TIPS BERNIAGA (Muhasabahkan Diri Kita)
Apalah agaknya perniagaan yang paling menguntungkan? Perniagaan yang tiada risiko dan pasti boleh berjaya. Asasnya cuma keikhlasan hati dan lakukannya dengan penuh kesungguhan. Perniagaan apa sebegitu?
Pertama; Kitar Semula
Ya, perniagaan kitar semula. Kitar semula dunia untuk mendapatkan akhirat. Maklumlah kita semua bahawa dunia dan semua isinya tidak akan kekal, yang kekal hanyalah Allah s.w.t. Keutamaan dalam kehidupan kita adalah untuk membuat persiapan pada hari akhirat kelak. Oleh itu, adalah amat musthil apa sahaja yang dianugerahkan Allah kepada kita hari ini adalah pemberian yang 'saja-saja'. Ini semua amanah yang mana esok (kiamat) Allah akan persoalkan yang telah dipinjamkan ini, termasuk nyawa, masa dan kehidupan kita. 'What you give, you get back'. Jomlah kita kitarkan semula dunia kita untuk mendapatkan habuan di kampung halaman kita nanti.
Kedua; Tukaran Matawang
Pantang mata dan telinga bila lihat dan dengar wang. Apa sahaja yang boleh menjadi wang adalah keberuntungan yang kita pasti cari. Ini bukan tukar wang asing. Ini bukan perniagaan wang. Tetapi sebaliknya, tukarkan wang kita itu menjadi perbelanjaan atau pelaburan yang kekal abadi. Wang dalam saku kita bukan milik kita. Wang yang akan menjadi milik kita ialah wang yang ditukarkan dimana-mana pusat tukaran wang milik Allah s.w.t seperti derma masjid, derma anak-anak yatim, derma sekolah agama, derma orang yang mahu belajar agama dan sebagainya. Harga pasaran ini memang tidak pernah merugikan, cuma rugilah kita kalau tidak membuat pertukaran wang itu sekarang, sebab kita tidak tahu bila ajal kita.
Ketiga; Perkhidmatan Awam
Wah, ini mesti perlukan modal yang besar. Untuk beli bas, beli LRT dan sebagainya. Atau perlu memiliki bangunan yang besar untuk buat klinik atau hospital. Tapi pernahkan kita terfikir, bahawa perniagaan perkhidmatan awam ini modalnya adalah serendah masa dan tenaga yang kita ada sahaja. Masa Allah bagi percuma, kenapa tidak kita guna untuk memberikan manfaat kepada orang lain? Kefahaman Allah bagi percuma juga walaupun untuk dapat pengetahuan kita perlu bayar. Tapi yang penting faham dan berkhidmat kepada awam. Ramai kita yang mengejar bayaran dunia. Apakah kita fikir Allah tidak mampu membayar gaji kita? Ketamakan mengejar dunia menyekat kita untuk berbakti kepada ummat dengan kepakaran dan ilmu yang kita ada. Bersegeralah berkhidmat untuk agama, sebab kita tidak dapat menyangka bila kita akan dipanggil kembali ke rahmat Allah.
Keempat; Deposit Tetap
Deposit tetap buat mereka yang duitnya berlebihan dan tidak tahu kemana hendak digunakan. Kita fikir, simpan duit di dalam bank sebagai deposit tetap akan menjamin kebahagiaan di dunia, tetapi kita sering terlupa bahawa apa yang kita lakukan hari ini bukan untuk hari ini tetapi esok. Bekerja keras hari ini sampai malam, untuk mengelakkan esok dimarahi ketua sebab kerja tidak selesai. Begitu juga hidup ini, berusaha di dunia ini kuat, untuk memastikan kehidupan kita esok (hari akhirat) aman dan sejahtera. Jadi apa deposit tetap kita dalam akaun akhirat? Kita fikir bank dapat selamatkan kita? Kita lupa deposit tetap disisi Allah, tidak pernah rugi, tiada unsur riba', apatah lagi keraguan atau kemusykilan. Di mana hendak didepositkan? Ha, di rumah anak yatim, di masjid, di maahad tahfiz dan banyak lagi cawangan-cawangan yang Allah sediakan. Pasti tidak rugi dan keuntungan berlipat kali ganda. Sudah bersedia untuk depositkan?
Ingat kawan-kawan, Nabi Muhammad sendiri yang jadi penjaminnya. Bagaimana? Susah?
---sumber dan sumbangan artikel dari http://iqclassmanagement.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment