LAWATAN BADAN DAKWAH DAERAH GOMBAK KE SINGAPURA
CEO Darul Arqam menyampaikan cenderamata kepada YAD Dato’ Paduka OBD Gombak
Bergambar di hadapan The Muslim Converts Association of Singapore
8 Januari 2008, Geylang – ABIM Daerah Gombak telah menyertai Badan Dakwah Daerah Gombak mengadakan Lawatan Kerja ke Darul Arqam, Singapura. Program lawatan yang julung-julung kali diadakan ini diketuai oleh Dato’ Paduka Raja Hj. Mahmud bin Pak Wan Teh,Orang Besar Daerah Gombak merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah Gombak. Seramai 35 orang peserta dari berbagai agensi kerajaan dan Bukan Kerajaan (NGO) telah dijemput menyertai misi ini. Antara tempat yang dilawati ialah The Muslim Converts’ Association of Singapore (Darul Arqam) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menumpukan kepada aktiviti dakwah dan latihan kepada orang-orang yang baru memeluk Islam. Semua aktiviti pembelajaran dan latihan dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan menggunakan kaedah teknologi moden. Menurut Pengurus Besar Darul Arqam, Singapura, En. Zainal Abidin Nordin, Pusat ini asalnya adalah sebuah panggung wayang Galaxi, kemudian ia bertukar menjadi pasaraya dan akhirnya ia dibangunkan menjadi pusat dakwah Darul Arqam pada tahun 1980. Ketika ini, pusat tersebut berkembang pesat dan mendapat sambutan hangat dari masyarakat dan perhatian dari pihak kerajaan. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah memberikan kepercayaan kepada institusi ini untuk mengendalikan prosedur memeluk agama Islam dan mengutip zakat dari masyarakat Islam di Singapura. Saudara baru yang memeluk Islam akan diberikan kad pengenalan khas yang diiktiraf oleh MUIS sebagai pembuktian pengIslaman mereka. Selepas memeluk Islam, peserta akan diberi cenderamata yang mengandungi terjemahan Al-Qur`an, sejadah, penanda arah qiblat, CD panduan solat, kain sarung atau telekung. Selain dari itu wang saguhati sebanyak DS40 untuk wanita dan DS100 untuk lelaki turut diberikan. Sumbangan untuk lelaki diberikan lebih sedikit supaya mereka dapat menjalani prosedur berkhatan. Purata orang yang mendaftar untuk memeluk Islam di Pusat ini adalah seramai 45-50 orang sebulan dan kebanyakannya adalah dari kalangan warga Filipina. Antara faktor paling ramai memeluk Islam adalah sebab perkahwinan. Bagi memantapkan lagi modul dakwah dan program di Pusat ini, beberapa pakar dari dalam dan luar negara telah dilantik, antaranya ialah Dr. Muhammad Nur Manuty, Mantan Presiden ABIM (Malaysia). Bagi peserta yang ingin memantapkan lagi kefahaman dan penguasaan mereka dalam agama Islam, Pihak Darul Arqam telah mengadakan program lanjutan bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beberapa buah buku berkaitan Islam telah diterbitkan dan diedar secara percuma kepada ahli. Satu majalah berkala yang mengandungi artikel isu agama dan ehwal semasa juga diterbitkan sebagai media menyebarkan fikrah dan berita semasa.
1 comments:
tahniah! rindu saya dengan darul arqam singapore bila melihat kembali bangunnanya. saya sempat pergi ke sana 7 tahun yang lepas di bawah ioa. Mereka sungguh hebat! dari hanya sbermula dengan markaz seperti kedai kecil boleh mejadi banguann yang sangat canggih!! banyak kita boleh pelajari dari mereka
Post a Comment