Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




DAKWAH SATU PERJUANGAN SEPANJANG ZAMAN

Nukilan : Hj Nik Mohd Yusoff Nik Ismail , YDP WADAH Selangor
Dideklamasikan pada 19 Dis 09 bersamaan 2 Muharram 1431H dalam Program Malam Silaturrahim NGO Islam JAIS sempena ' Minggu Duat Selangor' di Dataran Masjid Negeri Shah Alam.

Dakwah satu perjuangan sepanjang zaman
Memenuhi tuntutan-tuntutan tuhan
Sebagai 'abdillah yang beriman
Sebagai khalifah yang berkebajikan..

Dakwah itu bermakna pengorbanan
Melalui harta takhta serta pengalaman
Melalui masa dan daya pemikiran
Kebijaksanaan dan garis pedoman..

Dakwah itu berserti qudwah hasanah
Membangun diri jangan punah
Memurnikan rohani secara istiqamah
Daya fikir penggerak wadah..

Dakwah itu tarbiah
Mendidik dan melatih
Sehingga menjadi insan terpilih
Dipuji malaikat doa terpilih..

Dakwah itu ibadah
Meliputi segala liku dan wilayah
Dari peribadi hingga ke pemerintah
Melalui uslubul-hasanah..

Dakwah itu istiqamah
Istiqamah atas jalan yang diamanah
Menepis segala hasutan iblis pemusnah
Agar perjuangan tidah punah-ranah..

Dakwah itu kesabaran
Sabar itu separuh daripada iman
Mencari ilham dalam ancaman
Begitulah pendakwah budiman..

Dakwah itu jihad
Menegak kebenaran penuh tekad
Aufu bil 'uqud!
Aufu bil 'uqud!

Dakwah itu 'amal-jamaii
Bermuafakat sesama sendiri
Bersyura menepati peraturan Ilahi
Agar segala diberkati..

Dakwah itu kepimpinan
Kepimpinan itu satu penderitaan
Bukan anugerah kenalan
Atau hadiah buat si polan..

Dakwah itu kaya akhlak
Jiwa diasuh diri tak rosak
Dipegang teguh sampai layak
Menjadi insan bukan perosak..

Dakwah itu penyebaran
Wlaaupun cuma satu ungkapan
Bermula dengan diri hingga ke teman
Tanpa mengenal benua dan sempadan..

Dakwah itu amar makruf nahi mungkar
Yang Makruf jangan diengkar
Yang mungkar jangan dibiar
Agar umat menjadi segar..

Dakwah itu keadilan-kebenaran
Apa erti perjuangan tanpa kebenaran
Apa erti perjuangan tanpa ke'adilan
Keadilan teras keamanan..

Dakwah itu nasihah
Membimbing umat dengan susah payah
Bersaksikan qudwah hasanah
Dilaksanakan dengan penuh hikmah..

Dakwah itu amanah
Dipegang teguh dengan sungguh-sungguh
Agar terlaksana tanpa tangguh
Segala harapan membawa berkah..

Dakwah itu ujian
Hadapi rintangan dan halangan
Dari lawan dan juga rakan
Itulah fitrah mencari kebenaran..

Dakwah itu tak kenal penat-lelah
Bersedia atau dalam susah
Pantang undur seorang pendakwah
Bak panglima yang perkasa gagah..

Dakwah itu hijrah-perubahan
Bermula dengan niat yang diabadikan
Dengan tingkatkan rohani berteraskan iman
Menghadap wajah dengan Yaa Rahman..

Dakwah itu mulai dari diri
Membangun diri dengan pekerti
Memperbaiki sampai mati
Itulah pejuang sejati..

Dakwah itu muhasabah
Muhasabah diri dengan tabah
Mencari kelemahan elak fitnah
Agar perjuangan menjadi mudah..

Dakwah itu ikhtiar-tawakkal
Ikhtiar sepenuh akal
Mengolah kaedah, uslub yang afdhal
Lalu tawakkal kepada yang kekal...

1 comments:

MISI DAKWAH @ KAMPUNG SLIM RIVER


- skuad dapur tekun bekerja -

15-17 Januari 2010 ABIM Selangor telah menghantar 5 orang sukarelawan untuk mengalami pengalaman berdakwah di lapangan perkampungan orang asli. Program ini telah dianjurkan oleh Biro Kesihatan ABIM, Malaysian Relief Agency (MRA) dan Islamic Outreach ABIM.
Jumlah peserta program ini adalah seramai 35 orang yang diketuai oleh Dr Shahrizal Azwan dan terdiri daripada 11 orang pelajar Universitas Sumatera Utara (USU), 6 orang kakitangan Hospital Pakar al-Islam, 6 orang daripada Skuad Prihatin ABIM, 5 orang daripada ABIM Selangor, serta 6 orang daripada Islamic Outreach ABIM.
- bakal doktor yang tidak jemu berkhidmat -

Program ini mengandungi aktiviti bantuan perubatan, bantuan makanan, bantuan pakaian, dialog bersama masyarakat kampung orang asli dan tidak ketinggalan permainan sukaneka bersama-sama anak-anak.

- anak-anak orang asli yang ceria selalu -

5 sukarelawan yang terlibat ialah Sdr Khairudin Abas (S/U Negeri), Sdr Mohd Harith Othman (Pengurus Projek), Sdr Muhamad Husnul Azam Ahmad Mughni (Sukarelawan UIA), Sdri Norhidayah Sumairi (S/U Kerja) dan Sdri Siti Zalina Nor Monir (Sukarelawan UIA).

- kenangan di perkampungan orang asli Slim River -

Semoga program lapangan dakwah ini akan dapat diteruskan lagi tanpa mengenal erti kesusahan dan kepayahan. Beristiqamahlah dalam berdakwah !

1 comments:

ABIM Kutuk Perbuatan Bakar Gereja

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab membakar gereja. Bangunan Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Kuala Lumpur terbakar tengah malam tadi, selepas dibaling dengan bom petrol. Sekurang-kurangnya empat lagi gereja di Lembah Kelang dipercayai turut jadi sasaran dalam tempoh 12 jam lalu, termasuk Gereja Assumption di Petaling Jaya. Mengulas lanjut, Setiausaha Agung ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, ABIM mengutuk perbuatan itu kerana Islam tidak membenarkan sama sekali perbuatan seumpama itu.

"Saya menyeru dan berharap tidak ada tindakan yang agresif berlaku, dan hentilah sebarang niat mengenainya," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Mengenai perhimpunan yang dirancang hari ini di Masjid Kampung Baru, Mohamad Raimi berkata, ia akan diteruskan tetapi sekiranya berlaku sebarang provokasi, ia akan dihentikan serta-merta. ABIM adalah antara beberapa NGO Islam yang merancang untuk mengadakan perhimpunan selepas solat Jumaat hari ini sebagai membantah isu penggunaan nama Allah oleh mingguan Katholik, Herald.

Dalam perhimpunan nanti, katanya, ABIM akan meminta semua pihak semua bertenang dalam menghadapi isu tersebut.Burn Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya jangan mengeruhkan lagi keadaan. Sementara itu, Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah SeMalaysia (Pekida) pula menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat insiden tersebut. Setiausaha Pekida Wilayah Persekutuan, Mohd Zain Ghazali meminta semua pihak bertenang dalam menghadapi isu tersebut.

"Kerajaan sudah mengendalikan kes ini. KDN pun telah buat rayuan. Elok diselesaikan dengan baik. Tidak perlu hendak membakar perasaan. "Saya minta semua pihak supaya bertenang," katanya.

Mengenai perhimpunan bantahan anjuran Pekida di Masjid Negara, Mohd Zain berkata, ia akan diteruskan selepas solat Jumaat hari ini. Beliau memberi jaminan bahawa perhimpunan itu akan berjalan secara aman. "Kita hanya hendak berkumpul dan menyuarakan pandangan, bukan hendak berarak atau apa-apa. Ia tidak akan lebih daripada itu," katanya.


Sumber dipetik : http://www.malaysiakini.com

0 comments:

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH: SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN

KONTROVERSI PEMAKAIAN KALIMAT ALLAH:
SUATU PERNYATAAN KEPRIHATINAN

Dato’ Dr. Siddiq Fadzil
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Selama berabad-abad negara Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan Negeri-Negeri Melayu (Malay States) ini durujuk sebagai model negara berbilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi. Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai. Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekaligus “tuan rumah”. Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan. Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama Persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Memang dalam sejarahnya Negeri-Negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini. Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya. Kerana itu hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tidak diusek atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini adalah akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katolik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka. Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam Allah adalah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selamanya merupakan ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa). Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-Ism al-A`zam, Nama Agung bagi Dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk Dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan. Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-`Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah lalu disebut asma’u ‘Llah (nama-nama Allah). Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas (`alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius. Bagi umat Melayu-Muslim sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, “Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia.”. Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi s.`a.w. memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (Katakan) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah. Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna tauhidik, nama yang menolak syirik, dan sekaligus nama yang menafikan faham trinity (Tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama Suratu ‘t-Tawhid. Memang ia adalah surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah “...a Personality”, bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur’an yang membawa mesej conceptual correction terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani. Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau trinity. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid. Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-Tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya? Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katolitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa. Ajaran Katolik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif. Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution. Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.

Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries. Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.

Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.

It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.

In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision. It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.

The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia’s majority (http://takemon.wordpress.com/about/).


Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya. Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut. Ia akan ditafsirkan sebagai strategi “lulus jarum, lulus kelindan”, selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatolikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi. Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mendistorsikan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirubah erti dan isinya. Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat pribumi Melayu. Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini, S. Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society. Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan pribumi Melayu itu dilakukan atas nama “...cultivating the waste and barren soil of the native mind”. Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu. Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan “Abdullah Paderi”.

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi “perkara masa lalu” yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian. Provokasi-provokasi keagamaan sehausnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan. Apa pun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual. Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman. Fiqh kita mengambilkira `uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.
__._,_.___

0 comments:

Enakmen Ugama Bukan Islam Negeri Selangor

ENAKMEN UGAMA BUKAN ISLAM
( Kawalan Perkembangan Dikalangan Orang Islam ) 1988


Jadual ( Seksyen 9 )

BAHAGIAN 1

25 PERKATAAN YANG TIDAK BOLEH DIGUNAKAN BERKAITAN DENGAN UGAMA BUKAN ISLAM


ALLAH - ILLAHI - RASUL
FATWA - WAHYU - IMAN
IMAM - ULAMA - MUBALIGH
DAKWAH - NABI - HADITH
SYARIAH - QIBLAT - INJIL
SYIEKH - SALAT - KAABAH
HAJI - KHALIFAH - KADI
MUFTI - WALI -FIRMAN ALLAH
IBADAH


Diluluskan pada 4hb. April 1988
(DUN.sel.30051/45;Sel.1545 Sj.18.)
MOHAMAD HASHIM BIN MAT AZIZ
Setiausaha
Dewan Undangan Negeri, Selangor




Diterbitkan semula oleh ;
Biro Penerangan
Angkatan Belia Islam Malaysia ( ABIM ) Cawangan Selangor

1 comments:

Petisyen Bantahan Bermula..... ABIM Gerakkan Ummah

- OBD Petaling Dato' Abu Bakar Hamid sedang menandatangani petisyen diKain rentang -

Jumaat, 8 Januari 2010, Masjid Negeri Shah Alam ..kempen kesedaran ummat bermula. Isu penggunaan kalimah ALLAH oleh Herald :Catholic Weekly amat menyentuh hati nurani ummat Melayu. Demonstrasi demi demonstrasi diadakan.
Namun, ABIM Selangor mengambil cara yang lebih hikmah dengan melancarkan KEMPEN KESEDARAN UMMAH dan ia telah bermula di masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah , Shah Alam.
Pengumpulan petisyen dan tandatangan bantahan terhadap penggunaan kalimah ALLAH oleh bukan Islam dan sesi penerangan tentang isu ini mewarnai sesi kempen ini. YDP ABIM Negeri Selangor , Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap dalam sesi tersebut menyatakan kekesalan terhadap keputusan ini dan mendesak supaya Institusi Raja campurtangan menyelesaikan masalah ini.

JAIS juga akan mengadakan satu Seminar Penerangan tentang isu ini diDewan Utama Masjid Negeri Selangor pada 11 Januari 10 jam 9.00 pagi. ABIM akan terus menyebarluaskan penerangan ini dan akan memastikan ummat mendapat kefahaman tentang isu ini.

0 comments:

POLEMIK KALIMAH ALLAH: ABIM KESAL KEPUTUSAN MAHKAMAH TINGGI KUALA LUMPUR

Kenyataan Media ABIM
31 Disember 2009

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) ingin menyatakan rasa kesal terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang telah membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh majalah Harold : The Catholic Weekly. Kesan utama kepada penggunaan ini ialah masyarakat bukan Islam diberikan hak berdasarkan tafsiran perlembagaan untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan ataupun penggunaan seharian, dan sebarang larangan oleh pihak berkuasa atau otoriti agama Islam adalah tidak sah.

ABIM menilai keputusan ini tidak bertepatan dengan semangat peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan Islam di tempat yang istimewa di kalangan agama-agama lain di negara ini. Ia juga bertentangan dengan larangan penggunaannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri dan Majlis-Majlis Agama Islam Negeri kerana ia dikenalpasti bakal mengelirukan akidah dan konsep ketuhanan di kalangan umat Islam, merobek sensitiviti umat Islam selaku majoriti di negara ini serta berpotensi menimbulkan ketidaktenramaan awam sekiranya tidak ditangani secara baik..

Justeru Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memohon campur tangan Majlis Raja-Raja Melayu untuk menghentikan segera polemik kalimah Allah. Gesaan ini selari dengan peruntukan perlembagaan persekutuan, yang menetapkan segala urusan berkaitan dengan hal ehwal agama Islam diletakkan di bawah kuasa serta naungan Raja-Raja Melayu.

ABIM juga menyeru agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertindak lebih tegas mengikut peruntukan perlembagaan, undang-undang sedia ada dan enakmen undang-undang Islam di negeri-negeri dan tidak mengeluarkan permit penggunaan tersebut pada masa-masa akan datang. ABIM juga menyeru agar pihak KDN menggunakan segala saluran perundangan yang ada untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan yang merobek sensitivit umat Islaam tersebut.

Akhir sekali, ABIM memohon agar semua pihak bertenang dan menghormati keputusan ini dan tidak bertindak secara emosional demi untuk menjaga keharmonian serta kestabilan hubungan di antara kaum di negara ini.

MOHAMAD RAIMI AB.RAHIM
Setiausaha Agung

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR