Gerakan Belia Islam Yang Memperjuangkan Kebenaran dan Keadilan




Rayuan Sumbangan Rumah Darul Wardah




24 comments:

Seketika Bersama Al-Quran: Teknik Berdebat dalam mencari Kebenaran

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Surah Saba' ayat : 24-25-26 menyaksikan bagaimana Allah taala menggunakan teknik awal sebelum berdebat atau berdialog dengan golongan-golongan yang sesat, dan merasa diri mereka berada dipihak yang benar.

Mafhum ayat tersebut : " Boleh jadi kami atau kamu dalam kebenaran atau di dalam kesesatan yang nyata, katakan ya Muhammad : Kamu tak perlu persoalkan kesalahan yang kami lakukan dan kami juga tak akan persoalkan apa yang kamu lakukan"" Katakan : Tuhan kita telah pertemukan kita, maka dialah yang akan membuka kebenaran di antara kita, kerana Dialah yang maha Pembuka kebenaran dan maha mengetahui"

Iktibar ayat :

1. Untuk berdialog dgn golongan yang sesat dan merasa mereka sahaja di pihak yang benar, perlulah kita merendah diri dan mengakui kebenaran mungkin di pihak kita berdua, dan kesesatan juga mungkin dipihak kita berdua, dengan dialog nantilah akan terlihat mana yg benar, mana yang salah.

2. Merendah diri akan membuat pihak lawan berasa selesa dan menjadikan dia bersedia menerima kebenaran bila hujjah yang diberi jelas, dan dia akan lebih rasional dari emosional.

3. Bayangkanlah Allah taala dan Nabi s.a.w yang jelas2 di pihak yang benar, boleh merendah diri mengatakan kita setaraf sahaja, kebenaran dan kesesatan boleh berada di mana-mana pihak, so siapalah kita untuk berasa diri besar dan angkuh bila berdialog untuk mencari kebenaran.

Salam Tadabbur buat semua

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran: Pintu Rahmat dan Magfirah Allah sentiasa terbuka

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Ayat 53-54 Surah Az-Zumar memaparkan seruan Allah Taala melalui Rasulnya agar berpesan kepada hamba-hambanya yang meletak diri mereka dalam kemaksiatan agar jangan berputus asa dengan Rahmat Allah, sesungguhnya Allah taala sanggup mengampun seluruh dosa-dosa mereka, Sesungguhnya Allah Taala maha Pengampun lagi maha Penyayang.

Kembalilah kepada tuhan kamu dan serahlah diri padanya dengan penuh ketaatan sebelum didatangkan azab yang tiada penyelamat lagi ketika itu.

Begitulah mafhumnya dua ayat yang dimaksudkan di atas, yang datang setelah Allah Taala mengambarkan keadaan golongan yang menzalimi diri sendiri bila berbuat maksiat hilang harapan untuk bertaubat, sehingga sanggup menggadaikan apa sahaja untuk menebus kesilapan lalu bila mereka melihat azab yang begitu keras.

Iktibarnya :

1. Yakinilah bahawa Allah taala maha pengampun dan sangat luas rahmatnya, tiada dosa yang tidak boleh diampunkan kecuali syirik yang dibawa mati.

2. Ketahuilah bahawa Allah taala sangat penyayang terhadap hamba-hambanya, walaupun kepada golongan yang sering melanggar perintahnya dan larangannya, buktinya Allah taala masih menyeru golongan ini dengan "wahai hamba-hambaku" di dalam ayat di atas.

3. Luasnya rahmat Allah itu bila datang tepat pada waktunya, iaitu kita diingati dengan ayat ini ketika ramadan masih berbaki, bulan yang pengampunan digandakan, pintu syurga dibuka seluas-luasnya, semoga kesempatan ini tidak disia-siakan.

4. Dosa-dosa kecil ibarat benang labah-labah, mudah dihapuskan dengan istigfar, wuduk, zikir dan lain-lain, namun jika dibiarkan lama-lama benang labah-labah boleh menjadi tali kapal, ketika itu dipotong dengan parang pun memakan masa dan tenaga, oleh itu segerakan beristigfar.

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran: Rezeki diagihkan Allah Ta'ala secara berperingkat

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Ayat 27 surah As-Syura Allah berfirman, mafhumnya : " kalaulah Allah taala membuka luas rezeki kepada hamba-hambanya nescaya mereka akan sombong di atas muka bumi, akan tetapi Allah taala menurunkannya dengan kadar-kadar tertentu mengikut kehendaknya, kerana Dia amat mengetahui dan celik terhadap keperluan hamba-hambanya" .

Iktibarnya :

1. Maksud sepotong Hadis, terkadang Allah taala memberi kepada seseorang itu pada satu hari dengan rezeki untuk 10 hari. maka hendaklah dia hemat dan merancang rezeki tersebut.

2. Manusia akan berubah tabiat dan jiwa bila sudah kelabu mata dengan wang ringgit.

3. Allah Taala sangat mengetahui dengan keperluan hambanya, maka agihannya mengikut keperluan mereka.


Salam Tadabbur

0 comments:

ABIM BANTU KELUARGA AKTIVIS YANG TERKORBAN


HELWA Selangor diwakili oleh Azareka, Faizah dan Suhaila sedang menyampaikan sumabangan kepada isteri arwah dirumahnya.


TERAS JERNANG,13 September 2008 - ABIM Selangor menyerahkan sumbangan Tabung Prihatin yang telah dilancarkan selama sebulan dari 17 Julai 2008 hingga 17 Ogos 2008 yang lalu kepada balu Al-Marhum Amin Nasir. Beliau terkorban dalam kemalangan jalan raya di Puchong pada bulan Julai yang lepas. Rombongan yang diketuai oleh YDP ABIM Selangor itu turut dihadiri Saudara Khairuddin Abbas, PSU ABIM Selangor dan Sdr Azman SU ABIM Sepang.


Beliau telah meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak yang masih kecil. Isteri beliau bertugas di bahagian pentadbiran UNITEN. Mereka anak-beranak tinggal di Kampung Teras Jernang, Bangi. ABIM Bangi telah membantu isteri arwah menguruskan persekolahan anak dan urusan kebajikan yang diperlukan.

 

Walaupun sumbangan yang diberi tidak seberapa, tetapi keprihatinan ini diharap dapat mengurangkan tekanan dan bebannya untuk seketika.

Biarpun sumbangannya kepada gerakan dakwah tidak lama tetapi ia tetap pernah melakukan sesuatu untuk agamanya.  Hanya Allah yang dapat menghitung segala amal hamba-hambaNYa.

 

0 comments:

REMAJA GEMBIRA IKUTI IMARAH NAHAR RAMADAN

BATU BELAH, 18 September 2008 – Seramai 130 orang remaja telah mengikuti Program Imarah Ramadhan yang dianjurkan oleh ABIM Negeri Selangor dengan kerjasama Sekolah Rendah Agama Integrasi. Program seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang.

0 comments:

SMART SOLAT ABIM MENDAPAT SAMBUTAN HANGAT

JALAN KEBUN, 21 September 2008 – Seramai 160 orang remaja berusia 9 tahun hingga 16 tahun telah mengikuti Program ‘Smart Solat’ yang dianjurkan oleh ABIM Selangor dan PEPIAS di Masjid An Naim, Jalan Kebun ( Utara ) dan Masjid Al Falah, Jalan Kebun ( Selatan ).

 

Seramai 20 orang pendakwah muda dari kalangan pimpinan dan ahli PEPIAS dari pelbagai universiti telah turun padang membantu melancarkan program tersebut. Program kali ketiga ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan menandakan kesedaran umat tentang perlunya pendidikan ibadah anak-anak diberi keutamaan semakin meningkat.

 

Program ini telah telah mendapat kerjasama yang baik dari semua pihak terutamanya pihak MAIS yang telah menyediakan dana dakwah, pihak masjid yang telah memberikan kebenaran dan jemputan kepada peserta, Blue T  Publication Sdn Bhd yang telah menyumbangkan majalah ANA MUSLIM untuk semua peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan program tersebut.


Program yang bermula dari pukul 8.30 pagi itu dipenuhi dengan bengkel perbincangan untuk memberikan lebih kefahaman dan praktikal kepada semua peserta. Semasa waktu rehat, semua pelajar menikmati juadah kerohanian dengan menunya ialah solat duha, solat hajat dan solat tasbih.


Program berakhir pada pukul 4.00 petang kerana semua peserta akan meneruskan aktiviti mereka bersama dengan pihak Masjid iaitu Majlis Khatam Al Quran. Semua peserta begitu gembira dan berharap dapat mengikuti program lain di masa yang akan datang.

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Apakah Gunung bergerak seperti gerakan Awan?

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Meniti kalimah demi kalimah di dalam Surah An-Naml sangat mengasyikkan apabila Allah taala memulakan surah ini menyatakan Al-Quran sebagai Huda dan Bushra kepada Golongan Mukminin dgn sifat2 yang dinyatakan.

Kemudian kita dibawa ke puncak Tur Sina di mana berlakunya dialog antara Musa a.s dan Allah s.w.t yang menyaksikan pengurniaan beberapa mukjizat, belum pun puas kita dgn cerita ini, kita dihidangkan pula dengan kisah lain lagi yang lebih panjang dari kisah awal tadi.

Iaitu kisah Nabi Sulaiman a.s dan kelebihan-kelebihan yang tidak diberikan kpd nabi-nabi yang lain, antaranya memeliki bala tentera dari kalangan Jin, manusia dan burung, memahami bahasa binatang.

Sedikit sangat Nabi-nabi yang diberi Risalah dan Sultan (kekuasaan) kalau dibandingkan dgn nabi-nabi yang hanya diberi Risalah tanpa Sultan.

Tambah mengasyikan lagi kisah Sulaiman a.s dan kerajaan Balkis yang dibentangkan dalam dua muka surat, terasa begitu pendek dan cepat sangat berlalu.

Dan bila tiba di ayat 88, terkenang pula di zaman belajar dahulu bila guru kami membacakan ayat ini dan menyoal kami bagaimana lojiknya ayat ini? Firman Allah taala ini mafhumnya :"Dan (Bila) Kamu Melihat gunung kamu menyangkanya kaku (tidak Bergerak) padahal ia bergerak sepertimana awan bergerak, itulah ciptaan Allah taala yang sangat halus dalam setiap sesuatu, dan Allah Taala sangat mengetahui apa yang kamu lakukan".

Dan di sini saya mengajak sahabat-sahabat meneliti ayat ini, dan kongsikan kepada semua hasil tadabbur yang diperolehi, bagaimana persamaan gerakan Gunung dan awan ini boleh difahami.

Ini adalah antara 1000 ayat yang tidak ditafsirkan oleh rasulullah s.a.w. di dalam Al-Quran.

Salam tadabbur buat semua.

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Cabaran Dakwah di dalam Surah Yunus

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Sebelum menyentuh topik ini, elok juga kita balik sejenak ke Surah Taubah di mana Saidina Umar r.a telah menulis surat kepada semua pemimpin di bawah jajahannya menyeru mereka mempelajari surah Taubah : "Pelajarilah kamu Surah Taubah dan ajarilah wanita-wanita kamu dengan Surah Nur". Hadis Riwayat Imam Baihaqi.

Cabaran Dakwah di dalam Surah Yunus :

Bagi yang meneliti dalam tadabbur surah-surah ini mereka akan menemui banyak pengajaran yang boleh dijadikan pegangan dalam mengharungi liku-liku perjalanan dakwah, antaranya :

1. Perjalanan dakwah ini berliku, terkadang cabarannya diluar dugaan kita, hinggakan ada yang meminta agar didatangkan dgn Quran lain selain dari yang ini atau pun tukarkan ayat-ayatnya mengikut kemahuan mereka.

2. Banyak pendaei yang gugur diperjalanan bila diuji dengan kesenangan atau kesempitan.

3. Terkadang berhadapan dgn golongan yang sangat setia berpegang dgn pegangan datuk nenek mereka sehingga mengenepikan penggunaan akal untuk menilai baik buruknya pegangan yg dipercayainya.

4. Pendaei harus sedar bahawa mereka hanyalah penyampai kebenaran, hidayah di tangan tuhan, maka iringi seruan mereka dgn memohon hidayah dari Allah swt.

5. Gunakan keindahan ciptaan alam ini dan kehebatan seni rekaannya sebagai hujjah kebesaran Maha Pencipta yang patut disembah.

6. Pelajari dan teladanilah kisah-kisah perjuangan Nabi-nabi terdahulu dalam menyampaikan seruan ilahi, bagaimana kegigihan mereka, hujah-hujah mereka, kesabaran mereka dan keyakinan mereka terhadap Allah yang memberi tugas berat ini kpd mereka.

7. pendaei perlu cekal dan penuh harapan. Ujian kalau dah makin berat bererti sudah sampai kepada breaking point, bersabarlah agar mendapat kejayaan.

8. kaum Yunus sangat bernasib baik kerana bertaubat sebelum datangnya azab, dan mendapat manfaat dgn iman mereka.

9. Pendaei harus sentiasa membaiki hubungannya dengan Allah dan hubungannya dengan Manusia, inilah kekuatan sebenarnya menjalankan gerakan dakwah.

itulah antaranya yg terlintas ketika ini, semoga yang baik dari Allah, yg tak baik dari diri yang naif ini, maka patut dibaiki dan disempadani. wassalam.

Salam Taabud

0 comments:

Seketika bersama Al-Quran : Surah Hud menjadikan rambut Rasulullah Beruban

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Hadis Riwayat Imam Tarmizi, Al-Hakim, Al-Baihaqi dan lain-lain dari Ibnu Abbas r.a : Telah Berkata Abu bakar " Wahai Rasulallah kamu telah beruban! Nabi Menjawab:" Surah Hud, Al-Waqeah, Al-Mursalat, Amma yatasaalun, Izas Syamsu kuwwirat telah menjadikan rambutku beruban".

Dalam Hadis yang lain Ibnu Abbas r.a menyebut dalam menafsirkan ayat 112 surah Hud, bahawa tidak pernah diturunkan ayat kepada Rasulullah seberat ayat 112 ini, oleh itu Nabi bersabda Surah Hud ...telah menjadikan rambutku beruban.

Ayat 112 surah Hud yang Mafhumnya : "Beristiqamahlah kamu sepertimana yang diperintahkan, begitu juga sesiapa yang bersamamu yang telah bertaubat (berada dijalan benar, hendaklah mereka beristiqamah juga seperti kamu) dan janganlah kamu melampaui batas-batas (yang telah diperuntukkan) Sesungguhnya Dia maha melihat apa saja yang dilakukan kamu".

Antara sebab-sebab lain yang menjadikan Nabi s.a.w begitu gerun berhadapan dgn surah-surah tersebut :

1. Gambaran hari kiamat yang sangat dahsyat dan jelas diperlihatkan di dalamnya seolah-olah beliau melihat dengan matanya sendiri.

2. Sangat bimbang tidak dapat melaksanakan tugas-tugasnya seperti yang diminta oleh Allah swt.

3. Cerita-cerita nabi terdahulu yang banyak dipaparkan di dalam surah Hud begitu sadis dan mencabar dalam melaksanakan risalah Allah swt. apakah beliau mampu mengikuti jejak-jejak mereka?

4. Teguran-teguran lansung dari langit kepada tindak tanduk beliau dalam menyampaikan risalahnya menyebabkan beliau sering bermuhasabah dan bimbang teralpa dengan tugas-tugasnya.

5. Bimbangkan umatnya tergelincir dari landasan yang benar, dan gagal merasai dahsyatnya hari kiamat yang akan menyebabkan mereka berlengah-lengah dari bertaubat dan kembali ke jalan Allah.

Salam Taabud

Selamat bertadabbur

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Surah Yusuf dan beberapa iktibar

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

1. Ikatan Surah Yusuf dengan Surah sebelumnya (Hud) :
a. Dalam kontek paparan kisah-kisah nabi terdahulu.
b. Cabaran kebanyakan nabi-nabi terdahulu dari kaumnya, cabaran Yusuf datang dari abg-abgnya dan wanita.
c. Dua-dua surah dalam kumpulan Surah-surah Miin dan dimulai dgn alif lam ra.

2. Kisah Yusuf adalah kisah terbaik :
a. Terbaik kalau nak dibandingkan apa yang dibawa oleh Yahudi dan Nasrani.
b. Terbaik kerana kisahnya dipapar dari awal berterusan hingga akhir tidak seperti kisah nabi-nabi lain yang dipaparkan sebahagian-sebahagi an di surah-surah yang berlainan.
c. Terbaik dari sudut susunan bahasa dan sasteranya.

3. Hasad adalah penyakit kronik yang tidak mengira mangsa, dan kehinaan adalah balasannya.

4. Sobrun Jamil ialah sabar yang penuh harapan kpd Allah taala tanpa mengadu kpd manusia.

5. Fitnah wanita besar kesannya.

6. Penjara sentiasa mendidik pejuang bermuhasabah dan mendekatkan diri dgn yang maha kuasa, dan tempat yang selamat dari fitnah yang lebih besar. sangat byk tokoh-tokoh yang kita dengar dan pelajari meninggalkan sumbangan besar kepada umat hasil jiwa yang merdeka dengan raga yang terpenjara.

7. Sikap pemaaf Nabi Yusuf a.s yang tidak mengungkit sangat patut di contohi oleh pendaei-pendaei hari ini.

banyak lagi iktibar yang boleh dipelajari dari tadabbur surah ini, semoga Allah taala menjadikan kita golongan yang membaca dan mengambil iktibar, amin.

Salam tadabbur.

0 comments:

Seketika bersama Al-Quran : Yang baik boleh jadi datangnya dari sumber yang kurang baik

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Ayat 66 surah An- Nahl, Allah Taala telah memaparkan kepada kita bagaimana proses mengeluarkan susu dari celahan hampas makan dan darah. mafhum ayat tersebut :

"Sesungguhnya bagi Kamu pengajaran dari binatang ternakan kamu, kami telah memberi kamu minuman yang datang dari perutnya, susu yang keluar di antara cernaan makanan dan darah, bersih dari bauan hampas makanan dan warna darah, boleh diminum terus oleh peminumnya"

Moralnya :

1. Janganlah kita berputus harapan dgn keburukan seseorang, yang mungkin bertukar kepada kebaikan suatu hari nanti.

2. Nabi s.a.w ketika berdakwah di Kota Toif telah dilontar batu hingga berdarah, dihina dan dicaci dgn kata-kata nista, malah dikejar agar keluar meninggalkan bandar itu, sehinggalah beliau didatangi Malaikat yang menawarkan khidmat untuk mengangkat bukit dan menghempapkan ke atas kaum Thaqif yang mendiami Kota Toif itu, namun Nabi s.a.w enggan dan berdoa, Ya Allah ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui dakwahku ini, semoga akan lahir dari sulbi mereka orang-orang yang beriman dgnmu Ya Allah". untuk makluman kita bani Thaqif beriman keseluruhannya setelah berakhirnya peperangan Hunain, dan bani inilah yang berdiri teguh dibelakang Kerajaan Umawiyah dalam mengembangkan Islam.

3. Seorang Penyair Arab Menyebut : Apalah hebatnya kasturi, asalnya juga dari seketul darah.

4. Imam Ghazali dalam Kitab Ihya Ulumuddin ada menasihat agar kita sentiasa berhati-hati dan bersangka baik selalu, katanya : carilah keuzuran utk sahabatmu walaupun 50 keuzuran, sebelum menghukum mereka dgn sesuatu hukuman.

5. Sabda Nabi S.a.w : "Barang siapa mengatakan rosaklah sesuatu kaum, maka dialah perosaknya".

6. Dari mana datangnya Umar Al-Khattab? Khalid Al-Walid? Ikrimah? Amru bin Al-A's dan lain-lain nama besar kalau tidak dari kancah Syirik dan jahiliah. Dakwah,doa dan harapan baik membawa mereka ke puncak mulia.

Salam Tadabbur buat semua

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Iman digilap melalui Ujian

BERSAMA Ustaz Hj. Mohd Naim Mohd Noor, TYDP ABIM Selangor

Muqaddimah Surah Ankabut mengingatkan kita bahawa Iman yang kita miliki sentiasa perlu digilap melalui ujian-ujian Allah Taala yang terkadang berlaku di luar dugaan kita.Dengan bahasa yang jelas tanpa berselindung Allah Taala berfirman yang mafhumnya :( Alif lam min, Apakah manusia mengira mereka akan dibiarkan begitu sahaja setelah melafazkan : kami telah beriman, tanpa diuji? (pada diri dan harta mereka) dan kami telah pun menguji orang-orang sebelum mereka (dengan pelbagai ujian dan dugaan, maka dengan dugaan itulah akan menampakkan kebenaran orang-orang yang benar, dan pendustaan golongan yang dusta.)Iktibarnya :
1. Iman perlu digilap dgn ujian.
2. Imam Syafie bila diuji mengharapkan ujian itu berpanjangan kerana menjiwai nikmat perhatian Allah Taala terhadapnya.
3. Ujian sentiasa mematangkan manusia dan mendekatkan diri mereka dgn yang Maha Mencipta.
Salam Tadabbur

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Al-Quran Telah di Permudahkan untuk difahami

Di dalam Surah Qamar, Allah taala telah mengulangi 3-4 kali ayat yang mempersoalkan di mana gerangan orang yang ingin memahami Al-Quran? mafhum firman itu seperti berikut : " Sesungguhnya kami telah permudahkan Al-Quran untuk di fahami, adakah sesiapa yang ingin memahaminya? "

Ayat ini telah diberi beberapa tafsiran oleh beberapa ulama, antaranya seperti berikut :

1. " Sesungguhnya kami telah permudahkan Al-Quran untuk di ambil iktibar, adakah sesiapa yang ingin mengambil iktibar darinya?"

2. " Sesungguhnya kami telah permudahkan Al-Quran untuk di ingati, adakah sesiapa yang ingin mengingatinya? "

3. " Sesungguhnya kami telah permudahkan Al-Quran untuk dijadikan peringatan, adakah sesiapa yang ingin menjadikannya bahan peringatan?"

Teladannya :

1. Tiada lagi alasan untuk Al-Quran dipinggirkan, kerana ia telah dipermudahkan pembacaannya, pelaksanaannya dan pengiktibarannya.

2. Allah mencabar manusia agar beramal dgn Al-Quran, apakah kita masih menjadi pendengar tanpa berusaha ke arah beramal dengannya?

3. Al-Quran adalah kitab mudah untuk semua peringkat umur masyarakat, maka sangat patut ia dijadikan sumber rujukan dlm semua aspek kehidupan.

Salam Tadabbur buat semua

0 comments:

IFTAR ABIM Daerah Klang

KLANG, 17 September 08 – ABIM Klang telah menganjurkan Majlis Iftar , Tazkirah dan Solat Terawih di Pusat Pendidikan Abim Klang di Batu 8 Jalan Meru. Seramai 50 orang ahli keluarga besar ABIM dari kalangan anak-anak, guru-guru, pimpinan dan ahli-ahli veteran Abim Klang turut hadir memeriahkan majlis tersebut.

Majlis Iftar yang dijalankan dengan cara ’pot luck’ ini mendapat sambutan dari semua unit usrah yang ada di daerah Klang. Selepas solat Maghrib, Tazkiran Ramadan telah disampaikan oleh Tuan Guru Prof. Madya Dr Mujaini , ilmuan dan pendakwah ABIM yang sekarang bertugas di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor ( KUIS ).

Antara sahabat ABIM Klang yang hadir dalam majlis tersebut ialah Sdr Tamsir yang buta kedua-dua matanya. Beliau datang dengan isteri dan anak kecilnya dan yang lebih istimewa beliau membawa menu popular dikedainya iaitu cendawan goreng celup tepung. Sebagai seorang penyokong setia usaha dakwah ABIM, beliau sentiasa konsisten dalam menghadiri majlis-majllis dan program ABIM kecuali sekiranya ada urusan lain.

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Persiapan Rohani untuk Menerima Al-Quran

Persiapan dan perancangan untuk menurunkan Al-Quran adalah persiapan Azali, bersama dengan keazalian Al-Quran itu sendiri.

Nabi junjungan kita s.a.w telah memencilkan diri di gua hirak selama beberapa ketika, ada banyak riwayat menyebut tentang tempohnya antaranya: 2 tahun, 1 tahun 1/2, setahun, 6 bln, 4 bln dan lain-lain.

Itulah tahap persiapan jiwa dan rohani seorang Nabi s.a.w, untuk menerima kalamullah yang dimulai dengan hanya 5 ayat dari surah Al.A'laq.

Kemudiannya diwujudkan pula bulan Ramadan agar jiwa menjadi bersih, dekat dengan Pencipta, jiwa dan raga telah bersedia untuk menjiwai ayat-ayat yang bakal dibacakan.

Pilihan 17 Ramadan sebagai permulaan penurunan Al-Quran adalah pilihan yang sangat baik, kerana sudah 17 hari manusia lalui tempoh berpuasa yang pastinya menyuci sedikit demi sedikit noda-noda yang menggelapkan hati.

10 hari pertama dicurahkan rahmat, rasa kasih manusia terhadap ibadah, sayang dan senang dgn bulan ibadah, jiwa makin dekat penciptanya, makin jauh dgn kelalaian kealpaan, dan dengan bertambahnya hari berpuasa makin bertambahlah nur iman di jiwa-jiwa insani ini.

Masuk hari yang ke 11, pengampunan demi pengampunan dianugerahkan, rohani-rohani yang gelap kian digilap, sedikit demi sedekit, dari sinar menjadi gemerlap, talian ruh semakin jelas antara abdun dan khalik, iman mengukuh, selama 6 hari digilap, hati abdun sudah siap menerima kalamullah, maka ia pun diturun pada hari ke 17nya.

Inilah hakikat yang ditafsirkan pada ayat : "Tidak boleh menyentuhnya kecuali golongan yang suci sahaja" Al-Waqiah : 79. Nya pada kalimah menyentuh"nya" itu yang dimaksudkan ialah hati, kerana surah ini Makkiah belum wujud lagi ketikaitu mashaf.

Laluan inilah yang dicapai oleh abdun munib, menjejak maqaman mahmuda sehingga menjiwai bait-bait kalammullah, hati menjadi luluh dan sayat bila berbicara dgn Khalik. Sabda Nabi s.a.w " Barangsiapa yang ingin berkomunikasi dgn Allah maka bacalah Al-Quran".

Lebuhraya yang dilalui sama, namun tak semua yang sampai ke destinasi dengan penuh bermakna, jiwa mendidih dgn iman dan ketaqwaan.

Sama-samalah kita bersiap sedia utk 10 yang terakhir bagi mengecapi Itqun minan Nar di samping merebut Lailatul Qadar.

Ya Allah ya Tuhan kami yang sangat pemurah dengan pengampunan, sangat suka mengampuni hamba-hamba, maka ampunilah dgn sebaik-baik pengampunan. .Amin ya rabbal A'lamin.

Salam Nuzulul Quran

0 comments:

MAJLIS IFTAR ABIM GOMBAK

16 RAMADHAN 1429 - ABIM Daerah Gombak telah menganjurkan Majlis Iftar Abim Gombak di Pusat Pembangunan Pendidikan dan Komuniti Abim di Kampung Changkat, Gombak bermula pada jam 6.30 petang. Kehadiran amat menggalakkan daripada warga ABIM bersama komuniti setempat.

0 comments:

Seketika Bersama Al-Quran : Surah Taubah Pemisah antara Islam dan Syirik

Surah Taubah yang juga dikenali dgn surah Baraah(Allah taala menafikan kaitannya dgn golongan Musyrikin) atau surah Saif (Pedang).

Surah Taubah adalah antara surah terakhir diturunkan kpd Rasulullah s.a.w iaitu sekitar setahun lebih atau 2 tahun sebelum kewafatan baginda alaihissalam.

Permulaan surah yang tidak dimulai dgn basmalah sudah membawa erti keadaan tegang dan serius yg ingin diputuskan oleh Allah taala, bahawa sudah sampai tahapnya Tauhid dan Syirik dipisahkan.

Hubungan golongan Tauhid dan Syirik telah melalui beberapa peringkat demi peringkat sehingga sampai kepada tahap akhir yang perlu kepada kata putus yang tiada toleran lagi setelah itu.

Pengalaman hidup bersama, percubaan untuk saling bertoleransi dlm segala aspek menemui jln buntu, kerana perbezaan akidah adalah berasal dari akar umbi, dari basic inilah lahir perbezaan ketara dlm semua aspek perhubungan harian. yang akhirnya Allah taala meletakkan had2 tertentu dalam hubungan antara golongan muslimin dan musyrikin.

Surah ini juga membongkar apa yg tersirat dihati golongan munafiqin, sehinggakan sahabat2 yg membaca surah ini akan meleleh air mata mereka takut terbetik dihati mereka sikap golongan munafiq ini.

Surah Taubah adalah surah muhasabah diri yang sangat baik utk ditadabbur dan diperhalusi maksud2nya agar nawaitu perjuangan tidak tergelincir, hati dan suluk terkawal, dan menginsafi diri yang disertai dgn memperbaiki ke arah yang lebih diridhoi Allah swt.

Ya Allah yg maha agung! bantulah kami memperbaiki diri kami, keluarga kami, gerakan kami dan laluan kami menuju ridho mu ya Allah..

Amin ya robbal alamin.

0 comments:

CATATAN SEORANG DAIE MUDA



Pada 6 hb September 2008, ABIM Selangor telah diundang oleh Sekolah Menengah Teknik Shah Alam untuk menjayakan Program Ihya’ Nahar Ramadhan. Jemputan dibuat oleh Ustazah Rosmawati iaitu kepada isteri kepada Sdr.Tajul Ariffin , seorang sahabat lama dan aktivis Abim semasa belajar di Mesir dahulu . Sekarang beliau bertugas di TV9 .

Program tersebut disasarkan kepada pelajar-pelajar perempuan tingkatan empat dan lima .Ana mulakan bicara dengan melontarkan soalan kepada semua peserta - apa tujuan kita berpuasa? seorang pelajar menjawab “ untuk memohon pertolongan Allah “. Ya ! memang benar! Saya mengambil cerita yang dirakamkan dalam surah Maryam ayat 26.

Ketika Mariam, ibu Nabi Musa menghadapi ujian fitnah- ia dituduh berzina dan perempuan jahat, lantaran mengandungkan anak tanpa seorang suami, lantas ia mengadu kepada Allah Taa’la memohon agar diberikan petunjuk dan hidayah kepadanya. Ia berpuasa dan tidak akan berkata-kata dengan manusia. Dalam doanya ketika berpuasa ia terus menerus memohon agar diberi pertolongan oleh Allah SWT.

Permohonannya itu telah di perkenankan oleh Allah dengan berlaku satu mukjizat ke atas Nabi Isa Alaihi Salam yang boleh berbicara dengan orang ramai semasa masih dalam buaian lagi. Subhanallah ! Maha suci Allah!

Justeru itu, ulama meyarankan kepada kita sebelum anak-anak kita menghadapi peperiksaan agar ibu-ibu, bapa-bapa dan pelajar-pelajar disarankan supaya berpuasa.

Puasa itu merupakan salah satu menu santapan roh malakut. Makin banyak santapan untuk rohani makin ringanlah roh malakut. Roh malakut yang ringan memudahkan perjalanan doa untuk mustajab Allah Taa’la.
Al Hamdulillah program berjalan lancar dan mendapat sambutan dan reaksi positif dari semua peserta.

Dalam Sessi Q&A , seorang pelajar bertanya; ” bagaimana kalau seseorang itu berpuasa, tapi tidak menutup aurat ?.

Saya menyimpulkan soalan beliau tadi sama seperti soalan-soalan yang lazimnya ditanya oleh remaja-remaja seusianya. ” Saya tak pakai tudung, tapi saya solat, saya rasa saya lagi ok dari kawan saya yang pakai tudung, dia orang lagi tak malu, pakai tudung ! dating ! coupling ! jalan pegang tangan, tu macam mana ?..saudara/ri pembaca ada jawabannya?

Untuk menjawab soalan ini saya kongsikan pandangan seorang ulama’ besar tersohor Proff. Dr.Yusuf Al Qardhawi yang telah menjelaskan dalam bukunya Al halal Bayyinun ( yang halal itu jelas ) wal haram bayyinun ( yang haram itu jelas ). Urusan pemberian dan agihan pahala, syurga dan neraka semuanya di tangan Allah , manusia tidak layak menentukan seseorang itu masuk syurga atau masuk neraka.

Dari sudut ilmu Fekah, berpuasa itu mendapat pahala , solat itu dapat pahala, tidak menutup aurat dia berdosa, melakukan maksiat dia berdosa.! Orang yang macam nilah dikatakan dalam hadis Rasulullah sebagai golongan yang Muflis di akhirat kelak!

Bagaimana boleh jadi muflis?..Ia jadi muflis apabila ditimbang pada mizan, dosanya lebih banyak, asyik kena cover dengan pahala kebaikkannya, cover punya cover tak cukup-cukup juga. Itu akhirnya bankrup, muflis!

Itu tandanya keimanan kita kepada Allah belum sempurna . Mengambil sebahagian dari ajaran agama dan meninggalkan sebahagian dari ajaran agama. Mengambil hanya yang dirasakan sesuai sahaja dan mengabaikan yang tidak disukai nafsunya sendiri.Allah memerintahkan kepada kita supaya amalkanlah ajaran Islam itu secara menyeluruh.

Sebagai pendakwah kita kena husnu zon ( positive thingking ). Kita mesti bersangka baik dengan dahulu dengan orang lain, berita yang diterima, kejadian yang berlaku, peristiwa dan pengalaman yang kita lalui kerana penyakit wabak yang berbahaya dan mudah berjangkit ialah Penyakit SNIOP-
Sense negative In Other Person.

Menginsafi bahawa masih banyak ruang kosong dan lompang dalam minda dan jiwa remaja kita tentang al Khalik - , atau barangkali seruan dakwah dan ajakan kepada kebaikan yang dianjurkan tidak sampai pada mereka, lantaran itu dalam banyak pertemuan dengan sebahagian besar remaja , bahkan orang dewasa yang ditemui, Kebanyakan mereka tidak melakukan suruhan Allah bukan kerana enggan, tetapi disebabkan oleh kejahilan .

Solat misalnya, ramai yang tidak tahu melakukannya apa lagi melakukannya dengan sempurna dan khusyu’ . Akhirnya, ia balik kepada kita yang tahu dan telah diberi laluan dahulu oleh Allah SWT untuk menjadi . ‘elemen sedar’ yang sewajarnya menjadi pendorong umat.

Sudahkah kita melaksanakan pesan Rasulullah ” sampaikan dariku walau sepotong ayat ? kalau sudah , alhamdulillah. Kalau belum, marilah kita mewakafkan sedikit masa hayat kita untuk memperkasa agenda dakwah dan tarbiyyah umat. Mudah-mudahan yang belum melaksanakan perintah Allah akan mendapat Hidayah dariNya .Kita sendiri pun kerana untung nasib kita disana belum tentu lagi. Anda sudah berazam?

Wallahua’lam.


Hazlina Abd Razak

0 comments:

Copyright © 2013 ANGKATAN BELIA ISLAM MALAYSIA (ABIM) SELANGOR