Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Bukti Raja Berpandangan Jauh

Tujuh wasiat raja Melayu membuktikan sikap bertanggungjawab dan berpandangan jauh institusi beraja dalam menjamin keutuhan dan keamanan negara terus berkekalan. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris berkata, wasiat itu juga bertujuan melindungi negara dalam menghadapi cabaran mendatang yang sukar untuk diramal. "Ia adalah paksi yang perlu didokong dan dipertahankan oleh seluruh rakyat supaya perjuangan dan pencapaian negara selama ini tidak berkubur,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas peringatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya. Presiden Pertubuhan Menjana Tindakan Pemikir (Mantap), Mohd. Saiful Adil Mohd. Daud pula berpendapat, peringatan tersebut memang sudah lama ditunggu dan rakyat perlu mematuhinya.

Beliau berkata, sesuatu yang malang jika orang Melayu terutamanya pihak pembangkang terus mempertikaikan wasiat yang digubal demi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang itu. "Saya berharap tidak akan ada lagi pihak mempersoalkan institusi beraja serta perkara berkaitan selepas ini tetapi turut sama memelihara dan menjunjung kedaulatan institusi beraja,'' katanya.

Presiden Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula mengingatkan seluruh masyarakat memahami dan menghormati Perlembagaan Negara. Katanya, setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan tidak perlu dipersoalkan kerana ia telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan matlamatnya adalah untuk kepentingan negara. "Peringatan tentang wasiat tersebut tidak harus dipertikaikan semata-mata kerana kepentingan politik. Ini kerana pembentukannya adalah untuk melindungi kepentingan semua kaum,'' jelasnya.

Sumber Dipetik : www.utusan melayu.com

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR