BENGKEL EKONOMI ISLAM



5 Jun 2010. Kolej Dar Al-Hikmah, Sungai Ramal Dalam, Kajang. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dengan kerjasama Kolej Dar Al-Hikmah telah berjaya menganjurkan satu bengkel ekonomi Islam bertemakan ‘Model Ekonomi Yang Memenuhi Maqasid Syariah’. Bengkel dimulakan dengan ucapan aluan yang disampaikan oleh Saudara Amidi bin Dato’ Abd Manan, Timbalan Presiden ABIM. Kemudian, sesi diteruskan dengan ucaptama dan perasmian bengkel oleh Yang Berbahagia Dato’ Dr. Siddiq Fadzil selaku Presiden Kolej Dar Al-Hikmah. Tajuk ucaptama beliau adalah ‘Maqasid Al-Shari’ah: Aktualisasinya Dalam Bidang Ekonomi’ telah berjaya mengetengahkan beberapa dasar penting perbincangan di dalam bengkel tersebut.

Antara yang disebutkan beliau adalah mengenai ciri dan matlamat sistem ekonomi Islam. Beliau menjelaskan, ekonomi Islam adalah sejenis ‘faith-based economy’ yang terikat dengan maqasid al-shari’ah, hukum syarak serta nilai-nilai akhlak. Antara nilai yang menjadi tonggak utama dalam ajaran Islam adalah keadilan. Menurut beliau lagi, para ulama’ telah menyepakati lima objektif syari’at sebagaimana yang digariskan oleh al-Ghazaliy iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta. Menutup ucaptama beliau, para peserta diberi peringatan dan pesanan bahawa kita perlu sedar tentang kerapuhan kebergantungan kita kepada sistem hutang kerana bagi ummat Islam, hutang adalah amat berbahaya.


Sesi kemudian berhenti rehat dan disambung dengan bengkel yang diketuai oleh Dr. Mahyudi (UIAM) dan panelis yang dibarisi oleh Prof. Dr. Abdul Ghafar Ismail (UKM), Prof. Dr. Jamal Othman (UKM), Dr. Norlida (UKM) serta Encik Razali Osman (ISDEF USM). Masing-masing membincangkan tajuk ‘Monetary Policy’, Ekonomi Lestari, Ekonomi dan Perlancongan serta Wakaf. Sesi ini tamat sehingga jam 1.30 petang. Seterusnya diteruskan pada jam 3.00 petang, satu Majlis Pra-Perasmian Sumbangan ‘Online’ InfaqSaya oleh Pro. Madya Haji Shaharudin Badarudi (Timb. Pengerusi Syura Kebangsaan) dan penyerahan sumbangan InfaqSaya kepada wakil-wakil ABIM negeri sehingga bersurai pada jam 4.30 petang.




No comments: