Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




SUBUR JIWA MERDEKA MELALUI RUH RAMADHAN


Oleh: Hasri bin Harun
Presiden
Kumpulan Pengajian Islam Malaysia ,UK & Eire ( MISG-ABIM)
(Mantan YDP ABIM Selangor)

Kita sekali lagi akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 53. Sesungguhnya kemerdekaan negara adalah satu nikmat yang sangat bermakna dikalangan semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin mahupun rakyat bawahan. Makna merdeka daripada penjajahan juga adalah satu rahmat yang tidak boleh dinafikan oleh seluruh manusia tatkala para generasi awal kemerdekaan menghadapi kesempitan hidup dizaman penjajahan namun kita generasi hari ini dengan mudah menikmati keselesaan hidup jauh daripada apa yang telah dihadapi oleh nenek moyang kita sebelum ini. Namun disebalik kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini persoalannya apakah kita sedar bahawa merdeka yang kita perolehi ini memerlukan pengisian dan usaha mempertahankannya bagi memastikan segala susah payah generasi dahulu tidak mudah kita lupakan dan bagaimana membentuk generasi kita hari ini sentiasa mensyukuri nikmat tersebut. Justeru mensyukuri nikmat kemerdekaan adalah satu tanggungjawab yang mesti disemai dikalangan masyarakat . Ia bagi memastikan merdeka yang kita fahami harus mempunyai isi dan inti yang jelas supaya ianya selari dengan hakikat kehidupan dan tidak hanya sebagai satu program musiman. Kemerdekaan yang syumul tidak harus difahami sekadar dalam konteks merdeka daripada penjajahan kuasa asing tetapi lebih daripada itu merdeka dari segi pemikiran, ilmu, budaya, intektual dan sebagainya. Merdeka yang hendak kita telusuri hari ini lebih daripada bebas daripada penjajah tetapi menyeluruh termasuk dari segi fizikal dan spiritual khusus menurut pandangan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud: "Dan ia telah memberikan kepada kamu sebahagian daripada setiap apa juga yang kamu berhajat kepadanya.Jika kamu menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.Sesungguhnya manusia yang ingkar, sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat TuhanNya".

Lantaran kehadiran bulan mulia Ramadan al mubarak yang kita lalui hari ini menggamit jiwa kita untuk menyemak kembali kefahaman bersama apakah ruh Ramadan tersebut dapat menjana kefahaman mensyukuri nikmat merdeka. Islam membentuk jiwa umatnya agar merdeka daripada segala penjajahan, merdeka jiwa, merdeka akal termasuk merdeka daripada perhambaan sesama manusia. Mari kita telusuri kata-kata Rubie in Amir ketika bertemu Raja Rome yang bernama Rustum tentang makna merdeka menurut perspektif islam. Beliau adalah seorang tokoh yang disegani berdepan dengan cabaran bukan sahaja jiwanya malah nyawanya tatkala menyampaikan amanat kepada seorang raja yang hebat pada ketika itu. Antara lain kata Rubie ibn Amir menyampaikan perkhabaran Islam yang antara lain berbunyi:

‘’Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat’’.


MERDEKA & JIWA HAMBA

Kata-kata ini cukup sedikit sebanyak memberi kita ruang minda untuk berfikir bahawa konsep merdeka menurut islam itu bukan sekadar merdeka jasad daripada penjajahan tetapi merdeka daripada perhambaan sesama manusia. Perhambaan sesama manusia bererti kebergantungan penuh sesama manusia lebih daripada kebergantungan dengan yang Maha pencipta iaitu Allah SWT. Bagaimana kita hendak membuang sikap kebergantungan lebih kepada manusia daripada tuhannya. Tidak lain adalah dengan memahami ajaran islam sebenarnya menurut al-quran dan hadis nabi saw serta mempelajari akan kebenaran islam. Jika kita tidak memahami akan hakikat akidah, syariah dan akhlaq maka sudah pastilah kehidupan akan terikat dengan jiwa manusiawi lebih daripada tuhannya. Perhambaan kepada manusia yang berlebih-lebihan bakal membuka ruang takabbur dan menafikan ketuhanannya hinggakan manusia yang membesarkan manusia pastinya akan hilang ikatan bersama tuhannya. Maka merdeka yang harus disemai iaitu menanam sikap kebergantungan kepada Tuhan agar kehidupan beragama itu mampu membentuk jatidiri yang mulia dan bakal mencerna kehidupan yang lebih baik. Jiwa beragama walau dimana sekalipun tidak pernah membangkitkan suasana ketegangan, jiwa beragama dan dekat dengan tuhan selalunya membentuk sosialisasi yang murni dalam masyarakat maka disinilah merdeka dan kehidupan cukup sinonim sekali.


MERDEKA & DUNIA AKHIRAT

Dalam pada itu merdeka menurut kata-kata Rubie ibn amir ini juga menyentuh apabila elemen kesejagatan duniawi dan ukhrawi tidak harus dipisahkan dalam menghayati semangat merdeka. Kesejagatan dan keluasan kefahaman ini menjadi teras agar manusia dimuka bumi ini memahami bawa segala tanggungjawab mereka didunia ini akan dihitung oleh Allah dalam satu alam yang lain diluar daripada alam duniawi. Berapa ramai manusia pada hari ini memahami bahawa tanggungjawab mereka didunia ini akan ditanya Allah satu masa nanti. Keyakinan bahawa adanya satu alam lain selain daripada dunia tatkala segala usaha dunia akan ditanya dan diberi tanggungjawab akhirnya. Manusia yang tiada kefahaman sebegini melihat dunia ini segala-galanya memungkinkan mereka melakukan sesuatu sepuas-puasnya, menindas, menganiaya kehidupan menggunakan apa cara sekalipun , penindasan dan sebagainya adalah manifestasi ketidakfahaman bahawa segala tindakan mereka akan ditanya didepan Allah satu hari nanti. Percayalah jika konsep dan jiwa manusia merdeka ini disuburi dengan perhambaan kepada Allah dikuatkan maka sikap keduniaan dan keterlanjuran manusia mampu dikekang kerana mereka yakin akan azab dunia dan akhirat. Mari kita renung firman Allah dalam surah al-jathiyah ayat 23 yang bermaksud Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang disembah? Lalu dia disesatkan oleh Allah dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah? Oleh itu, mengapa tidak ingat dan insaf?

Justeru semangat Ramadan yang kita lalui ini haruslah menjadi permulaan untuk memperbetulkan posisi diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang baik berdasarkan syariah islam sebenarnya. Bagi mereka yang mempunyai kuasa apakah kekuasaan itu digunakan untuk menindas orang lain atau kekuasaan itu digunakan untuk mendekatkan dengan tuhannya serta memperkuatkan sistem kehidupan duniawi ini. Ramadan bulan taqwa sudah cukup menjadi model dan tarbiyah diri menjana kekuatan ini demi memastikan hasil Ramadan yang dilalui tidak tinggal kosong sahaja.


MERDEKA DAN KEADILAN HIDUP

Merdeka juga jika kita lihat dalam kata-kata Rubie ib amir adalah soal keadilan yang menjadi teras dalam sistem kenegaraan mana-mana Negara didunia. Keadilan adalah elemen yang sangat penting terutama kepada pemimpin Negara untuk memerintah. Jika mereka memahami kemerdekaan yang berteraskan Islam dan ruh islami tersebut pastinya keadilan akan sentiasa didaulatkan dan ekonomi dan hasil mahsul dalam Negara akan disebarluaskan untuk penghuninya dan tidak mengaut untung untuk kehidupan dunia mereka semata-mata. Firman Allah dalam surah al-nisa ayat 135, "Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau bapak ibu dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, Allah lebih mengetahui kemaslahatan keduanya”.

Justeru semangat Ramadan ini mengajak kita untuk menilai sejauh mana keadilan yang kita lakasana itu mampu member ruang untuk menjana kekuatan hidup berdasarkan syariat islam sebenarnya. Keadilan Islam tidak hanya untuk umat Islam semata-mata, namun keadilan yang dibawa oleh nabi saw itu adalah untuk kesejahteraan semua masyarakat tidak kira agama dan bangsa. Maka Jiwa merdeka harus disinonimkan dengan semangat meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ini memberi satu petanda bahawa Islam mengajak umatnya melakukan ihsan dan kebaikan kepada manusia keseluruhan. Persoalannya bagaimana rakyat hendak mensyukuri nikmat merdeka jiwa hak dan kehidupan mereka tidak ditentukan adilnya. Jiwa dan nurani rakyat harus diberi haknya maka disinilah keyakinan kepada sistem dan kehidupan akan mampu dijana secara menyeluruh. Sesuai dengan kata-kata rubie ibn amir bahwa Islam adalah agama yang mengajak kepada keadilan hidup. Moga mendapat rahmat daripada penciptanya.


RAMADAN DAN JIWA MERDEKA

Syukur alhamdulillah dizahirkan pada tahun ini kita menyambut kemerdekaan ke-53 di dalam bulan mulia Ramadan al-Mubarak. Ramadan sememangnya menyubur jiwa merdeka sebenarnya dikalangan manusia. Kemerdekaan dalam erti yang sebenarnya wajar disemai supaya kita tidak hanya memahami konsep merdeka dalam perspektif yang terhad. Merdeka daripada penjajahan adalah hanya satu daripada elemen kemerdekaan dalam Islam, namun pelbagai takrifan dan penjelasan yang timbul apakah merdeka dan kemerdekaan yang menjadi inti dan asas yang seharusnya difahami secara menyeluruh. Jika kita membuka lembaran sejarah menurut perspektif yang sebenar maka kemerdekaan ini adalah suatu topik yang cukup luas untuk dibentangkan. Justeru kita bersyukur kerana berada didalam suasana keislaman. Moga Ramadan ini sedikit sebanyak membuka bibit kefahaman untuk menelusuri erti merdeka yang sebenarnya. Maka ianya secara jelas bahawa merdeka yang kita sambut ini tidak haya akan dijiwai sekadar satu sambutan fizikal tetapi lebih menyeluruh adalah satu tuntutan keagamaan, sosial dan kenegaraan. Persoalan yang sering timbul adalah bagaimana kita hendak melihat generasi baru hari ini menghayati erti merdeka jika mereka tidak disemai dengaj jiwa kerohanian dan keagamaan . Lantaran kita lihat mereka hanya melaungkan merdeka tetapi jika diselidik kesedaran dan kefahaman adalah jauh daripada inti dan asas merdeka yang sepatutnya menjadi teras dalam jiwa dan sanubari.

Ramadan adalah bulan taqwa. Didalam bulan inilah Allah SWT menjanjikan pelbagai rahmat dan keampunan kepada hambanya yang benar-benar meyakini akan keesaanNya disamping melaksanakan tugas dan tanggungjawab melakukan ibadah kepada nya. Apakah hubungan taqwa dalam konteks Ramadan dalam menghayati merdeka dan kemerdekaan. Taqwa bermaksud menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat manakala Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dalam riwayat imam Bukhari dari Abdullah ibn Abbas dengan sabda baginda “Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. Bagaimana kita hendak menyubur semangat taqwa dalam diri generasi baru hari ini agar makna merdeka yang mereka fahami tidak tersasar. Taqwa itu maknanya mentaati perintah Allah. Mari kita lihat apakah kita mendidik generasi kita mentaati perintah Allah? Dalam suasana hari ini betapa banyak kes-kes buang bayi berlaku. Ancaman demi ancaman yang menjadi serangan dalam masyarakat telah membangkitkan kesedaran bahawa perlunya proses islah dikalangan generasi muda bagi menjauhi amalan zina. Justeru amalan zina yang kita lihat ini haruslah bermula dengan kefahaman Ilmu, mengurangkan pergaulan bebas dikalangan generasi muda lelaki dan wanita. Ia juga difahami dalam konteks ruh islami iaitu mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Apakah kita benar-benar mentaati perintah Allah jika kita yakin untuk memerdekakan diri kita atau sebaliknya. Jika kesedaraan agama ini diabaikan , perintah Allah ini sekadar dipinggiran mana mungkin kefahaman merdeka sebenarnya akan berlaku dalam jiwa. Anjurlah berpuluh-puluh program kemerdekaan jika ianya disalut dengan amalan yang tidak berteraskan agama dan kerohanian, merdeka yang ditanam tersebut hanya kulit sahaja. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 92 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”


BAGAIMANA MENSYUKURI NIKMAT MERDEKA

Kita selalu diingatkan supaya mensyukuri nikmat kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin besar. Persoalan sekarang bagaimana kita hendak menzahirkan kesyukuran tersebut agar ianya benar-benar memberi kesan dalam jiwa generasi muda hari ini. Mari kita renung firman Allah dalam surah al-hajj ayat 41 sebagai manifestasi menyubur ruh Ramadan dan mensyukuri nikmat merdeka : ”orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan shalat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.”

Pertama: mendirikan solat adalah satu tuntutan agama yang menjadi teras mensyukuri nikmat merdeka. Jika generasi muda tidak mendirikan solat bererti mereka tidak mempunyai ruh untuk meyakini akan semangat merdeka secara menyeluruh. Maka kempen solat dan mengimarah masjid-masjid adalah perlu digerakkan supaya mereka melaksanakan solat . Ianya mesti diperkasa moga generasi ditanam semangat dan ruh solat agar mereka meyakini akan kesyukuran merdeka. Bagaimana mereka hendak bersyukur dengan kemerdekaan jika amalan wajib seperti solat ini diabaikan. Kedua, elemen menunaikan zakat adalah juga perkara yang harus menjadi amalan dikalangan generasi muda jika mereka hendak mensyukuri nikmat merdeka. Menunaikan zakat ertinya mengeluarkan harta untuk membantu orang lain. Ianya bererti Islam melatih generasi muda supaya menerap semangat patuh kepada perintah Allah dengan membantu orang lain atas kejayaan hasil daripada harta kita. Perkongsian inilah menjadi teras kesyukuran nikmat mereka. Jika generasi dilatih bersikap individualisitik,mencari kekayaan untuk diri dan keluarga semata-mata mana mungkin usaha membantu orang lain dalam Negara yang merdeka dapat dilakukan maka akan meningkatnya kemiskinan dan kadar kemiskinan juga pastinya bertambah. Ketiga, melebarluaskan elemen amar makruf nahi mungkar. Inilah juga satu usaha bersepadu untuk generasi mengangkasakan harapan mereka kepada Negara supaya gejala sosial dapat dibanteras. Jika generasi muda sambil lewa, tidak mengambil berat soal akhlak, sosial , terjebah dengan gejala yang bercanggah dengan islam, ingkar dengan perintah agama daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah, tidak menggalakan orang lain melakukan dakwah dan sebagainya mana mungkin kesyukuran itu mampu diletak dipersada. Melatakan amar makruf nahi mungkar adalah satu usaha bersepadu yang digembeling dalam bulan Ramadan harus diperkara dan digerakkan bahkan jika dapat dijadikan agenda perdana maka inilah salah satu usaha mendidik umat agar memahami akan tanggungjawab cintakan Negara. Amar makruf nahi mungkar sebenarnya menanam jiwa kasihkan bangsa, tanahair serta tidak mahu melihat Negara terjerumus dengan gejala yang tidak baik. Bila generasi terdidik dengan semangat amar makruf nahi mungkar maka inilah juga satu langkah menanam semangat merdeka, cintakan Negara dan tidak mahu melihat segala kebaikan yang subur dinegara dinoda oleh ancaman yang tidak baik.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR