Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




FESTIVAL BUSANA MUSLIMAH HINA ISLAM - HELWA ABIM

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius penganjuran Islamic Fashion Festival atau Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang gagal memenuhi serta mematuhi kehendak syariah serta konsep aurat yang digariskan di dalam Islam.

Helwa Abim berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.
“Justeru, Helwa Abim merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya,” ujar Naib Presiden Helwa Abim, Fadhlina Siddiq dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, katanya apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival itu nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.

Tegasnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam yang hadir dengan esensi murni yang signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam.

Tambahnya, aa bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

“Bahkan ia juga bukan interpretasi bahawa inilah pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun,” ujarnya.

Jelasnya lagi, anjuran menutup aurat bukan untuk pesta-pestaan semata-mata kerana ia adalah anjuran ketegasan wahyu dan perintah yang tuntas demi menjaga kehormatan dan maruah seorang wanita Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran.

Beliau memetik maksud ayat Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara-perkara yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka ke dadanya.

Begitu juga dengan firman Allah SWT di dalam Surah al- Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya.

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaung festival tersebut.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim itu yang jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w.
Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pastinya pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran.

Justeru, Gamis mempersoalkan ke mana perginya badan-badan agama dan NGO Islam yang sebelum ini lantang dalam forum perdana menghuraikan kewajipan berpakaian seperti termaktub di dalam Surah An-Nur, ayat 31.

Katanya, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat adalah suatu penghinaan yang amat jijik dilemparkan kepada Islam.

Tegasnya, Gamis mengecam sekeras-kerasnya tindakan Rosmah yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

Tambahnya, sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu itu.

“Dulu umat Islam sangat sensetif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark. Kita juga tidak terlepas menyertai perarakan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya Gamis memuji tindakan pertubuhan tertentu yang akan mengadakan himpunan aman pada hari ini sebagai membantah tindakan penganjuran festival itu.

Sehubungan itu, katanya Gamis meminta anak muda dan Gamis negeri supaya turut sama turun menyatakan bantahan terhadap kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan ke atas muslimah seluruhnya di samping bersama menyedarkan masyarakat akan kepentingan kembali kepada Islam yang sebenar.

0 comments:

TAMRIN PENGUKUHAN JATIDIRI DAN KADERISASI ABIM

Tamrin yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk memperkasa jatidiri, ukhuwah, kaderisasi ahli dan pimpinan muda ABIM dalam mengukuhkan pemahaman terhadap halatuju gerakan selaras dengan usaha memantapkan organisasi melalui kaderisasi yang berkesan.

Program
Tamrin Pengukuhan Jatidiri & Kaderisasi ABIM

Tarikh

15-17 Oktober 2010

Lokasi

Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM), Bangi

Pendaftaran
RM50

Topik yang dibincangkan
ABIM: Relevannya sebagai gerakan Islam Massa
Cabaran Dakwah Semasa
Komunikasi Berkesan dan Rundingan Berkesan
Profesionalisme Petugas Dakwah

Lain-lain

Riadah & Kerja Dalam Kumpulan

Sasaran

Pimpinan Negeri dan Daerah (40tahun ke bawah)
Skuad Kaderisasi Negeri / Peserta LASKAR
Bakal-bakal pemimpin pelapis
Pimpinan Anak Negeri dan kampus PKPIM
Pendakwah Muda berpotensi

0 comments:

Seminar Pemikiran Islam : Membedah Visi Dakwah Wali Songo


Surabaya ,3 Oktober 2010 - ABIM Selangor telah menghantar 4 orang qiadah utamanya ke Program Seminar Pemikiran Islam : Membedah Visi Dakwah Walisongo di Surabaya. Seminar tersebut dianjurkan oleh IMAN ( Integrated Muslim Association Network) dan Dewan Dakwah Islamiyyah Indonesia ( DDII ) Cabang Jawa Timur.

Perwakilan ABIM terdiri dari YDP ABIM Selangor, YDP ABIM Serdang, YDP ABIM Tanjong Karang dan Exco ekonomi ABIM Selangor.

Seramai 16 orang ahli rombongan dari IMAN yang dianggotai oleh WADAH Selangor, ABIM Selangor dan PUM Selangor telah menghadiri seminar tersebut.

Panel Pembentang Indonesia terdiri dari Prof. Dr Ali Mufradi, Guru Besar UIAN Sunan Ampel, Surabaya dan Prof Dr Aminudin Kasdi Guru Besar Universitas Negeri Surabaya manakala dari Malaysia ialah Prof Madya Dr Ahmad Zaki Abd Latif dan tuan Hj Nik Yusoff Nik Ismail.



Seminar tersebut yang dihadiri lebih dari 200 orang daie dan pimpinan Dewan Dakwah dari Cabang Jawa Timur ( JATIM ) telah diadakan di Markaz Utama DDII di Jl. Purwodadi Raya, Surabaya.


Sambutan dari para peserta seminar sangat menggalakkan. Banyak soalan-soalan kritis dan ilmiah yang dikemukan dan diulas dan dijawab dengan baik sekali oleh para nara sumber yang diundang. Oleh kerana masa yang agak terbatas, banyak isu dan persoalan terpaksa dianjak ke satu masa yang lain.

1 comments:

Maklumbalas Awam Rang Undang-undang Kebebasan Maklumat

Shah Alam - 27 September 2010 -ABIM Selangor telah dijemput untuk menghadiri Majlis Dialog bersama Jawatankuasa Khas Mengenai rang Undang-undang Kebebasan Maklumat di Dewan Annex, Shah Alam.

Jawatankuasa Khas yang dianggotai oleh YB Shaari Syuib ( Ketua ), YB Hannah Yeoh, YB Amirudin Shaari dan YB Nik Nazmi turut dihadiri perwakilan dari tujuh NGO termasuk ABIM Selangor.

ABIM Selangor telah diwakili oleh YDP Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Sebagai NGO yang diletakkan di kerusi hadapan maka ABIM diberi laluan pertama oleh pengerusi majlis untuk memulakan sidang maklum balas awam berkenaan rang undang-undang berkenaan.

Berdasarkan draf yang diedarkan terdapat beberapa perkara yang diutarakan oleh para perwakilan untuk penambahbaikan dan pemantapan sebelum dibentangkan semula di Sidang DUN yang akan datang.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR