Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




KENYATAAN MEDIA PASCA BANJIR 2014

Kenyataan Media: Pasca Banjir: ABIM GESA KEBAJIKAN RAKYAT   Untuk makluman Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)  telah menggerakkan OPS Skuad Prihatin bagi membantu mangsa banjir di negeri-negeri berkaitan. Dalam tinjauan di lapangan terdapat beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berkuasa.
ABIM  menggesa agar arahan mengosongkan tempat-tempat pemindahan sementara ditangguhkan  serta merta sehingga penempatan semula mangsa banjir diselesaikan.
Beberapa buah keluarga yang ditemui di Manik Urai mengadu mereka tiada tempat untuk dituju bagi mendapatkan perlindungan apabila arahan pengosongan tempat pemindahan sementara dikeluarkan.
Terdapat beberapa keluarga yang mula membina khemah-khemah kecil bagi menempatkan barangan keperluan keluarga masing-masing. Keadaan ini amat membimbangkan kerana ia turut melibatkan kanak-kanak dan warga emas.
Keadaan ini diburukkan lagi apabila masih tiada tindakan yang berkesan diambil untuk mengurangkan sampah sarap di kawasan yang teruk dilanda banjir seperti di daerah kuala krai dan gua musang. Situasi ini boleh mengakibatkan penularan penyakit berjangkit yang mampu mengancam nyawa.
ABIM juga menggesa satu pelan tindakan diumumkan oleh kerajaan negeri dengan kadar sesegera mungkin bagi memulihkan penempatan semula mangsa banjir. Kelewatan pengumuman ini boleh menyebabkan gangguan terhadap perancangan masa depan keluarga yang terbabit.
Sepanjang pengamatan pihak kami banyak premis sekolah di kawasan bencana yang belum dibersihkan. Dalam masa yang sama juga ramai guru turut menjadi sebahagian daripada mangsa banjir.
Memandangkan sesi persekolahan bakal dibuka tidak lama lagi, ABIM menggesa pihak kementerian berkenaan mengambil langkah proaktif untuk mengatasi masalah-masalah tersebut. Tindakan ini perlu untuk memastikan sesi persekolahan akan dating dapat dijalankan dengan lancar.
Menegakkan Kebenaran Dan Keadilan
AMIDI ABD MANAN, Presiden
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR