Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Penghayatan Israk Mikraj

Nabi Muhammad s.a.w berdakwah bermula dari peringkat awal baginda diutuskan adalah berdasarkan keyakinan baginda terhadap utusan Allah s.w.t iaitu Malaikat Jibril a.s. Dengan berbagai cara Malaikat Jibril a.s datang kepada baginda menyampaikan amanat Allah s.w.t. Namun begitu, keyakinan Nabi Muhammad s.a.w yang begitu tinggi terhadap penyampai maklumat ini, hinggakan beliau merasa cukup untuk berdepan dengan Allah s.w.t dengan bermunajat, bersolat dan membaca Al-Quran yang dianggap amalan yang tiada perantara antara beliau dan Tuhannya Robbul Izzah.

Sebagai pengukuh Iman yang sebenar-benarnya, juga anugerah terhadap perjuangan Nabi Muhammad s.a.w yang tiada erti penat dan lelahnya. Allah s.w.t telah mengurniakan satu kurniaan besar yang tidak pernah diberi kepada nabi-nabi lain sebelum baginda.

Secara ringkasnya, kesimpulan kepada bagaimana Peristiwa Israk dan Mikraj menjadi tonggak kepada realisasinya Rukun Iman yang enam .

Pertama: Kepercayaan kepada Allah s.w.t

Nabi Muhammad s.a.w diberi kesempatan luar biasa untuk berdialog dan mendengar ucapan-ucapan Allah s.w.t dengan telinga baginda sendiri, ini meningkatkan keimanan baginda terhadap kewujudan Allah s.w.t.

Kedua: Kepercayaan kepada para Malaikat

Nabi Muhammad s.a.w diiringi para Malaikat, bertemu dgn ribuan para Malaikat di setiap langit, maka meningkat keimanan dengan kewujudan Malaikat.

Ketiga: Kepercayaan kepada Nabi-nabi

Banyak riwayat menceritakan bahawa Nabi Muhammad s.a.w bukan sekadar bertemu dengan para-para nabi terdahulu, malahan mengimami mereka dalam satu solat cukup memberi keyakinan bahawa perjuangan beliau telah dilalui oleh nabi-nabi terdahulu dengan situasi yang berbeza.

Keempat: Kepercayaan kepada kitab-kitab

Kesempatan bertemu dengan nabi-nabi terdahulu yang diberi kitab-kitab ditambah lagi apa yang disebut dalam Al-Quran mengukuhkan keyakinan bahawa kitab-kitab diturunkan sebagai panduan kepada manusia untuk kembali kepada tuhannya dengan cara yang paling sempurna.

Kelima: Kepercayaan kepada hari Kiamat

Nabi Muhammad s.a.w diperlihatkan alam Syurga dan Neraka yang semuanya berada di alam Akhirat. ini meningkatkan lagi keyakinan tentang azab alam Akhirat adalah hak.

Keeenam: Kepercayaan kepada Qada dan Qadar

Imam Nawawi menyebut bahawa Qada dan Qadar ini hanya menunjukkan betapa luasnya ilmu Allah taala tanpa terikat dengan sebarang paksaan. Melihat peristiwa Akhirat dan apa yang berlaku di Syurga dan Neraka cukup menunjukkan bahawa ilmu Allah s.w.t sangat luas dari alam tiada hingga ke alam akhirat yang diceritakan di dalam al-Quran adalah benar semata-mata.

Itulah secara ringkas sedikit penghayatan Israk Mikraj yang boleh kita kongsi bersama.

Terima kasih.


Nukilan Timbalan Yang Di Pertua ABIM Selangor.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR