Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




VIDEO SEKS: ABIM GESA HORMATI KETETAPAN SYARIAH



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 22 Mac: Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) menggesa agar semua pihak menghormati segala ketetapan syariah yang telah digariskan untuk kebaikan bersama berhubung pendedahan salah laku seksual pemimpin politik negara.

Presidennya, Dr Muhamad Razak Idris juga meminta sebarang perbincangan serta perbicaraan kes hanya dilakukan oleh autoriti-autoriti yang berkenaan menerusi perundangan yang telah ditetapkan di samping mengelak untuk membicarakannya secara meluas tanpa dilandasi sebarang etika.

Merujuk kepada pendedahan salah laku seksual pemimpin politik negara oleh laman Malaysiakini bertajuk 'Rakaman aksi seks pemimpin utama pembangkang? ', Abim ingin menyatakan bahawa sebarang pertuduhan ataupun dakwaan salah laku moral ke atas seseorang individu haruslah disalurkan menerusi prosedur perundangan yang sah.

“Jika kes berkenaan itu membabitkan seseorang Muslim, kedua pihak pendakwa serta pembela sepatutnya menyalurkan kes mereka untuk diadili serta dinilai menerusi prosedur perundangan syariah sepertimana yang telah ditetapkan oleh Al-Qur'an dan Sunnah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Dalam hal ini, katanya Abim memandang berat sebarang pertuduhan serta dakwaan liar berupa fitnah yang dilakukan di luar lingkungan prosiding perundangan yang telah digariskan seperti membawa para saksi yang mencukupi di samping iqrar daripada individu yang dituduh.

Tambahnya, tatacara perundangan syariah telah menetapkan prosidingnya yang tersendiri untuk memelihara bukan sahaja moral serta maruah individu yang dituduh, bahkan juga integriti pihak yang membuat tuduhan.

Katanya, kegagalan memenuhi prasyarat yang ditetapkan akan meletakkan pihak yang terlibat dalam hukuman jenayah Qazaf yang turut menafikan hak si tertuduh sebagai saksi di masa-masa akan datang.

“Hal ini selari dengan salah satu prinsip utama Maqasid Syariah iaitu untuk menjamin serta melindungi maruah dan serta kehormatan seseorang individu di samping memelihara keharmonian hubungan di antara manusia,” ujarnya.

Dalam konteks perundangan negara yang unik, jelasnya seseorang tidak sahaja berhak menuntut untuk dibicarakan serta membela dirinya menerusi lunas perundangan sivil yang sah.

“Bahkan, sebagai seorang Muslim juga, beliau berhak untuk dibicarakan serta menafikan sebarang dakwaan yang dikemukakan ke atasnya dalam prosiding perbicaraan Mahkamah Syariah sepertimana yang ditetapkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya lagi.

1 comments:

MAJLIS MAHABBAH WAP 3G

13 Mac 2011 bersamaan 8 Rabiulakhir 1432. Masjid An-Naim Jalan Kebun - Hasil kesungguhan dan kerjasama erat hubungan antara 3 generasi NGO Islam iaitu Wadah Pencerdasan Umat (WADAH) Selangor, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor dan Persatuan Pelajar Islam Selangor (PEPIAS), telah dengan jayanya menganjurkan Majlis Mahabbah WAP 3 Generasi.

Tujuan utama majlis ini dianjurkan adalah bagi melancarkan Tabung Pendidikan Umat ABIM Selangor. Ia merupakan skim pelaburan akhirat yang diperkenalkan bermatlamatkan melibatkan masyarakat Selangor untuk bersama-sama dalam usaha ABIM Selangor melakukan pembentukan kemajuan pendidikan dan dakwah di Selangor. Ekoran dari keperluan umat pada hari ini, ABIM Selangor telah merancang untuk membina Kompleks Pendidikan ABIM Selangor yang mengandungi 5 institusi iaitu Rumah Perlindungan dan Pemulihan Wanita Islam Darul Wardah (DARWA), Ma’had Tahfiz Sains ABIM Selangor (MaTSAS), Pondok An-Nur Pesantren Warga Tersayang, Darul Hannah Rumah Anak Yatim dan Terbiar serta Pusat Latihan Dakwah (PASAK).
Majlis ini juga telah berjaya melibatkan sebilangan besar jentera penggerak ketiga-tiga NGO Islam ini dan secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturrahim serta mewujudkan suasana muhibbah semenjak dari 7.00 pagi. Antara program-program lain yang dijalankan adalah aktiviti gotong-royong aqiqah & memasak dan persiapan majlis mahabbah bermula dari awal pagi sehingga tengahari.

Pada sebelah petangnya diadakan diskusi ilmiah yang diberi nama Usrah Sinergi WAP 3G yang diwakili oleh Ustaz Yusof bin Hasan (Pengerusi WADAH Selangor), Ustaz Mohd Zawawi bin Ahmad Mughni (YDP ABIM Selangor) serta Mohd Zulhelmi bin Abdullah (Presiden PEPIAS).

Pada sebelah malamnya, bersempena dengan pelancaran Tabung Pendidikan Umat ABIM Selangor, diadakan pidato khas ‘Pencerahan Umat dan Peduli Sosial’ yang disampaikan oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadzil yang merupakan Presiden WADAH dan juga merupakan Presiden Kolej Dar Al-Hikmah. Pidato khas pada malam ini telah berjaya mengumpulkan hampir 400 orang jemaah yang datangnya dari kalangan ahli kariah masjid dan juga jemputan-jemputan ahli WADAH, ABIM dan PEPIAS dari seluruh negeri Selangor.

Majlis Mahabbah ini diakhiri dengan pelancaran Tabung Pendidikan Umat ABIM Selangor oleh Presiden WADAH dan seterusnya menerima sumbangan ikhlas dari pelbagai pihak khususnya dari syarikat-syarikat korporat, agensi-agensi ABIM, ABIM Pusat, orang perseorangan, WADAH Selangor, PEPIAS dan juga ahli-ahli ABIM dan WADAH diperingkat daerah.

Untuk sebarang sumbangan, pihak yang berminat masih boleh berbuat demikian dengan menyalurkan terus ke akaun ABIM Selangor (RHB Islamic Banking) bernombor 2622 50000 18855 atau boleh hubungi Tuan Haji Mohamed Muslimin ditalian 014-716 0546 dan Tuan Haji Mohd Zawawi Ahmad Mughni ditalian 019-333 9871. Layari blog http://abimselangor.blogspot.com/p/kompleks-pendidikan-abim-selangor.

0 comments:

Berkampung Di Plaza Alam Sentral

Shah ALam 18 Feb. 2011- ABIM Selangor telah menyertai minggu Du'at anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bersama NGO-NGO Islam Negeri Selangor bertempat di Plaza Alam Sentral.

Bertemakan mesra bersama NGO's,pelbagai booth dibuka yang di sertai NGO-NGO Islam dan badan-badan kerajaan. Pelbagai program & aktiviti diadakan sepanjang 3 hari pameran dijalankan.

ABIM yang terlibat dengan seketeria menangani gejala sosial bersama NGO lain seperti JIM,PPIM,PEPIAS,Unit Mubalighat Jais,Yayasan Amal Malaysia,ISMA,MAWADDAH,dan Unit Hidayah Hilal telah mengadakan program "talk show" yang bertajuk

'Jangan Pulang Dulu' yang menampilkan Ustz Akhwan Affandi sebagai moderator,Dr. Harlina Hj Siraj dan Ustz Hizbur Rahman dari Imam Muda sebagai panel.Program yang diadakan pada 18 Feb. 2011 jam 8 malam itu telah dihadiri oleh pengunjung-pengunjung Plaza Alam Sentral itu sendiri dan ALhamduliilah sambutan agak menggalakkan.

ABIM turut tidak melepaskan peluang untuk membuka ‘booth’ bertujuan untuk memperkenalkan lagi ABIM dan mengeratkan lagi hubungan ABIM dengan masyarakat Shah Alam khususnya.

1 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR