Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




LAWATAN BADAN DAKWAH DAERAH GOMBAK KE SINGAPURA


CEO Darul Arqam menyampaikan cenderamata kepada YAD Dato’ Paduka OBD Gombak


Bergambar di hadapan The Muslim Converts Association of Singapore

8 Januari 2008, Geylang – ABIM Daerah Gombak telah menyertai Badan Dakwah Daerah Gombak mengadakan Lawatan Kerja ke Darul Arqam, Singapura. Program lawatan yang julung-julung kali diadakan ini diketuai oleh Dato’ Paduka Raja Hj. Mahmud bin Pak Wan Teh,Orang Besar Daerah Gombak merangkap Pengerusi Badan Dakwah Daerah Gombak. Seramai 35 orang peserta dari berbagai agensi kerajaan dan Bukan Kerajaan (NGO) telah dijemput menyertai misi ini. Antara tempat yang dilawati ialah The Muslim Converts’ Association of Singapore (Darul Arqam) yang merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menumpukan kepada aktiviti dakwah dan latihan kepada orang-orang yang baru memeluk Islam. Semua aktiviti pembelajaran dan latihan dijalankan dalam Bahasa Inggeris dan menggunakan kaedah teknologi moden. Menurut Pengurus Besar Darul Arqam, Singapura, En. Zainal Abidin Nordin, Pusat ini asalnya adalah sebuah panggung wayang Galaxi, kemudian ia bertukar menjadi pasaraya dan akhirnya ia dibangunkan menjadi pusat dakwah Darul Arqam pada tahun 1980. Ketika ini, pusat tersebut berkembang pesat dan mendapat sambutan hangat dari masyarakat dan perhatian dari pihak kerajaan. Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) telah memberikan kepercayaan kepada institusi ini untuk mengendalikan prosedur memeluk agama Islam dan mengutip zakat dari masyarakat Islam di Singapura. Saudara baru yang memeluk Islam akan diberikan kad pengenalan khas yang diiktiraf oleh MUIS sebagai pembuktian pengIslaman mereka. Selepas memeluk Islam, peserta akan diberi cenderamata yang mengandungi terjemahan Al-Qur`an, sejadah, penanda arah qiblat, CD panduan solat, kain sarung atau telekung. Selain dari itu wang saguhati sebanyak DS40 untuk wanita dan DS100 untuk lelaki turut diberikan. Sumbangan untuk lelaki diberikan lebih sedikit supaya mereka dapat menjalani prosedur berkhatan. Purata orang yang mendaftar untuk memeluk Islam di Pusat ini adalah seramai 45-50 orang sebulan dan kebanyakannya adalah dari kalangan warga Filipina. Antara faktor paling ramai memeluk Islam adalah sebab perkahwinan. Bagi memantapkan lagi modul dakwah dan program di Pusat ini, beberapa pakar dari dalam dan luar negara telah dilantik, antaranya ialah Dr. Muhammad Nur Manuty, Mantan Presiden ABIM (Malaysia). Bagi peserta yang ingin memantapkan lagi kefahaman dan penguasaan mereka dalam agama Islam, Pihak Darul Arqam telah mengadakan program lanjutan bersama dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beberapa buah buku berkaitan Islam telah diterbitkan dan diedar secara percuma kepada ahli. Satu majalah berkala yang mengandungi artikel isu agama dan ehwal semasa juga diterbitkan sebagai media menyebarkan fikrah dan berita semasa.

1 comments:

RAYUAN DANA TABUNG PEMBANGUNAN SERI AL HUDA

Didoakan semoga Y.Bhg Tuan dan keluarga sentiasa berada di dalam limpahan rahmat dan perlindungan Allah swt, insya Allah.

Seri Al Huda telah ditubuhkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia pada tahun 1989 dengan hasrat untuk membentuk Insan Kamil melalui sistem pendidikan yang sepadu. Dengan permulaan 33 orang pelajar, Seri Al Huda kini telah berkembang dengan 410 orang pelajar dengan sokongan 28 orang guru sepenuh masa. Seri Al Huda ingin terus mengorak langkah kehadapan untuk meningkatkan prestasi dan menjadikan sekolah lebih inovatif dan kompetitif dalam melaksanakan sistem pendidikan Islam dalam menghadapi cabaran zaman masakini.

Pihak sekolah juga berhasrat untuk menjadikan Seri Al Huda sebagai sekolah komuniti contoh di mana pendidikan disusun untuk memenuhi keperluan anggota-anggota komuniti dari berbagai peringkat umur. Semua kepakaran, kemudahan dan infrastruktur yang terdapat di sekolah dan dalam komuniti disalurkan menerusi sekolah untuk memberikan latihan intelektual dan rohaniah yang berkaitan. Dari latihan itu diharapkan berlaku transformasi diri insan sebagai individu dan sebagai anggota keluarga dan komuniti.
Untuk memenuhi hasrat ini, pihak sekolah telah memulakan usaha membangunkan Kompleks Pendidikan Islam Seri Al Huda yang akan menempatkan blok bangunan sekolah, tadika, dewan serbaguna, surau dan kemudahan-kemudahan yang lain. Kos pembinaan Kompleks ini adalah dianggarkan sebanyak RM6 juta. Justeru, mewakili Ahli Lembaga, guru-guru dan para pelajar, kami dengan hormatnya merayu sumbangan dana dari Y.Bhg Tuan untuk menjayakan cita-cita ini. Sila layari http://www.seri- alhuda.blospot. com untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini.

Akhirnya, kami mendoakan semoga Allah swt membalas sumbangan dan kerjasama Y.Bhg Tuan dengan pembalasan yang lebih baik di dunia dan juga di akhirat nanti. Sekian, terima kasih.

Wassalamu alaikum.

DR. AMRAN MUHAMMAD, Pengerusi, Lembaga Pengelola Seri Al Huda

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR