bernikah. Kekurangan kesedaran menyebabkan mangsa bertambah dari masa ke semasa terutama golongan wanita.

Di hari terakhir , kami singgah sekejap di Universiti Islam Antarabangsa Yala. Berhenti di Masjid Universiti memperlihatkan suasana Islam wujud di dalam universiti . Sebilangan peserta solat dhuha dan diakhiri dengan sesi fotografi.

Sebaik sahaja menyeberang ke sempadan , perasmian penutup di sempurnakan oleh Sdr Mohd Zawawi Ahmad Mughni, YDP ABIM Selangor. Dalam ucapannya YDP menekankan bagaimana kembara ini dapat mengukuhkan beberapa elemen dalam budaya ABIM terutamanya dari segi ilmu dan pengalaman yang perlu dipraktikkan dari masa ke semasa. Sesi diakhiri dengan penyampaian sijil kepada peserta. Semoga eksplorasi ini akan menambahkan lgi semarak perjuangan menyebarkan dakwah di muka bumi ini terutama dikalangan daie muda ABIM Selangor.

'Dan apakah mereka tidak mengadakan perjalanan di muka bumi dan memperhatikan bagaimana akibat (yang diderita) oleh orang-orang yang sebelum mereka Orang-orang itu adalah lebih kuat dari mereka (sendiri) dan telah mengolah bumi (tanah) serta memakmurkannya lebih banyak dari apa yang telah mereka makmurkan.Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti-bukti yang nyata.Maka Allah sekali-kali tidak berlaku zalim kepada mereka, akan tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri sendiri. (QS. 30:9)'

KHAIRUDIN ABAS
Setiausaha EABS

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR