Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




T.O.T : BAHAGIA MENJADI GADIS



Helwa ABIM Selangor akan menggerakkan program pencegahan gejala sosial iaitu Bahagia Menjadi Gadis di peringkat Negeri pada 12 Mac 2012. Sehubungan itu, kami mencari calon-calon yang berminat untuk dilatih menjadi JURULATIH/PENCERAMAH/FASILITATOR.

T.O.T BAHAGIA MENJADI GADIS
6 Februari 2011, Isnin
8.30pagi - 12.00tghr
Budi Training Centre 7B Lorong Sanggul 1F Bandar Puteri 41200 Klang, Selangor (terus dari kesas highway, exit kiri bandar puteri, cari stesyen minyak shell)
Pendaftaran : PERCUMA

Kelayakan :
- perempuan 20tahun ke atas
- mahir berkomunikasi
- berpengetahuan isu semasa terutama isu remaja dan gejala sosial

0 comments:

SAMBUTAN 40 TAHUN ABIM SELANGOR

ABIM Selangor akan melancarkan Sambutan 40 Tahun ABIM Selangor dengan bertemakan 'Menyebar dakwah, Menyantuni Ummah' pada 7 Februari 2012. Menurut Yang Di Pertua ABIM Selangor, Saudara Khairuddin Abas, sambutan ini antara lainnya bertujuan adalah untuk menyorot kembali sejarah perkembangan ABIM di Negeri Selangor serta kesannya sehingga hari ini. ABIM Selangor telah bertapak dan bergerak di Negeri Selangor semenjak tahun 1972.

Peluang ini juga diambil untuk mengiktiraf perjuangan serta pengorbanan mereka yang lebih dahulu mempelopori gerakan ini di Negeri Selangor. Ia sebagai elemen pembakar semangat generasi baru untuk terus berdakwah. Bagi melakar generasi baru ABIM selepas 40 tahun, ABIM Selangor amat berhasrat untuk menggerakkan belia Islam secara holistik di peringkat negeri Selangor. Bagi kepimpinan ABIM Selangor, amat mengharapkan kerjasama, komitmen serta sumbangan dalam bentuk kewangan dan kemudahan bagi merealisasikan pembentukan belia Islam yang benar.

Bagi sesiapa dermawan yang ingin menyumbang untuk membantu sambutan ini, boleh hubungi terus Yang Di Pertua ABIM Selangor atau menyumbang terus ke akaun BIMB ABIM Selangor.

0 comments:

TAZKIRAH USRAH


KENAPA CAKAP TAK BUAT?

Firman Allahs.w.t. yang bermaksud;

"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, tetap mengucap tasbih kepada Allah; dan Dia lah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya! Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agama Nya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh. Dan (ingatlah peristiwa) ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya, 'Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakiti daku, sedang kamu mengetahui bahawa sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu?'. Maka ketika mereka menyeleweng (dari kebenaran yang mereka sedia mengetahuinya), Allah selewengkan hati mereka (dari mendapat hidayah petunjuk); dan sememangnya Allah tidak memberi hidayah petunjuk kepada kaum yang fasik - derhaka." (As-Shaff 61: 1 – 5)

  1. Dalam satu riwayat ada dikemukakan bahawa ketika para sahabat sedang duduk bermuzakarah, di antara mereka ada yang berkata, "Sekiranya kami mengetahui amalan yang lebih dicintai oleh Allah s.w.t., pasti kami akan mengerjakannya." Maka turunlah ayat 1 hingga 2 surah As-Saff ini. Namun, bagi mereka yang tidak pernah pergi berperang, tetapi banyak berkata-kata mengenainya, Allah s.w.t. telah menempelak mereka di dalam ayat 2 surah As-Saff.
  2. Bahkan ia dikaitkan dengan hadith Rasulullah s.a.w. iaitu, ciri-ciri orang munafik adalah apabila berkata mereka berbohong, apabila berjanji tidak tepati, bila diberi amanah mereka khianat dan apabila berselisih mereka berlebih-lebihan.
  3. Ayat ini dimulakan dengan puji-pujian dan dinyatakan bahawa segala yang ada di langit dan di bumi memuji Allah s.w.t. Maka siapakah kita yang tidak mahu memuji Allah s.w.t.? Bagi manusia yang tidak mahu memuji Nya, maka mereka ini adalah kaum yang derhaka.
  4. Allah s.w.t. menegur kita (orang yang beriman) bahawa ada dikalangan kita yang bercakap tetapi tidak buat. Kita banyak berfikir tetapi tidak mengamalkan apa yang difikirkan. Allah amat murka kepada kita jika berlaku demikian.
  5. Di dalam ayat ini juga peringatan untuk para pejuang supaya; buat apa yang dicakapkan. Penuhi janji dan lakukan mengikut perintah Allah s.w.t., membuat perencanaan dan susun atur kemas serta, bekerja sebagai satu pasukan.
  6. Maka 'bunyanum marsus' yang diperbincangkan membawa pelbagai pendapat.
  7. Perlunya pelbagai kemahiran yang mewakili komponen dinding dan bangunan seperti pasir, batu bata, simen dan sebagainya.
  8. Begitu juga dengan fungsi tertentu pada sebuah bangunan seperti lantai, pintu, tingkap, bumbung dan sebagainya.
  9. Pun begitu menurut Mustafa Masyhur di dalam bukunya 'Taqriqud Dakwah', batu batan itu juga bergantung kepada kualitinya yang menjadikan struktur bangunan itu kukuh. Adakah ia dari batu batan yang lembut atau tanah liat yang telah melalui proses sehingga ia menjadi kuat dan kukuh.

0 comments:

SETIAUSAHA ABIM SELANGOR MENYAMPAIAKN CERAMAH


7 Januari 2012 bersamaan 13 Safar 1433h, Sabak Bernam - Setiausaha ABIM Selangor telah menerima undangan berceramah di Politeknik Sultan Idris Shah Sabak Bernam. Jemputan disampaikan oleh pihak Rakan Pusat Islam PSIS yang diterajui oleh Ustaz Azli.

Ceramah ini lebih bertujuan untuk membuat sedikit gambaran awal mengenai program yang akan dianjurkan oleh Rakan Pusat Islam PSIS sendiri. Ia mengumpulkan hampir 40 orang pelajar terpilih yang mana mereka ini merupakan pelajar-pelajar Islam yang menjadi tunggak dan harapan PSIS.

Ceramah berlangsung lebih dari 1 jam 30 minit dengan disusuli sesi soal jawab dan perkongsian. Apa yang telah beliau sampaikan adalah mengenai pemahaman dan penghayatan peranan sebagai hamba dan khalifah di atas muka bumi Allah s.w.t. Penyampaian beliau memberangsangkan dan mudah-mudahan berjaya membakar semangat serta perasaan kuat untuk terus melakukan amal kebaikan di dunia sebagai bekalan di akhirat.

Kami di ABIM Selangor mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak PSIS khususnya RPI PSIS serta Ustaz Azli atas kepercayaan yang diberikan untuk menyampaikan ceramah tempoh hari. Semoga segala usaha yang dijalankan diberkati Allah s.w.t.

0 comments:

TAZKIRAH USRAH


Maksud 49. Surah Al-Hujuraat, Ayat 12.

"Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa, dan janganlah kamu mencari kesalahan orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati? Maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. Dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani."

  • Prasangka itu adalah dosa. Jangan kami merisik-risik atau mengintip-intip keaiban orang lain.
  • Jangan kamu berganding-gadingan atau berpuak-puak atau berpakat di antara segelintir kamu bagi mempengaruhi sesuatu keputusan atas dasar ada sesuatu kepentingan.
  • Jangan kamu berhasad dengki.
  • Jangan kamu berbenci sesama kamu.
  • Jangan mengkhianati keputusan bersama yang telah dibuat.
  • Hendaklah antara kamu membina silaturrahim dan berbaik-baik.
  • Perkara yang kecil jangan diperbesar-besarkan dan menokok tambah tanpa bertanggungjawab terhadapnya.
  • Jangan kamu mengumpat saudara kamu demi membuka aibnya di mana orang yang dikatakan itu tidak ada bersama kamu.
  • Jangan mengorek-ngorek rahsia orang lain demi membuka aibnya.

PERBINCANGAN

  • Jangan mencemuh kaum lain dengan gelaran-gelaran yang tidak patut atas niat untuk menjatuhkan mereka.
  • Jangan hidup dengan persepsi. Sangat bahaya apabila sesuatu keputusan dibuat bersandarkan kepada beberapa assumptions.
  • Orang hebat bercakap pasal idea, orang sederhana bercakap pasal benda @ material manakala orang yang kecil bercakap pasal orang lain.
  • Sangkaan buruk merupakan negative thinking.
  • Sangkaan baik merupakan positive thinking.
  • Elak sense negative in other people.
  • Elakkan sesuatu yang walaupun asalnya bukannya salah tetapi mungkin membawa keburukan. Sebagai contoh, lepak di luar hingga jam 2 atau 3 pagi, ianya tak salah tetapi mungkin akan bawa keburukan seperti kesan lama berembun di luar dan tidur lewat yang mungkin menyebabkan lewat bangun solat Subuh.
  • Amalkan budaya spesifik dalam pentadbiran dan pengurusan. Maknanya pengarahan mesti jelas. Begitu juga, kalau tidak boleh hadir ke mana-mana pertemuan atau mesyuarat, sebutkan secara spesifik kenapa tidak boleh hadir.


CATATAN USRAH ABIM SELANGOR
Darul Wardah, Jalan Kebun, Shah Alam
2 Januari 2012 (Isnin)

0 comments:

TAZKIRAH USRAH


5 syarat yang menjadikan kerja kita dianggap sebagai ibadah:
(Oleh Dr Yusuf al-Qardhawi)

1) Niat kerana Allah SWT.
Mulakanlah harian kita dengan Alhamdulillah. Mentaati penrintah Nya dengan Allahu Akbar. Melihat keindahan pagi dengan Subhanallah. Pasangkanlah niat hanya kerana Dia aku hidup dan melakukan amal kerja untuk mencari keredhaan Allah. Mulailah dengan Bismillah.

2) Buat kerja dengan sebaik-baiknya.
Lakukanlah kerja dengan penuh kesungguhan dan kesempurnaan, kerana Allah s.w.t. amat suka kepada kesempurnaan. Lakukalah dengan kebenaran dan semangat agar kesannya baik kepada orang lain, memudahkan orang lain.

3) Ihsan.
Kita semua solat dan yang membezakan darjatnya adalah khusyuknya. Berlaku ihsan adalah keamanahan yang tinggi apabila kita meyakini bahawa Allah s.w.t. sentiasa melihat kita dalam melakukan tugas. Sekaligus membina keinsanan yang bernilai.

4) Tidak langgar mana-mana peraturan Allah SWT.
Ikutilah syariatnya. Elakkanlah pembaziran. Elakkanlah kelalaian. Elakkanlah terlebih hiburan atau keseronokan. Elakkanlah dari terlalu kekenyangan. Kadangkala, perkara kecil ini, tidak mengikuti syariat, maka hilang keberkatannya. Apatah lagi dalam soal hubungan sosial.

5) Tidak lalai dalam ibadah khusus.
Selesaikanlah urusan kita dengan Allah s.w.t. dahulu dan insyaAllah, Dia akan selesaikan urusan dunia kita. Usah abaikan solat dan zikir kepada Allah s.w.t. Jadikan ia sentiasa ada dan sentiasa diingati.

Mudah-mudahan segala kerja kita diberkati.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR