Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Perutusan Aidilfitri 1432H


Perutusan Aidilfitri 1432H

Assalamualaikum w.r.t w.b.t

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih. Firman Allah S.W.T yang bermaksud: “Dan hendaklah kamu menyempurnakan bilangan puasa (pada Bulan Ramadhan) dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah (apabila berhari raya) kerana Allah berikan hidayah kepada kamu.” (Surah Al-Baqarah: 185)

Kepada semua pendokong dakwah dan pencinta tarbiah serta sekalian umat Islam, bagi pihak Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan mengucapkan Selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri 1432H. Semoga kita tergolong dalam golongan minal ‘aidin wal faizin dalam erti kata yang sebenar serta didoakan semoga setiap dari kita akan mendapat taqwa hasil daripada menghidupkan Ramadhan tahun ini. Moga kita diberikan kekuatan oleh Allah dalam menangani isu-isu umat Islam dan menanganinya dengan cara yang terbaik dan hikmah. Dalam keghairahan menyelesaikan masalah atau isu yang timbul, meletakkan ilmu dan bersandarkan Al-Quran dan sunnah Rasulullah amat penting di samping ketajaman analisis dalam menyelesaikan kemelut yang melanda.

ABIM Negeri Selangor mengambil kesempatan untuk mengucapkan ribuan terima kasih jazakumullah khairul jaza’ kepada semua penyumbang yang menjayakan program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) peringkat Negeri Selangor lebih 500 kampit beras dapat diagihkan kepada sasaran di segenap sudut Negeri Selangor dan Program Sandang Raya untuk dinikmati bersama keberkatan Ramadhan ini. Terima kasih khusus untuk semua penyumbang, ABIM Pusat, ABIM Daerah di Selangor terutama ABIM Bangi, ABIM Shah Alam, ABIM Klang, ABIM Kuala Langat, ABIM Hulu Selangor, ABIM Gombak, semua ABIM Daerah, Darul Wardah dan agensi-agensi di bawah ABIM Selangor yang terlibat mengumpul dana dan tenaga. Tidak lupa kepada semua sukarelawan ABIM yang bertungkus lumus memberi khidmat dan bantuan. Itulah yang menjadi impian untuk menggerakkan setiap individu, rasa keprihatinan terhadap umat serta merealisasikan ABIM Sebagai Gerakan Ilmu dan Bakti. Semoga kita dapat meneruskan program-program seperti ini bukan hanya pada bulan Ramadhan tetapi juga bulan yang lain. Ambillah peluang Aidilfitri yang ada ini dengan memenuhkan setiap ruang masa dan peluang mengamalkan sunnah dan beribadah kepada Allah. Memenuhi ruang masa dengan takbir dan amalan-amalan sunat yang dianjurkan.

Kejayaan kita sebagai Muslimin dan Mukminin disambut kemerdekaan pada 1 Syawal. Merdeka dari bentuk fikir, jasmani, emosi dan rohani setelah melalui proses pembersihan sepanjang bulan Ramadhan. Tidak lupa juga diucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan yang Ke 54 bagi tahun 2011. Semoga kemerdekaan pada tahun ini lebih bermakna dan memberikan harapan lebih besar dalam usaha kita semua memacu usaha dakwah di Negeri Selangor khasnya dan seluruh negara umumnya.

Kesempatan yang ada ini, mewakili Saf Qiyadah pimpinan ABIM Negeri Selangor memohon kemaafan andai tersilap kata dan perbuatan dalam melaksana tanggungjawab dan amanah yang di galas. Tunjuk ajar dan peneguhan amat diperlukan dalam tanzim mengurus gerakan ini. Semoga dengan bekalan yang terbaik Ramadhan kali ini, kita diberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan.

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar walillahilham.

MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN


KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Negeri Selangor Darul Ehsan

[Mengenai ABIM]
[Laman Utama]

0 comments:

SUMBANGAN MASIH DIPERLUKAN


25 Ogos 2011, Shah Alam - Pada 19 Ogos 2011, DARWA telah menerima satu laporan mengenai wanita berusia 32 tahun yang mempunyai lima anak, dan anak yang pertamanya akan mengambil peperiksaan PMR pada tahun ini manakala yang paling kecil berumur 2 tahun. Suaminya sudah dua tahun menghilang dan merupakan seorang penagih dadah.

Kesukaran wanita ini telah menarik keprihatinan kami di ABIM Selangor dan seluruh keluarga ABIM negeri untuk membantu dan menggerakkan usaha mendapatkan sumbangan dan bantuan yang sepatutnya di negeri Selangor. Alhamdulillah usaha awal telah diambil pelbagai pihak khususnya pihak ABIM Daerah Shah Alam serta DARWA sendiri.

Sekali kita dipanjatkan kesyukuran (Alhamdulillah) kerana hari ini (sekitar waktu tengahari) pasukan DARWA bersama mantan YDP ABIM Selangor (Ustaz Zawawi) serta sahabat-sahabat dari ABIM Mesir (seramai 3 orang) telah selamat menyampaikan sumbangan kepada keluarga terbabit. Sumbangan disampaikan oleh Pengerusi DARWA sendiri, Ustazah Hazlina. Antara maklumat terkini yang diperolehi hasil dari kunjungan tersebut adalah;

a) Menerima bantuan bayaran sewa tertunggak selama 2 bulan,
b) Membuat satu temujanji dengan Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk Puan Katijah
c) Mendapatkan bantuan untuk kes Puan Katijah di Mahkamah Syariah pada 6 Oktober 2011
d) Mereka juga masih perlu untuk menyewa di situ (harga sewaan rumahnya RM500.00 sebulan)

Sebarang bantuan untuk dihulurkan boleh terus ke MAYBANK 562106228176 (atas nama ABIM SELANGOR). Ia merupakan tabung khas DARWA untuk kemudahan penyelarasan bantuan.

Maklumat lanjut insyaAllah akan menyusul dari pihak DARWA.

0 comments:

PROGRAM IHYA' UN-NAHAR @ RAMADHAN HULU SELANGOR

19 Ogos 2011, Batang Kali, Hulu Selangor - ABIM Selangor pada tahun 2011 telah menerima jemputan dari pihak ABIM Daerah Hulu Selangor untuk menjalankan program Ihya' Un-Nahar @ Ramadhan di 3 masjid dan surau sekitar Batang Kali iaitu Surau At-Taqwa Tamu Hill Park, Masjid Bandar Baru Batang Kali dan Masjid As-Sajidin Batang Kali.

Seramai 28 orang tenaga fasilitator yang terdiri daripada rakan-rakan SISMA Selangor dan sukarelawan daripada pelajar-pelajar UNISEL Batang Berjuntai. Fasilitator berkumpul di Surau At-Taqwa untuk sesi suaikenal dan ramah mesra serta dijalankan aktiviti induksi pada malam 19 Ogos 2011.

Berikutnya, pada awal pagi 20 Ogos 2011, fasilitator bersama ahli kariah surau bersama-sama bangun berqiyamullail, bersahur bersama, solat Subuh berjemaah dan mendengar kuliah Subuh yang dibimbing oleh Saudara Kamarul Azami, Setiausaha ABIM Selangor.

Tepat jam 7.30 pagi, semua fasilitator bergerak ke lokasi program masing-masing. Namun, apa yang menjadi sedikit ralat pada kami adalah bilangan penyertaan yang sedikit. Namun ternyata, semangat juang dan ingin menyumbang yang ada pada anak muda yang hadir ini, tidak luntur dan program ini dapat dijalankan dengan jayanya dan ditamatkan dengan solat Asar berjemaah.

Namun di Surau At-Taqwa, satu majlis penyerahan sumbangan Seorang Sekampit Beras telah dilangsungkan sebaik sahaja selesai solat Asar berjemaah. Majlis ini berjalan lancar dan dihadiri oleh penerima sumbangan dan penyumbang serta penduduk setempat.



Kami di ABIM Selangor mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak ABIM Daerah Hulu Selangor yang berusaha untuk menggerakkan program-program ini. Semoga usaha ini diberkati dan dirahmati oleh Allah s.w.t.



0 comments:

Sinar Ramadhan : Kempen Seorang Sekampit Beras


14 Ogos, Masjid As-SYarif Meru : Sesi Penyerahan Sumbangan Seorang Sekampit Beras anjuran ABIM Selangor dengan kerjasama ABIM Klang dan AJK Masjid A-Syarif telah diadakan dengan kehadiran 100 orang yang penerima yang layak. Penerima-penerima di kalangan masyarakat setempat di Meru dan Klang yang merupakan fakir miskin, orang kurang upaya, ibu tunggal dan muallaf. Sdr Farid Wajdi, selaku Yang Dipertua ABIM Klang telah merasmikan program tersebut. Majlis dimulakan dengan ucapan aluan daripada Nazir Masjid As-Syarif dan kemudian hadirin disajikan dengan Tazkirah Ramadhan oleh Ustaz Hasri, Timblan Yang Dipertua ABIM Selangor. Sesi Penyerahan bermula sejurus selepas itu dan sumbangan disampaikan oleh Tn. Hj. Asimoni, Nazir Masjid As-Syarif. Program berakhir pada jam 4.30 petang dan disusuli dengan solat asar berjemaah.



0 comments:

Antara Pemeriksaan JAIS dan Kelemahan Institusi Zakat

Dr. Zulkifli Hasan
Exco TTK (Syariah dan Kewangan Islam) ABIM Pusat


Pendahuluan
Antara topik yang terhangat di pasaran ketika ini ialah isu pemeriksaan yang dibuat oleh JAIS di sebuah premis yang dikatakan sebuah gereja Methodist di Damansara Utama. Kes ini kemudiannya telah mendapat liputan meluas dari pelbagai pihak termasuk ahli politik dan agamawan. Tatkala membincangkan dan memberikan pandangan sama ada dari sudut undang-undang, hukum agama, politik dan lain-lain timbul satu persoalan mengenai punca tarikan dakyah agama lain pada orang Islam di Malaysia.


Setelah meneliti hampir kesemua pendapat dan kenyataan yang dibuat di dalam media massa, penulis merasakan isu ini perlu dibincangkan secara lebih telus dan rasional. Dengan itu, penulis mengambil peluang ini untuk membuat analisis ringkas berkenaan dengan isu ini secara diplomasi berdasarkan realiti dan fakta. Berkebetulan dengan informasi diperolehi dan pengalaman secara langsung menemubual individu keluar agama Islam ketika membuat penyelidikan faktor murtad di Malaysia pada tahun 2006 dan 2007, sedikit sebanyak ianya mampu menjadi kerangka yang baik untuk analis dan ulasan dalam artikel ini.


Isu Pemeriksaan
Secara umumnya, pihak berkuasa agama mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang Syariah berpandukan kepada peruntukan enakmen negeri-negeri. Jika dirujuk terdapat dua peruntukan jelas yang membenarkan JAIS dan polis untuk membuat siasatan terhadap mana-mana individu yang disyaki terlibat dalam penyebaran agama kepada orang Islam dan menghina agama Islam. Dalam kes ini, pihak berkuasa sememangnya berautoriti untuk melaksanakan tanggungjawabnya menguatkuasakan sekurang-kurangnya peruntukan yang terkandung di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 dan Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988.


Sebelum mengulas isu manipulasi dan ketidaktepatan laporan media massa yang terus menerus mensensasikan kes ini, adalah lebih baik sekiranya ruang lingkup undang-undang diperjelaskan dahulu. Perlu diingatkan di sini bahawa kesalahan jenayah Syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah negeri-ngeri hanya boleh dikuatkuasakan kepada orang Islam dan dibicarakan di Mahkamah Syariah. Manakala kesalahan yang termaktub di dalam Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) boleh dibicarakan di Mahkamah sivil. Dalam erti kata lain pihak berkuasa mempunyai bidang kuasa untuk menguatkuasakan undang-undang ini terhadap orang Islam dan bukan Islam. Bahkan ada peruntukan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) ini yang membenarkan pihak polis menyerbu mana-mana kawasan persendirian yang disyaki terlibat dalam jenayah yang diperuntukkan.


Berdasarkan kepada fakta perundangan di atas, jelas lagi bersuluh menunjukkan tindakan yang dibuat oleh JAIS dan pihak polis mempunyai sandaran peruntukan undang-undang. Oleh itu, kenyataan yang mengatakan pihak JAIS dan polis tidak mempunyai autoriti untuk membuat pemeriksaan di premis agama termasuk gereja adalah tidak tepat. Di samping itu, kenyataan-kenyataan gelojoh dan melulu sesetengah pihak dalam kes ini seperti penggunaan perkataan ’serbuan’ juga adalah tindakan yang tidak bijak dan cuai. Jika diteliti kepada fakta kes, jelas pihak berkuasa terlebih dahulu berunding dengan penganjur sebelum melaksanakan pemeriksaan walaupun mereka mempunyai autoriti untuk melakukan serbuan secara mengejut. Perkataan ’penyiasatan’ atau ’pemeriksaan’ adalah terma yang sepatutnya dirujuk dan dilaporkan.


Isu Kelemahan Institusi Zakat
Sejurus selepas insiden pemeriksaan ini di buat, media massa kemudiannya melaporkan beberapa kes melibatkan faktor kesempitan hidup menjadi salah satu sebab utama ada orang Islam tertarik dengan dakyah agama lain. Sehubungan dengan itu, ada pihak yang cuba mengaitkan isu ini dengan kelemahan institusi zakat untuk memberikan bantuan termasuk golongan yang terlibat dan tertarik dengan dakwah Kristian yang dikaitkan dalam kes ini. Bahkan ada juga yang mempertikaikan ketelusan dan keberkesanan institusi zakat serta mempersoalkan ke mana wang kutipan ini dibelanjakan.


Dalam membincangkan isu ini, penulis ingin menimbulkan dua persoalan penting. Pertama, adakah dengan isu kelemahan institusi zakat menyebabkan pihak berkuasa agama tidak berautoriti untuk membuat penguatkuasaan dalam erti kata lain adakah isu ini berkaitan? Kedua, adakah benar institusi zakat telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk membuat agihan secara adil dan saksama?.


Sebelum membuat apa-apa tuduhan, komen atau kenyataan yang melibatkan kredibiliti dan imej institusi mahupun individu, kajian atau fakta yang tepat perlu diperolehi terlebih dahulu.
1. Adakah Isu kelemahan institusi zakat dan Pemeriksaan JAIS dua perkara yang berbeza atau berkaitan?
Bagi menjawab persoalan pertama, dari sudut perundangan dan bidang kuasa, kita perlu jujur dan melihat isu ini sebagai dua perkara yang berbeza. Pihak JAIS perlu melaksanakan tugasnya walaupun terdapat kelemahan pada institusi yang lain. Penguatkuasa agama mempunyai peranan dan bidang kuasa yang berlainan dengan pusat zakat. Kelemahan pusat zakat bukan menjadi sebab untuk penguatkuasa agama melepaskan tanggungjawabnya untuk membuat penguatkuasaan.


Oleh kerana isu pemeriksaan JAIS di premis agama dan kecacatan institusi zakat adalah dua perkara yang berbeza dan tiada kaitan secara langsung, justifikasi untuk menghentam penguatkuasa agama yang menjalankan tugasnya atas kelemahan pihak lain merupakan satu perkara yang tidak boleh diterima. Sehubungan dengan itu, dalam isu ini, soal bidang kuasa, soal perlu baiki kelemahan pusat zakat atau soal tidak mematuhi undang-undang tidak timbul sama sekali. Ianya dua isu yang berbeza dan perlu dibincangkan secara adil berdasarkan peruntukan perundangan.


2. Adakah benar institusi zakat telah gagal untuk menjalankan tanggungjawabnya untuk membuat agihan secara adil dan saksama?
Salah satu dari adab seorang yang berilmu ialah segala kenyataan atau pandangan apatah lagi yang melibatkan pihak lain perlu bersandarkan kepada fakta atau sumber yang boleh dipercayai. Tuduhan atau sindiran kakitangan institusi zakat menukar kereta dan bangunan baru yang tersergam di bina bukanlah satu pendekatan yang baik walaupun tujuannya adalah murni. Malahan menjadi satu kesalahan besar sekiranya kenyataan yang dibuat itu tidak tepat dan memberikan implikasi negatif kepada pihak tersebut.


Meninjau kepada faktor mengapa dan kenapa institusi zakat tidak dapat membuat agihan secara total atau sekurang-kurangnya mengenalpasti asnaf yang betul-betul memerlukan, terdapat beberapa faktor yang boleh didiskusikan. Di antara faktor utama keadaan ini berlaku adalah kerana adanya zakat yang diterima pada akhir tahun iaitu bulan Disember. Ini memandangkan pembayar zakat ingin mendapatkan rebat cukai. Dengan itu, institusi zakat tidak dapat mengagihkan wang kutipan dalam tahun semasa.


Justifikasi oleh institusi zakat dalam hal di atas adalah relevan dan boleh diterima. Namun begitu, mahu tidak mahu, pusat zakat perlu mengakui kelemahan dari aspek keberkesanan agihan yang diakui ramai di antaranya melibatkan masalah birokrasi, amaun zakat yang diberikan kepada asnaf-asnaf yang kecil dan keupayaan mengenalpasti asnaf. Didapati kerap kali isu birokrasi yang menyusahkan malah melambatkan proses agihan sedangkan jumlah yang dipohon atau diperuntukkan adalah kecil. Sering kali juga institusi zakat gagal untuk mengenalpasti asnaf yang sepatutnya memerlukan akibat dari kelemahan tadbir urus dan inisiatif sewajarnya. Aduan-aduan ini mempunyai kebenarannya dan institusi zakat perlu mengambil perhatian serius dan segera menangani isu ini.


Penutup
Artikel ini membincangkan secara khusus dua isu yang menjadi perdebatan hangat mutakhir ini dalam konteks masyarakat Malaysia. Isu utama pemeriksaan JAIS di premis agama bagi menyiasat kes berkaitan kawalan pengembangan agama di kalangan orang Islam telah menimbulkan isu lain iaitu persoalan mengenai kelemahan institusi zakat. Bagi membahaskan isu ini, penulis mengambil pendekatan bahawa dua isu ini adalah berbeza tetapi mempunyai kaitan secara tidak langsung. Penulis ingin menekankan bahawa dari satu sudut, tindakan JAIS adalah menepati undang-undang dan sememangnya berhak untuk melaksanakan tugasnya sebagai pihak penguatkuasa agama. Isu mempersoalkan perlaksanaan tugas penguatkuasa agama atas faktor mengaitkannya dengan kelemahan institusi zakat adalah tidak relevan sama sekali.


Dari sudut yang lain, isu ini mengandungi hikmahnya. Kes pemeriksaan JAIS ini telah membangkitkan persoalan yang lain iaitu faktor kenapa masih ada orang Islam yang boleh tertarik dengan dakwah agama lain atas faktor kewangan dan material sedangkan kita mempunyai institusi zakat. Persoalan tentang aliran masuk dan keluar wang zakat juga telah mencetus sikap ambil peduli masyarakat pada isu yang berkaitan dengan kesucian agama Islam dan kebajikan penganutnya. Kes ini juga merupakan satu peringatan mengenai isu keyakinan masyarakat terhadap institusi zakat kerana masih ramai pihak yang meragui dan tidak berpuashati. Umpamanya kajian yang dibuat oleh Wahid, et al (2008) mendapati lebih 50% pembayar zakat tidak berpuashati dengan kaedah pengagihan termasuk kelemahan maklumat pengagihan asnaf yang tidak jelas. Bardasarkan fakta ini, institusi zakat dan berkaitan dengan itu perlu dengan segera mentransformasikan tadbir urus dan cara bekerja serta strategi untuk menangani isu-isu berbangkit berkenaan zakat.


Rujukan
Makhtar, A.S. dan Wahab, A. A. (2010). Pengurusan Zakat Di Negeri Selangor: Isu Dan Cabaran. Konvensyen Kebangsaan Perancangan dan Pengurusan Harta Dalam Islam 2010.
Salleh, M. S. (2002). Lokalisasi Zakat: Satu Cadangan Teoritis. Muzakarah Pakar Zakat, 21-22 Disember 2002.
Wahid, H., Ahmad, S. Dan Kader, R.A. (2008). Pengagihan Zakat Oleh Institusi Zakat Di Malaysia: Mengapa Masyarakat Islam Tidak Berpuas Hati. Seminar Kebangsaan Ekonomi Malaysia.
Yusof, M.I.M. (2010). Pengurusan Zakat Di Negeri Selangor: Mengorak Langkah Meneraju Perubahan. International Islamic Development Management Conference (IDMAC 2010): Zakat Transformation: From Subsistence to Productive, Disember 22, 2010.

1 comments:

ISU PEMERIKSAAN JAIS TERHADAP GEREJA METHODIST DAMANSARA UTAMA : ABIM SELANGOR MENGGESA SEMUA PIHAK BERTENANG

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) cawangan Negeri Selangor memandang serius berita tentang pemeriksaan yang telah dilakukan oleh Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JAIS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap Majlis Makan Muhibah di Gereja Methodist, Damansara Utama baru-baru ini.
Pemeriksaan tersebut dimaklumkan oleh pihak berkuasa hasil daripada laporan terdapatnya unsur-unsur penyebaran agama lain kepada orang Islam yang bertentangan dengan perlembagaan Persekutuan dalam artikel 11 (4). Dalam laporan awal yang dikeluarkan pihak JAIS terdapat beberapa individu muslim menyertai majlis tersebut dan ia melanggar Seksyen 10 Enakmen Jenayah Syariah 1995.
Justeru, Pihak ABIM Selangor menggesa semua pihak tidak membuat kesimpulan melulu dan memberikan tekanan kepada mana-mana pihak. ABIM menggesa semua pihak sewajibnya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat dengan telus dan mencari kebenaran di atas peristiwa yang telah berlaku.
ABIM Selangor merasakan bahawa inilah yang sepatutnya dilakukan oleh setiap warga Malaysia dalam mana-mana pertikaian yang wujud. Mengambil pendekatan popular apatah lagi kesimpulan yang sempit terutamanya dalam hal-hal yang sangat rapuh seperti ini amat berlawanan dengan semangat kerukunan hidup dalam kepelbagaian masyarakat.
Setiap institusi penguatkuasa yang wujud perlu dihormati selama mana mereka melaksanakan tugas yang diperuntukan berlandaskan undang-undang. ABIM Selangor juga berkeyakinan bahawa pihak berkuasa bertindak mengikut saluran yang diperuntukkan oleh undang-undang. Justeru, sebarang tekanan dan campur tangan di luar skop perundangan dibimbangi akan menjejaskan proses siasatan dan usaha-usaha mencari fakta dan kebenaran dalam hal ini.
Pihak ABIM Selangor juga kesal laporan akhbar yang membangkitkan kembali isu-isu penggunaan kalimah Allah, pengeboman gereja, sekatan Injil Bahasa Melayu yang mana ianya seolah-olah membangkitkan kembali rasa ketidakselesaan beragama yang telah kita nikmati selama ini.
ABIM Selangor juga percaya sekiranya semua pihak bersikap tidak prejudis, terbuka dan yakin dengan proses perundangan sedia ada maka sebarang masalah mampu diatasi dan keharmonian hidup beragama yang dinikmati selama ini dipertahankan.


KHAIRUDIN BIN ABAS
Yang Dipertua
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
Cawangan Negeri Selangor Darul Ehsan

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR