Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




EKSPLORASI AMAL BELIA SELANGOR ke SELATAN THAI 2010



Terhad kepada 20 orang sahaja. Semarakkan kalendar tahunan anda dengan aktiviti kembara ke Selatan Thai sambil membantu di sepanjang lokasi yang disinggah. Tidak lupa juga huluran bantuan kepada rumah anak yatim di Tak Bai dan Pattani.

Yuran penyertaan ialah RM200-RM250. Tarikh tutup penyertaan 14 November 2010.

0 comments:

AMALAN SUNAT DI MALAM HARI RAYA


PERKARA YANG SUNAT DILAKUKAN PADA MALAM HARI RAYA

1) Di dalam Sunan Al-Baihaqi pada bab Ibadat pada malam 2 hari raya, dinukilkan;

أَخْبَرَنَا مُحَمَّدُ بْنُ مُوسَى بْنِ الْفَضْلِ حَدَّثَنَا أَبُو الْعَبَّاسِ الأَصَمُّ أَخْبَرَنَا الرَّبِيعُ أَخْبَرَنَا الشَّافِعِىُّ أَخْبَرَنَا إِبْرَاهِيمُ بْنُ مُحَمَّدٍ قَالَ قَالَ ثَوْرُ بْنُ يَزِيدَ عَنْ خَالِدِ بْنِ مَعْدَانَ عَنْ أَبِى الدَّرْدَاءِ قَالَ : مَنْ قَامَ لَيْلَتَىِ الْعِيدِ لِلَّهِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ حِينَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ. {ش} قَالَ الشَّافِعِىُّ : وَبَلَغَنَا أَنَّهُ كَانَ يُقَالُ : إِنَّ الدُّعَاءَ يُسْتَجَابُ فِى خَمْسِ لَيَالٍ فِى لَيْلَةِ الْجُمُعَةِ وَلَيْلَةِ الأَضْحَى وَلَيْلَةِ الْفِطْرِ وَأَوَّلِ لَيْلَةِ مِنْ رَجَبٍ وَلَيْلَةِ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ.

Maksudnya: Daripada Abu Darda’ beliau berkata: Sesiapa yang menbangunkan 2 malam raya, tidak mengharapkan apa-apa kecuali Allah, nescaya tidak akan mati hatinya ketika matinya kesemua hati.

Berkata Imam Syafie: Terdapat riwayat yang mengatakan Abu Darda’ berkata: Sesungguhnya doa mustajab pada 5 malam; malam jumaat, malam hari raya adha, malam raya fitri, malam pertama rejab dan malam nisfu syaaban.

2) Riwayat di dalam Kitab Syuabul Iman;

و مما أنبأني أبو عبد الله الحافظ إجازة و رواه عنه الإمام أبو عثمان إسماعيل بن عبد الرحمن الصابوني أنا أبو عبد الله محمد بن علي بن عبد الحميد نا إسحاق بن إبراهيم أنا عبد الرزاق أخبرني من سمع ابن البيلماني يحدث عن أبيه عن ابن عمر قال : خمس ليال لا يرد فيهن الدعاء ليلة الجمعة و أول ليلة من رجب و ليلة النصف من شعبان و ليلتا العيد

Maksudnya: Daripada Ibn Umar beliau berkata: Lima malam tidak akan ditolak doa permintaan. Malam Jumaat, malam pertama dari Rejab, malam Nisfu Syaaban dan dua malam raya (fitri dan adha).

Berkata Imam Manawi di dalam Faidul Qadir: Sunat menghidupkan kelima-lima malam tersebut. Para salaf sentiasa melakukan perbuatan tersebut.

CARA MENGHIDUPKAN MALAM TERSEBUT

1) Imam Nawawi menyebut di dalam Kitab Azkar;

يستحب إحياء ليلتي العيد بالذكر والصلاة وغيرهما فإنه وإن كان ضعيفا لكن أحاديث الفضائل يتسامح فيها قال : والظاهر أنه لا يحصل الإحياء إلا بمعظم الليل

Maksudnya: Disunatkan untuk menghidupkan kedua-dua malam hari raya (Fitri dan Adha) dengan zikir, solat dan selain keduanya. Walaupun hadis berkenaan menghidupkan malam tersebut kedudukannya lemah akan tetapi hadis-hadis berkenaan amalan yang mempunyai kelebihan tertentu diberi kelonggaran untuk berpegang dengannya.

Berkata Imam Nawawi: Secara zahir dapat difahami tidak dikatakan menghidupkan malam kecuali dengan dibangunkan sebahagian besar daripada malam tersebut.

2) Di dalam kitab Al-Imdad’;

وفي الامداد: ويحصل القيام بالصلاة نفلا فرادى من غير عدد مخصوص، وبقراءة القرآن، والاحاديث وسماعها، وبالتسبيح والثناء، والصلاة والسلام على النبي (ص) الحاصل ذلك في معظم الليل

Maksudnya: Maksud mendirikan malam adalah dengan melaksanakan solat sunat secara sendirian tanpa bilangan rakaat tertentu, dengan membaca Al-Quran, membaca hadis dan memperdengarkannya, dengan bertasbih dan memuji Allah, dengan berselawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad yang kesemuanya dilakukan pada sebahagian besar daripada malam hari tersebut.

3) Daripada Ibn Abbas;

عن ابن عباس رضي الله عنهما بصلاة العشاء جماعة، والعزم على صلاة الصبح جماعة، كما قالوه في إحياء ليلتي العيدين

وفي صحيح مسلم قال رسول الله (ص) من صلى العشاء في جماعة فكأنما قام نصف الليل، ومن صلى الصبح في جماعة فكأنما قام الليل كله

Maksudnya: Membangunkan malam dengan solat Isyak secara berjamaah dan berazam untuk melaksanakan solat subuh secara berjemaah. Di dalam Sahih Muslim Baginda Nabi bersabda: Sesiapa yang melaksanakan solat Isyak secara berjemaah seolah-olah dia telah membangunkan separuh malam. Sesiapa yang solat subuh secara berjemaah, seolah-olah membangunkan keseluruhan malam.

P/s: Amalan-amalan sunat ini afdhal nya dibuat secara bersendirian. Di dalam kitab Al-Hawi al-Qudsi: makruh berhimpun di masjid untuk membangunkan malam tersebut.


Daripada kita sibuk membakar lemang dan ketupat, menghias rumah sampai penat, shopping di baazar, tesco, giant, carrefour dan kedai Pak Mat....Apa kata kita ubah sikit malam raya tahun ini dengan beribadat....Moga kita dapat kembali kepada fitrah dan beroleh rahmat!!

Salam Aidilfitri...
Maaf Zahir & Batin.


Daripada
AZMAN HJ. AHMAD
Exco Penerangan ABIM Selangor 2010/2011

1 comments:

PERUTUSAN AIDILFITRI 1431 H ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM)


Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Alhamdulillah, kita telah berjaya menyempurnakan ibadah besar berpuasa di bulan Ramadhan. Sebagai tanda kejayaan ini, kita telah dianugerahkan oleh Allah swt Hari Kemenangan atau Hari Raya Aidilfitri. Perayaan ini adalah kurnian Allah swt secara khusus kepada kepada seluruh masyarakat Muslimin kerana kemenangan kita berdepan dengan hawa nafsu sepanjang sebulan yang lalu. Kemenangan ini juga adalah salah satu tanda pencapaian kita di dalam perjalanan rohani menuju taqwa iaitu sebuah darjat kesempurnaan insan yang tertinggi di sisi Allah swt. Cita-cita mencapai taqwa adalah falsafah terpenting ibadah berpuasa di bulan Ramadhan sebagaimana firman Allah di dalam surah al- Baqarah, ayat 183.

“Wahai orang yang beriman! Diwajibkan kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”.

Firman Allah ini memberi petunjuk akan kepentingan taqwa di dalam kehidupan seseorang insan. Seseorang yang mencapai tingkat taqwa ialah seorang yang sentiasa di dalam keadaan sedar akan perhubungan dirinya dan keterkaitan seluruh amal perbuatannya dengan Allah swt, Pencipta dan Pemilik seluruh alam ini.. Pencapaian tahap taqwa ini juga bererti seseorang Muslim itu telah memenuhi pengertian al-Ihsan sebagaimana dapat difahami dari sabda Nabi Muhammad saw: “Ihsan itu ialah apabila kamu melakukan ibadah, kamu merasakan dirimu sedang melihat Allah swt dan sekiranya kamu tidak melihatnya, maka kamu merasakan bahawa Allah swt sedang melihat kamu”. (Hadis Riwayat Muslim).

Oleh itu, bersempena dengan sambutan Aidilfitri pada tahun ini, marilah kita meningkatkan azam dan cita-cita kita untuk menjadi generasi yang bertaqwa. Dalam ertikata lain, kita hendaklah berazam untuk menjelmakan prinsip dan nilai-nilai taqwa di dalam seluruh aspek kehidupan harian kita. Sesungguhnya, sekiranya kita dapat menjelmakan nilai-nilai taqwa ini, ia bermakna kita adalah tegolongan dari kalangan orang-orang yang memperoleh kemenangan kerana telah menyempurnakan maksud dan tujuan sebenar ibadah terbesar Ramadhan. Usaha menyempurnakan nilai-nilai taqwa menuntut kita untuk meneruskan dayausaha pembangunan diri dan masyarakat secara lebih gigih. Di peringkat kehidupan individu, kita harus meningkatkan disiplin kerohanian menerusi pengukuhan tahap pemahaman dan penghayatan Islam secara menyeluruh. Untuk itu, amalan-amalan ibadah khusus seperti bersolat, berzakat dan membantu golongan yang memerlukan harus dibudayakan dengan berterusan. Amalan-amalan mulia ini akan mendekatkan diri kita kepada Allah swt secara berterusan.

Sepanjang Aidilfitri ini, kita hendaklah mengambil kesempatan untuk meningkatkan silaturrahim dan ukhwah sesama sesama sanak saudara dan sahabat handai. Pada hari yang mulia ini, kita haruslah memohon maaf terutama kepada ibubapa dan sesiapa sahaja atas segala kesalahan dan kesilapan yang disegajakan atau yang tidak disegajakan. Dengan penyataan kemaafan ini,kita akan memperteguhkan semangat ukhwah dan persaudaraan sesama Muslim. Namun, suatu yang lebih bermakna lagi dari budaya bermaafan ini ialah kerana ia akan menggolongkan diri kita dari kalangan orang-orang yang bertaubat . Bagi mereka yang bertaubat, ganjaran dan limpahan kurnia Allah amat besar dan luas sekali. Allah swt berfirman di dalam surah Ali-Imaran, ayat 133:

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada surga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa.”

Bagi merealisasikan prinsip taqwa di dalam kehidupan juga, adalah wajar untuk kita menyeru bersempena dengan sambutan Aidilfitri tahun ini kepentingan bagi usaha meningkatkan interaksi atau perhubungan kita dengan al-Quran dan al-Sunnah. Ini bermaksud, kita harus berazam untuk membudayakan al-Quran dan al-Sunnah di dalam kehidupan secara menyeluruh. Dalam erti kata lain, kita hendaklah bercita-cita untuk meningkatkan budaya bertilawah iaitu membaca dan merenung ayat-ayat suci al-Quran dan menghayati cara hidup Rasulullah saw. Kedua-dua al-Quran dan al-Sunnah ialah sumber terpenting kehidupan seorang Muslim. Di dalam sebuah sabda Nabi Muhammad, kedua-dua sumber ini ialah petunjuk utama dan sekiranya seseorang itu benar-benar menghayati erti dan pengajaran dari kandungan maka seseorang itu tidak mungkin akan tergelincir di dalam kesesatan dalam kehidupannya.

Bagi tujuan ini, kita hendaklah memperbanyakkan ibadah bertilawah al-Quran sebagai tanda kita mengingati Allah dan mendekatkan diri kepadaNya. Setelah itu, kita hendaklah beriltizam untuk memahami kandungan al-Quran dan menghayati sunnah dan sirah Rasulullah. Bersempena dengan Aidilfitri tahun ini, kita juga harus beriltizam untuk meningkatkan sumbangan dakwah menyampaikan risalah Islam ke arah melahirkan masyarakat bertaqwa dengan lebih produktif . Pada masa kini, terdapat banyak saluran dan pendekatan yang boleh dimanafaatkan bagi mendekatkan masyarakat kepada penghayatan cara hidup beragama. Kita perlu memanafaatkan perkembangan teknologi hari ini bagi membangunkan produk-produk dakwah terbaik dan menarik kepada masyarakat khususnya kepada generasi muda, remaja dan kanak. Di samping itu, usaha-usaha dakwah menerusi lisan dan tulisan hendaklah diteruskan dan digembleng secara lebih teratur. Ini bagi memastikan arus dakwah terus berkembang dan membentuk sebuah gelombang besar bagi membangunkan sebuah Ummah yang diteraskan kepada prinsip-prinsip taqwa kepada Allah.

Bersempena dengan Aidilfiti ini juga, marilah kita memperbanyakan doa kepada Allah:

اَللَّهُمَّ أَصْلِحْ لَنَا دِيْنَناَ الَّذِى هُوَ عِصْمَةُ أَمْرِنَا وَأَصْلِحْ لَنَا دُنْيَانَ الَّتِى فِيْهَا مَعَاشُنَا وَأَصْلِحْ لَنَا آخِرَتَنَا الَّتِى فِيْهَا مَعَادُنَا وَاجْعَلِ الْحَيَاةَ زِيَادَةً لَنَا فِى كُلِّ خَيْرٍ وَاجْعَلِ الْمَوْتَ رَاحَةً لَنَا مِنْ كُلِّ شرٍّ

“Ya Allah, perbaikilah agama kami untuk kami, karena ia merupakan benteng bagi urusan kami. Perbaikilah dunia kami untuk kami yang ia menjadi tempat hidup kami. Perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagi kami dalam setiap kebaikan dan jadikan kematian kami sebagai kebebasan bagi kami dari segala kejahatan”.

Bagi pihak seluruh kepimpinan ABIM, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh masyarakat Muslimin di Malaysia. Maaf Zahir dan Batin.

Allahu Akbar, Allahu Akhbar, Allahu Akbar.


Sekian.

Muhamad Razak Idris
Presiden ABIM.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR