Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




MUKTAMAR ABIM SELANGOR KALI KE-38


Alhamdulillah, dipanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. kerana dengan rahmat dan izin-NYA maka telah terlaksana sudah MUKTAMAR ABIM SELANGOR Kali Ke-38 dengan tema 'Memimpin dan Menggerak Generasi Pelanjut Risalah'.

Muktamar pada kali ini telah berlangsung selama 2 hari 1 malam yang diketuai oleh Pengarah Muktamar saudara Khairudin Abas (Setiausaha Negeri). Usaha untuk mengumpulkan peserta bermula pada 26 Jun 2010 jam 2.30 petang nampak berbaloi apabila dihadiri bersama rakan-rakan dari KDH dan PEPIAS yang memeriahkan aktiviti perlawanan futsal pada petang tersebut. Ia hanyalah sekadar sebahagian dari agenda kecil, berekreasi sebelum masuk kepada perbincangan utama bermula jam 9.15 malam tersebut.

Muktamirin dan muktamirat berkumpul dan menunaikan solat berjemaah bersama Maghrib dan Isyak dan diselangi dengan kuliah Maghrib yang disampaikan oleh saudara Khairudin Abas. Sesi 1 muktamar bermula pada jam 10.00 malam dengan dpengerusikan oleh Timbalan Pengerusi Tetap Muktamar, Ustaz Muszaki. Sesi berlangsung dengan lancar dan aman sehingga jam 11.00 malam. Sesi pertama dimulakan dengan pembentangan minit muktamar yang lalu, laporan aktiviti ABIM Selangor serta laporan kewangan ABIM Selangor.


Hari berikutnya, 27 Jun 2010, muktamar dimulakan dengan Ucapan YDP dan perasmian yang disempurnakan oleh Saudari Fadhlina Siddiq, Naib Presiden ABIM yang juga Ketua HELWA ABIM. Sejurus kemudian, sesi diteruskan dengan Wacana Pemikiran: Badiuzzaman Syed Nursi (akan disiarkan di dalam blog akan datang). Ketokohan beliau ini telah dibincangkan dan dibentangkan kertas kerja oleh 2 orang jemputan iaitu Saudara Ahmad Azam Abdul Rahman (Timb Presiden WADAH), Saudara Sadik Ozata (Yayasan Khairat Turki) dan dipengerusikan oleh Ustaz Naim.

Wacana berlangsung dengan baik dan disambung dengan sesi ketiga muktamar iaitu perbahasan usul. Perbincangan dan perbahasan berjalan dengan baik dan ia merupakan satu perubahan dan anjakan yang positif bertujuan untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada muktamirin dan muktamirat yang hadir. Ini kerana majoriti dari yang hadir adalah pemuda-pemudi harapan yang bakal menerajui ABIM pada masa-masa akan datang. Semoga muktamar ini terus menjadi kewajipan kepada setiap ahli ABIM dipelbagai peringkat dan meneruskan tradisi muhasabah gerakan.


Saf Kepimpinan ABIM Selangor 2010 - 2011 telah diumumkan oleh Saudara Pengerusi Tetap, Haji Sirajuddin Sirat. Berikut adalah senarai kepimpinan terkanan sesi 2010 - 2011;

Yang Di Pertua ABIM Selangor : Haji Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni
Timb. Yang Dipertua ABIM Selangor : Khairuddin bin Abas
Setiausaha Negeri : Kamarul Azami bin Mohd Zaini
Penolong Setiausaha Negeri : Ustaz Mohd Muszaki bin Ozir
Setiausaha Kewangan : Norhidayah binti Sumairi
Ketua HELWA Selangor : Haryati binti Abdul Halim



Setiausaha
ABIM Negeri Selangor
29 Jun 2010

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR