Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




PENGHARGAAN DARI AYATA


28 September 2011 - ABIM Selangor telah menerima penghargaan dari Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal berikutan kejayaan mengumpulkan sumbangan yang dijalankan sepanjang Ramadhan 1432 / 2011 yang lalu di dalam Kempen Sandang Raya 2011.

Penghargaan itu dirakamkan di atas sepucuk surat penghargaan khususnya kepada para dermawan budiman yang menyumbang melalui ABIM Selangor untuk memberikan ruang dan peluang untuk anak-anak yatim dan miskin di Selatan Thailand (Takbai) merasai keseronokan berhari raya dengan baju raya yang baru.

Kami di ABIM Selangor juga ingin mengambil peluang ini merakamkan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada para dermawan yang telah menyumbang bagi berkongsi kegembiraan Syawal bersama mereka yang tidak berkemampuan. Semoga usaha baik ini dapat diteruskan dan mendapat limpah kurnia dan rahmat dari Allah s.w.t. buat kalian. ABIM Selangor hanyalah wakil untuk menyampaikan hasrat hati para dermawan sekalian. Terima kasih.

2 comments:

MRA MULA LATIH BELIA SOMALIA


Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
utusan@pengarang.com.my


KUALA LUMPUR 22 Sept. - Malaysian Relief Agency (MRA) yang terlibat dalam misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran bersama Kumpulan Utusan mula mengadakan latihan kepimpinan kepada elia di negara Afrika itu bagi meningkatkan daya kepimpinan mereka.

Pengarah Bantuan Kecemasan MRA, Khairil Annuar Khalid berkata, latihan tersebut penting kepada golongan belia di sana sebagai persediaan untuk menjadi pemimpin pelapis.

"Melalui latihan yang diberi ini, kita berharap golongan belia di sana dapat berfikir dengan lebih proaktif untuk menjadikan negara mereka lebih aman dan hidup dalam keadaan yang harmoni.

"Setakat ini, seramai 30 orang belia telah mengikuti latihan tersebut dan dijangka jumlah itu akan meningkat," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ditanya mengenai kutipan tabung MRA, Khairil berkata, setakat ini, jumlah sumbangan yang diterima RM736,000.

Jelasnya, MRA menerima banyak panggilan daripada pihak yang bersimpati dengan nasib rakyat Somalia dan kebanyakan mereka mahu menghulurkan derma dalam masa terdekat bagi membantu mangsa bencana di sana.

Sumbangan boleh disalurkan terus secara tunai atau melalui cek ke akaun Maybank MRA bernombor 5640-9820-6365.

1 comments:

PERKEMBANGAN BANTUAN KEPADA KELUARGA YANG MEMERLUKAN


26 September 2011
- Pada 25 ogos 2011 ABIM Selangor telah menyiarkan tentang kesukaran seorang wanita di Shah Alam. Terkini dilaporkan pihak sahabat-sahabat dari ABIM Mesir telah memenuhi amanah mereka dengan mengiringi wanita tersebut untuk menjalani colonoscopy di salah sebuah hospital di Kuala Lumpur. Hasilnya mendapati beliau menghidap penyakit solitary rectal ulcer (bukan ulceritive colitis, maaf atas kesilapan) iaitu ulcer di penghujung colon (usus besar). Menurut doktor, ulcer tersebut lebih besar daripada duti 50 sen dan sangat-sangat jarang ditemui.

Walaupun penyakit dan ubat sudah diketahui, namun ubat yang bernama 'pentasa ferring' ini tiada di hospital berkenaan dan di farmasi yang berdekatan. Oleh itu,mohon pertolongan sahabat-sahabat dan mereka yang prihatin untuk membantu mendapatkan ubat tersebut.

Alhamdulillah, segala kos perubatan, colonoscopy, tinggal di wad dan juga pengangkutan pulang ke Shah Alam telah ditanggung sepenuhnya oleh pihak hospital tersebut. Di akhir pertemuan, wanita tersebut kelihatan lemah dan tidak bermaya sepanjang hari namun senyuman tetap terukir walaupun fikirannya kusut memikirkan anak-anaknya. Bak katanya "penyakit dan sakit datang dari ALLAH, mak cik tidak risau sangat, makcik lagi risaukn anak-anak."

Semoga kita boleh mengambil manfaaat dan pengajaran dari kes ini.

Sekian, terima kasih

Dilapor oleh, Muhammad Amir Firdaus untuk ABIM-Mesir

Sebarang bantuan untuk dihulurkan boleh terus ke MAYBANK 562106228176 (atas nama ABIM SELANGOR). Ia merupakan tabung khas DARWA untuk kemudahan penyelarasan bantuan.

0 comments:

EMPAT JUTA LITER AIR BERSIH UNTUK RAKYAT



KUALA LUMPUR 20 Sept. - Misi bantuan kemanusiaan ke Somalia anjuran Kumpulan Utusan dan Malaysian Relief Agency (MRA) diteruskan dengan pengagihan empat juta liter bekalan air kepada rakyat negara itu.

Pengurus Sekretariat MRA, Fauziah Tahar berkata, setakat ini, MRA telah membuat penghantaran bekalan air ke beberapa kem yang terlibat antaranya di Bosaso, Gardo dan Garowe mengikut jadual yang ditetapkan.

"Majlis Perbandaran Tempatan dan MRA telah mengatur jadual bagi mengagihkan air ke kem yang memerlukan bekalan melibatkan penghantaran 21 lori air.

"Satu lori boleh membawa 8,000 liter sehari dan dengan jumlah 21 lori, kita dapat salurkan 168,000 liter sehari. Jadi, kita harap bekalan tersebut mampu menampung keperluan air bersih mangsa terlibat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Misi ini terdiri daripada Pengurus Operasi, Mohd. Iqbal Abu Bakar, Koordinator Perubatan, Hani Yang Kasim dan Pegawai MRA di Garowe, Mohd. Shahrulazilan Said.

Jelasnya, bantuan air bersih amat diperlukan berikutan kemarau panjang dengan lima kawasannya diisytiharkan berdepan dengan kebuluran yang kini mula merebak ke negeri-negeri di wilayah selatan.

"Justeru, orang ramai diseru membantu rakyat Somalia dengan menghulurkan sumbangan secara tunai atau melalui cek ke akaun Maybank MRA bernombor 5640- 9820-6365.

"Sebarang pertanyaan lanjut mengenai sumbangan untuk tabung itu boleh menghubungi talian 03-2697 2007/012-2096577 atau melayari laman web www.mra.my," katanya.

0 comments:

RECOGNISE PALESTINE STATE


On this coming 20th September 2011, the Palestinian Liberation Organization PLO will propose a resolution for the United Nations to recognize Palestine to be represented as an independent country, and as a fully fledged member of the United Nations. It is time for Palestinian to declare once and for all their right to self determination, their sovereignty, freedom and independence.

This comes after exhausting useless and meaningless rounds of negotiations with Israel on the terms of Palestinian statehood which have been frozen since 2008. It is an arduous and a long overdue process while everyday Palestinians faces a continuous series of brutality, animosity, displacement, dispossession and atrocities done by the Israeli regime. A regime which has never honoured or appreciated the language of negotiation and dialogue. Negotiations with the Israeli regime lead to disappointment, deceit and the squandering of time and missing opportunities of peace.

In this regard, ABIM would like to take this precious occasion to express our deep solidarity and full support for Palestinians in taking this step for the recognition of the Palestinian State based on UNSC resolution 242 which states a defined 1967 contiguous border with East Jerusalem as its capital. We support the admission of Palestine as a full member of the United Nations.

ABIM urges the international community especially those countries that are yet to recognize Palestine to use their moral conscience and to stand together showing support and solidarity for Palestine. We owe a historical debt to the Palestinian peoples' right to an independent state for 64 years. By doing so, we are fulfilling our duty and responsibility towards stopping injustice towards Palestine and to preserve their basic national and human right to live happily and peacefully within their own soil.

ABIM supports the decision of the Malaysian Government to recognize Palestine. Moreover, as a respected Islamic country, Malaysian Government should play a more leading and significant role by using its regional influence to get more countries to recognize Palestine especially among remaining Asean countries like Thailand and Singapore. The Malaysian Government should not be too concerned of pressures from USA and its allies but by upholding truth and justice ought instead to persuade and urge US and its allies to be fair and support the Palestinian cause.

Finally, based on the report entitled “Building the State of Palestine” prepared by Palestinian National Authority, ABIM is confident that Palestinian is ready to become a sovereign country and exercise its right to self-determination which has been repeatedly recognized over and over again by the UN and by the International Court of Justice in 2004. Now, it is time for the flag of Palestine to be hoisted high at the UN.


JUFITRI JOHA,
Vice President (International Affair),
Muslim Youth Movement of Malaysia (ABIM)

1 comments:

KASIH ZULHIJJAH: MAJLIS IBADAH KORBAN @ AYAT 1432


Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh,

Sukacita dimaklumkan ABIM Selangor telah pun melancarkan Kempen Ibadah Qurban @ Ayata, Thailand pada 18 September 2011 Ahad pada Majlis Raya WAP 3G, tempoh hari. Kempen ini akan berjalan dari 18 Sept - 4 Nov 2011. Berikut adalah maklumat kempen : - 1 bahagian = RM360.00
- sumbangan akan diserahkan kepada Badan Kebajikan Anak Yatim Tabal, Ayata Sebarang pertanyaan boleh hubungi pihak sekretariat.

Wassalam

0 comments:

MAJLIS SAMBUTAN AIDILFITRI WAP 3G 2011


18 September 2011, Shah Alam - Majlis Sambutan Aidilfitri jemaah WADAH Selangor - ABIM Selangor - PEPIAS telah berlangsung dengan jayanya pada hari Ahad, 18 September 2011 bertempat di Dewan Ar-Rahmah, Masjid Ubudiyah Seksyen 19 Shah Alam seawal jam 9.00 pagi.

Majlis yang dihadiri oleh hampir 60 orang ahli jemaah ini berlangsung dengan baik dimulai dengan bacaan doa oleh Ustaz Anas bin Jaafar, Exco ABIM Selangor. Majlis yang dipengerusikan oleh Saudara Afif Kasno yang juga merupakan timbalan YDP ABIM Klang seterusnya bersambung dengan ucapan dari wakil jemaah bermula dengan YDP ABIM Selangor, Setiausaha Agung PEPIAS dan diakhiri dengan ucapan oleh Pengerusi WADAH Selangor.



Majlis ini kemudiannya diteruskan dengan sesi dialog antara ahli serta dimeriahkan lagi dengan kehadiran YB Yaakob Sapari, Exco Negeri Selangor. Beliau memberikan ucapan penghargaan dan terima kasih dan juga sedikit mengenai keperluan dan kepentingan jemaah untuk terus-menerus melakukan kerja dakwah memberikan pemahaman dan pendidikan yang terbaik kepada umat.

Majlis ini diakhiri pada jam 11.30 pagi dan bermula pertemuan khas HELWA yang diketuai oleh Ketua HELWA ABIM Selangor saudari Norhidayah. Turut serta dalam oertemuan tersebut adalah seramai 9 orang iaitu ketua helwa daerah, exco abim selangor dan exco helwani pepias. Perbincangan lebih menjurus kepada perlantikan dan pengesahan jawatankuasa HELWA ABIM Selangor, dan juga aktiviti sepanjang 2011/2012. Majlis bersurai jam 12.45 tengahari dalam Majlis Raya WAP 3G.


0 comments:

PEMANSUHAN ISA


Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyambut baik pengumuman pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak serta beberapa akta yang berkaitan.

Langkah ini mempelihatkan ketelusan kerajaan untuk memelihara ketenteraman dan kebebasan bersuara seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan. Pengumuman ini menandakan keterbukaan sikap pihak pemerintah terhadap desakan serta pandangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak terhadap akta tersebut sebelum ini.

Namun demikian, adalah amat malang sekiranya pengumuman ini hanya bersifat populis untuk meraih undi bagi menghadapi Pilihanraya Umum ke-13 yang dijangka bakal dilangsungkan tidak lama lagi. Dalam konteks ini, ABIM tidak mahu melihat rakyat terperangkap dalam permainan politik dilihat semakin rencam dan mengelirukan rakyat.

Sekiranya inilah yang sebenarnya berlaku, ABIM khuatir ia akan mencetuskan persepsi negatif rakyat terhadap ketelusan pemerintah yang sekaligus menjejaskan integriti serta keabsahan pihak berkenaan dalam melaksanakan agenda transformasinya.

Sesungguhnya kebebasan dan ketenteraman awam merupakan hak asasi seluruh rakyat Malaysia dan ia perlulah dilaksanakan dengan semangat dan komitmen demokrasi yang tinggi. Adalah amat penting agar prinsip ini dilaksanakan di Malaysia tanpa mengira keterikatan individu atau mana-mana terhadap sesuatu parti serta kefahaman politik tertentu.

ABIM dengan ini mendesak pihak yang berkenaan agar menghormati segala lunas perundangan yang telah ditetapkan serta tidak sewenang-wenangnya menghalalkan sebarang penganiayaan serta diskriminasi atas nama menjaga ketenteraman serta kesejahteraan awam.

ABIM akan terus memantau serta memberikan kenyataan berhubung dengan pemansuhan akta-akta tersebut di samping proses penggubalan akta-akta yang menggantikannya, agar ia menepati janji pihak pemerintah untuk menjunjung tinggi teras demokrasi serta nilai kebebasan hak asasi manusia di negara ini.


AMIDI DATO’ ABDUL MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

PROF KHALIJAH SALLEH, SERIKANDI MUSLIMAH MITHALI KONTEMPORARI


BALASUNGKAWA - Profesor Dr Khalijah Salleh, Serikandi Muslimah Mithali Kontemporari

Pada jam 10 pagi Sabtu 17 September 2011 bersamaan 19 Syawal 1432, gugurlah serikandi yang amat dikasihi, Profesor Dr Khalijah Salleh, bekas pensyarah Jabatan Fizik, UKM dan paling utama mantan Ketua Helwa ABIM, kalau tidak silap Ketua Helwa yang pertama, yang juga di antara pengasas ABIM HELWA.

Pemergian Allahyarhamah Kak Jah (nama gelaran beliau di kalangan Helwa ABIM) memang diratapi oleh seluruh warga ABIM, baik wanita mahupun lelaki. Sepanjang hari-hari terakhir beliau yang dirawat di HUKM, pelawat tidak putus-putus mengunjungi beliau. Ketabahan beliau menghadapi saat terakhir itu sukar dilupakan. Kak Jah seperti biasa amat bersemangat dan mentally alert. Dia kenal dan tahu siapa pelawatnya dan dalam keadaan yang sakit, masih ingin berbicara dengan senyuman manisnya yang menjadi trademarknya. Melihat beliau ketika itu sukar untuk percaya beliau sedang menanti saat-saat terakhir.

Saya mengenali Kak Jah kali pertama di Kolej Tunku Kurshiah Seremban. Beliau datang ke Kolej untuk memberi ceramah motivasi atas undangan Murid Tua (inilah istilah lama untuk alumni). Beliau diperkenalkan sebagai wanita Melayu pertama meraih ijazah sarjana muda bidang fizik. Memang Kak Jah seorang yang boleh menaikkan semangat pendengarnya. Sejak itu jiwa saya turut berkobar-kobar mahu meneladaninya. Menjadi perintis Melayu dalam apa jua bidang yang mungkin semata-mata ingin membuktikan orang Melayu juga mampu. Dan akhirnya saya ke Amerika Syarikat untuk mendalami bidang matematik yang ketika itu memang kurang diceburi oleh anak Melayu malahan dicemuh bahawa bangsa Melayu lemah matematik dan sains. Begitulah kesan Kak Jah pada diri saya ketika itu yang masih di bangku sekolah menengah.

Saya pernah bertemu Kak Jah di University of California Davis ketika beliau meneruskan pengajiannya di peringkat tertinggi. Dan ditakdirkan Allah, kami bertemu lagi dalam jemaah yang kita kasihi iaitu ABIM - saya masih bertatih mengikut jejak langkahnya. Alhamdulillah, kami terus bersama dan jurang adik dan kakak semakin tipis - sama-sama selaku ahli profesional Muslim yang ingin memajukan umat Islam menerusi da'wah dan juga bidang keilmuan.

Kak Jah seorang pejuang profesional yang amat passionate dalam apa sahaja yang beliau lakukan. Beliau amat passionate dengan ABIM, ilmu dan pendidikan. Beliau tidak akan menolak sebarang undangan Helwa mahu pun Biro Pendidikan ABIM dalam aspek pengongsian ilmu khususnya cinta pertamanya - sains Islam. Di akhir fasa perjuangannya, Allahyarhamah amat prihatin tentang keperluan memasyarakatkan sains di kalangan orang Melayu dan pentingnya hubungan sains dan aqidah. Sains sebagai ayat-ayat Allah swt. Walaupun sudah didiagnos dengan kanser, selagi beliau boleh berdiri, bercakap dan kuat, beliau masih meneruskan perjuangannya - hatta ke Indonesia - berbicara tentang sains Islam sebagai memenuhi undangan IIIT Indonesia. Beliau masih menghadiri majlis Helwa di awal tahun 2011 walaupun kekuatannya sudah mula merosot.

Usaha Kak Jah bukan sahaja untuk ABIM malahan semua organisasi Islam seperti Yadim dan IKIM. Kegigihannya dalam bidang sains terbukti bila Kak Jah dilantik sebagai felo oleh Akademi Sains Malaysia. Beliau tidak lupa mengundang saya pada hari bersejarah perlantikannya itu yang beliau gunakan untuk membentangkan mesej cinta pertamanya.

Kak Jah memang seorang serikandi dan wanita mithali. Selain daripada kerjayanya, da'wah dan aktiviti sosialnya, Kak Jah juga merupakan isteri dan ibu yang berjaya. Pada malam jumaat yang lepas iaitu jam 3.19 pagi, kita dikejutkan oleh sms daripada Kak Jah. Pesannya ringkas sekali:

Tk dear all. Help baca Yassin now. I may be leaving now. Salam maaf zahir n batin.

Benar-benar sms - ringkas dan padat. Kak Jah seolah-olah sudah tahu bila beliau akan pergi. Ini mengingatkan kita cara Imam al-Ghazzali sudah maklum beliau akan meninggalkan dunia yang fana ini dan memakai kain kafannya.

Masha'Allah. Kata-kata Kak Jah memang benar - beliau berangkat meninggalkan kita terutama ahli keluarganya yang dikasihi pada hari Sabtu. Sejak menziarahi Kak Jah di HUKM saya bacakan surah Yassin beberapa kali diiringi doa: Ya Allah, jika takdirnya sembuh, sembuhkkanlah Kak Jah dan jika takdirnya pergi menghadapiMu, mudahkanlah pemergiannya.
Allah lebih menyayanginya dan mengetahui rahsia-rahsia kita. Kini saya cuma dapat menenangkan diri dan perasaan bahawa Kak Jah pergi dalam keadaan husnul khatimah dan kejayaan muflihun.

Innalillahi wa inna ilayhi rajiun. Semuga Allah mengampunkan Allahyarhamah Kak Jah dan menghimpunkan ruhnya bersama golongan abrar.

Kak Jah sudah pergi namun kita mestilah teruskan usahanya dalam bidang keilmuan dan pendidikan untuk memantapkan sains Islam dan aqidah umat. Inilah sekurang-kurangnya kita dapat lakukan sebagai mengenang jasanya yang tidak ternilai.

wabillahi tawfiq walhidayat. Allahu 'alam.

Nukilan
Rosnani Hashim
Mantan Ketua Helwa ABIM
Profesor, Institut Pendidikan UIAM.
10.30 malam.
17 september 2011

14 comments:

TAKZIAH BUAT KELUARGA PROF KHALIJAH SALLEH


Al Fatihah: ABIM merakamkan ucapan Takziah buat keluarga Prof Khalijah Salleh

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menerima khabar sedih kembalinya Profesor Dr. Khalijah Salleh, mantan Ketua Hal Ehwal Wanita ABIM ke hadrat Allah Subahanallah Ta’ala pada jam 10:01 pagi, 17 September 2011. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di Wad Warga, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia. Jenazah beliau ketika ini sedang diuruskan di rumah beliau di Seksyen 8, Shah Alam, Selangor Darul Ehsan

Pemergian beliau sebagai seorang tokoh akademik dan sains yang disegani serta aktivis dakwah yang komited pastinya amat dirasai oleh ABIM dan umat Islam di Malaysia. Prof Dr Khalijah juga sangat terkenal sebagai tokoh yang mempelopori bidang Sains dan Tauhidik. Kebitaraan beliau di dalam bidang ini menjadikan beliau sangat dihormati dan disegani dalam bidang kepakarannya kerana berjaya menonjolkan kaitan sains dan paksi tauhid sebagai asas memperkukuh aqidah ummat islam.

Di saat beliau tenat terbaring, beliau masih gagah untuk terus berpesan agar terus mendidik generasi muda untuk terus mencintai kerja dakwah dan terus berbakti kepada masyarakat. Sehari sebelum pemergiannya pada tanggal 16 September, wakil keluarga beliau menyampaikan penyerahan sumbangan Waqf tanah beliau untuk projek pendidikan ABIM Selangor. Sesungguhnya Prof.Khalijah telah mengajar kita erti pengorbanan dan perjuangan. Usaha memperkukuh ukhuwwah kerana Allah SWT dan agenda merealisasikan idea-idea besar untuk manfaat ummat seperti yang dipamerkan oleh Allahyarhamah mesti diteruskan oleh watak manusia berteraskan keimanan yang tinggi kepada Allah SWT.

Barisan pimpinan ABIM dengan ini merakamkan ucapan takziah buat keluarga beliau dan tetaplah bersabar menerima ujian dan ketentuan Allah SWT. Marilah kita memanjatkan doa moga ruh beliau ditempatkan di kalangan mereka yang soleh. Al Fatihah.

AMIDI DATO' ABDUL MANAN
Presiden
11:00 pagi, 17 September 2011

0 comments:

GAMBAR MAJLIS PENYERAHANWAKAF KOMPLEKS PENDIDIKAN ABIM SELANGOR

Tanda simbolik Waqaf prof. Khalijah


Bergambar kenangan bersama


Jambangan bunga untuk Prof. Khalijah


Penyerahan cenderamata tanda penghargaan


Prof Madya Dr. Shaharudin sedang memberikan ucapan


Antara yang hadir bersama


Haji Razif sedang memberikan penerangan mengenai perkembangan pembinaan


Sedang asyik mendengar penjelasan dari ahli jawatankuasa kompleks yang hadir


Wakil keluarga Prof Khalijah bersama Kak Dib


Tanah wakaf cadangan pembinaan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor


0 comments:

MAJLIS PENYERAHAN WAQAF KOMPLEKS PENDIDIKAN ABIM SELANGOR

Dari kiri, Saudara Aizad, Prof.Madya Dr. Shaharudin dan Ustaz Zawawi


16 September 2011, Sijangkang, Kuala Langat
- Jam 9.00 pagi, jawatankuasa kerja ABIM Selangor bersama jawatankuasa pembangunan Kompleks Pendidikan ABIM Selangor yang diketuai oleh Ustaz Zawawi selaku Timbalan Pengerusi jawatankuasa pembangunan kompleks telah berkumpul di tapak kompleks bersama menanti kehadiran wakil keluarga Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk majlis penyerahan waqaf Profesor Dr. Khalijah Salleh untuk pembinaan satu komponen kompleks iaitu Rumah Kebajikan Dan Perlindungan Wanita Darul Wardah.

Beliau diwakili oleh anak bongsunya, Saudara Aizad menerima sedikit penerangan ringkas yang disampaikan oleh Haji Razif selaku jawatankuasa teknikal dan Us Zawawi sendiri. Kehadiran wakil Prof. Khalijah dalam jam 9.30 pagi diiringi oleh Profesor Madya Dr. Shaharuddin dan isteri. Ketibaan mereka disambut oleh Ustaz Hasri Harun selaku TYDP ABIM Selangor serta mewakili ABIM Pusat selaku Exco Tarbiyah.

Majlis penerangan dijalankan secara kecil-kecilan dan diikuti dengan beberapa ucapan dan bacaan doa. Majlis diteruskan dengan penyerahan cenderamata tanda penghargaan kepada Prof. Khalijah serta jambangan bunga tanda hadiah dan kasih sayang daripada penghuni Darul Wardah.

Majlis diakhiri dengan penanaman tunas buah kelapa sebagai simbolik penyerahan waqaf Prof Khalijah yang dilakukan sendiri oleh anak bongsu beliau. Kami di ABIM Selangor berasa amat terharu dengan majlis ini dan mendoakan agar Allah s.w.t. sentiasa memberikan yang terbaik buat Prof Khalijah sekeluarga.

Majlis ini juga memberikan suntikan semangat untuk jawatankuasa pembangunan kompleks dan ABIM Selangor sendiri untuk terus gigih berusaha mengetuai usaha untuk membangunkan kompleks ini serta menjadi contoh di dalam mendepani isu-isu kebajikan, pendidikan serta sosial masyarakat hari ini. Semoga Majlis ini diberkati.



[Lagi Gambar]

0 comments:

PERKEMBANGAN BANTUAN MRA DI SOMALIA DAN UCAPAN TAKZIAH


PERKEMBANGAN BANTUAN MRA DI SOMALIA DAN UCAPAN TAKZIAH

Sabtu, 3 September 2011

Malaysian Relief Agency (MRA) ingin melahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada keluarga wartawan media yang terkorban dan tercedera akibat tembakan curi ke atas konvoi misi bantuan kemanusiaan anjuran Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu kelmarin.

Keadaan keselamatan yang tidak menentu di Somalia memang sentiasa membimbangkan sukarelawan dan pekerja agensi bantuan serta membantutkan usaha-usaha bantuan kemanusiaan di sana.

Misi 1 MRA diketuai Sdr Mohd Shahrulazilan Said masih berada di Galkaiyo, sebuah bandar ke utara Mogadishu dan MRA masih meneruskan agihan bantuan air bersih ke kem-kem pelarian di Bosaso, Garowe dan Galkaiyo seperti yang dirancangkan. Setakat ini, keadaan di kawasan tersebut terkawal dan tiada persengketaan ketenteraan berlaku. Walau bagaimanapun, mereka diminta supaya berhati-hati dan mengikut nasihat anggota keselamatan kerajaan tempatan untuk mengelakkan sebarang tragedi. Sebuah pusat operasi bantuan telah diwujudkan di Galkaiyo untuk menyelaras segala bantuan yang disampaikan oleh rakyat Malaysia melalui jalan darat dari Bosaso, sebuah bandar pelabuhan di utara Somalia.

MRA sentiasa memantau usaha-usaha bantuan kemanusiaan dan bersedia untuk memanggil pulang pasukan bantuan ke tanahair jika keadaan keselamatan di lapangan tidak menentu. Sama-sama kita berdoa agar diberikan kesejahteraan dan keselamatan kepada semua sukarelawan dan pekerja bantuan yang terlibat dengan bantuan kemanusiaan kepada mangsa kebuluran akibat kemarau panjang di bumi Somalia yang masih bergolak.


Dr Mohd Daud Sulaiman
Setiausaha Agung
Malaysian Relief Agency (MRA)

0 comments:

AIDILFITRI BUKA LEMBARAN KEHIDUPAN BARU YANG POSITIF


AIDILFITRI BUKA LEMBARAN KEHIDUPAN BARU YANG POSITIF

Bulan Ramadhan bakal meninggalkan kita tidak berapa lama lagi. Sebagai hamba yang mendambakan keakraban dengan khaliqnya ia bermakna tinggal sudah satu lagi kesempatan merapatkan diri dengan-Nya. Belum pasti kita akan mendapat kesempatan sebegini lagi pada tahun yang akan datang.

Berlalunya bulan Ramadhan juga bererti berlalunya rutin berpuasa selama sebulan. Berpuasa adalah amalan yang menyihatkan dari sudut fizikalnya. Sebagaimana yang disabdakan Rasul “Berpuasalah nescaya kamu sihat”. Menerusi berpuasa kita meningkatkan disiplin penjagaan kesihatan menerusi waktu makan yang terhad.

Perginya bulan Ramadhan bukanlah membawa bersamanya silaturahim yang dibina didalamnya. Dibulan Ramadhan kita bersua muka di masjid mahupun di surau, bertemu di majlis khatam Al-Quran, bertadarus bersama dan bersua menyampaikan derma. Mudah-mudahan silaturahim umat terus berkekalan dan bertambah teguh pada masa-masa yang akan datang.

Menjelmanya Aidil Fitri petanda kemenangan telah kita capai. Kemenangan dalam perjuangan tidak mungkin dapat kita kecapi tanpa didahului dengan pengorbanan. Pengorbanan yang paling asas adalah pengorbanan mengekang hawa nafsu. Hawa nafsu perlu ditundukkan terlebih dahulu barulah musuh akan mengaku kalah.

Namun sebesar mana pun kemenangan dicapai, sehebat mana pun dugaan dikalahkan, ia tidak bererti jika nafsu terus menggila, riak bermaharaja lela dan mabuk bersama keangkuhan diri.

Menjelang Aidil Fitri seharusnya menjadi petanda lembaran baru perhubungan samada dengan khaliq dan makhluq. Lembaran baru kepada sang pejuang yang memburu syahid bagi mendapat keredhaan Ilahi.

Redhanya Ilahi lantaran bersihnya dosa, redhanya manusia lantaran noda yang telah dilupakan.

Salam Aidil Fitri kepada semua pendokong dan penggerak dakwah. Maaf zahir batin.

“MEMBINA DAN MEMIMPIN TAMADUN KHAYRA UMMAH”


AMIDI ABD MANAN
Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)

0 comments:

AIR TELAGA PENYAMBUNG NYAWA


AIR TELAGA PENYAMBUNG NYAWA
Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN
pengarang@utusan.com.my

Mereka begitu dahaga sehingga terpaksa berbuka dengan meminum air telaga masjid. Rakyat Somalia amat mengharapkan sumbangan daripada rakyat Malaysia.

KUALA LUMPUR 29 Ogos 2011 - Seramai 400 mangsa kebuluran di Somalia yang berada di Kem New Shabelle menerima pek makanan berbuka puasa daripada Malaysian Relief Agency (MRA), baru-baru ini.

Pengarah Eksekutif MRA, Mohd. Shahrulazilan berkata, pek makanan yang berisi nasi dan beberapa jenis lauk itu adalah makanan terbaik yang dinikmati oleh mangsa sepanjang Ramadan kerana sebelum ini kebanyakan mereka hanya dapat berbuka puasa dengan meminum air telaga sahaja.

"Kebanyakan mangsa berasa malu dengan keadaan daif yang membelenggu mereka. Namun, keadaan yang mendesak menyebabkan mereka terpaksa berebut untuk mendapatkan makanan yang dibekalkan ini," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohd. Shahrulazilan, beliau turut menerima kawalan keselamatan yang ketat daripada kerajaan tempatan memandangkan keadaan politik di negara itu yang masih belum stabil.

"Program berbuka puasa bersama mangsa kebuluran ini turut disertai oleh askar bersenjata dan Gabenor Wilayah Bosasso sendiri," katanya.

Bagi meneruskan misi bantuan itu, beliau juga akan meneruskan perjalanan ke Garowe melalui lebuh raya yang akan mengambil masa perjalanan enam jam.

Selain dihidangkan pemandangan tanah yang kering-kontang di sepanjang perjalanan, beliau turut berpeluang melihat sendiri sekumpulan mangsa kebuluran berjalan kaki semata-mata untuk mencari bantuan.

"Saya juga sempat singgah di bandar Qardho dan bertemu sendiri dengan gabenor daerah ini dan menurut beliau, terdapat 12 kem perlindungan yang memerlukan bantuan perubatan secepat mungkin," katanya.

Anda boleh memberikan sumbangan anda melalui (klik di bawah);


0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR