Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Hari Parenting ABIM Klang

KLANG, 30 Mac 2008 (Ahad) - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Klang melalui TASKI/TAHFIZ Al-Firdaus telah melaksanakan Hari Parenting bagi ibubapa kepada pelajarnya bertempat di Dewan Masjid Sultan Sulaiman, Klang.
Seramai lebih daripada 340 orang telah menghadiri program ini. Sesi untuk anak-anak dijalankan serentak di mana mereka telah diberi panduan khusus oleh para petugas daripada Klinik Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia tentang bagaimana untuk menjaga gigi dengan baik.
Shirajuddin Sirat, Yang DiPertua (YDP) ABIM Selangor dalam ucapan aluan beliau menyeru para ibubapa agar turut serta terlibat dengan kerja-kerja amal dan kebajikan yang diselaraskan oleh ABIM. Beliau menegaskan bahawa keikhlasan dalam melaksanakan kerja-kerja amal dan kebajikan merupakan elemen yang terpenting perlu dititikberatkan sebagai usaha untuk mendapatkan keredhaan daripada Allah s.w.t
Hari Parenting ini telah dirasmikan oleh Ustaz Abdul Rahim Salleh, Pegawai Tadbir Agama (Kadi) Daerah Klang. Beliau menghargai usaha yang dijalankan oleh pihak ABIM dan berharap kerjasama yang serupa dapat dijalin dari semasa ke semasa.
.
Beliau seterusnya mengingatkan para hadirin agar mempelajari kemahiran keibubapaan dengan baik dan menegaskan bahawa anak-anak mestilah dididik dengan sebaik-baiknya sejak mereka kecil lagi. Satu forum bertajuk Rumahtangga Rasulullah s.a.w. Sebagai Qudwah Hasanah telah disampaikan oleh Datin Aminah Zakaria dan Ustaz Zamri Zainal Abidin.
Moderator bagi forum ini adalah Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni, Pemangku YDP ABIM Klang. Datin Aminah yang merupakan mantan Ketua Helwa ABIM Pusat menyampaikan tips yang sangat bermakna tentang pendidikan anak-anak iaitu setiap daripada ibubapa hendaklah menggabungkan ketiga-tiga resepi penjagaan anak-anak sepertimana yang pernah diajarkan oleh Saidina Umar, Saidina Ali dan Imam Al-Ghazali. Ustaz Zamri yang merupakan mantan YDP ABIM Mesir pula antara lain menyeru para ibubapa agar mendidik anak-anak dengan tasawur atau kerangka pandangan hidup yang betul tentang ibadah dan memastikan anak-anak dibesarkan dengan persekitaran yang baik.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR