Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Sinar Ramadhan ; Sekampit Beras @ Kampung (orang asli) Bukit Serdang, Kuala Langat


ABIM Selangor bersama ABIM Daerah Kuala Langat menganjurkan Sinar Ramadhan ; Sekampit Beras di Perkampungan Orang Asli Bukit Serdang , Kuala Langat. Program yang mendapat sokongan daripada Masjid Assobirin , Kampung Bukit Changgang turut di hadiri oleh Tn Hj Shamsuddin Misran , Ahli Majlis MDKL Zon 24.

Dalam ucapan Nazir Masjid Assobirin Kampung Bukit Changgang, Ustaz Mohd Rasyid Kandam menyatakan ini adalah ziarah ukhuwah fillah antara Masjid Assobirin dan saudara kita di kampong ini. Sebagai Masjid yang paling hampir dengan perkampungan ini , beliau mengajak Tok Batin , En Salehuudin Abdullah dan anak buahnya bersama-sama menngimarahkan program-program yang dibuat di Masjid.

Kampung (orang asli) Bukit Serdang, Kuala Langat terletak bersebelahan Kampung Bukit Changgang. Terdapat seramai 17 keluarga saudara kita di sana. Pada majlis ini di sampaikan 17 kampit beras dan makanan iringan kepada saudara kita. Seorang penggerak orang asli telah ditempatkan oleh JAKIM iaitu Ustaz ridhwan untk membimbing saudara kita kea rah Islam yang syumul.


Dalam tazkirah ringkas Timbalan Yang Di Pertua ABIM Negeri Selangor merangkap YDP ABIM Kuala Langat Sdr Khairudin bin Abas mengingatkan bahawa ramadhan yang berbaki ini perlulah direbut sewajarnya dan semangat ukhuwah islamiyyah perlu terus diperkukuhkan lebih-lebih lagi dalam membimbing diri dan masyarakat ke arah yang lebih baik. Salah seorang saudara kita Pn Rohani Abdullah mengharapkan agar pihak ABIM dapat membantu saudara kita terutama anak-anak mereka dalam mempelajari ilmu agama seperti mengaji al-quran kerana kehidupan dan ekonomi yang tidak kukuh , pelajaran al-quran tidak dapat dipelajari dengan baik di sini.

Majlis tamat selepas berbuka puasa dan solat maghrib . Terima kasih diucapkan kepada semua pihak terlibat terutama Persatuan Peniaga Tom Yam Bukit Changgang yang menaja Jamuan Berbuka Puasa.

0 comments:

SUBUR JIWA MERDEKA MELALUI RUH RAMADHAN


Oleh: Hasri bin Harun
Presiden
Kumpulan Pengajian Islam Malaysia ,UK & Eire ( MISG-ABIM)
(Mantan YDP ABIM Selangor)

Kita sekali lagi akan menyambut hari kemerdekaan negara yang ke 53. Sesungguhnya kemerdekaan negara adalah satu nikmat yang sangat bermakna dikalangan semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin mahupun rakyat bawahan. Makna merdeka daripada penjajahan juga adalah satu rahmat yang tidak boleh dinafikan oleh seluruh manusia tatkala para generasi awal kemerdekaan menghadapi kesempitan hidup dizaman penjajahan namun kita generasi hari ini dengan mudah menikmati keselesaan hidup jauh daripada apa yang telah dihadapi oleh nenek moyang kita sebelum ini. Namun disebalik kemerdekaan yang kita nikmati pada hari ini persoalannya apakah kita sedar bahawa merdeka yang kita perolehi ini memerlukan pengisian dan usaha mempertahankannya bagi memastikan segala susah payah generasi dahulu tidak mudah kita lupakan dan bagaimana membentuk generasi kita hari ini sentiasa mensyukuri nikmat tersebut. Justeru mensyukuri nikmat kemerdekaan adalah satu tanggungjawab yang mesti disemai dikalangan masyarakat . Ia bagi memastikan merdeka yang kita fahami harus mempunyai isi dan inti yang jelas supaya ianya selari dengan hakikat kehidupan dan tidak hanya sebagai satu program musiman. Kemerdekaan yang syumul tidak harus difahami sekadar dalam konteks merdeka daripada penjajahan kuasa asing tetapi lebih daripada itu merdeka dari segi pemikiran, ilmu, budaya, intektual dan sebagainya. Merdeka yang hendak kita telusuri hari ini lebih daripada bebas daripada penjajah tetapi menyeluruh termasuk dari segi fizikal dan spiritual khusus menurut pandangan Islam.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 34 yang bermaksud: "Dan ia telah memberikan kepada kamu sebahagian daripada setiap apa juga yang kamu berhajat kepadanya.Jika kamu menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.Sesungguhnya manusia yang ingkar, sangat suka menempatkan sesuatu bukan pada tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat TuhanNya".

Lantaran kehadiran bulan mulia Ramadan al mubarak yang kita lalui hari ini menggamit jiwa kita untuk menyemak kembali kefahaman bersama apakah ruh Ramadan tersebut dapat menjana kefahaman mensyukuri nikmat merdeka. Islam membentuk jiwa umatnya agar merdeka daripada segala penjajahan, merdeka jiwa, merdeka akal termasuk merdeka daripada perhambaan sesama manusia. Mari kita telusuri kata-kata Rubie in Amir ketika bertemu Raja Rome yang bernama Rustum tentang makna merdeka menurut perspektif islam. Beliau adalah seorang tokoh yang disegani berdepan dengan cabaran bukan sahaja jiwanya malah nyawanya tatkala menyampaikan amanat kepada seorang raja yang hebat pada ketika itu. Antara lain kata Rubie ibn Amir menyampaikan perkhabaran Islam yang antara lain berbunyi:

‘’Allah mengutuskan kami (orang-orang islam), untuk kami merdekakan manusia, daripada mengabdikan diri sesama manusia kepada mengabdikan diri kepada Allah, daripada kezaliman agama kepada keadilan Islam dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat’’.


MERDEKA & JIWA HAMBA

Kata-kata ini cukup sedikit sebanyak memberi kita ruang minda untuk berfikir bahawa konsep merdeka menurut islam itu bukan sekadar merdeka jasad daripada penjajahan tetapi merdeka daripada perhambaan sesama manusia. Perhambaan sesama manusia bererti kebergantungan penuh sesama manusia lebih daripada kebergantungan dengan yang Maha pencipta iaitu Allah SWT. Bagaimana kita hendak membuang sikap kebergantungan lebih kepada manusia daripada tuhannya. Tidak lain adalah dengan memahami ajaran islam sebenarnya menurut al-quran dan hadis nabi saw serta mempelajari akan kebenaran islam. Jika kita tidak memahami akan hakikat akidah, syariah dan akhlaq maka sudah pastilah kehidupan akan terikat dengan jiwa manusiawi lebih daripada tuhannya. Perhambaan kepada manusia yang berlebih-lebihan bakal membuka ruang takabbur dan menafikan ketuhanannya hinggakan manusia yang membesarkan manusia pastinya akan hilang ikatan bersama tuhannya. Maka merdeka yang harus disemai iaitu menanam sikap kebergantungan kepada Tuhan agar kehidupan beragama itu mampu membentuk jatidiri yang mulia dan bakal mencerna kehidupan yang lebih baik. Jiwa beragama walau dimana sekalipun tidak pernah membangkitkan suasana ketegangan, jiwa beragama dan dekat dengan tuhan selalunya membentuk sosialisasi yang murni dalam masyarakat maka disinilah merdeka dan kehidupan cukup sinonim sekali.


MERDEKA & DUNIA AKHIRAT

Dalam pada itu merdeka menurut kata-kata Rubie ibn amir ini juga menyentuh apabila elemen kesejagatan duniawi dan ukhrawi tidak harus dipisahkan dalam menghayati semangat merdeka. Kesejagatan dan keluasan kefahaman ini menjadi teras agar manusia dimuka bumi ini memahami bawa segala tanggungjawab mereka didunia ini akan dihitung oleh Allah dalam satu alam yang lain diluar daripada alam duniawi. Berapa ramai manusia pada hari ini memahami bahawa tanggungjawab mereka didunia ini akan ditanya Allah satu masa nanti. Keyakinan bahawa adanya satu alam lain selain daripada dunia tatkala segala usaha dunia akan ditanya dan diberi tanggungjawab akhirnya. Manusia yang tiada kefahaman sebegini melihat dunia ini segala-galanya memungkinkan mereka melakukan sesuatu sepuas-puasnya, menindas, menganiaya kehidupan menggunakan apa cara sekalipun , penindasan dan sebagainya adalah manifestasi ketidakfahaman bahawa segala tindakan mereka akan ditanya didepan Allah satu hari nanti. Percayalah jika konsep dan jiwa manusia merdeka ini disuburi dengan perhambaan kepada Allah dikuatkan maka sikap keduniaan dan keterlanjuran manusia mampu dikekang kerana mereka yakin akan azab dunia dan akhirat. Mari kita renung firman Allah dalam surah al-jathiyah ayat 23 yang bermaksud Apakah engkau tidak melihat gelagat orang yang menjadikan hawa nafsunya: Tuhan yang disembah? Lalu dia disesatkan oleh Allah dalam keadaan dirinya berilmu dan dimeteraikan pula atas pendengarannya dan hatinya, serta diadakan lapisan penutup atas penglihatannya? Maka siapakah lagi yang dapat memberi hidayah petunjuk kepadanya sesudah? Oleh itu, mengapa tidak ingat dan insaf?

Justeru semangat Ramadan yang kita lalui ini haruslah menjadi permulaan untuk memperbetulkan posisi diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang baik berdasarkan syariah islam sebenarnya. Bagi mereka yang mempunyai kuasa apakah kekuasaan itu digunakan untuk menindas orang lain atau kekuasaan itu digunakan untuk mendekatkan dengan tuhannya serta memperkuatkan sistem kehidupan duniawi ini. Ramadan bulan taqwa sudah cukup menjadi model dan tarbiyah diri menjana kekuatan ini demi memastikan hasil Ramadan yang dilalui tidak tinggal kosong sahaja.


MERDEKA DAN KEADILAN HIDUP

Merdeka juga jika kita lihat dalam kata-kata Rubie ib amir adalah soal keadilan yang menjadi teras dalam sistem kenegaraan mana-mana Negara didunia. Keadilan adalah elemen yang sangat penting terutama kepada pemimpin Negara untuk memerintah. Jika mereka memahami kemerdekaan yang berteraskan Islam dan ruh islami tersebut pastinya keadilan akan sentiasa didaulatkan dan ekonomi dan hasil mahsul dalam Negara akan disebarluaskan untuk penghuninya dan tidak mengaut untung untuk kehidupan dunia mereka semata-mata. Firman Allah dalam surah al-nisa ayat 135, "Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi karena Allah biarpun terhadap dirimu sendiri atau bapak ibu dan kaum kerabatmu. Jika ia kaya atau miskin, Allah lebih mengetahui kemaslahatan keduanya”.

Justeru semangat Ramadan ini mengajak kita untuk menilai sejauh mana keadilan yang kita lakasana itu mampu member ruang untuk menjana kekuatan hidup berdasarkan syariat islam sebenarnya. Keadilan Islam tidak hanya untuk umat Islam semata-mata, namun keadilan yang dibawa oleh nabi saw itu adalah untuk kesejahteraan semua masyarakat tidak kira agama dan bangsa. Maka Jiwa merdeka harus disinonimkan dengan semangat meletakkan sesuatu pada tempatnya dan ini memberi satu petanda bahawa Islam mengajak umatnya melakukan ihsan dan kebaikan kepada manusia keseluruhan. Persoalannya bagaimana rakyat hendak mensyukuri nikmat merdeka jiwa hak dan kehidupan mereka tidak ditentukan adilnya. Jiwa dan nurani rakyat harus diberi haknya maka disinilah keyakinan kepada sistem dan kehidupan akan mampu dijana secara menyeluruh. Sesuai dengan kata-kata rubie ibn amir bahwa Islam adalah agama yang mengajak kepada keadilan hidup. Moga mendapat rahmat daripada penciptanya.


RAMADAN DAN JIWA MERDEKA

Syukur alhamdulillah dizahirkan pada tahun ini kita menyambut kemerdekaan ke-53 di dalam bulan mulia Ramadan al-Mubarak. Ramadan sememangnya menyubur jiwa merdeka sebenarnya dikalangan manusia. Kemerdekaan dalam erti yang sebenarnya wajar disemai supaya kita tidak hanya memahami konsep merdeka dalam perspektif yang terhad. Merdeka daripada penjajahan adalah hanya satu daripada elemen kemerdekaan dalam Islam, namun pelbagai takrifan dan penjelasan yang timbul apakah merdeka dan kemerdekaan yang menjadi inti dan asas yang seharusnya difahami secara menyeluruh. Jika kita membuka lembaran sejarah menurut perspektif yang sebenar maka kemerdekaan ini adalah suatu topik yang cukup luas untuk dibentangkan. Justeru kita bersyukur kerana berada didalam suasana keislaman. Moga Ramadan ini sedikit sebanyak membuka bibit kefahaman untuk menelusuri erti merdeka yang sebenarnya. Maka ianya secara jelas bahawa merdeka yang kita sambut ini tidak haya akan dijiwai sekadar satu sambutan fizikal tetapi lebih menyeluruh adalah satu tuntutan keagamaan, sosial dan kenegaraan. Persoalan yang sering timbul adalah bagaimana kita hendak melihat generasi baru hari ini menghayati erti merdeka jika mereka tidak disemai dengaj jiwa kerohanian dan keagamaan . Lantaran kita lihat mereka hanya melaungkan merdeka tetapi jika diselidik kesedaran dan kefahaman adalah jauh daripada inti dan asas merdeka yang sepatutnya menjadi teras dalam jiwa dan sanubari.

Ramadan adalah bulan taqwa. Didalam bulan inilah Allah SWT menjanjikan pelbagai rahmat dan keampunan kepada hambanya yang benar-benar meyakini akan keesaanNya disamping melaksanakan tugas dan tanggungjawab melakukan ibadah kepada nya. Apakah hubungan taqwa dalam konteks Ramadan dalam menghayati merdeka dan kemerdekaan. Taqwa bermaksud menjaga dan memelihara diri dari siksa dan murka Allah Ta’ala dengan jalan melaksanakan perintah-perintahNya, taat kepadaNya dan menjauhi larangan-laranganNya serta menjauhi perbuatan maksiat manakala Rasulullah s.a.w. pernah menjelaskan hakikat taqwa dalam riwayat imam Bukhari dari Abdullah ibn Abbas dengan sabda baginda “Mentaati Allah dan tidak mengingkari perintahNya, sentiasa mengingati Allah dan tidak melupainya, bersyukur kepadaNya dan tidak mengkufuri nikmatNya”. Bagaimana kita hendak menyubur semangat taqwa dalam diri generasi baru hari ini agar makna merdeka yang mereka fahami tidak tersasar. Taqwa itu maknanya mentaati perintah Allah. Mari kita lihat apakah kita mendidik generasi kita mentaati perintah Allah? Dalam suasana hari ini betapa banyak kes-kes buang bayi berlaku. Ancaman demi ancaman yang menjadi serangan dalam masyarakat telah membangkitkan kesedaran bahawa perlunya proses islah dikalangan generasi muda bagi menjauhi amalan zina. Justeru amalan zina yang kita lihat ini haruslah bermula dengan kefahaman Ilmu, mengurangkan pergaulan bebas dikalangan generasi muda lelaki dan wanita. Ia juga difahami dalam konteks ruh islami iaitu mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak diingini. Apakah kita benar-benar mentaati perintah Allah jika kita yakin untuk memerdekakan diri kita atau sebaliknya. Jika kesedaraan agama ini diabaikan , perintah Allah ini sekadar dipinggiran mana mungkin kefahaman merdeka sebenarnya akan berlaku dalam jiwa. Anjurlah berpuluh-puluh program kemerdekaan jika ianya disalut dengan amalan yang tidak berteraskan agama dan kerohanian, merdeka yang ditanam tersebut hanya kulit sahaja. Firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 92 yang bermaksud:

“Dan taatlah kamu kepada Allah serta taatlah kepada Rasul Allah, dan awaslah (janganlah sampai menyalahi perintah Allah dan Rasul-Nya). Oleh itu jika kamu berpaling (enggan menurut apa yang diperintahkan itu), maka ketahuilah bahawa sesungguhnya kewajipan Rasul Kami hanyalah menyampaikan (perintah-perintah) dengan jelas nyata.”


BAGAIMANA MENSYUKURI NIKMAT MERDEKA

Kita selalu diingatkan supaya mensyukuri nikmat kemerdekaan oleh pemimpin-pemimpin besar. Persoalan sekarang bagaimana kita hendak menzahirkan kesyukuran tersebut agar ianya benar-benar memberi kesan dalam jiwa generasi muda hari ini. Mari kita renung firman Allah dalam surah al-hajj ayat 41 sebagai manifestasi menyubur ruh Ramadan dan mensyukuri nikmat merdeka : ”orang-orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan shalat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.”

Pertama: mendirikan solat adalah satu tuntutan agama yang menjadi teras mensyukuri nikmat merdeka. Jika generasi muda tidak mendirikan solat bererti mereka tidak mempunyai ruh untuk meyakini akan semangat merdeka secara menyeluruh. Maka kempen solat dan mengimarah masjid-masjid adalah perlu digerakkan supaya mereka melaksanakan solat . Ianya mesti diperkasa moga generasi ditanam semangat dan ruh solat agar mereka meyakini akan kesyukuran merdeka. Bagaimana mereka hendak bersyukur dengan kemerdekaan jika amalan wajib seperti solat ini diabaikan. Kedua, elemen menunaikan zakat adalah juga perkara yang harus menjadi amalan dikalangan generasi muda jika mereka hendak mensyukuri nikmat merdeka. Menunaikan zakat ertinya mengeluarkan harta untuk membantu orang lain. Ianya bererti Islam melatih generasi muda supaya menerap semangat patuh kepada perintah Allah dengan membantu orang lain atas kejayaan hasil daripada harta kita. Perkongsian inilah menjadi teras kesyukuran nikmat mereka. Jika generasi dilatih bersikap individualisitik,mencari kekayaan untuk diri dan keluarga semata-mata mana mungkin usaha membantu orang lain dalam Negara yang merdeka dapat dilakukan maka akan meningkatnya kemiskinan dan kadar kemiskinan juga pastinya bertambah. Ketiga, melebarluaskan elemen amar makruf nahi mungkar. Inilah juga satu usaha bersepadu untuk generasi mengangkasakan harapan mereka kepada Negara supaya gejala sosial dapat dibanteras. Jika generasi muda sambil lewa, tidak mengambil berat soal akhlak, sosial , terjebah dengan gejala yang bercanggah dengan islam, ingkar dengan perintah agama daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah, tidak menggalakan orang lain melakukan dakwah dan sebagainya mana mungkin kesyukuran itu mampu diletak dipersada. Melatakan amar makruf nahi mungkar adalah satu usaha bersepadu yang digembeling dalam bulan Ramadan harus diperkara dan digerakkan bahkan jika dapat dijadikan agenda perdana maka inilah salah satu usaha mendidik umat agar memahami akan tanggungjawab cintakan Negara. Amar makruf nahi mungkar sebenarnya menanam jiwa kasihkan bangsa, tanahair serta tidak mahu melihat Negara terjerumus dengan gejala yang tidak baik. Bila generasi terdidik dengan semangat amar makruf nahi mungkar maka inilah juga satu langkah menanam semangat merdeka, cintakan Negara dan tidak mahu melihat segala kebaikan yang subur dinegara dinoda oleh ancaman yang tidak baik.

0 comments:

KEMPEN DERMA KILAT @ KELUARGA ALMARHUMAH PUAN MAIMUNAH

ABIM Selangor Prihatin ingin mengucapkan takziah kepada keluarga En. Bukhari (AJK ABIM Mersing) diatas kemalangan yang meragut nyawa isterinya Almarhumah Puan Maimunah dan anaknya yang patah tangan (Lokman-pelajar perubatan di Universiti Al-Azhar) dan anak kecilnya yang dijahit dikepala.

Justeru, Skuad ABIM Selangor Prihatin terus melancarkan Kempen Derman Kilat @ Keluarga Almarhumah Puan Maimunah yang akan bermula pada 19 Ogos - 11 Sept (3 minggu).

Semoga keluarga almarhumah tabah dan cekal menghadapi dugaan bulan Ramadan al-Mubarak ini. Al-fatihah..

* sebarkan poster kempen ini di setiap blog/facebook/emel

1 comments:

SMART SOLAT @ KARNIVAL JOM DAKWAH

31 Julai 2010, Felda Sg Tengi - ABIM Selangor mengendalikan Smart Solat @ Karnival Jom Dakwah untuk belia (tingkatan 1-5) di Felda Sungai Tengi berganding bahu dengan PEPIAS. Objektif program adalah untuk memantapkan ibadah solat anak muda dari Felda Sg Tengi, Felda Sg Tengi Selatan, Felda Suharto & Felda Gedangsa. Peserta yang hadir adalah 48 dan 9 fasilitator dari UIA Nilai dan UPSI. Manakala 9 urusetia sepenuh masa telah dibawa khas oleh sekretariat untuk memantau perjalanan Karnival Jom Dakwah sepanjang 3 hari 2 malam.

Konsep program lebih menjurus bimbingan dalam kumpulan agar pembimbing dapat mengenalpasti kekurangan dan kelebihan anak buah dengan lebih efektif. Pada sebelah petang Presiden PEPIAS Mohd Zulhelmi mengadakan perbincangan dalam kumpulan dalam usaha menilai teknik penyelesaian dan langkah-langkah yang boleh direncanakan dan di gunapakai dalam menangani gejala sosial yang semakin serius dikalangan remaja kini. Program diakhiri dengan ucapan dari Setiausaha Kewangan Norhidayah Sumairi.
Program Karnival Jom Dakwah adalah kerjasama NGO's Islam di bawah MAIS iaitu Unit Menangani Gejala Sosial dalam membantu mengurangkan masalah sosial di kalangan masyarakat Felda khususnya di Kg Felda Sg Tengi, Hulu Bernam, Selangor (DUN Hulu Bernam).

Tarikh : 31 Julai - 1 Ogos 2010
Tempat : Kg Felda Sg Tengi, Hulu Selangor
Masa : 8.30 pagi - Sabtu hingga 1.00 ptg - Ahad
Aktiviti menarik :

Program Khas Untuk Wanita . Program Khas Untuk Remaja & Belia . Pemeriksaan Kesihatan PERCUMA . Pameran Kepenggunaan . Motivasi Keibubapaan . Bengkel Tahsin Solat . Forum Perdana . Qiamullail . Demo Pertolongan Cemas . Pameran Dadah & HIV . Pameran First Aid

1 comments:

Semarak Ramadan ABIM Di Pulau



PULAU INDAH 13 Ogos 2010 – "Selama hampir lima puluh tahun saya tinggal di Pulau ini, al hamdulillah saya dapat menyaksikan untuk pertama kalinya masjid ini penuh dengan jamaah yang hadir menunaikan solat tarawih di sini” kata imam masjid Ar Raudah Kg Sg Kembong selepas selesai program Semarak Ramadan. Begitulah gambaran suasana malam Ramadan ke empat yang sangat meriah dan bererti kepada masyarakat di Kampung ini.

Program Semarak Ramadan ini anjuran Masjid Al Raudah dengan kerjasama ABIM Negeri Selangor dan Sekolah Menengah Pulau Lumut. Objektif program ini ialah untuk memberikan pendedahan kepada generasi muda kepada amalan-amalan yang sunat dilakukan untuk menyemarakkan suasana Ramadan. Selain dari itu juga pihak penganjur berharap agar generasi muda akan lebih peka dan sedar betapa perlunya mereka menghadirkan diri ke masjid terutamanya pada waktu solat.




Hampir seratus orang remaja lelaki dan perempuan telah menghadiri program ini selepas selesai solat fardu jumaat. Mereka yang terpilih berusia 15 hingga 17 tahun sangat teruja dan bersemangat mengikuti program ini dan mereka sabar menunggu hingga selesai majlis pada pukul 11.00 malam.

Satu ceramah khas berkenaan ibadah Ramadan disampaikan oleh Ustazah Hazlina Abd Razak, Mantan Ketua Helwa ABIM Selangor. Kumpulan fasilitator diketuai oleh Ustaz Umar Abd Aziz terdiri dari Nurhidayah Sumairi, setiausaha Kewangan ABIM Selangor, Ustaz Harith Othman, Ketua Biro Perhubungan ABIM Selangor dan team sukarelawan ABIM Ustaz Rahmat, Ustaz Akmal dan Ustazah Nadzirah terlibat dalam menjayakan program tesebut.YDP ABIM Selangor, Us Mohd Zawawi Ahmad Mughni turut hadir memberikan suntikan semangat dan seterusnya menyampaikan cenderamata kenangan dan sijil penyertaan kepada semua peserta.



Berjubah putih ialah Imam Masjid Ar Raudhah, En. demyati Sibon dan sedang menyampaikan hadiah ialah En Jainal bin Syukri, Ketua Kampung Sg Kembung, Pulau Indah.

Semua peserta begitu teruja dan berharap akan dapat mengikuti siri berikutnya. Pihak Masjid dan JKKK mengalu-alukan kehadiran ABIM untuk membantu membina dan membangunkan generasi belia Islam di Pulau nan indan ini.

Grup Editor Berita ABIM Selangor

0 comments:

Sinar Syawal - Sandang Raya

SiNAR SYAWAL – Sandang Raya

Setelah Berjaya dalam siri Program Sinar Ramadan Sekampit Beras ABIM Selangor dan ABIM Pusat akan menggerakkan Kempen Sinar Syawal – Sandang Raya. Sasaran utama program ini ialah anak-anak muallaf, anak yatim dan anak fakir miskin.

Menyedari tentang hakikat keperluan asasi manusia seperti yang selalu diungkap dalam slogan orang jawa iaitu SPP ‘sandang, pangan dan papan’ . Sandang bermakna pakaian, pangan bermaksud makanan dan papan ialah penginapan atau tempat tinggal.
Seramai 50 orang anak fakir miskin, yaim dan muallaf dari sekitar Negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan akan diraikan dengan memilih baju Raya dan majlis berbuka puasa bersama-sama.

Diharapkan agar sedikit keceriaan yang dirasai bersama kanak-kanak ini akan memberikan sinar kebahagiaan kepada insan-insan yang tersayang untuk menyambut Aidil Fitri dengan lebih bermakna.Kongsilah kegembiraan anda bersama-sama mereka yang serba kekurangan sempena bulan yang mulia dan diberkati ini. Dengan hanya RM100 untuk satu pakej pakaian Raya, anda dapat menyinari Ramadhan mereka dengan adanya sedikit sumbangan untuk mereka menyambut Aidil Fitri dengan lebih ceria.


sebagai catatan perkongsian, Seorang lelaki datang kepada Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan mengadu tentang hatinya yang keras. Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersabda, “apakah kamu mahu hatimu menjadi lembut dan kamu memperolehi apa yang kamu hajatkan? Kasihilah anak yatim, tepuk-tepukkan kepalanya dan beri ia makan apa yang kamu makan. Ia akan melembutkan hatimu dan membantumu memperolehi apa yang kamu hajatkan” [riwayat al-Thabaraani & al-Silsilah al-Saheehah]


Kepada yang berhajat untuk turut sama menjayakan program ini boleh berhubung dengan sekretariat ABIM Selangor segera.

0 comments:

Sinar Ramadan Sekampit Beras






AJK masjid bergotong royong menyusun beras yang akan disumbangkan


ABIM Negeri Selangor telah Berjaya mengagihkan 300 kampit beras kepada penerima-penerima yang terpilih dari beberapa daerah di Selangor. Program bermula di Daerah Klang pada 5 Ogos yang lalu di Masjid An Naim Jalan Kebun. Seramai 130 orang penerima dari kalangan fakir miskin dan muallaf termasuk 50 orang masyarakat muslim dari etnik Semai telah dijemput hadir untuk menerima sumbangan beras dari masyarakat Islam.

Di daerah Gombak pula seramai 100 orang penerima telah dipilih dan modus operandi diubah kepada Turun ke Masyarakat. Beberapa orang sukarelawan ditugaskan untuk menghantar beras-beras sumbangan ke rumah penerima. Tujuan pendekatan ini adalah untu memberikan pengetahuan dan pengalaman baru kepada para sukarelawan terhadap kehidupan orang susah disamping memberikan keringan kepada penerima yang uzur. Saudara Presiden ABIM Muhamad Razak Idris turut bersama dalam program tersebut.

Di Shah Alam pula program berpusat di Masjid Nurul Amin Kg Merbau Sempak, Sungai Buluh. Seramai 70 orang penerima telah dipilih oleh Ahli Jawatankuasa Masjid berdasarkan senarai penerima asnaf Lembaga ZakatSelangor. Majlis dimulakan dengan pengisian ilmu oleh seorang penceramah undangan khas yang membicarakan tentang hakikat Ramadan dan puasa. Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh saudara Presiden ABIM Muhamad Razak Idris dan YDP ABIM Selangor Mohd Zawawi Ahmad Mughni. Seramai 20 orang pimpinan ABIM dan sukarelawan terlibat dalam menjayakan program ini.

Program ini akan diteruskan diKuala Langat pada minggu hadapan. Menurut sumber ABIM Kuala Langat program tersebut akan dilakukan sempena kunjungan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor ke daerah Kuala langat.

Grup Editor Berita ABIM Selangor


0 comments:

AHLAN WA SAHLAN YA RAMADHAN

Memposisi Diri ditengah Anugerah Rahmat Ramadan
Oleh : Hasri bin Harun

Presiden MISG ABIM UK-Eire


Alhamdulilah, Ramadan kembali menjelma pada tahun ini dalam suasana yang cukup menggembirakan umat yang benar-benar beriman. Dikala perjalanan hidup yang banyak sekali cabaran dan dugaan ini, kita masih diberi kesempatan oleh Allah untuk melangkah ke Ramadan dengan penuh syukur dan kegembiraan. Namun disebalik ketenangan dan kegembiraan kita menanti Ramadan mulia yang ini, berapa ramai dikalangan umat islam di seluruh dunia yang menyambut Ramadan dengan darah dan airmata tatkala dibelenggu dengan kemiskinan, bencana alam dan kesusahan, peperangan dan sebagainya. Namun kita percaya bahawa dengan pelbagai rencam kehidupan tersebut sudah pasti ada hikmah dan pengajaran buat kita umat islam untuk saling meletakkan diri kita menghayati makna kehadiran Ramadan dengan jiwa yang murni. Lantas bimbingilah hati dan jiwa kita dengan tasyakur terhadapnya atas nikmat iman dan islam kita yang masih teguh walau dihalang dengan onak dan duri. Firma Allah yang bermaksud:

“Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar, (yaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, “Innaa lillaahi wa innaa ilaihi raaji`uun” (2:155-156)

Justeru jadikanlah Ramadan ini sebagai medan memugarkan keimanan yang murni terhadap Allah dengan membuka lembaran kesedaran bahawa Ramadan membawa pelbagai cahaya kehidupan yang cukup besar dalam dunia yang penuh liku. Ramadan al-mubarak yang dating kembali membawa rahmat dan anugerah Ilahi secara langsung mampu memperteguh kualiti umat yang jitu melalui amalan solat, bacaan quran dan amalan sedekah yang merupakan aplikasi yang disukai oleh yang Maha Pencipta. Mari kita lihat dimana kedudukan kita diawal Ramadan. Apakah kita benar-benar mampu menggapai rahmat Allah diawal Ramadan ini atau sebaliknya.

Menghayati makna kehadiran Ramadan

Bulan Ramadan cukup sinonim dengan bulan menahan diri daripada makan dan minum. Ia juga adalah bulan untuk mendidik jiwa, nafsu, akal supaya taat dan patuh dengan perintah Allah swt yang telah memerintahkan hambanya untuk melaksanakan tugas berpuasa dengan baik dan sempurna. Sudah pastilah pensyariatan ini membawa erti yang cukup besar dalam mendidik jiwa kita bukan sahaja melakukan puasa semata-mata tetapi melihat akan falsafah puasa tersebut iaitu merasai kepayahan dan keperitan orang lain dan melatih diri taat dan patuh dengan perintah Allah SWT. Manusia sememangnya dihadirkan oleh Allah dengan perasaan dan jiwa yang murni secara azalinya. Jiwa yang lembut dan luhur yang disirami dengan keputihan iman itu pastinya mampu untuk memahami akan kepayahan umat lain dalam melaksanakan puasa secara menyeluruh. Sebagai contoh, bilamana puasa diamalkan oleh seluruh umat, berapa ramaikah dikalangan kita memikir akan kesusahan dan kepayahan orang lain khususnya golongan miskin dan fakir untuk melakukan puasa. Ada orang yang berpuasa oleh kerana mereka tidak boleh makan dan minum disiang hari, namun kita lihat orang miskin berpuasa ini sememangnya sudah sebati dengan mereka kerana mereka tiada makan dan minuman. Disebalik menyedari dan menelusuri kepayahan inilah Islam mengatur jiwa manusia supaya membenihkan perasaan menghulur bantuan dan sokongan mereka kepada golongan yagn memerlukan. Hakikat Ramadan serta amalannya memberi pelbagai kesan langsung jika dilihat dengan iman. Jika puasa dilihat dengan mata yang zahirnya pastinya kita tidak nampak betapa besarnya kesan pahala kepada kita.

Rasullulah saw bersabda: - yakni ketika telah datang bulan Ramadhan:

“Sungguh, telah datang padamu bulan yang penuh berkah, dimana Allah mewajibkan kamu berpuasa, di saat dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan, dan dimana dijumpai suatu malam yang nilainya lebih berharga dari seribu malam.Maka barangsiapa yang tidak berhasil beroleh kebaikannya, sungguh tiadalah ia akan mendapatkan itu buat selama-lamanya.” (Riwayat Ahmad, Nasa’i dan Baihaqi)


Ramadan mendidik kita taat dengan Tuhan
Justeru kesedaran dalam mendidik jiwa dan hati umat agar memahami kesusahan untuk tidak makan dan minum sedikit sebanyak mampu untuk menyedarkan kita akan kepentingan puasa. Begitu juga puasa yang dilakukan ini juga harus difahami falsafahnya bukan semata-mata melihat akan realiti kesusahan orang lain tetapi yang lebih utama adalah pembuktian ketaatan kita dengan Allah SWT. Berpuasa sebenarnya adalah satu ujian yang cukup besar pahalanya. Umpamanya tidak ada siapa yang tahu kita berpuasa atau tidak melainkan Allah sahaja. Bahkan jika kita menipu dikalangan anak-anak dan isteri sendiri pun tidak siapa yang tahu. Ini lah ujian besar yang Allah kurniakan kepada umatnya . Jika kita benar2 melaksanakan perintah ini dengan jujur dan ikhlas maka kita dijanjikan Allah degan pahalanya bukan sahaja didunia malah diakhirat. Puasa melatih kejujuran keikhlasan yang tinggi bahkan ia sebenarnya mampu menjadikan manusia lebih luhur iman dikalangan manusia dan disisi Allah. Dengan berpuasa, ketaatan inilah yang menjadi kunci utama kepada umat. Madrasah Ramadan adalah insititusi yang membentuk minda, jiwa dan iman kita supaya taat kepada tuhannya dengan sepenuhnya tanpa dipertikaikan. Modul inilah yang bakal memberi kesan besar dalam sejarah kemanusiaan kerana puasa yang kita lakukan bukan sahaja tidak makan dan tidak minum tetapi taat dan patuhnya kita dengan perintah Allah. Inilah kunci taqwa yang disebut dengan jelas dalam Al-Quran oleh Allah kepada umatnya.


Sudah pastikah kita mendapat taqwa bila berpuasa
Perintah berpuasa ini akhirnya akan meletakkan diri kita kepintu taqwa. Firman Allah “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”.Orang berpuasa dengan betul dan jujur dijanjikan Allah dengan taqwa. Maknanya mereka akan tergolong dikalangan hambanya yang dikasihi hasil daripada puasa yang dilakukan. Namun persoalan yang boleh kita bentang adalah , mungkinkah mereka yang berpuasa itu secara otomatik akan mendapat taqwa Allah. Inilah persoalannya, kerana berapa ramai orang yang letih berpuasa, tidak makan dan minum mereka ini hanya mendapat letih dan lapar sahaja. Mana pahala dan barakah puasanya? Tuntutan puasa ini bererti memberi satu motivasi kepada kita supaya melaksanakan dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Jika perlakuan puasa kita benar-benara mengikut disiplin islam yang sebenarnya maka taqwa itu pasti ditangan mereka. Yang penting letakkan jiwa dan iman kita didepan bukan untuk menunjuk-nunjuk dengan orang lain bahawa kita berpuasa tetapi kita ingin membuktikan kepada Allah bahawa kita adalah hambanya yang benar-benar bersyukur dengan perintahnya. Justeru untuk mendapat puasa dengan taqwa sekali kita harus berusaha melaksanakan puasa dengan kefahaman yang jelas, laksana puasa ikut sunnah rasulullah saw dan mengelakkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang merosakan pahala berpuasa kita. Jiak ini dipelihara insya allah kita mudah-mudahan akan termasuk dikalangan mereka yang berpuasa dan mendapat taqwanya.


Mulakan Ramadan kali ini dengan azam
Mari kita mulakan Ramadan kali ini dengan azam yang tinggi dan besar untuk memastikan kita mendapat pahala daripadanya. Pertama, mulakan dengan syukur dan gembira. Didik dan latih jiwa kita dengan ucapan syukur dan gembira dengan Ramadan. Jangan ada di dalam hati perasaan sedih dan gundah gulana akan ketibaan bulan mulia ini. Jika masih ada perasaan sebegini bererti jiwa kita masih sakit dan perlu rawatan. Perbanyakan istighfar kepada Nya mudah-mudah jiwa kita kembali murni dan ramadan kali ini akan melahirkan kesejahteraan. Kedua mulakan Ramadan kita dengan mendekatkan diri dengan quran. Al-quran bersedia menjadi teman dan memahami akan ajaran didalamnya. Sama-sama kita meningkatkan pembacaan dari sehari kesehari. Apa matlamatnya bukan sekadar untuk khatam al-quran tetapi mesej nya adalah membentuk diri kita supaya melatih tubi diri menjadikan Al-quran sentiasa dalam hati kita dan basah sentiasa dibibir kita sentiasa. Janganla semata-mata untuk khatam al-quran makan kita baca quran begitu hebat tetapi diluar Ramadan al-quran entah kemana. Ini satu kekurangan yang harus kita perbaiki demi membetulkan sikap dan amalan kita terhadap kalamullah yang mulia ini . Ketiga. pertingkatkan amalan sedekah kita dibulan Ramadan. Dengan memberi bererti kita melatih jiwa bahawa harta kita tidak semua milik kita. Ada haknya untuk orang lain. Dikala kita mempunya banyak sedekahlah pada mereka, dikala kita mempunyai sedikit maka berilah ikut keberadaan kita. Apa falsafahnya, Ramadan bulan mendidik manusia supaya kasih kepada orang lain. Bila mana kita mempunyai kelebihan jangan lupa akan orang lain yang juga memerlukan. Semangat saling memberi ini satu amalan yagn cukup dikasihi oleh baginda rasulullah saw. Jika ini menjadi amalan mudah-mudahan taqwa yang menjadi sasaran kita dibulan Ramadan ini akan menjadi kenyataan. Kita tidak mahu taqwa yang sering menjadi buah mulut para penceramah dibulan ramdan ini sekadar tinggal ceramah sahaja tanpa kita berusaha utnuk menggarap usaha dan tenaga supaya taqwa tersebut benar-benar menjadi milik kita. Mudah-mudahan Ramadan menjadi bulan menyucikan diri untuk bertemu Allah satu masa yang kita belum pasti saatnya.



Penulis juga adalah merupakan mantan YDP ABIM Selangor.


0 comments:

IJTIMAK HARAKIY WADAH-ABIM-PKPIM


8 Ogos 2010, Sungai Ramal, Kajang - Pertemuan 3 generasi dalam gerakan Islam di Malaysia antara WADAH, ABIM dan PKPIM menjadi satu sejarah yang besar dan permulaan kepada kerja-kerja dakwah yang lebih jitu. Ijtimak Harakiy WADAH-ABIM-PKPIM kali pertama telah berlangsung dengan jayanya dengan dihadiri oleh ratusan ahli-ahli, sukarelawan dan da'i, bersatu fikiran dan gerak kerja mereka.

Pertemuan yang bermula dengan Makan Malam Jamaah yang berlangsung di Bangi Golf Resort pada 6 Ogos 2010, menyaksikan kehadiran Datuk Seri Anwar bin Ibrahim selaku mantan Presiden PKPIM dan ABIM beserta beberapa tetamu yang terdiri daripada mantan-mantan presiden ABIM, PKPIM dan ahli-ahli gerakan yang lain. Pertemuan ini disajikan dengan ucapan-ucapan yang sangat membakar semangat dan membuka minda ahli gerakan itu sendiri.

Pada 7 Ogos 2010 pula, sepanjang hari, ahli-ahli gerakan dari WADAH, ABIM dan PKPIM berdiskusi dan bersyarah dalam Seminar Maqasid Syariah yang mengetengahkan pandangan, idea serta gagasan bagi membangkitkan corak perjuangan dan pemikiran para du'at untuk lebih fokus dan meyakini apa yang diperjuangkan oleh gerakan dakwah ini. Sehinggalah pada sebelah petang dan malam, sesi muktamar dimulakan bagi memuhasabah ahli gerakan tentang apa yang telah dilaksana sepanjang tahun diberikan amanah.

Muktamar Sanawi ABIM ke 39 berakhir pada 8 Ogos 2010 jam 1.30 petang dengan tiada sebarang perubahan dalam barisan kepimpinan. Pada akhir muktamar, pelbagai harapan dilontarkan baik dari pimpinan mahupun dari ahli gerakan yang lain agar meneruskan usaha dakwah ini dan perjuangan ini harus diberikan keutamaan dan fokus demi agama Allah dan pembinaan ummat yang diredhai.


ABIM Selangor mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada pimpinan ABIM Pusat, WADAH dan PKPIM atas usaha menemukan 3 generasi pergerakan Islam ini. Harapan yang sangat besar dengan impak pertemuan ini akan merancakkan lagi perjalanan dakwah kita semua dalam usaha mengangkat darjat Kalimah yang Hak dihadapan masyarakat khususnya di Malaysia dan seluruh dunia amnya.


Setiausaha Negeri
Kuala Selangor
11 Ogos 2010

0 comments:

MESYUARAT IOA SELANGOR


5 Ogos 2010, Kampung Melayu, Sungai Buloh - Hasil dari pertemuan ABIM Selangor bersama pihak Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang lalu telah menggerakkan ABIM Selangor untuk memulakan perbincangan aktif bersama Pengerusi IOA Selangor, Datuk Dr. Abdul Razak bin Kechik di kediamannya malam semalam.

Perbincangan dimulakan pada jam 9.30 malam dengan dipengerusikan oleh Ustaz Zawawi selaku YDP ABIM Selangor. Objektif utama pertemuan ini ialah untuk merencanakan pergerakan IOA Selangor yang telah ditubuhkan dan bertempat di Masjid Negeri, Shah Alam. Antara maklumat dan berita gembira yang dikhabarkan adalah pihak masjid telah memberikan kerjasama dengan menyediakan kemudahan prasarana yang baik dan perlu diaktifkan menjelang Ramadhan yang akan tiba tidak lama lagi.

Fokus perbincangan semalam memperlihatkan keperluan penglibatan sukarelawan khususnya dari pelajar-pelajar yang berada disekitar Masjid Negeri dan antara yang disebutkan adalah UiTM, UNISEL dan MSU. Menurut Datuk Razak lagi, ia merupakan salah satu pintu kaderisasi dan peranan ini perlu dimainkan memandangkan Masjid Negeri merupakan salah satu tempat yang mempertemukan ramai orang dan masyarakat.

Mesyuarat ini dihadiri oleh Haji Shirajuddin, Saudari Azareka serta Saudari Fatimah Zakiyah. Mesyuarat bersetuju membentuk satu jawatankuasa IOA Selangor yang dipengerusikan oleh Datuk RAzak sendiri, timbalannya adalah Haji Razif (Shah Alam), setiausaha, Saudari Azareka dan bendahari adalah saudari Fatimah Zakiyah. Antara yang dilibatkan dalam ahli jawatankuasa adalah Haji Shirajuddin, Ustaz Muszaki dan disediakan juga kuota penglibatan untuk adik-adik PEPIAS dan PKPIM.

Semoga usaha dakwah ini tidak akan padam di bumi Selangor ini dan dipohon agar semua sukarelawan ABIM Selangor dari seluruh pelusuk negeri Selangor bersama-sama menggerakkan dan menggembleng tenaga untuk berada atas jalan dakwah ini.

Sekian.


Setiausaha Negeri
6 Ogos 2010
Kuala Selangor

0 comments:

SINAR RAMADHAN SEORANG SEKAMPIT BERAS, MASJID AN-NAIM


5 Ogos 2010, Jalan Kebun, Shah Alam - ABIM Selangor mengucapkan jutaan terima kasih dan tahniah kepada Jawatankuasa Masjid An-Naim Jalan Kebun bersama petugas dan para sukarelawan ABIM Selangor yang telah bersama-sama melancarkan majlis penyerahan bantuan sempena Kempen Seorang Sekampit Beras 2010. Ia merupakan salah satu usaha untuk membantu golongan dermawan untuk memberikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan pada masa yang sama memberikan pendidikan dan peringatan tentang kehidupan sebagai seorang Islam.

Majlis dimulakan seawal jam 3.30 petang dengan kehadiran para penerima bantuan yang terdiri daripada fakir, miskin, muallaf dan ibu-ibu tunggal. Seramai hampir 150 orang penama sebagai penerima bantuan hadir dengan pelbagai karenah dan ragam. Inilah perjuangannya, apabila ramai dikalangan penerima ini, masih cetek pengetahuan agama mereka dan yang lebih malang lagi, tidak mahu pula mengikut kebaikan yang dilakukan.

Majlis berterusan sehingga solat Asar berjemaah dan kemudian sesi penyerahan bantuan yang disempurnakan oleh YB Mat Shuhaimi yang merupakan ADUN Sri Muda. Majlis berlangsung dengan baik sekali dan mendapat sokongan dari pihak masjid sendiri yang diwakili oleh Tuan Nazir, ketua kampung serta ahli majlis. Perjalanan SINAR RAMADHAN SEORANG SEKAMPIT BERAS ini tidak akan terhenti di sini sahaja kerana, masih ada 2 siri majlis lagi yang akan dilaksanakan di dalam bulan Ramadhan.

Semoga segala usaha ini diberikan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t.


Setiausaha Negeri
6 Ogos 2010
Kuala Selangor

Sesi Penyerahan Bantuan oleh YB Mat Shuhaimi

Bergambar Bersama Penerima Sumbangan

Antara Sukarelawan ABIM Selangor yang membantu

0 comments:

TAUTAN KASIH HELWA SELANGOR

-Forum Generasi yang dibarisi oleh panel wakil dari setiap organisasi -
- tekun merekacipta Giant Slipper -

24 Julai 2010 merakamkan detik-detik manis pertemuan antara Helwa ABIM,Helwa WADAH, Hewi PKPIM & Helwani PEPIAS di dalam program Tautan Kasih Helwa Selangor yang diadakan di Crystal Crown Hotel Pelabuhan Klang.

Objektif program adalah untuk mengeratkan silaturrahim antara semua Helwa. Semoga dengan adanya pertemuan ini, dapatlah sedikit sebanyak merapatkan lagi ukhuwah dan menguatkan jiwa dakwah dalam diri.

0 comments:

BAHAGIA MENJADI GADIS 2010


Bahagia Menjadi Gadis (BMG) merupakan program sokongan mencari dana untuk Rumah Perlindungan dan Pemulihan Darul Wardah. Antara objektif lain BMG ialah untuk :

1) Memahami tentang pendidikan seksual mengikut perspektif Islam.
2) Mengetahui cara-cara menangani pergaulan dan fenomena perlakuan seks bebas.
3) Memahami dan mempraktikkan sikap asertif dalam situasi tertentu.
4) Melindungi diri dari terjebak dengan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam .


BMG 2010 telah menerima undangan beberapa sekolah seperti SM Tengku Ampuan Rahimah, SM TTDI Jaya, SM Perempuan Kapar, SMK Siefield USJ,SM Bandar Baru Sultan Sulaiman dan yang terkini ialah SMK Sri Selayang . Antara penceramah tetap ialah Ustazah Hazlina (Pengarah DARWA) & Norhidayah (Pengurus Sekretariat) dan dibantu oleh adik-adik PEPIAS.

0 comments:

MESYUARAT SEKRETARIAT ANJUNG BERKAT 01/2010


2 Ogos 2010, Seksyen 3, Shah Alam - Mesyuarat Pengurusan Sekretariat Anjung Berkat (ABIM Selangor) telah berlangsung bermula dari jam 3.30 petang dan tamat pada jam 5.30 petang. Perbincangan telah memberikan fokus kepada bidang tugas dan tugasan terkini kakitangan sekretariat. Mesyuarat telah dihadiri oleh Kamarul Azami (Setiausaha Negeri dan Pengurus Ekskutif), Norhidayah (Pengurus Sekretariat), Mohd Harith (Pengurus Projek) dan Nor Azmiza (Pengurus DARWA).

Perbincangan berlangsung dengan baik dan masing-masing memberikan pandangan dan penjelasan berkenaan beberapa isu dalam tugasan masing-masing. Antara bahan yang telah dibincangkan adalah jawatan Norhidayah yang ditukar dari Setiausaha Kerja kepada Pengurus Sekretariat, laporan program Sekretariat Menangani Gejala Sosial serta terkini dari DARWA. Pengurusan Sekretariat Anjung Berkat juga mensasarkan matlamat berikut;

1. Memantapkan lagi sistem perhubungan antara daerah, negeri dan pusat.
2. Menjadi pusat maklumat bagi ABIM Cawangan Negeri Selangor.
3. Meningkatkan profesionalisme dan keberkesanan sekretariat.

Semoga usaha ini mendatangkan natijah yang baik kepada keberkesanan program-program dakwah ABIM Selangor serta memberikan impak yang jelas bahawa, tugas da'i bukan hanya bercakap dengan nada yang kuat dan bersemangat, bahkan cara kerja, urus tadbir dan keberkesanan tugasan juga dititikberatkan.



Sekian.

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR