Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Menggapai malam al-Qadar dengan usaha



Jumaat September 11, 2009

BILA datang bulan Ramadan pada setiap tahun umat Islam diperingatkan semula
tentang satu malam yang begitu besar maknanya iaitu malam al-Qadar.
Malam al-Qadar atau dalam bahasa arab disebut lailatul Qadar terdapat
beberapa makna.

Lailatul Qadar menurut Ibnu Abbas, Ikrimah dan Sa’id bin Jubair
membawa maksud malam keputusan; atau malam penetapan. Manakala tafsir
Qurtubi dalam menjelas ayat surah al-nasr pula menjelaskan bahawa
maknanya adalah malam yang sempit.

Dinamakan demikian kerana pada malam itu bumi sesak/sempit dengan
para malaikat. Dalam al-Quran disebut oleh Allah SWT bahawa malam
tersebut ganjarannya seumpama seribu bulan. Lailatul qadr merupakan
malam yang diberkahi. Allah Ta’ala berfirman al-Dukhan ayat 1-6 yang
bermaksud;

“Haa Miim. Demi Kitab (al-Quran) yang menjelaskan. Sesungguhnya Kami
menurunkannya pada suatu malam yang diberkahi dan sesungguhnya Kami lah
yang memberi peringatan. Pada malam itu dijelaskan segala urusan yang
penuh hikmah. (Iaitu) urusan yang besar dari sisi Kami. Sesungguhnya
Kami adalah yang mengutus rasul-rasul sebagai rahmat dari Rabb-mu.
Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”


Bagi mereka yang teguh imannya pastinya akan berasa terkejut dengan
hadiah Allah SWT yang begitu besar bagi mereka yang benar-benar
memperolehi malam tersebut.

Bandingan satu malam yang dinamakan sebagai malam al-qadar dengan
seribu bulan sama juga seumpama 83 tahun. Kiraan secara zahir ini
menunjukan betapa besar pahala yang Allah swt berikan kepada umatnya
bagaimana tempoh 83 tahun tersebut seolah-olah satu umur bagi seorang
manusia yang hidup dimuka bumi ini.

83 tahun adalah tempoh agak panjang sebagai manusia, namun satu
malam al-qadar itu amat bermakna sekali. Namun dalam huraian hadith
begitu banyak penjelasan diberikan tentang tarikh sebenar bilakah malam
al-qadar tersebut.

Perdebatan yang dilakukan oleh para ulama dan muhaddithin ini
mengundang kita memikirkan kenapakah tiada satu masa yang tunggal bagi
kita untuk mendapat ketetapan Allah swt agar kita sedia dan mampu
meraih malam al-qadar dengan mudah.

Firman Allah SWT dalam surah al-qadar ayat 1-5 yang bermaksud;


“Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam
itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa
segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).
Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar."


Pengurniaan malam al-qadar oleh Allah swt dalam bulan Ramadan dengan
segala perselisihan masa yang tepat bilakah ianya berlaku mengundang
kita sebagai hambaNya berfikir apakah makna disebalik anugerah ini.

Sebagai pencipta alam ini pastinya Allah menghendaki kita agar
sentiasa bersedia tidak kira pada awal masa, pertengahan dan akhir
Ramadan agar sentiasa berusaha mencari bilakah malam al-Qadar
sebenarnya. Ertinya disini Allah SWT ingin menguji dan menawarkan kita
satu pertandingan dikalangan hambaNya siapakah dikalangan mereka yagn
benar-benar ikhlas mencari malam al-Qadar.

Wujudnya kesedaran untuk mencari malam al-qadar ini tidak akan
terbit semata-mata untuk berada dalam suasana hening malam dan bangun
untuk melihat peristiwa apa yang bakal berlaku semata-mata.
Namun disebalik usaha dan ikhtiar manusia mencari malam al-Qadar ini
selain merebut pahala berganda tersebut adalah manifestasi cinta kita
kepada Tuhan yang menganugerahkan nikmat dan kasih sayangnya kepada
seluruh hambaNya.

Cinta kita kepada Allah yang ikhlas dan kasih sayang yang diterima
tanpa berbelah bahagi daripadaNya yang mampu membangkitkan kesedaran
iman dan taqwa untuk mencari malam al-Qadar tersebut kerana telah
dijanjikan Allah swt bahawa pada malam tersebut diturunkan para
malaikat untuk melihat dunia siapakah yang sedang melaksanakan ibadah
kepada Tuhannya.

Tanpa rasa cinta dah kasih kepada tuhan mana mungkin kita bersedia
untuk bangun malam, membuka segala kelemahan kepada Nya, memohon
keampunan dan mendoakan kesejahteraan hidup didunia. Hanya mereka yang
teguh iman, tegap taqwanya bersedia menghadapi ujian bangun malam
dengan gigih.

Inilah hakikat pencarian malam al-Qadar yagn harus dipelajari.
Pencarian ini juga jangan dilihat sebagai satu usaha yang kosong dan
dijadikan pesta untuk meraih malam yang penuh barakah ini.
Mulakan diri dengan kesedaran dan tingkatkan rasa iman yang
benar–benar semata-mata untuk mencari keredhaan allah semata-mata. Mari
kita sama-sama renung Firman Allah dalam surah saba’ ayat 46 yang
bemaksud;


"Katakanlah (Wahai Muhammad): 'Aku hanyalah mengajar dan
menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu: hendaklah kamu
bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata,
sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri;
kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui
salah benarnya ajaranKu.'"


Sesungguhnya sebagai Khaliq dan pencipta alam ini, sudah tentulah
Allah SWT ingin melihat melalui kekuasaan siapa dikalangan mereka
hambaNya yang benar-benar berusaha dalam mencari peluang dan ruang
malam al-qadar tersebut.

Malam yang penuh dengan barakah ini dijanjikan Allah dengan pahala
yang cukup besar melalui solat-solat sunat, tilawah al-quran dan
muhasabah diri agar kita kembali merapatkan jurang yang sudah jauh
dengan Allah swt.

Sebagai hambaNya yang beriman sikap mencari keredaan Allah mesti
dicipta dalam diri. Marilah kita bina kekuatan mencari malam al-Qadar
dengan cinta dan kasih pada Nya.

HASRI B HARUN
Penulis adalah Presiden Kumpulan Pengajian Islam, (MISG) ABIM UK-Eire
dan Mantan YDP ABIM Selangor

1 comments:

Anonymous said...

Kalau ikut pengalaman Imam Ghazali, Kalau puasa jatuh pada hari sabtu, maka malam lailatu qadr nya insya ALlah pada malam 23. Kalau yang sebok sokmo tu, boleh la cuba.

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR