Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Berbuka puasa bersama warga dan sukarelawan Darul Wardah

 7 Ogos 2012/18 Ramadhan 1433H, alhamdulillah telah diadakan Majlis Iftar DARWA-ABIM Selangor yang bertempat di Darul Wardah, Shah Alam. Hampir 70 orang telah hadir untuk sama-sama berbuka puasa dan memeriahkan majlis. Selain Exco ABIM Selangor, ABIM Daerah dan Ahli Lembaga DARWA, turut hadir adalah keluarga muallaf yang berada di bawah perhatian DARWA, sukarelawan dan para penyumbang DARWA.Selepas berbuka puasa dan solat maghrib berjemaah, majlis telah diteruskan dengan sesi tazkirah yang disampaikan oleh Dr.Wan Adam [Timb.YDP ABIM Selangor]. Ustaz Zawawi Mughni yang mewakili tuan rumah, dalam ucapan beliau; sangat mengalu-alukan kehadiran para tetamu ke DARWA terutamanya mereka yang kali pertama menjejakkan kaki di sini. Beliau berharap agar semua yang hadir akan sentiasa menyokong setiap usaha DARWA untuk membantu ummat.Manakala Saudara Khairudin bin Abas [YDP ABIM Selangor] sebelum menyampaikan Sumbangan Seorang Sekampit Beras [SSB] kepada mereka yang layak, amat menghargai setiap sokongan dan bantuan yang telah diberikan oleh para penggerak jamaah yang bertungkus lumus memastikan bantuan sekampit beras dapat diagihkan kepada golongan sasaran. Beliau turut memaklumkan yang DARWA bersama ABIM Selangor akan mengadakan majlis makan malam yang bertujuan untuk mengutip dana bagi pembinaan Kompleks DARWA.Majlis berakhir pada jam 10.30 malam selepas solat sunat terawih dan moreh. Inshallah, semoga majlis iftar seperti ini dapat diadakan pada setiap tahun sebagai medan pertemuan di antara mereka yang banyak menyumbang dan membantu perjalanan DARWA, dengan warga DARWA yang lain.

0 comments:

Turun ke Kampung Orang Asli dengan Mini Lori

5hb Ogos 2012 - Alhamdulillah, pada hari Ahad, 5hb Ogos 2012, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Daerah Kuala Langat dengan kerjasama  Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS) telah menganjurkan Program “Kempen Seorang Sekampit Beras.” Program ini digerakkan oleh ABIM di peringkat negeri serta daerah, dengan sekampit beras serta beberapa lagi barangan keperluan dapur disumbangkan kepada yang memerlukan. Memandangkan lokasi yang dipilih ialah kawasan yang sedikit pedalaman dengan kawasan jalan yang tidak rata, ABIM Kuala Langat memilih cara unik bagi menyerahkan sumbangan kepada masyarakat muallaf di Perkampungan Orang Asli Bukit Serdang, Bukit Changgang: iaitu dengan menggunakan lori mini. Bukan sahaja mencabar, tetapi juga menyeronokkan. Sebanyak 13 buah rumah muallaf telah diziarahi oleh aktivis ABIM dan PEPIAS Kuala Langat yang dibahagikan kepada dua kumpulan: iaitu kumpulan Muslimin dan kumpulan Muslimat.  Dengan menggunakan lori mini, satu rombongan Muslimin bergerak dari rumah ke rumah bagi mengedar beras serta beramah mesra dengan saudara baru. Manakala rombongan pendakwah srikandi berjalan kaki dari rumah ke rumah di sekitar surau kampung tersebut sambil mengajak mereka ke jamuan berbuka puasa di surau. Program yang mendapat sokongan Tok Batin kampong tersebut, turut dimeriahkan dengan acara berbuka puasa serta solat Maghrib berjemaah.Suasana surau agak ceria pada malam tersebut. Para aktivis turut diberikan penerangan oleh aktivis Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) yang juga tokoh veteran ABIM Kuala Langat, Saudara Samad, berkenaan cara untuk mendekati serta menyantuni masyarakat Orang Asli. Beliau yang mempunyai ramai kenalan rapat dalam kalangan Orang Asli, turut mengusulkan agar satu kertas kerja berbentuk kajian disiapkan, berkenaan kaedah terbaik bagi menjalankan aktiviti dakwah dan pembangunan insan kepada masyarakat Orang Asli. Hal ini penting, menurut Saudara Samad, kerana manfaatnya besar serta boleh dijadikan rujukan oleh sesiapa sahaja. ABIM dan PEPIAS Kuala Langat juga sebulat suara untuk memutuskan agar tindakan yang praktikal perlu diambil untuk membantu saudara baru secara berterusan. Mereka memerlukan pengajian agama dan pendidikan pra-sekolah. Sesungguhnya, harta kita ialah maruah. Penyelamat kita ialah iman. Semoga bulan Ramadhan ini menjadikan kita sebagai khalifah yang lebih baik dari Ramadhan yang lepas. Amin dan in sya ALLAH. Selamat menunaikan ibadah di bulan Ramadhan 1433H ini. “Taqwa Dihayati, Ramadhan Dimaknai.” Khalas.

0 comments:

Kem Penghayatan Ramadan Peringkat Negeri

22 Ramadhan 1433H bersamaan 11 Ogos 2012 – Perjalanan fasilitator-fasilitator sukarelawan ABIM Selangor telah sepakat untuk berkumpul di Masjid Jamius Salahiah Kampung Sungai Tua Gombak pada jam 4.00 petang. Fasilitator mula tiba dari jauh dan dekat. Seramai 25 orang fasilitator telah berjaya dikumpulkan di masjid ini bersama 2 ketua fasilitator bagi melalui proses induksi bagi Kem Remaja @ Ramadhan yang akan berlangsung bermula jam 8 pagi keesokan harinya (23 Ramadhan 1433H). Perjalanan aktiviti pada hari ini bermula dengan sesi taklimat yang disampaikan oleh Jurulatih, saudara Kamarul Azami bin Mohd Zaini. Kem ini dianjurkan oleh 3 pihak iaitu ABIM Selangor, Penghulu Mukim Batu dan Gombak serta pihak masjid iaitu Masjid Jamius Salahiah Kampung Sungai Tua, Masjid Asy-Syakirin Gombak Setia juga Masjid Ar-Rahiomah Greenwood. Sesi petang tersebut diisi oleh Jurulatih sendiri dengan beberapa aktiviti pengenalan serta simulasi aktiviti pemecah bendungan dan fokus minda peserta. 25 orang fasilitator yang hadir dari pelbagai latar belakang. Ada yang telah bekerja, pelajar IPTA dan IPTS seperti UIAM, MMC, Kolej Hafiz Klang, UNIKL serta UNISEL. Kemudian fasilitator berbuka bersama dan menunaikan solat Maghrib, Isyak, Tarawih dan Witir. Sesi malam tersebut, peserta diberikan motivasi oleh TYDP ABIM Selangor, Dr Wan Adam dan ditutupi dengan perbincangan serta pemecahan kumpulan mengikut masjid yang disediakan. Fasilitator kemudian mengisi malam mereka dengan rehat dan qiamullail bersama pihak masjid dan turut serta YDP ABIM Gombak yang juga Penghulu Mukim Batu. 23 Ramadhan 1433H bersamaan 12 Ogos 2012 – Fasilitator mula meninggalkan Masjid Jamius Salahiah jam 7.00 pagi bagi menempatkan diri di masjid-masjid yang telah ditetapkan untuk mereka. Fasilitator telah digerakkan dengan dibantu oleh 3 orang fasilitator berkenderaan yang secara sukarela membantu. Mereka tiba di masjid yang ditentukan dalam lingkungan 7.15 hingga 7.30 pagi. Kem akan bermula jam 8.00 pagi. Sesi pembukaan peserta diberikan taklimat perjalanan kem dan membuat ujian pra. Sesi 1 peserta akan dipecahkan di dalam kumpulan dan membincangkan tajuk Solat Tiang Agama. Sesi 2 pula peserta membincangkan tentang Kunci Solat. Ia merujuk kepada perkara-perkara wudhu’. Sebelum memulakan sesi 3, peserta bersama-sama melakukan solat sunat Dhuha. Sesi 3, mereka mula membincangkan Rukun Qalbi dan Qauli Solat. Kemudian mereka diberikan masa untuk berehat menunggu solat Zuhur berjemaah bermula jam 12.30 tengah hari. Selepas solat Zuhur berjemaah peserta dihidangkan dengan tazkirah Ramadhan oleh Ketua Fasilitator. Kemudian, sesi 4 diteruskan dengan perbincangan dan amali Rukun Fi’li solat. Aktiviti di setiap masjid berjalan dengan lancar dan mendapat kerjasama yang baik dari pihak masjid sendiri. Pihak masjid amat mengalu-alukan kehadiran fasilitator di sana. Kem tamat pada jam 4.30 petang dengan penyerahan cenderamata kepada pihak masjid berupa 2 naskhah buku. Penghargaan dan terima kasih kami ucapkan khususnya kepada pihak Penghulu Mukim Batu merangkap YDP ABIM Gombak kerana sudi menerima kunjungan Ihya’ Ramadhan di sana. Juga tidak lupa kepada pihak Masjid Jamius Salahiah Kampung Sungai Tua kerana sudi menyediakan juadah berbuka, moreh dan bersahur fasilitator. Semoga diberkati Allah s.w.t. dan diterima amalan kita semua di sisi Allah s.w.t. sebagai amal soleh.

0 comments:

Kupasan buku Kebangkitan Rakyat, Islam dan Melayu




14 Ogos Selasa - Penasihat Ekonomi Selangor, Dato' Seri Anwar Ibrahim menyampaikan kupasan buku Kebangkitan Rakyat tulisan Dr. Yusuf Al-Qaradawi dan buku Islam dan Melayu tulisan Dr. Siddiq Fadzil di surau Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah. Beliau menyeru penjawat awam untuk menambah ilmu dan menilai sesuatu melalui pembacaan bahan yang sahih, bukan semangat sentimen semata-mata.

0 comments:

Ihya Ramadan (IHRAM) ABIM dan PEPIAS Kuala Langat

Tarikh: 12 Ogos 2012 (Ahad)
Masa: 8.00 pagi hingga Majlis Berbuka Puasa
Tempat: Masjid Nurul Huda, Olak Lempit.
Acara:
1. Bengkel Tahsin Solat (Percuma - pendaftaran masih dibuka)
2. Penyerahan Sekampit Beras

0 comments:

Jom sertai program Remaja @Ramadhan!

Tarikh: 12 Ogos 2012 (Ahad)
Masa: 8.00 pagi hingga asar.
Tempat: Masjid Asy Syakirin Gombak Setia, Masjid Jamiatus Solahiah Sg. Tua, Masjid Hulu Klang, Masjid ar-Rahimah.
Yuran: RM 5.00
Sila hubungi Kamarul di talian 019-2770412
Pendaftaran masih dibuka.

0 comments:

Program Ihya Ramadan ABIM dan PEPIAS Bangi

Program Ihya Ramadan (IHRAM) ABIM dan PEPIAS Bangi telah diadakan pada 3 hingga 5 Ogos 2012 telah mengadakan aktiviti berikut
1. Pengedaran Seorang Sekampit Beras dari rumah ke rumah.
2. Pengedaran bubur lambuk kepada pemandu kenderaan di tol.
3. Ziarah rumah anak yatim.
4. Ziarah hospital.
5. Bengkel Tahsin Solat.

0 comments:


0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR