Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




TAKZIAH BUAT KELUARGA PROF KHALIJAH SALLEH


Al Fatihah: ABIM merakamkan ucapan Takziah buat keluarga Prof Khalijah Salleh

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerima khabar sedih kembalinya Profesor Dr. Khalijah Salleh, mantan Ketua Hal Ehwal Wanita ABIM ke hadrat Allah Subahanallah Ta’ala pada jam 10:01 pagi, 17 September 2011. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Wad Warga, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Jenazah beliau ketika ini sedang diuruskan di rumah beliau di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Pemergian beliau sebagai seorang tokoh akademik dan sains yang disegani serta aktivis dakwah yang komited pastinya amat dirasai oleh ABIM dan umat Islam di Malaysia. Prof Dr Khalijah juga sangat terkenal sebagai tokoh yang mempelopori bidang Sains dan Tauhidik. Kebitaraan beliau di dalam bidang ini menjadikan beliau sangat dihormati dan disegani dalam bidang kepakarannya kerana berjaya menonjolkan kaitan sains dan paksi tauhid sebagai asas memperkukuh aqidah ummat islam.

Di saat beliau tenat terbaring, beliau masih gagah untuk terus berpesan agar terus mendidik generasi muda untuk terus mencintai kerja dakwah dan terus berbakti kepada masyarakat. Sehari sebelum pemergiannya pada tanggal 16 September, wakil keluarga beliau menyampaikan penyerahan sumbangan Waqf tanah beliau untuk projek pendidikan ABIM Selangor. Sesungguhnya Prof.Khalijah telah mengajar kita erti pengorbanan dan perjuangan. Usaha memperkukuh ukhuwwah kerana Allah SWT dan agenda merealisasikan idea-idea besar untuk manfaat ummat seperti yang dipamerkan oleh Allahyarhamah mesti diteruskan oleh watak manusia berteraskan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.

Barisan pimpinan ABIM dengan ini merakamkan ucapan takziah buat keluarga beliau dan tetaplah bersabar menerima ujian dan ketentuan Allah SWT. Marilah kita memanjatkan doa moga ruh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. Al Fatihah.

AMIDI DATO' ABDUL MANAN
Presiden
11:00 pagi, 17 September 2011

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR