Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




MEYUARAT JAWATANKUASA KERJA ABIM SELANGOR 01/2010


19 Julai 2010, Shah Alam - Pertemuan kali pertama semenjak berakhirnya Muktamar ABIM Selangor yang lalu adalah amat memberangsangkan. Sekalung tahniah diucapkan kepada Saf Qiyadah ABIM Selangor 2010-2011 yang memberikan komitmen untuk sama-sama menggerakkan jentera dakwah ABIM Selangor ini. Perbincangan yang bermula lewat jam 9.15 malam semalam dimulakan dengan tazkirah yang bertajuk "Kepentingan dan Keterlibatan Orang Muda dalam dakwah Islam" yang disampaikan oleh Timbalan Yang Di Pertua ABIM Selangor, saudara Khairudin Abas. Beliau memetik ayat-ayat Allah dari surah Al-Kahfi ayat 13 hingga 14 yang bermaksud;

"Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: "Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari pada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran."

Pilihan ayat ini bertujuan untuk menggambarkan bagaimana keteguhan, kekuatan dan ketajaman fikiran pemuda Al-Kahfi ini dan seharusnya menjadi contoh dan diikuti khususnya dalam konteks dan cabaran yang didepani oleh remaja dan belia masa kini. Mesyuarat kemudiannya diteruskan dengan penyerahan surat lantikan Ahli Jawatankuasa Kerja ABIM Selangro 2010/2011. Perbincangan seterusnya tertumpu kepada program-program terdekat dakwah di negeri Selangor yang amat mengharapkan komitmen setingginya daripada ahli. Antara program yang dibincangkan adalah;


1. Kempen "Seorang Sekampit Beras"
Kutipan sumbangan telah dimulakan dan dijangkakan agihannya akan bermula seawal 31 Julai 2010 di Jalan Kebun, Shah Alam. Kemudian diikuti jadual agihannya pada 14 Ogos 2010 di Gombak dan 15 Ogos 2010 di Sungai Buloh.

2. Program SMART Solat (Tahsin Ibadah)
Akan berlangsung yang pertama di Felda Sungai Tengi bersama Sekretariat Menangani Gejala Sosial Badan Dakwah Negeri Selangor pada 31 Julai 2010. Kemudian dituruti dengan Program Ihya'Un-Nahar bersempena Ramadhan yang pada cadangannya akan dibuat di 5 buah masjid dan surau serentak pada 31 ogos 2010. Antara cawangan yang dijangka terlibat adalah Kuala Langat, Tanjong Karang, Sepang, Gombak dan Sabak Bernam.

3. Majlis Tautan Kasih HELWA
Ia akan dilangsungkan di Hotel Crystal Crown Shah Alam dan akan dihadiri oleh lebih 50 orang HELWA ABIM Selangor dari setiap pelusuk daerah. Ia akan diadakan pada 24 Julai 2010 bermula jam 8.00 pagi hingga jam 4.00 petang. Ia adalah sebahagian dari agenda memperkasa HELWA serta menjadi medan pengikat silaturrahim antara HELWA ABIM Selangor.

Semoga segala usaha dakwah ini terus subur dan diberikan kelapangan oleh Allah s.w.t untuk terus bergerak menegakkan kalimah Allah di bumi Selangor khusunya.




Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Setiausaha
ABIM Cawangan Negeri Selangor
20 Julai 2010H / 8 Syaaban 1431M

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR