Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




ABIM SELANGOR LANCAR SEMINAR JIHAD EKONOMI BELIA



SHAH ALAM, 2 OGOS 2008 - ABIM Selangor telah berjaya menganjurkan Seminar Pembangunan Ekonomi Belia Islam pada hari ini di Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor. Seminar dihadiri oleh lebih 50 orang usahawan dan belia niaga dari seluruh Negeri Selangor sebagai satu usaha jihad untuk memantapkan ekonomi warga belia khasnya di Negeri Selangor.

Penceramah Motivasi Bisnes telah disampaikan oleh Saudara Shamsuddin Zainal , Pengerusi Perhubungan Koperasi Belia Islam Malaysia Cawangan Selangor dengan tajuk 9/10 rezeki adalah dalam perniagaan.

Dalam sesi forum belia niaga ; peluang dan cabaran, panelis dari Jabatan belia dan Sukan diwakili oleh Pengarahnya sendiri, Tuan Hj Makhruzi bin Hj Ikhsan, Jabatan Pertanian Selangor diwakili oleh En. Anuar Sardi dan wakil MARA Negeri Selangor diwakili oleh Cik Safwah binti Sarifuddin.

Majlis perasmian penutup dan penyampaian sijil telah disempurnakan oleh YB Tuan Suhaimi Shafie , Pembantu Exco Pemodenan Pertanian, keusahawanan dan Sumber alam Negeri Selangor.

Dalam ucapannya, beliau menyatakan ;”Pihak Kerajaan Negeri sedang mengatur program-program untuk membantu usahawan dan terutamanya golongan belia yang telah menjadikan usahawan dan perniagaan sebagai kerjaya pilihan”.

0 comments:

Seminar Keibubapaan ABIM Gombak

Gombak, 26 Julai 2008 - Alhamdulillah, satu Seminar Keibubapaan dengan tema Membina Khayra Ummah: Peranan Ibubapa anjuran bersama Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan Sg Pusu, Gombak dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Gombak dan Negeri Selangor telah dilaksanakan di Dewan Bestari, SMK Sg Pusu. Mejar (B) Hj. Azhar Ahmad, Timbalan Yang DiPertua (TYDP) PIBG sekolah berkenaan dalam ucapan aluannya menyatakan bahawa walaupun sebahagian besar daripada ibubapa pernah menghadiri program keibubapaan, namun beliau yakin bahawa tentu ada perkara baru yang dipelajari dalam setiap program yang dihadiri. Hj Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor di dalam ucapan aluannya pula memberitahu hadirin bahawa terdapat ramai ulama besar, contohnya Imam Bukhari dan Muhammad Al-Fateh yang berjaya membimbing umat di zaman mereka masing-masing antaranya adalah hasil daripada sokongan dan dokongan ibu mereka. Hjh Hazlina Abdul Razak, Ketua HELWA ABIM Selangor selaku penceramah khas pada hari tersebut dengan tajuk ceramah Usrah Marhamah (Keluarga Yang Dirahmati) memulakan bicara dengan menegaskan bahawa pelajar yang hebat datangnya daripada ibubapa yang hebat. Seterusnya beliau mengingatkan bahawa penting untuk ibubapa terus-menerus mendoakan secara khusus agar anak-anak mereka berjaya dengan cemerlang. Juga, penting untuk anak-anak dan ibubapa saling memahami kehendak antara satu sama lain dan sentiasalah berbincang bersama menangani sebarang masalah yang timbul. Di akhir sesi ini, ibubapa dan anak-anak mereka diminta untuk berpelukan antara satu sama lain dan kelihatan ramai yang terharu sambil menitiskan air mata. Perasmian Penutup seminar ini yang dihadiri oleh lebih daripada 550 orang peserta yang terdiri daripada ibubapa, guru dan para pelajar, telah disempurnakan oleh Hj Daim Jajuli, Pegawai Tadbir Agama Daerah Gombak. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa setiap Muslim mestilah memahami dengan sebaik-baiknya 3 komponen utama yang perlu ada dalam kehidupan masing-masing iaitu aspek aqidah, syariat dan akhlak. Program ini turut dihadiri oleh Sdr Azman Mohd Salleh, YDP ABIM Gombak dan Pn. Nor Aziah Mohd Hassan, Ketua HELWA ABIM Gombak. Sesungguhnya program yang dibuat secara bekerjasama ini haruslah diteruskan dari semasa ke semasa bagi menangani kepincangan dan kekeliruan umat dalam konteks kekeluargaan yang dilihat semakin serius.



0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR