Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Muktamar Sanawi yang ke-35



KLANG 25 Jun
– ABIM Negeri Selangor telah menyempurnakan Muktamar Sanawi yang ke-35 di Pusat Pendidikan ABIM Klang, Jalan Meru, Klang pada 23 Jun 2007 yang lalu. Sempena dengan muktamar tersebut satu program yang diberi nama ’Agenda Pencerahan Umat’ iaitu ceramah isu semasa telah diadakan di lapan (8) buah surau dan masjid. Antara penceramah yang diangkat ke permukaan ialah daripada ABIM Pusat: Tuan Hj Yusri Mohamad - Presiden, Sdr Khairul Arifin Mohd Munir - Setiausaha Agung, Sdr Ahmad Saiful Alwi Mohd Noor - Naib Presiden, dan Tn. Hj. Ahmad Shabrimi Mohamed Sidek – Ketua Biro Ikhtisas. Tokoh dari WADAH Pusat dan Selangor pula yang terlibat sebagai penceramah adalah Prof. Madya Hj. Shaharuddin Badaruddin, Ustaz Hj. Ismail Che’ Ku dan Ustaz Hj. Mahyuddin Saari manakala daripada ABIM Selangor adalah Setiausahanya iaitu Ustaz Hj. Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Pihak masjid dan surau amat mengalu-alukan kehadiran ABIM dan dianggarkan lebih 500 orang menghadiri program tersebut.




Muktamar Sanawi ABIM Selangor telah dihadiri oleh 80 orang perwakilan dan 30 orang pemerhati dari semua daerah ABIM di Selangor. Muktamar kali ini telah dirasmikan oleh Sdr Presiden ABIM, Tn. Hj. Yusri Mohamad. Kehadiran yang menggalakkan ini adalah kerana kesedaran dan komitmen ahli yang semakin meningkat tentang pentingnya usaha amal jama’ie untuk menggerakkan kerja-kerja dakwah di Negeri Selangor.



Muktamar kali ini dibuat pada waktu malam sebagai satu percubaan untuk melihat penglibatan pimpinan daerah dalam kehadiran ke muktamar. Kelemahan dan kekurangan akan dianalisis untuk perancangan yang lebih kemas dan tersusun. Muktamar yang bermula pada jam 9.30 malam berakhir pada jam 12.30 pagi dan diteruskan dengan aktiviti qiamullail dan kuliah subuh. Pihak urusetia memohon ribuan kemaafan sekiranya ada yang kurang kemas dan lancar sepanjang perjalanan muktamar . Terima kasih kepada semua perwakilan dan pemerhati, sof pimpinan ABIM Selangor dan khasnya kepada Pimpinan ABIM Pusat yang telah sudi turun ke lapangan berkorban masa, tenaga dan wang ringgit untuk menjayakan muktamar pada kali ini. Wassalam.


0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR