Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Seminar Keibubapaan ABIM Gombak

Gombak, 26 Julai 2008 - Alhamdulillah, satu Seminar Keibubapaan dengan tema Membina Khayra Ummah: Peranan Ibubapa anjuran bersama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Sg Pusu, Gombak dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Gombak dan Negeri Selangor telah dilaksanakan di Dewan Bestari, SMK Sg Pusu. Mejar (B) Hj. Azhar Ahmad, Timbalan Yang DiPertua (TYDP) PIBG sekolah berkenaan dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa walaupun sebahagian besar daripada ibubapa pernah menghadiri program keibubapaan, namun beliau yakin bahawa tentu ada perkara baru yang dipelajari dalam setiap program yang dihadiri. Hj Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor di dalam ucapan aluannya pula memberitahu hadirin bahawa terdapat ramai ulama besar, contohnya Imam Bukhari dan Muhammad Al-Fateh yang berjaya membimbing umat di zaman mereka masing-masing antaranya adalah hasil daripada sokongan dan dokongan ibu mereka. Hjh Hazlina Abdul Razak, Ketua HELWA ABIM Selangor selaku penceramah khas pada hari tersebut dengan tajuk ceramah Usrah Marhamah (Keluarga Yang Dirahmati) memulakan bicara dengan menegaskan bahawa pelajar yang hebat datangnya daripada ibubapa yang hebat. Seterusnya beliau mengingatkan bahawa penting untuk ibubapa terus-menerus mendoakan secara khusus agar anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang. Juga, penting untuk anak-anak dan ibubapa saling memahami kehendak antara satu sama lain dan sentiasalah berbincang bersama menangani sebarang masalah yang timbul. Di akhir sesi ini, ibubapa dan anak-anak mereka diminta untuk berpelukan antara satu sama lain dan kelihatan ramai yang terharu sambil menitiskan air mata. Perasmian Penutup seminar ini yang dihadiri oleh lebih daripada 550 orang peserta yang terdiri daripada ibubapa, guru dan para pelajar, telah disempurnakan oleh Hj Daim Jajuli, Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap Muslim mestilah memahami dengan sebaik-baiknya 3 komponen utama yang perlu ada dalam kehidupan masing-masing iaitu aspek aqidah, syariat dan akhlak. Program ini turut dihadiri oleh Sdr Azman Mohd Salleh, YDP ABIM Gombak dan Pn. Nor Aziah Mohd Hassan, Ketua HELWA ABIM Gombak. Sesungguhnya program yang dibuat secara bekerjasama ini haruslah diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani kepincangan dan kekeliruan umat dalam konteks kekeluargaan yang dilihat semakin serius.



0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR