KEPENTINGAN DAN KETERLIBATAN ORANG MUDA DALAM DAKWAH ISLAM
Oleh : Khairudin bin Abas Timbalan yang di Pertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Yang Di Pertua, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kuala Langat “kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad ) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun dan menegaskan tauhid lalu berkta “ Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi. Kami sekali-kali tidak akan menyembah yan lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui yang jauh daripada kebenaran.” (Al-Kahfi : 13-14) Orang Muda ; Analisis SemasaHari ini rata-rata, orang muda pelbagi karakter sama ada watak seorang anak yang baik soleh dan solehah, watak pelajar unggul penuh dan sopan, watak antagonis penuh parut dimuka, watak penderhaka pada nikmat motor yang kian menjadi pilihan bila harga minyak naik mendadak, watak muka tak bersalah bila mendengar bayi dibuang sewenangnya di dalam baldi, ditepi sungai malah di dalam beg sekolah yang sepatutnya menjadi karung ilmu paling berharga tapi… persoalan ini orang muda patut jawab. Ini mungkin watak yang kita ada di samping orang muda sekarang lebih sarat dengan hiburan, terasa mewah hingga makan pun kadang-kadang terpaksa disuap dimulut baru mahu mengunyah. Mati rasa, mati jiwa terasa mewah bila di suruh susah sedkit keluhnya hingga ternganga mulut dan kesahnya hingga terdeng ar seluruh serangga. Namun sesungguhnya mereka kuat dalam diam. Pengalaman menghadiri sistem sekolah formal bertahun, setidak-tidaknya melahirkan generasi ilmuwan wibawa. Tanpa siapa sangka tahap kreatif dan inovatif mereka bakal menggegar dunia. Cuma kita masih mencari makna kata Sukarno “ Beri aku sepuluh pemuda akan kugegarkan dunia”. Orang Muda yang bagaimana agaknya. Tepuk dada. Adakah kita bersedia. Orang Muda dan Perjuangan dakwah Islam ; Satu Sorotan SejarahOrang muda memainkan watak penting tika hijrah. Teringat beraninya Saidina Ali karamallahuwajhah bila menggantikan Ar-Rasul saw ditempat tidurnya. Kuatnya Asma’ bt Abu Bakr meredah padang pasir menghantar bekalan ke Gua Tsur tempat baginda bersembunyi mengatur langkah penting perjuangan dakwah. Teringat pula pada keberanian Syuhib Al Rumi , Bilal Al Habsyi, Salman Al-Farisi betapa anak-anak muda ini berani dengan penuh keimanan dan kekuatan akidah membantu dalam dakwah Ar-Rasul saw. Susah mahu menolak fahaman sekular yang telah bertapak di dalam minda segar anak muda sekarang apabila telah tegar bahawa zaman remaja ini adalah zaman serba harus. Semuanya mungkin. Zaman ini datangnya sekali, bila lagi mahu berlibur hingga lupa kubur yang tak kenal umur. Namun Allahyarham Ustaz Abdul Wahab Zakaria menolak pentafsiran ini dan menegaskan bahawa masa inilah marhalah penting menyiapkan generasi depan. Ingat! Jika kita mahu lihat dunia hari depan, lihatlah orang mudanya hari ini.. Dakwah dan Orang Muda Kepentingan dakwah tidak dapat disanggah lagi. Kalam Tuhan Surah Ali Imran : 104 “Hendaklah ada diantara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebaikan (mengembangkan Islam) dan menyuruh berbuat segala yang baik , serta , melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Mereka yang bersifat demikian itulah orang yang berjaya.” Oleh yang demikian inilah orang muda patut merebut peluang kerana orang muda ada tenaga, ada kreativiti memahami rakan sebaya, persekitaran serupa. Mereka mampu memberi alternatif yang baik untuk mengatasi masalah mereka. Ini kekuatan dan kepentingan anak muda dalam arena dakwah masa kini. Inilah watak besar yang kita mahu lahirkan. Watak pemuda yang kita panggil “Ghuraba’“. Melahir Pemuda GHURABA’ Ghuraba’ maksudnya pelik. Memang pelik hari ini bila kita bertindak diluar kotak kebiasaan. Bila kita berjalan memakai kopiah di pusat membeli belah. Bila kita tiada telefon bimbit, bila tiada teman yang berlainan jantina. Itulah pemuda –pemudi yang sedikit berbeza yang kita mahukan. Pemuda yang tahu kepentingan. Bila berhibur tahu batas, bila bersukan tidak berlebihan bila bersosial tahu dimana hadnya. Itulah kesan tarbiyyah Islam yang baik dan syumul. Pemuda ghuraba’ ini perlu TEKAL imannya. PEDULI sifatnya dengan rakan sebaya, menegur temannya ketika temannya silap, memimpin temannya bersama melakukan kebaikan. ISTIQAMAH melakukan ibadah berterusan. Sedang semua orang sebaya dengannya sibuk dengan irama hip hop yang menjadi siulan, terkinja-kinja dengan tarian shuffle, bangga bertopi jenama terkenal dengan lambang pasukan bola sepak syaitan merah, yang perempuan sibuk dengan mekap-mekap tebal dan tudung pendek yang menjadi kebanggaan. Namun, mereka tetap bersederhana dalam pemakaian, sibuk meningkatkan ilmu di dada. Tidak naïf dengan keadaan semasa. Berhibur dengan yang tidak melampaui batas agama. Ini generasi harapan, yang kita mahu. Keterlibatan golongan ini penting terutama dalam memenangi hati rakan seumur dan sebaya dengannya. Bukankah orang muda lebih tahu bahasa mereka. Negeri Selangor; Citra dan Harapan. Kebanyakkan kita punya cita besar diluar sehingga kita lupa ada sesuatu di depan mata yang amat berharga. Medan dakwah di Selangor terbuka luas. Membuat program dakwah sebagai produk usrah biar kecil tetapi impak besar terhadap masyarakat. Selangor punya ruang dari anak kecil hingga warga emas yang dahaga iman. Dari insan pojok yang merempat di kaki lima jalan hingga orang besar yang sednag dipuncak kuasa politik. Kita kena berani berhadapan, kerana wadah yang kita genggam erat ini adalah ABIM yang diacu untuk menempuh apa jua cabaran yang ada. TEKALAH, PEDULILAH DAN ISTIQAMAHLAH..kerana anda andalah benih-benih daie yang subur, bakal mewangikan kembali , wangian yang terhapus.
Wallahua’lam
0 comments:
Post a Comment