Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Bahasa Melayu Berpotensi Bentuk Tamadun Agung


Bahasa Melayu Berpotensi Bentuk Tamadun Agung

Menurut Prof Dr Awang Sariyan (Awang Sariyan), Bahasa Melayu telah membuktikan kemampuannya sebagai agen perubah yang positif kepada umat Islam di alam Melayu. Beliau berkata demikian dalam wacana "Bahasa Melayu Sebagai Jati Diri Umat Melayu dan Rakyat Malaysia", yang dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 21 Januari yang lalu.

"Kekuatan Bahasa Melayu turut didorong dengan pengaruh tamadun Melayu yang menjangkau jauh melepasi ruang lingkup rantau Melayu. Ini telah dibuktikan dengan kajian-kajian sejarah serta akademik yang telah dijalankan." jelas Awang Sariyan lagi, yang merupakan penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China kerajaan Malaysia di Beijing sejak awal 2008.

Menerusi konteks perkembangan dakwah di rantau Melayu, Awang Sariyan menjelaskan Bahasa Melayu merupakan teras utama yang menggerakkan perkembangan Islam di rantau ini."Kedatangan Islam telah menyemarakkan perkembangan pengajian Islam serta persuratan Melayu, menerusi penerapan nilai-nilai Islam di dalam Bahasa Melayu itu sendiri, sepertimana penerapan nilai-nilai Islam yang merubah Bahasa Arab Jahilliyyah menjadi Bahasa Arab yang kita kenali pada hari ini." jelas beliau dalam wacana yang dianjurkan sempena Sambutan 40 tahun ABIM.

Menurut Awang Sariyan, secara asasnya negara ini mempunyai dasar-dasar asas yang memadai untuk memartabatkan Bahasa Melayu sebagai asas jati diri rakyat negara ini, seperti Dasar Kebudayaan Kebangsaan dan Dasar Bahasa Kebangsaan.

Presiden ABIM, Dr. Muhamad Razak Idris, yang turut hadir dalam wacana ini menjelaskan bahawa ABIM tetap konsisten dalam menggerakkan usaha memartabatkan Bahasa Melayu di negara ini, sambil mengimbau pembabitan ABIM dalam gerakan-gerakan berkaitan seperti Kumpulan Prihatin dan Gerakan Mansuh PPSMI (GMP).

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR