Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Kenyataan Akhbar ; Isu kuil

KENYATAAN AKHBAR ABIM NEGERI SELANGOR
30 OGOS 2008M/ 9 RAMADHAN 1430H

ISU BINA KUIL : ABIM SELANGOR AJAK MASYARAKAT FAHAMI ISU

ABIM Negeri Selangor menyokong sebarang usaha yang sedang dilakukan oleh pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk menyusun dan mengemaskan lagi pentadbiran kuil dan rumah ibadat untuk penganut-penganut agama Hindu. Kedudukan yang kurang teratur dan terletak dilokasi yang tidak sesuai akan menimbulkan masalah dan ketidak selesaan kepada masyarakat yang lain.

ABIM menghormati keputusan yang telah diambil oleh pihak-pihak berkaitan setelah diadakan kajian terperinci dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat. Keputusan yang diambil mestilah mengambil kira kepentingan semua pihak dan satu jalan tengah perlu diambil untuk menyelesaikan masalah.

ABIM juga menggesa agar pihak kerajaan lebih peka dan sensitif dalam menangani hal-hal yang melibatkan kepentingan dan tuntutan umat Islam. Sebarang isu perlu diselesaikan secara tuntas dan tidak dijadikan modal politik oleh pihak-pihak tertentu.

ABIM mengajak umat Islam agar mencontohi akhlak dan perilaku Nabi Muhammad SAW ketika berinteraksi dan berurusan dengan penganut-penganut agama lain. Usaha dakwah dan peribadi unggul yang ditunjukkan oleh Rasulullah wajar menjadi ikutan dan panduan umat untuk menjadikan Islam sebagai satu cara hidup.

ABIM Negeri Selangor mencadangkan dan menggesa agar masyarakat Islam menggiatkan lagi gerak kerja dakwah dan penerangan tentang Islam dikalangan orang bukan Islam. Disamping itu kerja-kerja Islah dan tarbiyyah dikalangan masyarakat Islam itu sendiri perlu disemarakkan. Masjid-masjid dan surau-surau perlu diimarahkan dengan aktiviti dan pengisian ilmu yang bermanfaat kepada seluruh warga setempat. Generasi muda dan belia perlu didekatkan dengan masjid dan surau. Ramai dikalangan warga muda yang terlibat dengan gejala sosial kerana masjid dan surau tidak berfungsi sebagai institusi sosial yang benar-benar berkesan.


MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH

MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI
Yang Di Pertua
Negeri Selangor Darul Ehsan

2 comments:

Apa Ada Dengan MLTR ? KONSERT MLTR,PELANJUT FAHAM ARISTIPUS



Bulan kemerdekaan datang lagi. Malah lebih beruntung, sambutan merdeka tahun ini disambut bersama keberkatan bulan Ramadhan. ABIM Negeri Selangor mendoakan agar merdeka tahun ini disambut dengan penuh kerahmatan dan kesyukuran.

Bagaimanapun keberkatan berganda ramadhandan kemerdekaan dicarikkan dengan berita satu konsert artis barat .Konsert MLTR yang dijangka berlangsung pada penghujung bulan ini bertempat di arena of stars Genting.

Maka ramai umat Islam tertanya-tanya apa perlunya, konsert itu diadakan pada bulan ramadhan. Walaupun sebahagiannya beranggapan, tiada masalah konsert itu diteruskan.Bukannya dilakukan di kawasan majoriti Islam, bahkan tidak ada paksaan untuk umat islam untuk menyaksikan konsert tersebut.

Benarkah begitu ?
Penganjuran Konsert ini memberikan tanda jelas kepada ABIM Negeri Selangor kepada beberapa isu utama;

1. Patriotisme yang semakin lemah
Hari kebangsaan adalah suatu kesempatan untuk kita menggilap semangat patriotik, hubbul watan atau cintakan tanah air. Patriotisme adalah manifestasi rasa cinta dan tanggungjawab terhadap bangsa dan negara seperti yang disebut oleh Prof. Ismail Al Faruqi : “ Patriotisme adalah suatu yang positif dan digalakkan dalam Islam. Berbakti kepada bangsa dan berkhidmat kepada negara dengan jujur dan amanah merupakan satu kewajipan menurut Undang-undang Islam. Pengabaian atau pengkhianatan terhadap tanggungjawab tersebut dianggap sebagai kesalahan yang membawa hukuman duniawi dan ukhrawi”.

Muhammad Iqbal, seorang pemikir dan filosof yang ulung, juga mempunyai pandangan yang positif terhadap patroitisme. Beliau mengungkapkan : “ Patriotisme merupakan satu kebajikan yang benar-benar selaras dengan fitrah manusia dan mempunyai tempat di dalam moral manusia. Namun yang paling penting sebenarnya adalah keyakinan manusia, kebudayaanya dan tradisinya. Inilah hal-hal yang merupakan makna yang seharusnya dibawa dalam hidup dan mati kita, bukan sejengkal tanah dimana jiwa manusia kebetulan dihubungkan untuk sementara waktu.”

Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang sensitif dengan maruah dan martabatnya. Mereka tahu betapa mahalnya maruah dan martabat itu. Penganjuran konsert Avril merupakan manifestasi dari terhakisnya semangat patriotisme dan suburnya kembali penjajahan budaya yang membeliti minda dan pemikiran kita.

Sekadar catatan, pada pembukaan gilang gemilang Sukan Olimpik Beijing 2008, Presidennya Hu Jintao menyampaikan ucapan dalam bahasa ibundanya. Menyedari impak sukan Olimpik yang disaksikan oleh berbilion penduduk dunia itu, pastinya akan menampilkan kehebatan, kebanggaan, dan jati diri sesebuah bangsa kepada dunia. Ironisnya , dimanakah kedudukan bahasa dan budaya kita hari ini ?

Bangsa yang berjiwa merdeka adalah bangsa yang kaya dengan cita-cita dan daya usaha. Mereka tahu apa yang harus dikerjakan tanpa dikerah , tanpa diperintah. Mungkin kerana menyedari hakikat wujudnya jiwa hamba anak jajahan itu, Al marhum Dr Burhanuddin Al Helmi ketika mengobarkan semangat kebangsaan telah memberikan perhatian khusus kepada aspek pembinaan jiwa merdeka sebagaimana yang tersirat dalam ungkapan puitisnya, “ Di atas robohan Kota Melaka, kita dirikan jiwa Merdeka “. Sehubungan dengan itu kita seharusnya bersedia untuk membongkar dan melempar segala unsur-unsur jiwa hamba yang masih tersisa itu. Selayaknya jiwa hamba hanya merupakan pengabdian makhluk kepada khaliknya.

2. Budaya hedonisme melampau

Sebelum ini bagaikan tidak sah acara kemerdekaan tanpa sambutan konsert dan pesta-pestaan. Entah dimana silapnya , erti kebudayaan nampaknya kian dangkal dan sempit. Seolah –olah acara kebudayaan yang terbayang ialah joget lambak, dikir barat dan seni hiburan lainnya. Memang hal-hal begitulah yang selalu mengisi acara majlis-majlis yang membawa nama kebudayaan. Walhal kebudayaan bukan Cuma seni dan bukan sekadar hiburan. Ia adalah suatu yang lebih serius, dengan bidang cakupannya yang amat luas meliputi aspek falsafah, pemikiran, ilmu, kesenian, artifak dan aspek-aspek cara hidup lainnya.

Apa perlunya lagi kita mengadakan konsert dari barat itu sedangkan tanpa konsert itu pun MLTR bersedia diakses melalui kecanggihan teknologi yang pelbagai ! Apakah yang diharapkan dari penganjuran konsert seperti ini? Keuntungan ekonomi atas nama produk pelancongan ? atau hanya untuk keseronokan semata-semata ? Inilah faham hedonisme yang menurut pengertian Kamus Dewan ialah pegangan atau pandangan hidup yang mementingkan keseronokan atau kesenangan hidup.

Menyoroti sejarah lalu , fahaman hedonisme didukung oleh Aristipus , salah seorang murid Socrates. Hal ini merujuk kepada pertanyaan Socrates kepada beliau tentang tujuan terakhir bagi kehidupan manusia atau apa yang terbaik untuk manusia. Aristipus kemudiannya menyatakan yang terbaik untuk manusia adalah kesenangan.

Idea ini kemudiannya dikembangkan oleh Epicurus dengan mengatakan tujuan hidup adalah untuk kesenangan dan kedamaian. G.E Moore dilihat sebagai tokoh kontemporari hedonisme. Beliau berkata : ” Konsep baik yang bertitik tolak kepada keseronokan dan tidak ada yang baik kecuali keseronokan dan hanya keseronokan sahaja yang menjadikan kebaikan sebagai satu matlamat.

Cukuplah kita meraikan sambutan Kemerdekaan dengan acara-acara hiburan. Pengisian merdeka masih gah tanpa sambutan pesta-pestaan mahupun konsert. Pengisian merdeka harus di renungi dan dihayati oleh setiap dari kita. Kita yang bakal mencorak da mewarnakan masa depan negara kita. Cukuplah 50 tahun kita menyambut kemerdekaan dengan konsert !

Ada orang berkata, anak muda! budaya popular kunjungannya hanya semusim, masa edannya akan berakhir bila sampai seruan taubat! Tapi apakah kita harus lupa bahawa generasi tua hari ini yang terdiri daripada kelompok penting pembuat dasar, pemimpin , orang yang diberi amanah dan tanggungjawab adalah cerminan dari dari budaya masa lalu, dari a-go- go, yankies, hippies, raggae, rock, punk, dan segala macam budaya popular. Maaf , bukan semua, tetapi tidak pula menafikannya.
Konsert MLTR dan apa jua konsert yang sewaktu dengannya akan memberi makna yang signifikan terhadap budaya kita. Dalam era globalisasi , sudah tentu kita tidak terlepas dari unsur-unsur luar. Tidak bererti menolak konsert ini bermakna kita menolak segala yang bersikap asing. Yang perlu ada ialah kemampuan kita untuk bersikap kritsis dan selektif dalam memilih yang mana serasi dan mana yang bertentangan dengan budaya kita.

Dalam hal ini Kementerian yang berkaitan , harus mengembangkan dan meluaskan lagi wawasan budaya dengan lebih jelas dan komprehensif. Negara kita tidak kurang mempunyai artis-artis, seniman- seniman, saterawan, budayawan yang berpotensi dan hebat. Mengapa tidak sahaja kita bentuk mereka mengikut acuan kita sendiri ?

Mudahan-Mudahan penat lelah mereka yang telah merumuskan dasar Kebudayaan Kebangsaan yang bercirikan kepribumian dan keIslaman itu akan punya makna dan harga yang setimpal. Negara kita adalah tanggungjawab kita.

Ini merupakan suara anak-anak muda pasca merdeka . ABIM Negeri Selangor rindu dan ingin sekali mendengar suara-suara budayawan, seniman-seniman , cendiakawan, agamawan, Mufti-mufti memberikan pandangan. Suara yang merentasi dan melewati sempadan politik, bahasa dan bangsa. Ini bukan soal ada apa dengan MLTR Ini Soal ada apa dengan kita ?

Hazlina Abd Razak
Pengerusi Darul Wardah
Angkatan Belia Islam Malaysia Selangor
Anjung Berkat,
226 Wisma MAIS, Seksyen 3
Shah Alam
019-2774175 , lina4570@yahoo.com

30 comments:

Kenyataan Media - Kekeliruan Masyarakat Punca Polemik Isu Sebatan Kartika Sari Dewi

Kartika Keputusan hukuman sebatan yang dikenakan ke atas Kartika Sari Dewi Soekarno yang telah diputuskan oleh Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di Kuantan telah ditangguhkan pelaksanaannya, telah mengundang pelbagai polemik. Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) berpandangan polemik ini tercetus kerana masyarakat masih tidak faham dengan pelaksanaan undang-undang sebatan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah. Tidak kurang juga yang gerun lalu menentangnya kerana momokan hukuman sebatan ini sangat kejam kerana membawa kepada kecederaan kekal, mengaitkannya dengan gambaran negatif pelaksanaan sebatan di Mahkamah Sivil di bawah Kanun Prosedur Jenayah 1998.

ABIM ingin mengingatkan bahawa hukuman sebatan ini telah diperuntukkan di bawah kuasa negeri, di mana Raja adalah bertanggungjawab ke atas hal ehwal agama termasuk dalam hal pelaksanaan undang-undang syariah yang diperuntukkan di bawah enakmen ataupun akta di sesebuah negeri.

Di Malaysia, khususnya di bawah peruntukan undang-undang jenayah Islam negeri, pelaksanaan bagi hukuman sebat bagi pelbagai kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah telah diperkenalkan dan dilaksanakan. Namun demikian, setakat ini hanya negeri Kelantan dan Pahang sahaja yang telah melaksanakan hukuman sebatan ini.

Kuasa yang diberikan kepada Mahkamah Syariah bagi hukuan kesalahan jenayah syariah juga sangat terhad iaitu denda maksimum sebanyak RM 3,000.00, 5 bulan penjara dan enam kali sebatan. Jelas peruntukan berkaitan hukuman 6 kali sebatan ini telah diperuntukkan di bawah Undang-undang Jenayah Syariah dan tidak timbul sama sekali samada Mahkamah Syariah mempunyai bidangkuasa atau tidak sebaliknya. Mahkamah Yang Mulia sedang menjalankan kuasa yang diberikan kepadanya mengikut peruntukan perlembagaan walaupun kuasa yang diberikan sangat terhad.

Selain peruntukan berkaitan pelaksanaan hukuman sebatan di Mahkamah Syariah, terdapat juga peruntukan lain berkitan kaedah dan pelaksanaan hukuman sebat yang merangkumi alat yang digunakan untuk sebatan dan tatacara pelaksanaannya. Malah, kaedah dan pelaksaaan sebatan ini sangat berbeza dengan pelaksanaan di Mahkamah Sivil sepertimana yang diperincikan di bawah Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Syariah 2002 Negeri Pahang.

Justeru ABIM menyeru semua pihak untuk menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan, Pahang, yang menjatuhkan hukuman sebatan dan denda terhadap Kartika Sari Dewi Soekarno dan menghentikan pelbagai tohmahan yang dilemparkan kepada Mahkamah Syariah kerana dianggap zalim dan tidak berperikemanusiaan.

ABIM juga ingin menegaskan bahawa undang-undang Islam berada di bawah kuasa negeri. Apabila Mahkamah Syariah telah memutuskan hukuman yang diperuntukkan di bawah undang-undang negeri, yang juga berada di bawah kuasa raja di sesebuah negeri, maka kerajaan persekutuan tidak boleh mencampuri urusan tersebut kerana ia adalah kuasa eksklusif negeri yang diperuntukkan dengan jelas di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam apa jua keadaan sekalipun, hanya mahkamah yang mempunyai bidang kuasa sahaja (dalam kes ini Mahkamah Syariah itu sendiri) yang boleh mengeluarkan perintah penggantungan tersebut di atas alasan rayuan yang dikemukakan atau apa-apa alasan lain yang munasabah di sisi hukum syarak. Justeru ABIM melahirkan kekecewaannya terhadap campur tangan Peguam Negara yang dilihat bertindak atas desakan pelbagai pihak termasuk tekanan daripada luar negara.

Yang jelas, Kartika Sari telah mengakui kesilapannya, beliau juga telah membuat pengakuan (iqrar) yang cukup kuat dan merupakan bukti yang kukuh bagi pensabitan kes di bawah undang-undang keterangan Islam, malah telah diberikan ruang untuk merayu dalam tempoh tertentu. Beliau memilih untuk menjalani hukuman tersebut dan pilihan tersebut harus dihormati.

Prinsip Kartika Sari dan keluarganya yang nyata sangat menghormati undang-undang dan menjunjung tinggi perintah Mahkamah Syariah wajar dipuji dan dihormati. Isu ini tidak perlu dipolemikkan dan dikelirukan. Malah sewajarnya semua pihak dianjurkan menghormati keputusan Mahakamah Yang Mulia ini dan pendirian Kartika Sari dan keluarganya dalam mempertahankan undang-undang Islam di Malaysia.

Akhir sekali, ABIM menyeru agar hukuman ke atas Kartika Sari Dewi ini dijadikan iktibar dan pengajaran kepada umat Islam yang masih mengkonsumsi arak dan menghentikan segera amalan buruk tersebut. ABIM turut berharap agar umat Islam mengambil keberkatan bulan Ramadhan ini untuk bukan sahaja berhenti menjual dan meminum arak, bahkan semua amalan-amalan yang dilarang oleh Islam.

‘MENEGAKKAN KEBENARAN DAN KEADILAN’

FADHLINA SIDDIQ
Naib Presiden (Hal Ehwal Wanita)
Angkatan Belia Islam Malaysia
26 OGOS 2009 / 5 RAMADHAN 1430 HIJRAH

0 comments:

Tangani Provokasi, Jaga Kedaulatan Islam Dan Keharmonian Kaum, Kata ABIM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Dalam usaha menjaga kedaulatan Islam sebagai agama rasmi di negara ini, sebarang provokasi yang mempertikai dan menghina kedudukan serta imej Islam perlu ditangani secara tegas dan sistematik, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Setiausaha Agungnya Mohamad Raimi Ab Rahim berkata tindakan itu perlu selain bertujuan memelihara keharmonian hubungan antara kaum di negara ini.

"Sekiranya siasatan membuktikan penghinaan sedemikian berlaku, undang-undang yang sedia ada haruslah dikuatkuasakan tanpa kompromi. "Penggunaan bahasa kesat yang mengeji sesuatu kaum, agama dan bangsa di alam maya juga tidak harus dikompromi dalam usaha membina generasi muda yang berakhlak mulia," katanya dalam satu kenyataan di sini Isnin. Sehubungan itu, Mohamad Raimi meminta kerajaan memperhalusi kewajaran menggubal undang-undang baru untuk mengawal selia penyalahgunaan internet dan penyebaran maklumat elektronik yang bertujuan menggugat Perlembagaan serta menyentuh sensitiviti masyarakat berbilang kaum.

"Undang-undang yang sedia ada memadai untuk mengisi objektif serta keperluan undang-undang baru yang ingin digubal. Yang penting, undang-undang tersebut hendaklah dilaksanakan ke atas semua pihak secara adil, saksama, telus dan tidak memilih bulu," katanya.

Katanya ABIM selaku generasi muda, menolak pendekatan mencaci dan memaki hamun yang dibudayakan oleh pihak yang menyalahgunakan tiket kebebasan dalam menyampaikan mesej yang turut akan mengundang ketegangan.

"Pendekatan berbentuk pendidikan perlulah diutamakan berbanding hukuman terhadap blogger yang dikenal pasti melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab.

"Proses pendidikan juga perlu membabitkan usaha menghampiri golongan ataupun para penulis bebas dengan menekankan kepentingan etika dan nilai kewartawanan selain mengambil kira sensitiviti masyarakat di negara ini," katanya.

Mohamad Raimi berkata sebarang pendekatan yang diambil oleh kerajaan nanti perlu menghormati dan mengambil kira aspek kebebasan bersuara.

"Pada masa yang sama, tidak berkompromi dengan sesiapa sahaja yang berniat jahat merendahkan mana-mana agama dan menggugat keharmonian kaum di Malaysia," katanya.
sumber di petik : www.bernama.com

0 comments:

Sumbangan dan Derma sempena Ramadhan

Bersempena Bulan Ramadhan Al-Mubarak ini, kami di ABIM Selangor amat mengalu-alukan para dermawan untuk menginfakkan sebahagian dari harta anda bagi menyuburkan kerja-kerja dakwah di Negeri Selangor secara khususnya. Sumbangan-sumbangan anda akan dimanfaatkan untuk;

1. Pengurusan Sekretariat ABIM Selangor;
2. Program-program dakwah ABIM Selangor; serta
3. Pengurusan dan penyelarasan dakwah Darul Wardah.

Sekiranya, anda para dermawan ingin menghulurkan derma, sila hubungi pihak ABIM Selangor atau salurkan terus ke akaun berikut;

1. MayBank: 562106228176
2. Bank Islam: 12038010001335

0 comments:

Perutusan YDP ABIM Selangor Ramadhan Al-Mubarak 1430

Ana mendoakan semua sahabat perjuangan dan aktivis dakwah berada dalam sikon sihat wal afiat dan sejahtera. Di dalam suasana bencana wabak penyakit bergentayangan sekarang ini eloklah kalau kita meningkatkan amalan spiritual memohon perlindungan dari yang Maha Esa lebih dari biasa.

Sempena kedatangan bulan Ramadan yang mulia ini, ana dan Keluarga mengucapkan Ramadan Kareem dan bersama-samalah kita membangunkan bulan puasa ini dengan amalan-amalan ibadah dan sedekah jariah.

Sebagai aktivis dan penggerak dakwah dibumi 1Malaysia ini marilah kita bermuhasabah untuk diri kita agar "Dakwah diutamakan, Jamaah didahulukan" .

1. Berapa banyak masa, harta, tenaga yang kita telah peruntukkan untuk membantu menggerakkan kerja-kerja dakwah seperti membantu saudara-saudara baru yang bergelut untuk mempertahankan iman mereka dari gangguan dan tekanan pihak-pihak yang berkenaan? tidak hairanlah semasa konvensyen Dakwah Non Muslim semalam (ramai ahli ABIM yang tidak dapat hadir) ada peserta muallaf yang mengadu hanya melihat 30% sahaja kebaikan Islam di dalam kehidupan bersama orang Melayu di Malaysia.

2. Berapa banyak minda kita diperuntukkan untuk memikirkan masalah umat Islam di persekitaran lingkungan kita? atau kita banyak menghabiskan masa kita untuk memikirkan tentang diri sendiri sahaja. Mungkin ada hanya sebok hendak menukar langsir baru ketika ada saudara yang susah berlangsirkan kain guni dan kain perca.Mungkin ada yang memikirkan untuk menukar sport rim kereta baru ketika ada saudara yang susah tidak mampu membeli segenggam beras untuk keluarga.

3. Sebagai qiadah dakwah yang telah diberi amanah, setiap hari mesti ada sesuatu kerja dakwah dan memikir tentang permasalahan dakwah dan gerakan dakwah. Syaitan dan iblis sentiasa melakukan kerja anti dakwah dan kerja kotor nya untuk menghalang mujahid dakwah dari bergerak dan berfikir tentang dakwah. Kita kena kuat dan tegar merungkai belenggu syaitan dan godaan iblis dari menunaikan amanah dakwah. apakah kita sudah ada jawapan yang kita akan berikan kepada Allah diakhirat nanti? Entah-entah soalan malaikat dikubur pun kita tak terjawab.

4. Justeru, ketika semua syaitan dan Iblis ditambat, marilah kita bangkit dan bergerak kehadapan untuk memimpin dan membangun umat yang memerlukan. Sesungguhnya andalah yang terbaik dan terhebat untuk melaksanakan kerja dan misi ini kerana anda sangat istimewa di Allah ketika anda berusama meningkatkan Takwa.

Kalau bukan kita, siapa lagi, kalau bukan sekarang bila lagi...

5. Ampun maaf sebanyak-banyaknya atas kelemahan dan keterlanjuran diri.

RAMADAN KAREEM.
ALLAHU AKRAM

TAKBIR !

WAK JURAGAN

0 comments:

Kenyataan Saudara Presiden (Utusan Malaysia, 12 Ogos 2009)

Dalam Utusan Malaysia keluaran 12 Ogos 2009 (Boleh cetuskan rusuhan kaum-NGO), Saudara Presiden, Muhamad Razak Idris, berpendapat kutukan terhadap agama Islam kebelakangan ini banyak dipengaruhi oleh trend ''Islamophobia'' yang menggambarkan seolah-olah agama itu cetek, tidak adil dan ganas.

Beliau juga menjelaskan penganut Islam boleh menerima kritikan penganut agama lain, namun jika ia tidak benar dan prejudis, ia akan menimbulkan masalah. Saudara Presiden turut menasihatkan penganut Islam di negara ini terutama sekali golongan muda supaya bersikap sederhana dalam menghadapi kutukan sedemikian selain menggunakan saluran yang betul untuk menyampaikan sebarang ketidakpuasan hati.

2 comments:

Perginya Sebutir Permata Di Medan Dakwah


0 comments:

Persiapan Menjelang Ramadhan Al-Mubarak



Apa agaknya yang perlu dipersiapkan untuk menyambut kehadiran Ramadhan Al-Mubarak? Bingung kita sebagai manusia tentang apa yang pernah dilakukan oleh umat terdahulu sehinggakan datang Ramadhan ini dinanti dan perginya sangat-sangat dirindui. Apakah Ramadhan kini tiada seri kerana tidak lagi kita berpuasa bersama-sama Baginda Rasulullah s.a.w? Atau adakah kerana hari ini tiada lagi peperangan yang perlu ditempuh di dalam bulan Ramadhan?


Di dalam usrah bersama ABIM Selangor, kami diperingatkan oleh Ustaz Naim yang menjadi Naqib mengetuai perbincangan yang bertajuk persiapan menjelang Ramadhan, beliau mengungkapkan bahawa, pada hari ini, kita tidak dapat lagi merasakan kenikmatan datangnya Ramadhan adalah disebabkan oleh kesibukan hal dunia kita yang akhirnya memisahkan kita dengan hubungan kepada Allah s.w.t. Kesibukan ini akhirnya terbawa-bawa sehingga ke bulan Ramadhan dan akhirnya Ramadhan yang dilalui umat hari ini tidak ubah seperti itik. Itik akan membersihkan dirinya dengan sebersih-bersihnya akan tetapi apabila ia bertemu dengan lumpur, mereka akan kembali mengotorkan diri mereka ke dalam lumpur tadi.


Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, demikianlah hidup kita yang berhadapan dengan 11 bulan, didikan yang diberikan kepada nafsu kita cukup-cukup hebat, dibela dan dibelai dengan pelbagai kesenangan dan kemudahan sehinggakan apabila datang Ramadhan, sekalipun syaitan itu dibelenggu oleh Allah s.w.t, rupa-rupanya, nafsu kita telah pun diajar dan dipesan oleh syaitan agar meneruskan tugasan-tugasan mereka bahkan kadangkala ia lebih dari kebiasaan kita. Dek kerana itulah mengapa, apabila datang Ramadhan, yang terbayang jelas dalam pemikiran kita adalah 'baju raya apa nak pakai?', 'nak balik raya ke mana?' dan sebagainya yang berkaitan.


Menurut Imam Al-Ghazali, puasa seorang manusia ini terbahagi kepada 3 peringkat yang patut kita muhasabahkan diri sebagai ahli gerakan, dimanakah tingkatan kita. Pertama, puasa awam, iaitu puasa orang-orang kebiasaan yang dilakukan kerana orang lain lakukannya. Kedua, puasa khusus, dimana si pelaku puasa ini memelihara puasanya dari batal, makan minum serta anggota-anggotan mereka yang dapat mengurangkan pahala puasa. Manakala yang ketiga adalah, puasa khususul khusus, dimana ia adalah tingkat tertinggi apabila puasa itu bukan sekadar amalan bahkan penghayatan dari setiap segi secara jasmani, emosi, rohani, intelektual dan sosial.


Untuk mendapatkan puasa khususul khusus ini, pastinya persiapannya jauh lebih rapi dan penghayatannya lebih tinggi dan mendalam. Antara persiapan yang seharusnya dilakukan kita selaku ahli jemaah ialah;

1. Persiapan Kerohanian
- Perbanyakkanlah puasa di dalam bulan Sya'aban
- Mengetahui keutamaan-keutamaan amalan di dalam bulan Ramadhan
- Membiasakan diri bangun sepertiga malam
- Bayangkan bahawa ini adalah Ramadhan terakhir buat kita
- Perbaharui niat dan fokus kita dalam ibadah di bulan Ramadhan

2. Persiapan Jasmani atau Jasad
- Mengurangkan kadar pengambilan makanan seminggu sebelum tiba Ramadhan
- Menjaga kesihatan dengan mengambil makanan pada kadar yang perlu serta berkhasiat

3. Persiapan Harta atau Mal
- Memperuntukkan beberapa jumlah wang untuk sedekah amal jariah serta zakat fitrah
- Mengurangkan perbelanjaan untuk menyambut Syawal
- Persiapkan rumah kita agar ia diberkati dengan kehadiran Ramadhan

4. Persiapan Aqal dan Ilmu
- Mengulangkaji ilmu tentang puasa
- Membaca kembali hadith-hadith yang menerangkan tentang kelebihan berpuasa
- Merancang penghafalan Al-Quran, bertadarus dan bertadabbur

4. Persiapan Emosi dan Sosial
- Memperbanyakkan peningkatan nilai-nilai murni atau sifat mahmudah dan berusaha mengurangkan sifat-sifat mazmumah
- Melatih diri supaya mudah untuk membantu orang yang dalam kesusahan
- Melatih diri untuk bercakap pada perkara-perkara yang perlu sahaja

Hasil nukilan tambahan oleh penulis. Semoga Mendapat Manfaat bersama.

0 comments:

KENYATAAN AKHBAR ABIM NEGERI SELANGOR 11 OGOS 2008M/ 20 SYAABAN 1430H

ISU ARAK : ABIM SELANGOR MAHU PENGUATKUASAAN LEBIH SERIUS DAN MENGGESA SEMUA PIHAK TANGANI ISU INI DENGAN PENUH TANGGUNGJAWAB

ABIM Negeri Selangor mengalu-alukan penguatkuasaan yang berkesan daripada mana-mana pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk membenteras penjualan arak secara terbuka dan bebas kepada orang Islam di Negeri Selangor ini khususnya di kawasan yang penduduknya majoriti orang melayu dan beragama Islam. Memandangkan pada masa ini, kita berhadapan dengan pelbagai penyakit masyarakat terutama yang melibatkan golongan belia Islam seperti kes ragut, rogol, lumba haram, rempit, rompak, zina, pengambilan arak yang serius dan sebagainya. Dan arak adalah “ibu maksiat” yang menjadi punca utama kepada beberapa jenayah besar akhir-akhir ini, oleh itu tidak hairanlah kalau minuman keras ini diharamkan dalam agama Islam. Maka penguatkuasaan ini adalah wajar dilaksanakan.

ABIM Negeri Selangor menyeru kepada semua pihak agar memberi kerjasama padu dalam usaha untuk menjalankan penguatkuasaan ini, dan sepatutnya bukan hanya kepada premis-premis terpilih dan dianggap kecil sahaja, tetapi juga semua premis besar yang menjual arak secara runcit dan mudah dibeli oleh orang Islam. Penguatkuasaan ini perlu serius dengan langkah-langkah berkesan contohnya dengan meletakkan label pada premis yang menjual arak – ORANG ISLAM DIHARAMKAN MEMBELI ARAK" atau "DILARANG MENJUAL ARAK KEPADA ORANG ISLAM" seperti perlaksanaan di kedai judi. Langkah meletakkan gambar kesan arak kepada manusia seperti yang dilekatkan di kotak rokok perlu dijalankan untuk menjadikan penguatkuasaan dan pendidikan ini berjalan seiring dan memberi kesan.

ABIM Negeri Selangor mencadangkan dan mengesa agar kempen bahaya arak ini dibuat lebih konsisten dan agresif oleh semua pihak sama ada badan kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan (NGO’s) agar pendidikan menyeluruh dapat disampaikan ke segenap lapisan masyarakat terutama golongan belia dan remaja Islam. Gunakanlah semua ruang dan peluang yang ada di program kerajaan, di media massa, media cetak, masjid-masjid , surau-surau dan sebagainya. Usaha ini perlu digerakkan bersama demi melihat masa depan yang lebih gemilang.

MEMBINA DAN MENGGERAK GENERASI KHAYRA UMMAH

MOHD ZAWAWI BIN AHMAD MUGHNI
Yang Di Pertua
Negeri Selangor Darul Ehsan

0 comments:

Bukti Raja Berpandangan Jauh

Tujuh wasiat raja Melayu membuktikan sikap bertanggungjawab dan berpandangan jauh institusi beraja dalam menjamin keutuhan dan keamanan negara terus berkekalan. Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Muhamad Razak Idris berkata, wasiat itu juga bertujuan melindungi negara dalam menghadapi cabaran mendatang yang sukar untuk diramal. "Ia adalah paksi yang perlu didokong dan dipertahankan oleh seluruh rakyat supaya perjuangan dan pencapaian negara selama ini tidak berkubur,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas peringatan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah kepada rakyat khususnya orang Melayu mengenai tujuh wasiat raja-raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya. Presiden Pertubuhan Menjana Tindakan Pemikir (Mantap), Mohd. Saiful Adil Mohd. Daud pula berpendapat, peringatan tersebut memang sudah lama ditunggu dan rakyat perlu mematuhinya.

Beliau berkata, sesuatu yang malang jika orang Melayu terutamanya pihak pembangkang terus mempertikaikan wasiat yang digubal demi kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang itu. "Saya berharap tidak akan ada lagi pihak mempersoalkan institusi beraja serta perkara berkaitan selepas ini tetapi turut sama memelihara dan menjunjung kedaulatan institusi beraja,'' katanya.

Presiden Kebangsaan Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Amir Amsaa Alla Pitchay pula mengingatkan seluruh masyarakat memahami dan menghormati Perlembagaan Negara. Katanya, setiap perkara yang termaktub dalam Perlembagaan tidak perlu dipersoalkan kerana ia telah dipersetujui oleh pemimpin terdahulu dan matlamatnya adalah untuk kepentingan negara. "Peringatan tentang wasiat tersebut tidak harus dipertikaikan semata-mata kerana kepentingan politik. Ini kerana pembentukannya adalah untuk melindungi kepentingan semua kaum,'' jelasnya.

Sumber Dipetik : www.utusan melayu.com

0 comments:

Kenyataan Media 3 Ogos 2009 / 11 Syaaban 1430 H - ABIM Gesa Kerajaan Percepatkan Proses Penggubalan Undang-Undang Baru Menggantikan ISA

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa pihak kerajaan mempercepatkan tindakan bagi proses penggubalan undang-undang baru bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA. Ini bagi memastikan supaya kegiatan protes terhadap ISA oleh sebahagian dari anggota masyarakat di negara ini, sebagaimana yang telah berlaku baru-baru ini dapat dielakkan dari berterusan.

Antara tindakan segera yang boleh dilakukan oleh pihak kerajaan bagi mempercepatkan proses penggubalan undang-undang baru menggantikan ISA ini ialah dengan menubuhkan satu Suruhanjaya Khas yang dianggotai oleh tokoh-tokoh dari pelbagai sektor masyarakat, meliputi pihak kerajaan, pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Berita lanjut layari http://www.abim.org.my

0 comments:

Barisan Kepimpinan Baru Jawatankuasa Pimpinan ABIM Pusat 2009 - 2011

"TERUSKAN PERJUANGAN"

Presiden: Muhamad Razak bin Idris
Timbalan Presiden: Amidi Abdul Manan
Naib Presiden (Kebangsaan): Ahmad Saparuddin Yusup
Naib Presiden (Antarabangsa): Khairul Faiz Morat
HELWA: Fadhlina Siddiq
Setiausaha Agung: Muhd Raimi Abd Rahim
Setiausaha Kewangan: P Aizan Tukirin
Penolong Setiausaha Agung: Maria Kamel

Ketua Biro Dakwah: Naim Mohd Noor
Ketua Biro Penerangan: Mohd Hilmi Ramli
Ketua Biro Pembangunan Sosial: Akmal Hisham Abdul Rahim
Ketua Biro Penyelidikan: Fauwaz Hasbullah
Ketua Biro Penataran: Abdul Razak Aripin
Ketua Biro Pendidikan: Dr Haslinda Abdullah
Ketua Biro Ikhtisas: Dr Mohd Mahyudi Bin Yusop
Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Kesihatan): Dr Saifullah Al-Hany Abdul Halim
Ketua Biro Tugas-tugas Khas (Latihan): Noryzal Zainal Abidin
Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (Perhubungan Antarabangsa) : Jufitri Joha
Ketua Biro Tugas-Tugas Khas (IT dan Perhubungan): Adli Abdul Wahid

Kami di ABIM Selangor mendoakan kepimpinan baru ABIM Pusat komited untuk sama-sama menyumbang dalam proses pembinaan generasi belia Islam secara khusus dan masyarakat secara amnya ke arah pembentukan negara Malaysia yang sejahtera. Amin...

0 comments:

PERUTUSAN TERIMA KASIH


Bagi pihak Saf Pimpinan ABIM Negeri Selangor, mengucapkan jazakumullahukhairu l jaza' kepada semua ajk dan ahli ABIM Selangor yang terlibat menjayakan Forum Bicara Ummah, Seminar Tajdid dan sesi muktamar yang dilangsungkan pada 31 Julai hingga 2 Ogos 2009 yang lalu. Budi, jasa dan bakti yang dicurahkan , hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.



Bagi pimpinan ABIM Pusat sesi 2007/2009 yang telah melepaskan jawatan, ABIM Negeri Selangor mengucapkan terima kasih dan penghargaan atas budi dan jasa yang dicurahkan. Pengorbanan dan perjuangan kalian dalam memperkukuh gerakan amat dihargai disamping cabaran dan mehnah dan cabaran dihadapi. Semoga keredhaan Allah Taala bersama kalian dan terus istiqamah dalam perjuangan.

Bagi pimpinan yang baru , diharapkan dapat menerus kesinambungan perjuangan yang telah kita warisi di samping memperkukuhkan jaringan mata rantai perjuangan. Di ABIM negeri Selangor kami sentiasa menyokong dan membawa bersama misi dan visi perjuangan, wadah yang kita sayangi ini.

Kepada semua , sekali lagi , jazakumullahukhairu l jaza'. Moga Allah memperkukuhkan ikatan hati kita dan memperkukuhkan iltizam dan keazaman kita untuk terus di medan dakwah ini. Menghayati runtutan doa rabitah yang kita setiap pagi dan petang lafazkan, moga perjuangan ini berterusan dan jika ditakdirkan ianya terhenti , moga kita ditempatkan dengan para syuhada' dan orang-orang yang saleh.

Takbir!

2 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR