Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




TAZKIRAH USRAH


14 November 2011, Anjung Berkat, Shah Alam - Disampaikan oleh: Ustaz Hasri Harun

Buku: Nashaihul 'Ibad - Nasihat-nasihat Agama Kepada Calon Penghuni Syurga
Tajuk: Dalam Bab 5: Orang Mukmin Mengalami 6 Macam Ketakutan
Penulis: Imam Nawawi

Saidina Uthman Ibn Affan berkata bahawa khuatirlah kita kepada 6 perkara:

1) Takut kepada Allah jangan-jangan ia dicabut keimanannya.

2) Takut kepada para Malaikat (penjaga kita) jangan-jangan banyaknya dicatatkan keburukan-keburukan yang akan memalukan kita di hari kiamat kelak.

3) Takut kepada syaitan jangan-jangan ia membatalkan amal kebaikan kita seperti berjayanya dia menghasut kita agar kita riak dan sebagainya.

4) Takut kepada Malaikat Maut jangan-jangan dicabut nyawa kita dalam keadaan kita ketika itu lupakan kepada Allah SWT.

5) Takut kepada dunia jangan-jangan kita disibukkan daripada membuat persiapan untuk menghadapi akhirat kelak.

6) Takut kepada keluarga serumah dan kaum kerabat jangan-jangan kesibukan kita melayan mereka membuatkan kita dilupakan daripada mengingatkan Allah SWT.

Keenam-enam hal di atas ada kaitannya dengan Rukun Iman.

0 comments:

MISI QORBAN BERSAMA AYATA


5 November 2011, Bandar Baru Bangi -4 orang sukarelawan yang diketuai oleh Saudara Mohd. Azlan bin Md. Arshad (Exco TTK ABIM Selangor) bersama AbdulCelil Akar @ Jalil (Hayrat Foundation, Turki), Muadz bin Hj Adnan (ABIM Kuala Selangor, anak Hj Adnan Supardi) serta sukarelawan cilik Ahmad Anwar Mohd Azlan (12 tahun, pelapis ABIM) telah berangkat dari Masjid Asy-Syakirin, Bt. 5, Jalan Gombak, Kuala Lumpur pada jam 8.30 pagi. Tiba di Masjid Kg. Melaka, Merapoh. Perjalanan masih sesak dengan kenderaan yang menuju ke Kota Bharu. Pada jam 6:30 petang, perjalanan memasuki pekan Gua Musang. Memecut dengan agak laju melalui Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah kerana perlu sampai ke sempadan sebelum jam 10:00 malam.

Sukarelawan tiba di Rantau Panjang dengan selamatnya pada jam 8.30 malam. Disambut oleh Hj Wan Abdul Rahman (GPM) dan YB Pak Su Wi. Melintasi Sg. Golok dan terus ke rumah Pak Su Wi di Kg Air Kubu, Mukim Padi, Narathiwat.

Pada pagi 6 November, sukarelawan menunaikan solat Subuh di Masjid Air Kubu, Mukim Padi, Narathiwat kemudiannya melaksanakan solat sunat Eid Adha di kawasan lapang di luar masjid kerana bilangan jemaah yang ramai. Pihak tentera Thai juga mengawasi aktiviti solat dengan mengambil gambar. Khutbah Hari Raya dengan tajuk Pemuda Adalah Tonggak Perjuangan telah dibaca oleh Khatib dengan penuh semangat di dalam bahasa Melayu. Cukup menarik dan berkesan. Seterusnya, sukarelawan dijemput menikmati jamuan raya di rumah Penghulu Kg Air Kubu bersama dengan pimpinan masyarakat dan pegawai tentera Thai.

Aktiviti korban bermula di rumah YB Pak Su Wi pada jam 9.00 pagi. saudara Azlan diberi peluang untuk menyembelih lembu korban pertama yang disedekahkan oleh pihak Hayrat Foundation berjumlah 30 ekor lembu bagi ibadah korban oleh YB Pak Su Wi. Sejurus selepas itu, sukarelawam dibawa berangkat ke Kg. Hangus yang jaraknya sekitar 15 km dari Kg. Air Kubu untuk urusan korban kedua yang disumbangkan oleh pihak Hayrat Foundation. Penyembelihan kali ini dilakukan oleh Sdr Jalil yang kali pertama menyembelih lembu bagi ibadah kurban. sukarelawan dimaklumkan Kg Hangus merupakan tempat para pejuang Islam Selatan Thai yang menentang pihak kerajaan Bangkok. Sukarlawan juga menziarahi masjid di mana berlakunya kejadian bunuh akibat tembakan terhadap seorang imam pada waktu Subuh setahun yang lalu. Kesan tembakan peluru pada lantai dan dinding masjid masih kelihatan.

Ketika dalam perjalanan pulang sukarelawan dibawa ke rumah Wakil kepada Wakil Rakyat Narathiwat, seorang jutawan pembinaan dan pulang ke rumah YB Pak Su Wi untuk makan tengahari dan solat di Masjid Kg. Air Kubu. Tepat jam 1:00 petang sukarelawan bergerak pulang dari rumah YB Pak Su Wi dan bergerak ke Tak Bai. Dalam perjalanan kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh YB Pak Su Wi terlibat dalam kemalangan apabila ia merempuh belakang sebuah kereta. Tiada kemalangan jiwa hanya kesan kemek di hadapan kereta dan belakang kereta yang dirempuh. Oleh kerana itu, sukarelawan bertukar kenderaan di hadapan Masjid an-Nur dan menaiki dua buah kenderaan lain menuju ke Pulau Tok Bisu. Untuk ke Pulau Tok Bisu, sukarelawan menaiki 2 buah bot untuk ke sana yang jaraknya tidak sampai 10 minit.

Ibadah kurban berikutnya dilaksanakan di hadapan Masjid Pulau Tok Bisu dan dijalankan oleh salah seorang penduduk di sana. Kerja-kerja melapah oleh para penduduk selesai ketika masuk waktu Asar. Sukarelawan menikmati jamuan makan malam di rumah salah seorang penduduk di pulau tersebut. Jamuannya cukup menarik iaitu ikan goreng siakap bersama-sama lauk-pauk yang lain. Hujan turun renyai-renyai sebagai rahmat Allah S.W.T. kepada hambaNya yang turut sama menjayakan ibadah kurban dengan penuh keimanan.

Sukarelawan meninggalkan Pulau Tok Bisu dengan bot dan menaiki kenderaan ke Lagoon Tak Bai untuk bermalam di sana. Sebelah malamnya, sukarelawan dijemput oleh Ustaz Nawawi Yunus untuk memberi kuliah motivasi kepada para pelajar lelaki Maahad Nuruddin berumur 16-17 tahun seramai 10 orang. Program berakhir sekitar jam 9:30 malam.

Pada 7 November, sukarelawan mula meninggalkan Lagoon Tak Bai ke Asrama Ayata, Tabal untuk misi ibadah korban dari pihak ABIM Selangor sebanyak 2 ekor yang di laksanakan di Kg Tabal, Takbai. Saudara Azlan mengambil peluang menyembelih lembu yang dikorbankan bagi pihak sahabat-sahabat ABIM Selangor. Lembu kedua disembelih oleh Sdr. Muadz Hj Adnan (merupakan pengalaman pertamanya). Lembu yang disedekahkan oleh pihak Hayrat Foundation, disembelih oleh Sdr. Jalil.

Pada jam 9:30 pagi sukarelawan dibawa melawat sekitar Maahad Nuruddin khususnya kawasan asrama lelaki dan perempuan yang begitu naif. Kos untuk membina asrama 2 tingkat dianggarkan sekitar RM250k. Kerja-kerja menambak tanah bagi keluasan 20’ x 10’ dianggarkan sekitar RM3,600/-. Duit lebihan ibadah kurban ABIM Selangor sebanyak RM1,000/- telah diserahkan oleh Hj. Wan Abdul Rahman kepada Ustaz Nawawi Yunus bagi pihak AYATA. Majlis penyerahan daging kurban kepada anak-anak yatim, ibu-ibu tunggal dan fakir miskin telah dijalankan di Asrama Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal. Sekali lagi Saudara Azlan dijemput menyampaikan ucapan bagi pihak ABIM Selangor. Seramai 66 orang anak yatim dan lebih dari 20 orang ibu tunggal dan fakir miskin telah hadir ke majlis berkenaan. Seterusnya, sukarelawan menunaikan solat zohor dan jamak Asar dilaksanakan di Masjid Jamek Tabal, Takbai dan bertolak ke Pusat Perkumpulan Saudara Baru (Muallaf) yang diselia oleh pihak Young Muslim Association of Thailand (YMAT) untuk acara korban ABIM Selangor kepada saudara muallaf. Sukarelawan terpaksa ke pantai bagi menjalankan acara korban kerana khabarnya lembu masih belum diikat dan agak liar bergerak di sepanjang pantai. Setelah menunggu hampir 2 jam, rancangan aktiviti korban terpaksa ditunda esok pagi dan diwakilkan kepada pihak YMAT untuk menyembelihnya bagi pihak ABIM Selangor kerana waktu semakin petang dan dikhuatiri tidak sempat siap. Acara simbolik menanam pokok mangga di belakang bangunan AYATA sebagai mengenang sumbangan kurban dari ABIM Selangor dan Hairat Foundation.

Sukarelawan menunaikan solat jamak Maghrib dan Isya’ berjemaah dilaksanakan di Masjid Jamek Tabal. Makan malam di Asrama Bangunan Ayata dengan hidangan istimewa sup komunis (yang biasa dihidang oleh para pejuang ketika berada di dalam hutan). Kemudian dibawa minum malam di Pekan Takbai bersama Ustaz Wan Imran (pensyarah universiti), Ustaz Nawawi Yunus dengan pihak ABIM Selangor, Hairat Foundation dan GPM. Suasana malam berhampiran sempadan Thailand-Malaysia begitu nyaman sekali.

8 Novem0ber 2011, menunaikan solat Subuh berjemaah di Masjid Jamek Tabal, Takbai. 8.00 pagi, para sukarelawan bertolak ke University of Princess Naradhiwan, Narathiwat bagi acara korban bagi pihak Hayrat Foundation. Acara korban disempurnakan oleh pihak staf dan pelajar universiti dari Fakulti Pengajian Islam dan Bahasa Arab. Kemudian berangkat ke Kampung Chaok Setoi, Narathiwat bagi acara korban bagi pihak Hayrat Foundation yang terletak sekitar 10 km dari universiti. Acara korban disempurnakan oleh Sdr Jalil dan disaksikan oleh Penghulu dan para penduduk kampung. Kemudiannya ke Kampung Baru di Bandar Narathiwat bagi acara berikutnya. Ianya sebuah perkampungan bandar yang didiami oleh kebanyakan penduduk yang miskin dan sederhana dari aspek ekonomi. Acara korban dilaksanakan di kawasan lapang berhampiran masjid. Lembu yang disedekahkan oleh pihak Hayrat Foundation khabarnya agak liar dan memerlukan ramai tenaga lelaki untuk dilaksanakan ibadah korban tersebut. Alhamdulillah, acara berjalan dengan lancar dan ibadah korban dapat disempurnakan dengan sebaiknya. Sambil menunggu waktu Zohor masuk, sukarelawan dihidangkan dengan jamuan ubi kayu, daging lembu bakar, ais krim daun teh tarik.

Selepas solat Zohor dan jamak bersama Asar dilaksanakan di Masjid Jamek Kampung Baru, satu majlis ringkas telah diadakan di mana pihak jawatankuasa masjid telah menjemput wakil ABIM Selangor dan Hayrat Foundation untuk memberi sedikit ucapan ringkas. Sukarelawan seterusnya bergerak ke University of Princess Naradhiwan bagi jamuan tengahari bersama staf dan pelajar di sana dan kemudian berangkat pulang ke Asrama Ayata untuk berkemas dan berangkat balik ke Malaysia. Sdr Wan Abdul Rahman bersama Sdr Jalil dan Muadz dihantar ke sempadan melalui pekan Takbai ke Pengkalan Kubur, Kelantan. Saudara Azlan dan Ahmad Anwar dihantar oleh Ustaz Nawawi, Ustaz Wan Hassan dan seorang AJK Ayata dengan kenderaan Ustaz Hamzah, Mudir Maahad Nuruddin ke Pekan Sungai Kolok (Golok) untuk memasuki sempadan Malaysia ke Rantau Panjang.


Md. Azlan b. Md. Arshad
Ketua Delegasi
Misi Qorban ABIM Selangor Ke AYATA

0 comments:

BENGKEL MUSLIMAH WAJA

29 Oktober 2011, Jalan Kebun Shah Alam - Seramai 120 orang wanita dari kalangan sasaran Muslimah di Jalan Kebun telah hadir memeriahkan Bengkel Wanita Waja yang dianjurkan bersama diantara Akademi Zakat Selangor (AZAS), ABIM Selangor, Ahli Jawatankuasa Masjid An-Naim Jalan Kebun dan JKKK Jalan Kebun.

Bengkel yang berlangsung bermula jam 8.00 pagi itu telah diisi dengan program yang sangat menarik serta memberikan impak yang positif kepada mereka yang hadir. Ia bermula dengan sedikit kata-kata dan nasihat bermotivasi yang disampaikan oleh Puan Nurhani Salwa dari Grup Peguam ABIM yang bertajuk Bahagianya Menjadi Wanita dan selepas rehat pula oleh Dr. Ruziah Ghazali yang merupakan Pengurus Besar AZAS sendiri.


Bengkel ini bertujuan untuk memotivasi para muslimah atau ibu dalam membina keluarga harmoni dan kasih sayang serta berkongsi tip untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bengkel yang tamat pada jam 1.00 petang itu lebih meriah apabila menerima kunjungan YB Suhaimi yang turut berkesempatan merasmikan majlis penutup bengkel.

Apa yang menarik di dalam bengkel ini juga ialah kesempatan yang diberikan kepada Saudari Azmiza, Pengurus Darul Wardah untuk berkongsi cerita suka dan duka serta berita berkenaan dengan usaha ABIM Selangor khususnya tim HELWA Selangor dalam membangun serta berdakwah melalui DARWA itu sendiri.

Bagi pihak ABIM Selangor, kami amat berbesar hati atas kesudian dan kepercayaan yang diberikan oleh pihak AZAS untuk melaksana bengkel ini serta tidak dilupakan juga kepada pihak penyumbang hadiah cabutan bertuah yang menjadikan bengkel ini lebih bermakna buat mereka yang hadir.


0 comments:

BICARA ORANG MUDA

20 Oktober 2011, Seksyen 3 Shah Alam - Akademi Zakat Selangor dengan kerjasama ABIM Selangor dan MPP UNISEL Shah Alam telah menganjurkan forum Bicara Orang Muda bertajuk 'Mencari Cinta Ilahi'. Forum ini mensasarkan pelajar-pelajar IPT khususnya UNISEL di WISMA MAIS Seksyen 3 Shah Alam itu sendiri. Forum disambut dengan deraian air hujan membasahi bumi pada awal jam 7.00 petang di mana forum tersebut dimulakan dengan solat berjemaah Maghrib, bacaan Yaasin dan solat hajat serta solat Isyak berjemaah.

Forum yang berlangsung dalam pelbagai perasaan dan keadaan itu telah berjaya menarik minat segelintir pelajar juga orang ramai yang memenuhkan khemah yang disediakan walaupun dalam keadaan hujan dan kebasahan. Forum dilangsungkan di kawasan gelanggang badminton Wisma MAIS dan mengetengahkan 3 ahli panel muda dan berpandangan jauh.

Panelis yang dijemput adalah Ustaz Mohd Naim Mohd Nor (Timbalan Presiden ABIM), Ustaz Elyas Ismail (Penceramah E-Class Training), Ustaz Fauzan (Penceramah Mantop Training) serta moderator forum, saudara HAMKA (Penceramah E-Class Training). Forum dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Dr. Ruziah Ghazali, Pengurus Besar Akademi Zakat Selangor.

Antara objektif utama penganjuran adalah untuk menggiatkan usaha pendakwah muda ABIM serta agensi seperti AZAS dalam kerja-kerja mengembalikan fitrah rasa bertuhan serta memberi kesedaran mengenai akidah Islam kepada belia dan masyarakat. Majlis bermula seawal jam 7.00 malam dan tamat pada jam 10.30 malam dalam majlis ringkas penyampaian cenderamata dari pihak penganjur kepada panelis dan moderator forum.

Semoga dengan penganjuran ini, ABIM bersama AZAS akan dapat menggemblengkan tenaga dengan lebih aktif untuk meneruskan usaha menyampaikan dakwah kepada masyarakat di WISMA MAIS.


0 comments:

SEKSUALITI MERDEKA: HORMATI KELUHURAN UNDANG-UNDANG


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada forum “Human Right for LBTIQ: Making it Real in Malaysia” anjuran Majlis Peguam Malaysia dan penganjuran aktiviti yang mempromosi nilai dan hak golongan LGBT oleh Kumpulan Seksualiti Merdeka sepanjang bulan November ini. ABIM memandang serius perkembangan golongan tersebut yang mutakhir ini begitu berani menuntut secara terbuka agar undang-undang Malaysia memberikan hak kepada golongan LGBT atas nama kebebasan hak asasi manusia sejagat.

Kebebasan hak asasi yang dilaungkan oleh golongan LGBT ini adalah bukan sahaja bercanggah dengan ajaran agama Islam malah semua agama telah mengharamkam perhubungan sejenis sesama manusia. Ia adalah nilai songsang dalam masyarakat, dan agama mendefinisikannya sebagai di luar tabi’e.

Selain itu, dalam sejarah ketamadunan manusia, golongan yang mengamalkan dan memperjuangkan kebebasan homoseks ini dianggap sebagai golongan pelampau (al-‘adun) yang telah dibinasakan oleh Allah.

Undang-undang negara adalah berasaskan agama. Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan mengangkat Islam sebagai agama persekutuan, disamping turut memperuntukkan bahawa agama-agama lain boleh diamalkan di seluruh persekutuan. Kerana itu mana-mana tindakan yang bertentangan dengan agama adalah dianggap satu kesalahan.

Kanun Keseksaan, di bawah Seksyen 377 telah menjelaskan bahawa perbuatan perhubungan sesama jantina adalah termasuk di bawah perbuatan di luar tabi’e dan ianya menjadi suatu kesalahan. Malah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri ia adalah suatu kesalahan syariah sekiranya dilakukan oleh orang Islam. Begitu juga dalam konteks perkahwinan, undang-undang negara telah mengharamkan perkahwinan sesama jenis.

ABIM berpandangan sekiranya kebebasan asasi ini diangkat dan diiktiraf oleh undang-undang banyak implikasi perundangan boleh berlaku. Antaranya perhubungan sejenis ini akan diiktiraf, perkahwinan sesama jantina menjadi sah, dan pertukaran jantina boleh menjadi suatu yang halal di negara ini.

ABIM ingin melahirkan kebimbangan sekiranya perkara ini berlaku, maka kehancuran sistem nilai dalam masyarakat akan menjadi parah. Sistem institusi keluarga juga bakal menuju kehancuran.

Selain itu, perjuangan LGBT ini jelas bercanggah dengan nilai-nilai moral dan kesusilaan seperti mana yang terkandung dalam falsafah negara. Unsur negatif ini yang meresap dalam masyarakat akan menggagalkan sistem moral dan norma-norma ketimuran yang boleh menjerumus kita untuk menjadi seperti negara Barat yang tidak lagi berpegang kepada prinsisp agama dalam kehidupan.

Justeru, ABIM menggesa pihak yang memperjuangkan hak asasi golongan LGBT ini menghormati keluhuran undang-undang negara demi menjaga keharmonian dan kesejahteraan rakyat.

ABIM turut menggesa agar kumpulan terbabit menghormati sensitivi masyarakat beragama di negara ini dengan tidak mempromosikannya secara terbuka kerana dikhuatiri mampu menggugat ketenteraman awam dan keamanan negara selain mencipta fenomena yan tidak sihat di kalangan masyarakat.

ABIM menyeru agar semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik, jabatan kerajaan, dan masyarakat keseluruhannya menolak perjuangan kumpulan yang mendokong LGBT ini, dan mengecam secara khusus Kumpulan Seksualiti Merdeka yang telah menjadikan bulan November sebagai bulan meraikan aktiviti songsang yang bercanggah dengan nilai moral dan agama.

ABIM menyambut baik ketegasan pihak PDRM dalam menangani kumpulan terbabit. Oleh itu, ABIM berharap agar lain-lain agensi penguatkuasaan seperti JAKIM, dan Jabatan Agama Islam Negeri dapat memainkan peranan yang lebih serius dan progresif khususnya dalam soal pemantauan dan pencegahan supaya aktiviti mereka tidak terus mencemarkan institusi moral masyarakat.

MOHAMAD RAIMI AB RAHIM
Setiausaha Agung, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR